SALAH satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan seperti kambing atau lembu sesudah solat sunat Aidiladha sehingga hari tasyrik iaitu hari ketiga sesudah 10 Zulhijah.
Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.
‘‘Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.
‘‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Menurut Syafii hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).
Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepadaNya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman dalam surah Al- Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Haabil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”
Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.
Mimpi
Maka takala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyebelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah,ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Berpandukan daripada kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana Ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan. Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan-Nya. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa.
Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai oleh sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.
Umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dalam beberapa hari lagi. Bagi kaum Muslimin yang berkuasa menyembelih korban hendaklah melaksanakan tanpa ragu-ragu sebagai usaha untuk bertaqqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah.
Ibadah
Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, dapat disimpulkan bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
* PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan YADIM.
Monday, December 17, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment