Tuesday, December 18, 2007

109. Nilai sejagat perlu bertunjangkan Islam

Amalan sosial tercemar daripada kemurnian sebabkan manusia hilang pegangan


MUTAKHIR ini, tumbuh pelbagai pendekatan dalam penerapan nilai sama ada melalui latihan atau perundingan yang cuba merebut tempat dalam pasaran. Perkembangan itu baik dalam merencana modal insan ke arah pembangunan tamadun yang gemilang.

Nilai sejagat sering menjadi tonggak. Perunding latihan cenderung menjawab persoalan bagaimana nilai itu dapat diterapkan berbanding mencari fahaman yang bermakna mengenai apa sebenarnya nilai sejagat.

Dalil Islam terkadang dijadikan 'pak sanggup' dalam menyokong usaha penerapan yang mengakibatkan nilai sejagat didongengi kefahaman di atas asas yang tidak terjejak pada hakikatnya. Akibat tindakan itu, ilmu dan maklumat bertingkah dalam pemikiran terdinding daripada melintasi kefahaman sebenar.

Suasana ini mungkin lebih jelas dilihat dalam perkembangan pendidikan di Malaysia kerana ramai orang tahu pelbagai maklumat dengan bukti keupayaan tembusan teknologi maklumat dan gulungan ijazah tetapi tidak berupaya berdiri atas bidang fahaman ilmu mereka untuk menguruskan kehidupan.

Sesuatu yang mempunyai nilai sejagat bermakna perkara itu dapat diterima umum sebagai mempunyai nilai dalam semua sudut. Adakah nilai yang diterima itu memadai disingkap daripada sudut pandangan manusia umum?

Apakah pandangan alam Islam berkenaan penyalahgunaan dan berleluasanya pencemaran kefahaman mengenai nilai sejagat hingga sandaran nilai itu mengarah pemikiran kepada aliran sekular?

Memang tidak dinafikan agama sama sekali tidak meminggirkan nilai, malah nilai itulah menjadikan agama tidak ternilai harganya. Namun, keunggulan nilai Islam mempunyai syarat tertentu, malah sebagai peneguh kepada keseluruhan aturan nilai itu sendiri.

Ungkapan bahawa semua agama menyeru umatnya melakukan kebaikan sering menghentikan kita berfikir dan terpaling daripada melihat keunggulan nilai Islam. Nilai Islam lebih tinggi dan utama daripada nilai sejagat yang mungkin menjadi satu tanda aras ungkapan semua agama menyarankan umatnya melakukan kebaikan.

Malah, jika diperhalusi, nilai sejagat tidak dapat berdiri tanpa cerapan nilai Islam kerana nilai hanifa Islam ini umpama dahan tunjang yang dirantingi nilai sejagat yang disarankan oleh agama samawi sejak sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Fahaman pendapat nilai mendedahkan mengenai manusia menilai sesuatu perkara atau fahaman perbahasan berkenaan bagaimana menilai, menggunakan atau mengeluarkan sikap dan tingkah laku. Penumpuan penilaian dilaksanakan melampaui sempadan masyarakat dunia sama ada daripada sudut baik dan buruknya.

Akhirnya, satu kesimpulan mengenai nilai sejagat dibuat dan cuba diterapkan dalam amalan masyarakat. Nilai seperti amanah, ikhlas, bertanggungjawab, jujur, adil, telus, ehsan, belas kasihan contohnya, sudah diterima sebagai perkara yang mempunyai nilai sejagat.

Nilai sejagat bukan saja boleh memberi jaminan kepada keamanan dan keharmonian, malah berupaya menjadi pendorong kepada kecemerlangan tamadun manusia. Namun, tidak dinafikan nilai sejagat yang tercemar daripada kemurnian asal hanifa akan membimbing manusia ke jalan kehancuran.

Nilai sejagat sandaran penilaian dan sasaran sesama manusia semata-mata akan terkepung kepada takluk riak dan penyekutuan terhadap Allah. Amalan yang dilazimkan dalam cenderung nilai sejagat begini bakal melahirkan generasi masyarakat yang sunyi daripada tautan dengan Pencipta.

Dengan itu, lahirlah golongan yang melakukan sesuatu kerana sandaran kepada manusia menggayakan 'tutup aurat' setakat sandaran manusia bukan kerana patuh kepada Allah. Di mana kedudukan ehsan di sini dalam fahaman takrifan ehsan sebenar?

Tonggak kepada keseluruhan nilai itu perlu berakar umbi kepada dua asas tunjang hakikat kejadian manusia. Bermula daripada dasar nilai tunjang mengenai peranan sebagai hamba dan khalifah, barulah nilai sejagat boleh berdiri dan dikembangkan kepada nilai lain yang menjadi wadah keseluruhan kehidupan.

Kerangka dan bentuk itu menjadi satu pola kepada pelaksanaan satu rangkaian aturan (ekosistem) pertukaran kepentingan mengikut keperluan, dikawal selia di landasan adil dan ehsan.

Keakuran manusia atas takluk fahaman hakikat manusia penting untuk meneruskan penerapan nilai sejagat. Barang siapa menyerahkan dirinya, beruntunglah dia kerana sudah menunaikan pembayaran balik hutangnya, menebus dirinya dan mendapat faedah keuntungan ganjaran daripada Allah.

Bagi memperincikan persoalan itu, mari kita lewati kefahaman berkenaan ikhlas dalam niat. Kitab Hadith 40 menjelaskan, niat terbahagi kepada tiga iaitu niat melakukan sesuatu kerana manusia, melakukan sesuatu kerana manusia dan Allah dan melakukan sesuatu hanya semata-mata kerana Allah.

Dalam perbincangan ini, kedua-dua terawal sandaran niat iaitu kerana manusia boleh dihimpunkan dalam golongan riak atau syirik kepada Allah, manakala yang kedua pula menyamatarafkan sandaran kerana manusia dan Allah yang cenderung kepada menyekutukan Allah.

Oleh itu, ikhlas dalam faham nilai sejagat tidak boleh berdiri tanpa tauhid hanifa Islam iaitu semata-mata kerana Allah. Ikhlas hanya memberi maksud jika berdiri atas asas iman dan tidak munasabah wujud keikhlasan sebenar tanpa ehwal ini.

Asas utama kepada aturan nilai tunjang ialah berdasarkan sumber samawi iaitu al-Quran dan sunnah. Sebagai seorang hamba. "Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mereka mengabdikan diri mereka." Sebagai seorang khalifah atau duta Allah. Sesungguhnya Aku jadikan di atas muka bumi ini sebagai khalifah (wakil ganti)."

Kedua-dua nilaian tunjang ini mempunyai petunjuk tertentu. Dalam fahaman pengabdian, iaitu manusia dinilai dari segi ketakwaan; manakala dari segi khalifah pula berdasarkan kepada manfaat diberikan kepada muka bumi dan makhluk-Nya yang lain.

Dengan cetusan dasar nilai itu, maka nilai lain yang bercanggah dengannya atau nilai yang tumbuh tanpa tunjang, berada di luar daerah pandangan alam Islam. Dasar nilai itu membabitkan kepercayaan dan pegangan asas yang menentukan keislamannya.

Jika ada binaan pengurusan yang mengabaikan dasar tunjang akidah maka, apa saja nilai lain yang dijunjung boleh dipertikaikan. Persoalan akan timbul seperti di mana ikhlasnya bertapak, amanah apa dan siapa yang ditatang atau apakah sandaran dan kesudahan matlamat kepada niatnya.

Begitu juga dengan tanggungjawab, atau lebih menyeluruh lagi sifat murni yang boleh dicerap daripada pancaran asma'ul husna.

Memahami kedua-dua dasar nilai sebagai hamba dan khalifah tidak bermakna sebagai satu sekatan kepada usaha membangunkan keseluruhan kehidupan dunia. Oleh itu, sudut pandangan sebagai seorang pengurus kepada harta dan kebendaan lebih jelas dengan peranan asas seorang insan bagi mencapai matlamat utama kejadian insan.

Dalam apa keadaan sekalipun sama ada sebagai seorang pekerja, pemilik atau pelabur kepada sesebuah perniagaan, penerapan nilai itu menjadi satu titik tolak kepada fahaman sebenar keseluruhan nilai sejagat.

Contoh lain yang boleh diperhalusi ialah perniagaan berasaskan kepada barang dan perkhidmatan yang diiktiraf 'halal'. Jika pengurus atau pemilik perniagaan tidak menyerahkan kepasrahan kepada kepercayaan tunjang, bagaimana mereka inginkan kepada 'halal'.

Keinginan untuk memastikan halal atau tidak sesuatu barang kerana dorongan peluang pasaran tidak terjamin dapat membawa manfaat kepada pengguna secara menyeluruh. Kecenderungan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan halal mestilah pada peringkat awalnya menerima al-Quran sebagai petunjuk yang sebenar sebelum ingin mengamalkannya.

Dalam kefahaman berkenaan hal ini, pandangan alam Islam berdiri di atas mafhum Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis riwayat Baihaqi).

Sopan santun dalam fahaman itu adalah tingkah laku yang tidak dapat mengecualikan peranan kepercayaan akidah. Keadaan tidak terpisahnya antara kepercayaan dengan tingkah laku menunjukkan nilai sejagat tidak boleh berdiri tanpa landasan hanifa.

Sudah tiba masanya pihak terbabit dengan usaha penerapan nilai dalam pembangunan modal insan untuk kembali ke alam hakikat. Pasaran hanya medan tempur kepada peluasan jajah takluk jihad semasa. Pemetaan daerah kepercayaan berupaya menggerunkan musuh dan mengiyakan bahawa umat Muhammad SAW sememangnya adalah umat terpilih.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: