Jiwa dan kehidupan terasa sempit jika hawa nafsu kuasai tindakan
MANUSIA diciptakan dengan kelengkapan manusiawi yang mengandungi jasad dan roh. Jasad asal mulanya berasal daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani. Kedua-dua asalnya ini adalah suatu yang sifatnya rendah dan hina.
Walaupun ramai yang tertipu dengan kulit putih dan rupa cantik menawan, asal usulnya adalah daripada bahan yang hina. Manakala roh dan jiwa, asalnya daripada ketinggian kerajaan langit. Ia datang daripada sisi Allah.
Lantaran itu, roh sering merindukan kemuliaan dan ketinggian, seperti tempat asalnya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Surah al-Isra', ayat 58)
Namun kadang-kadang manusia lebih sayangkan jasad daripada roh. Mereka bangga dengan kesempurnaan jasad dan sentiasa berjuang untuk mempertahankan keutuhan serta kehebatan jasadnya.
Hingga akhirnya mereka terlalu memberi tumpuan menjaga dan memperbaiki kekurangannya. Pantang ada sakit, pasti dicari ubatnya. Sebelum kena penyakit, pelbagai makanan tambahan dan kaedah pencegahan penyakit jasad akan dibeli serta digunakan.
Ramai yang lupakan keperluan roh serta jiwanya, hingga jiwa terlantar tanpa penjagaan, sakit tidak diubati, dibiar melawan sakarat. Kekosongan roh sering terasa tetapi ia sentiasa diabaikan. Biasanya ubat yang salah diberi.
Jika jiwa rasa kosong, ia akan cuba diisi dengan menghadiri majlis di kelab sosial dan sebagainya yang pasti akan lebih menambahkan derita jiwanya akibat maksiat berleluasa pada majlis itu. Ada mencuba pengisian kerohanian yang sifatnya 'jalan pintas' dengan menganggotai kelab zikir yang sebahagian besarnya menambahkan keresahan serta kekeringan jiwa akibat pendekatan rekaan dan ciptaan bidaah manusia mendakwa mereka mempunyai cara mengetahui alam roh.
Roh dan jiwa hanya dapat diisi serta diubati dengan ubat dan makanan asalnya yang mestilah bersifat Rabbani, berasal daripada Allah yang hanya dapat diketahui daripada sumber Nabawi iaitu al-Quran dan hadis sahih Nabi SAW.
Sesungguhnya jasad dan roh memiliki pertalian erat tidak terpisahkan. Bayangkan ketika jasad terlalu selesa dengan makanan dan perhiasan mahal, menikmati hiburan melekakan dan asyik berehat menikmati mimpi yang panjang hingga beberapa siri kisah mimpinya. Jasad dimanjakan sebegini terlalu berat untuk berdiri menyahut permintaan rohnya yang rindukan Allah.
Sebenarnya jika kita mahu mendengar jeritan batin yang rindu kepada Allah, pastinya setiap kemahuan jasad menjadi satu persoalan penting bagi kita. Setiap kemahuan jasad akan ditanya; Apakah ia akan membahayakan roh dan jiwa?
Bayangkan jika jiwa mahu berjumpa Allah saat pertengahan malam, tetapi jasad menolak dan enggan, apakah yang kita pilih antara dua kemahuan ini? Mereka yang memilih kemahuan roh dan jiwanya inginkan ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah menerima pujian mendalam di sisi catatan Tuhannya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Lambung (tulang belakang) mereka jauh daripada tempat tidurnya (kerana mereka bangun mengerjakan solat malam saat kebiasaannya manusia tidur) dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan rezeki yang Kami berikan." (Surah al-Sajadah, ayat 16)
Maha Suci Allah yang Maha Lembut lagi Maha Penyayang kepada hamba-Nya sehingga menggerakkan jasadnya untuk beribadah kepada-Nya dan menutup keinginan mengikuti hawa nafsu yang mematikan jiwa.
Sesungguhnya jika hawa nafsu menjadi luas maka jiwa menjadi sempit dan hidup terasa sempit. Apabila hawa nafsu menjadi sempit, akan luaslah jiwa dan hidup menjadi lapang. Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit." (Surah Taha, ayat 124)
Jasad dan jiwa orang mukmin bagai simbiosis yang saling menyokong, kedua-duanya berinteraksi secara telus dan bersahabat. Tidak boleh memaksa jasad untuk mengharamkan semua yang disukai fitrah manusia.
Agama Islam bukan ajaran kerahiban yang mengharamkan kahwin tetapi Islam menolak sebarang perlakuan seks menyimpang. Fitrah manusia sukakan perhiasan, wanita, harta perniagaan dan keluarga yang mencintai, semua itu sama sekali tidak haram dalam Islam dengan syarat ia menjadi perangsang ketaatan dan kesetiaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita, anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali Imran ayat 14)
Perjalanan hidup dua elemen penting dalam diri manusia, iaitu jasad dan jiwa sentiasa diwarnai dengan ujian untuk mengetahui adakah kedua-duanya serasi dalam mentaati Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Surah Al-Baqarah, ayat 214)
Ketika diuji, mata boleh menangis tetapi jiwa masih percaya kepada rahmat Allah dan kelembutan-Nya. Maka apa-apa kemudaratan yang menimpa jasad sama sekali tidak menjejaskan jiwa dalam mentaati Allah.
Betapa hebatnya peribadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah bin Jahsy, beliau berdoa kepada Allah sambil menyatakan keinginan roh dan jasadnya sebelum berlaku Perang Uhud: "Ya Allah jika datang musuh yang mahu membunuhku, biarlah dia memotong hidungku, telingaku, mengorek mataku dan membelah perutku, hingga Engkau akan bertanya di hari kiamat nanti, wahai hamba-Ku mengapa dengan jasadmu ini? Lalu akan akan menjawab: Wahai Tuhanku, disebabkan kerana kecintaanku kepada-Mu hamba berkeadaan seperti ini."
Akhirnya ketika jasad beliau dijumpai ketika selesai Perang Uhud, terbukti doanya yang ikhlas itu dimakbulkan Allah dengan jasadnya berada dalam keadaan menyedihkan.
Setiap potongan jasad orang mukmin adalah suci, jika dia benar-benar beriman dan beramal salih. Sebaliknya jasad orang yang bermaksiat dan kufur kepada Allah, perbuatan dosa sudah mengotori segala-galanya dalam diri mereka.
Pada hal, Allah sudah menciptakan manusia pada kali pertama dalam keadaan suci dan sempurna apabila ia dilengkapkan dengan unsur Rabbani iaitu roh, namun mereka merendahkan dan mengotori diri mereka sendiri.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih; Maka bagi mereka pahala yang tiada putusnya." (Surah al-Tin)
Hidup ini seperti bermain judi bagi mereka yang mengikut hawa nafsu dan pujukan syaitan. Mereka mempermainkan peluang hidup dikurniakan Allah dengan menggadaikan umur dan jasad yang sihat untuk memuaskan segala-galanya.
Namun bagi seorang Mukmin, hidup ini adalah suatu perjuangan bagi mengumpulkan dana dan belanja yang akan digunakan untuk membeli syurga serta kenikmatan abadi di sisi Allah dengan memastikan roh dan jasadnya saling bekerjasama mencari kedamaian abadi di sisi Rabbul Jalil.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
INTI PATI: Fitrah manusia
Manusia diciptakan dengan kelengkapan manusiawi yang mengandungi jasad dan roh.
Jasad berasal daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani. Roh dan jiwa asalnya daripada ketinggian kerajaan langit. Ia datang daripada sisi Allah.
Roh dan jiwa hanya dapat diisi serta diubati dengan ubat dan makanan asalnya yang mestilah bersifat Rabbani, berasal daripada Allah yang hanya dapat diketahui daripada sumber Nabawi iaitu al-Quran dan hadis sahih Nabi SAW.
Jasad dan jiwa orang mukmin bagai simbiosis yang saling menyokong, kedua-duanya berinteraksi secara telus dan bersahabat. Tidak boleh memaksa jasad untuk mengharamkan semua yang disukai fitrah manusia.
Agama Islam bukan ajaran kerahiban yang mengharamkan kahwin tetapi Islam menolak sebarang perlakuan seks menyimpang. Fitrah manusia sukakan perhiasan, wanita, harta perniagaan dan keluarga yang mencintai.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment