Sunday, December 2, 2007

30. HAJI MERCU TANDA KEKAYAN UMAT ISLAM

OIC wajar cari kaedah jana ekonomi menerusi lebih RM65 bilion dibelanja jemaah

BERAPAKAH jumlah wang ringgit yang dibelanjakan umat Islam sejagat dalam melaksanakan ibadah haji selama dua bulan setiap tahun? Mungkin tidak pernah terfikir oleh kita. Apa yang kita fikirkan ialah seorang Muslim yang sibuk mendaftar haji, persiapan belajar menunaikan haji, kenduri, pergi hantar mereka ke lapangan terbang untuk berlepas ke Makkah dan menyambut kepulangan mereka. Sebenarnya berapakah perbelanjaan keseluruhan melaksanakan ibadat haji?

Ketika melaksanakan haji pada 2005, penulis sempat menonton satu perbincangan haji dalam program televisyen Arab Saudi yang dinyatakan bahawa biaya pengelolaan haji selama dua bulan pada tahun itu di negara berkenaan mencecah 60 bilion riyal atau RM65 bilion. Ia tidak termasuk perbelanjaan di negara asal mereka yang menunaikan Rukun Islam kelima itu. Cuba bandingkan dengan bajet tahunan sesebuah negara yang boleh menjalankan roda pemerintahan selama setahun untuk kepentingannya. Yang RM65 bilion ini 'dihamburkan' hanya untuk kepentingan sebuah ibadat Islam dalam masa dua bulan saja di Arab Saudi, khasnya Makkah dan Madinah.

Alhamdulillah, betapa kayanya umat Islam! Hakikat dan realiti umat manusia di atas itu menjadi ketetapan Ilahi sejak azali lagi. Ia bukan acah-acah dilaksanakan tanpa perancangan Ilahi. Ia bukan untuk main-main tanpa tujuan tetapi untuk menyembah Tuhan Yang Maha Satu, Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan seru sekalian alam.



Allah berfirman maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya daripada pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 27-28)

Dalam ayat 28 di atas edisi bahasa yang digunakan al-Quran adalah 'li yasyhadu manafi'a lahum' bukan manafi'ahum. Ini mempunyai pengertian tersendiri yang mendalam kerana jika digunakan perkataan yang kedua bererti ia sudah menjadi 'ma'rifah' bukan 'nakirah' lagi dalam bahasa Arab dengan makna ma'rifah adalah diketahui (terhad) dan makna nakirah adalah tidak diketahui (tidak terhad). Dan jika demikian halnya maka faedah hanya dimiliki oleh orang yang melakukan haji saja padahal faedahnya bukan untuk mereka tetapi untuk semua manusia walaupun mereka tidak melaksanakan haji mahupun bukan Islam. Oleh itu, perkataan yang digunakan adalah 'manafi' dalam bentuk nakirah agar ia lebih menyeluruh.

Tafsir Pimpinan Arrahman dalam perkara ini menjelaskan: "Orang yang mengerjakan ibadat haji bukan saja dapat menyempurnakan Rukun Islamnya yang kelima tetapi banyak faedah yang diperoleh. Selain menyaksikan Baitullah dan makam Rasulullah serta tempat yang bersejarah di Makkah al-Mukarramah dan di Madinah al-Munawwarah, mereka akan beroleh banyak pengalaman, dan bertambah kenalan daripada saudara sesama Islam yang datang berhimpun di Tanah Suci pada setiap tahun daripada merata dunia. Sebenarnya ibadat haji itu antara lain adalah 'Mu'tamar Islam' atau 'Kongress Islam' tahunan yang bertujuan menyatupadukan umat Islam sedunia supaya bekerjasama dalam mengembangkan Islam, ekonomi, pelajaran, kebudayaan dan segala soal hidup."(Nota 1028)

Sejak penempatan semula kota Makkah sebagai tempat tinggal manusia pada zaman Nabi Ibrahim AS, kota Makkah adalah pusat pertembungan perniagaan antarabangsa dalam setiap generasi pada masa lalu dan juga hari ini. Ia dicatat oleh al-Quran dalam surah Quraisy maksudnya: "Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah), (iaitu) kebiasaan perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Ka'abah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan." (Ayat 1-4)

Di Makkah rumah ibadat pertama didirikan untuk manusia. Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya rumah yang mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia." (Surah Ali 'Imran: 96)

Tidak ramai yang mengetahui bahawa sejarah pembinaan Ka'abah dan Masjidil Haram. Kisah pembinaan Ka'abah sebenarnya bermula sebelum Allah menjadikan bumi dan segala isinya. Perkara ini berdasarkan kepada maklumat yang disebut dalam al-Quran, hadis dan kitab sejarah.

Al-Quran al-Karim menyebut bahawa Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS hanya meninggikan Ka'abah saja (Surah al-Baqarah: 127). Dalam sebuah hadis sabda Baginda SAW ketika khutbah pembukaan Makkah pada tahun kelapan Hijrah maksudnya: "Sesungguhnya kota Makkah ini dijadikan oleh Allah sebagai Tanah Suci pada hari Dia menciptakan langit dan bumi. Makkah adalah Tanah Suci dengan penyucian daripada Allah sehingga ke hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim) Dan Makkah tidak dipilih sebagai Tanah Suci kecuali kerana kewujudan Kaabah di dalamnya.

Sebagai Rukun Islam kelima, ibadat haji berlainan dengan ibadat lain seperti solat, puasa dan zakat kerana di dalam ibadat haji ini ada semua bentuk ibadat dalam Islam sama ada ibadat yang mahdah (tulen), maliyyah (kewangan), dan 'uqubah (denda).

Pelaksanaan ibadat haji menjadi rahmatan lil 'alamin kerana ia memberi manfaat kepada semua pihak sama ada dari segi spiritual mahupun material, rohani mahupun jasmani. Sebagai contoh pengiraan faedah ekonomi Islam kita boleh melihat beberapa contoh nyata berikut yang setiap orang melaksanakan haji mesti membayar sebelum mereka pergi ke Tanah Suci. Satu catatan di sini perlu dibuat bahawa Kerajaan Arab Saudi tidak memungut apa-apa biaya berkaitan dengan haji walaupun hanya untuk visa yang berjumlah dua juta itu.

Dua riyal untuk keperluan air zam zam selama musim haji di mana ia diberi secara percuma dalam bentuk botol dan ia akan dihantar ke tempat penginapan kita setiap hari jika ada permintaan daripada kita. Jika orang yang mengerjakan haji sebanyak dua juta maka untuk perbelanjaan air zam zam sudah terkumpul empat juta riyal. Oleh itu, syarikat zamam Saudi adalah syarikat yang menguntungkan.

Kira-kira 300 riyal untuk tempat tinggal di khemah Arafat dan Mina, maka wang yang terkumpul untuk tujuan tempat tinggal dalam tempoh haji itu dianggarkan berjumlah enam bilion riyal.

Jika 294 riyal untuk perkhidmatan muassasah dan pengangkutan barang untuk menunaikan haji, maka wang yang terkumpul sebanyak 5.8 bilion riyal. Jumlah 12 bilion ini hanya catatan rasmi untuk keperluan yang disebutkan saja. Belum lagi keperluan lain seperti penginapan, makanan dan sebagainya sehingga wang berputar di Arab Saudi khasnya Makkah dan Madinah ketika musim haji selama dua bulan mencecah 60 bilion riyal.

Bagaimana dengan perbelanjaan haji negara lain? Subhanallah, sungguh satu pengelolaan kewangan yang sangat luar biasa. Oleh itu, sudah sepatutnya bahkan menjadi kewajipan pihak berkuasa negara Islam untuk menggunakan pengelolaan haji sebagai mercu tanda kekayaan umat Islam kerana yang menunaikan haji hanyalah orang yang mampu di kalangan mereka.

Mengapa mereka tidak menubuhkan syarikat gergasi yang dikhaskan untuk mengendalikannya sehingga faedah yang sebanyak-banyaknya boleh dirasakan oleh umat Islam secara menyeluruh.

Kenapa pihak berkuasa Islam dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mahu memikirkan pemaksimuman kerjasama antara negara Islam dalam pengelolaan haji. Mereka boleh membahagikan semua keperluan logistik haji dari negara Islam yang bersesuaian. Mereka boleh menentukan penyamaan prosedur pelaksanaan haji dengan mencontohi negara yang berhasil menerapkannya. Mereka juga boleh menubuhkan syarikat penyediaan makanan untuk memastikan mereka yang menunaikan haji mudah diatur dan diawasi. Mereka boleh menubuhkan syarikat penerbangan khas haji dan menjadi Air Haji (Pilgrim Air), misalnya. Jika yang terakhir disebut ini boleh direalisasikan sudah tentu ia akan menjadi syarikat penerbangan utama dunia. Ia juga boleh dimanfaatkan pada hari biasa sama ada menerusi penerbangan komersial mahupun penerbangan ihsan untuk keperluan sosial. Dalam kewangan Islam semasa, produk real estate investment trust (REIT) sedang menjadi primadona pelaburan antarabangsa, mengapa mereka juga tidak memikirkan REIT haji, misalnya. Banyak lagi keuntungan duniawi yang boleh diperoleh dalam pengelolaan haji bersama oleh negara OIC.

Secara mikro dan makro, ibadat haji adalah syiar ketauhidan Allah SWT kerana di dalamnya ada zikrullah dan pengagungan-Nya; ibadat haji adalah syiar perpaduan umat Islam kerana di dalamnya semua umat Islam yang berbilang bangsa bersatu; ibadat haji adalah syiar kebesaran umat Islam di mana kita melihat ketika dua juta orang berhimpun tunduk kepada satu aba-aba (seruan) ketika bertakbir permulaan solat, rukuk dan sujud, dan bertaslim tanda solat selesai. Mereka patuh dengan aturan wukuf dan mabit. Dan ini semua sebagai wujudnya takwa dalam diri bakal haji, lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa, pemuda dan tua.

Allah berfirman maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang mukmin." (Surah al-Hajj: 32) Labbaik Allahumma Labbaik.

Berita Harian 2/12/07

No comments: