SOALAN:
Saya sebenarnya benci poligami dan memang poligami itu sukar sekali difahami. Suami saya berkahwin lagi tanpa pengetahuan saya. Berkahwin dengan isterinya lebih muda daripada umur anak- anaknya, tetapi apabila dia jatuh sakit, bebannya saya yang pikul, isteri tuanya. Adakah adil isteri muda cuma suka dan sayang ketika suaminya sihat dan banyak duit?
Dia minta supaya saya diceraikan. Persoalannya, kalau isteri sakit, tidak berupaya menyara nafkah batin, suami diharuskan berkahwin lagi untuk mengelakkan dia berzina. Kalau suami yang sakit pula apakah yang seharusnya dilakukan? Suami saya sakit lebih daripada enam tahun. Tolong perjelaskan soalan saya ini. Kerana itu saya bencikan poligami.
JAWAPAN:
Telah saya huraikan kenapa sebahagian daripada suami berkahwin tanpa memberitahu isteri. Di antaranya ialah kerana biarpun poligami itu diharuskan Islam, namun masyarakat Malaysia menganggap poligami itu sesuatu yang seumpama luar biasa, yang sewajarnya dirahsiakan. Kalau hendak memperkatakan tentang poligami terhadap seseorang, ia perlu dilakukan dengan berbisik-bisik. Lebih-lebih lagi kalau perkahwinan tersebut masih lagi baru.
Jarang lelaki berpoligami berkeupayaan berjalan sama dengan isteri-isteri yang dikahwini, biarpun ia sesuatu yang diharuskan, lebih-lebih lagi di dalam satu- satu majlis.
Selain mungkin boleh dianggap menyusahkan ia akan menjadi sesuatu yang seumpama janggal, padahal keadaan akan berubah, kata-kata belakang itu akan tersingkir lebih cepat sekiranya seseorang itu dapat mengisytiharkan yang dirinya mempunyai dua orang isteri misalnya, dengan membawa mereka di khalayak ramai seperti yang dijelaskan.
Selain itu, untuk mendapatkan izin daripada isteri yang sedia ada, adalah sesuatu yang mustahil, biarpun sebenarnya keizinan itu bukan mustahil. Kerana itu jelasnya, izin tersebut bukan mudah, biarpun daripada isteri yang mempunyai latar belakang agama yang kuat dan memahami benar-benar bahawa berkahwin lebih daripada seorang isteri itu adalah diharuskan.
Poligami boleh mengubah persepsi masyarakat. Pandangan daripada seorang teman terhadap temannya yang rapat. Daripada murid kepada seorang guru. Kepada pelajar kepada ustaz. Pandangan rakyat terhadap seorang pemimpin politik, lebih-lebih lagi sekiranya seorang imam yang selalu menasihati pelanggannya yang akhirnya menjadikan salah seorang daripada pelanggannya isterinya yang kedua atau ketiga.
Pada umumnya pengisytiharan poligami yang terjadi kepada seseorang lelaki, yang terjadi secara langsung atau tidak langsung akan mencetuskan huru-hara, dalam rumah tangga sendiri atau pada pandangan masyarakat luar, dalam masa singkat atau lebih lama sedikit.
Sesetengah suami rasa malu kepada anak-anak yang telah dewasa untuk mengisytiharkan dirinya berpoligami. Tetap kasih kepada isteri yang sedia ada, yang telah lebih 30 tahun hidup bersama. Rasa kasihan atau belas kepada isteri yang sedia ada itu tetap wujud, tetapi nafsu untuk berkahwin lagi tetap ada, lebih-lebih lagi apabila hubungan intim terhadap seseorang perempuan lain yang mempunyai punca dan latar berbeza itu menyebabkan perkahwinan seterusnya seumpama sukar dielakkan.
Perempuan itulah yang selalu mengekorinya sehingga larut malam kerana mesyuarat. Dialah yang menyediakan segala-galanya ketika berada di pejabat. Kasih sayang dan rasa simpati itu tersemai erat sedikit demi sedikit, biarpun ia menyedari dirinya mempunyai isteri di rumah, yang telah dikahwini lebih daripada 30 tahun.
Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila perempuan yang selalu mengekorinya itu lama-kelamaan menjadi teman ketika berada di hotel atau di tempat peranginan atau keadaan-keadaan lain yang mengikat, menyebabkan si lelaki tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri selain daripada berkahwin.
Otak kata tak mahu berkahwin lagi. Isteri ada di rumah termasuk anak-anak juga cucu-cucu. Tetapi kelakuannya seumpama Romeo dan Juliet. Perilaku seumpama ini tidak ubah seperti orang yang bermain api. Kecil menjadi kawan, tetapi kalau sudah menyambar tangan ia melecur. Segala-galanya menjadi abu.
Baginda s.a.w. memberi amaran, menyatakan barang siapa mengembala kambing di tepian kolam, dikhuatiri ia akan tercebur dalamnya. Lantaran itu, jangan cuba-cuba bermain api, atau mengembala kambing di tepi sumur, takut lemas nanti.
Atas alasan-alasan seumpama inilah maka ramai suami yang berkahwin lagi tidak berani memberitahu isteri yang sedia ada. Kahwin adalah lafaz, mengandungi ijab kabul, melibatkan wali, dua saksi dan lelaki dan perempuan. Perkahwinan ialah ikatan Ilahi di mana dengannya seseorang lelaki itu dihalalkan menyetubuhi isterinya.
Jelasnya perkahwinan itu ialah bertujuan menambah kasih sayang, menyusun zuriat masyarakat, membolehkan pasangan tersebut hidup aman damai. Setiap pihak memerlukan di antara satu dengan yang lain.
Dalam urusan seumpama ini tidak dijelaskan tentang larangan orang tua mengahwini orang yang lebih muda daripadanya, biarpun menyamai umur anaknya yang bongsu. Biarpun tidak ada sekatan seumpama ini, seorang suami yang membawa isteri yang sama umurnya dengan anaknya, mungkin akan ditanya oleh tetamu yang baru dikenali di suatu majlis, “Ini anak encik yang kecil sekali ke? masih belajar di mana?”
Atau “Kenapa encik makan sikit sangat? apabila seorang lelaki itu mengahwini perempuan yang jauh lebih muda daripada umurnya. Perkahwinan seumpama ini sebenarnya boleh berlaku dalam proses mengahwini isteri yang kedua.
Umumnya setiap orang, termasuk yang berpoligami berusaha mencari pasangan yang sesuai. Yang cantik mengikut selera. Berumur bersesuaian dengan umur dirinya sendiri. Hal demikian disedari oleh semua orang, baik lelaki atau perempuan. Keadaan demikian banyak menentukan dalam usaha seseorang itu mencari jodoh.
Seorang lelaki yang baru habis mengambil peperiksaan SPM mungkin bekerja dengan seorang usahawan berumur 43 tahun. Setiap hari ke hulu dan ke hilir menghantar baju yang ditempah oleh pelanggan, dari pagi sampai ke petang.
Segala keperluan dipenuhi termasuk bilik rehat di salah sebuah bilik rumah majikannya. Setiap tahun hari jadi disambut dan diberi hadiah. Kereta bos boleh dipinjam pada bila-bila masa. Selain melayani anak muda cilik lepasan SPM ini, ibunya juga sering mendapat hadiah. Fenomena seperti ini bukan mustahil menyebabkan perkahwinan di antara seorang lelaki berumur 20 tahun dengan perempuan, sama ada masih anak dara, telah berkahwin tetapi suami meninggal atau bercerai itu berkahwin biarpun umurnya terlalu berbeza.
Hal yang sama boleh berlaku kepada seorang lelaki yang berumur separuh abad dengan seorang gadis yang berumur 18 tahun, yang sama umurnya dengan anak daranya yang nombor dua atau bongsu, lebih-lebih lagi sekiranya lelaki berkenaan mempunyai pangkat dan wang.
Sesetengah lelaki yang dewasa memang sengaja mencari perempuan muda untuk menjadi isteri yang kedua. Alang-alang berkahwin, biar mencari yang muda. Sesetengah gadis pula, lebih suka berkahwin dengan lelaki yang ada pangkat, banyak wang biarpun ia jauh lebih tua. Lebih baik mengahwini lelaki yang mempunyai banyak wang biarpun tua daripada berkahwin lelaki muda yang hampir sama dengan umurnya, tetapi tidak mempunyai wang. Ramai orang mempunyai persepsi tersendiri dalam usaha mencari pasangan.
Cinta sering menyebabkan manusia buta akal menyebabkan seseorang itu sukar untuk menjangkau atau memikiri masa depan dirinya. Dalam kemelut seperti ini ada pula isteri muda yang meminta atau mendesak suaminya supaya menceraikan isterinya yang ada, tanpa ada rasa belas kasihan. Keadaan akan menjadi gawat apabila si suami tidak berupaya mengimbangi keadaan, lebih-lebih lagi pada suami yang takut kepada isteri muda atau kepada semua isteri yang dikahwini. Keadaan mungkin tenang atau ada huru-hara tetapi buat sementara sahaja sekiranya isteri yang tua mengalah, tidak bingkas menyerang isteri muda.
Tetapi kalau kedua-duanya sama, kedua-duanya tertakluk di bawah naungan unsur angin dengan api, keadaan akan berbeza, saling serang menyerang hingga ke pejabat atau saling utus mengutus SMS. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada untung kecuali pihak telekomunikasi.
Fenomena mungkin akan berubah apabila si suami yang telah berumur itu sakit. Kalau selama ini si suami melupakan isteri tua berbulan-bulan atau hingga ke beberapa tahun, tidak mustahil si suami bingkas sedarkan diri dan merintih tanpa rasa malu mohon ampun tinggal semula di rumah isteri yang telah dikahwini lebih daripada 30 tahun tadi lebih-lebih lagi sekiranya isteri muda hanya mementingkan hartanya.
Pada isteri muda ia merasakan adalah tidak sayugia baginya diberi beban untuk menyuapkan nasi atau bubur ke mulut suami setiap kali makan atau menyalin lampin setiap kali buang air besar atau kecil. Terlalu sukar bagi isteri tua, yang telah hidup sama lebih 30 tahun untuk menghalau si suami, biarpun telah dilukakan hatinya berbulan-bulan atau bertahun-tahun, datang kembali berpapah menunggu waktu nazak. Ia lebih memahami hakikat suami yang melupakannya luar dan dalam, malah anak yang dimiliki tetap anak mereka lebih-lebih lagi sekiranya rumah tempat tinggal masih kepunyaan suami.
Pada kebiasaannya, isteri yang diabaikan seperti ini biarpun ia menderita kehilangan suami, dizalimi dan berhempas pulas menggunakan tulang empat kerat untuk membesarkan anak-anak, ia tetap mengharapkan agar suaminya insaf dan kembali ke pangkuan.
Tidak sama keluarga yang mempunyai seorang ayah, berbanding dengan keluarga yang tidak mempunyai ayah, biarpun si ayah kembali dalam keadaan berpapah. Tujuan perkahwinan adalah jelas. Lelaki diharuskan kahwin lagi apabila isteri tidak berupaya melayani nafkah batin suami kerana sakit dan sebagainya.
Sebaliknya apabila suami sakit, si isteri tidak diharuskan berkahwin lagi tanpa bercerai dengan suaminya yang ada. Walaupun demikian, apabila si suami tidak berupaya memberi nafkah zahir dan batin, dia berhak supaya diceraikan. Walaupun demikian hak menalak tetap di tangan lelaki iaitu suami.
Lumrahnya apabila keadaan seperti ini berlaku, isteri terlalu jarang untuk meminta cerai, lebih-lebih lagi sekiranya umur telah lanjut. Kaum ibu lebih betah dan mempunyai kesabaran yang kental berbanding dengan kaum lelaki, tidak dinafikan biarpun kaum lelaki lebih perkasa melakukan kerja-kerja berat. Kerana itulah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah
soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment