Friday, December 14, 2007

97. Menjadi tetamu Allah bersama haji mabrur

SESEORANG yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah benar-benar merupakan suatu nikmat yang tidak dapat diukur dengan berapa jumlah ringgit yang dikeluarkan untuk maksud tersebut.

Walaupun kita mengetahui pembiayaan kos haji sekarang adalah tinggi tetapi mengeluarkan biaya untuk keperluan haji akan dinilai Allah s.w.t lebih daripada apa yang kita belanjakan. Ini benar-benar merupakan perdagangan yang maha besar.

Mengorbankan wang ringgit mengerjakan ibadat demi Allah!

Berurus niaga dengan Allah tidak pernah rugi. Bahkan setiap dugaan dan cubaan yang akan kita alami di Tanah Suci akan diganjari dengan pahala kerana tiada satu pun perbuatan kita luput daripada penilaian Allah.

Sebenarnya ibadat haji adalah jamuan Allah dan orang-orang yang berhaji adalah tetamu undangan Allah ar-Rahman.

Sesungguhnya kita beruntung dapat menjadi tetamu Allah kerana hanya dengan izin-Nya kita menjadi tetamu-Nya.

Allah Yang Maha Bijaksana telah memilih kita di antara jutaan umat manusia yang ada di muka bumi ini untuk menjadi tetamu-Nya.

Terdapat ratusan juta orang di muka bumi ini yang lebih kaya daripada kita, lebih bertakwa daripada kita, lebih terhormat dan tinggi pangkatnya daripada diri kita, lebih baik akhlaknya, lebih baik ibadahnya tetapi Allah ternyata memilih kita menjadi salah seorang tetamu-Nya di antara 2 – 4 juta tetamu-Nya pada haji tahun ini.

Bayangkan diri kita sebagai orang rakyat biasa apabila diundang seorang Perdana Menteri atau ketua kerajaan saja kita akan terpesona ini apatah lagi diundang oleh-Nya yang mengatasi semua ketua kerajaan dan menguasai sejagat raya ini beserta isinya.

Alangkah indahnya menjadi tetamu Allah bagi yang mahu memahami makna haji.

Ini adalah kesempatan terindah kerana dapat berkunjung ke rumah-Nya yang paling mulia di muka bumi ini.

Kita dapat dapat bertemu dalam dialog (berdoa dan bermunajat) dengan Kekasih, membentangkan dosa-dosa yang telah dikerjakan selama ini di hamparan Arafah-Mu, menyesali diri kerana membiarkan banyak waktu yang telah berlalu tanpa ibadah kepada Allah.

Selain menjadi tetamu Allah, orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah seolah-olah menjadi duta-duta Allah.

Bayangkan bukan sahaja menjadi tetamu Allah tetapi menjadi orang pilihan Allah. Orang yang diangkat menjadi orang pilihan pasti yang “diseru” untuk pergi ke Rumah Suci.

Inilah suatu kesempatan dan tidak semua orang mendapat peluang ini tersebut maka kita harus bersyukur dengan jemputan Allah ini ke Tanah Suci.

Rasa kesyukuran ini hendaknya kita zahirkan dalam bentuk pemanfaatan detik demi detik untuk muraqabah kepada Allah, mengamati kemuliaan Allah dan menyempurnakan setiap proses berhaji itu sendiri.

Haji adalah ibadah yang memerlukan kefahaman dan kesedaran yang tinggi agar dapat merasakan betapa indah dan nikmatnya menjadi tetamu Allah.

Sebagai tetamu Allah tidakkah kita merasa malu apabila masih ada maksiat dan kezaliman yang kita lakukan.

Jika kita ingin ziarah kita ini diterima oleh-Nya maka maknailah haji kita dan luruskan niat kita dengan benar.

Tinggalkan segera perbuatan yang dilarang-Nya, sempurnakanlah segala perintah dan periksa lagi kesempurnaan ibadah kita pada empat Rukun Islam yang lain iaitu mengucap dua kalimah syahadat, solat, berpuasa dan mengeluarkan zakat.

Setelah kita berniat haji, segera siapkan diri kita menuju rumah Allah yang paling mulia ini.

Selesaikan segala perkara kita, lunasilah hutang-piutang kita, hilangkan rasa cinta kita pada dunia ini, putuskan kaitan hati kita dengan apa yang ada di belakang kita hadapkan wajah kita kepada-Nya dengan wajah hati kita sebagaimana kita menghadapkan wajah lahir kita ke rumah-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w: Orang-orang yang sedang berhaji atau berumrah adalah tetamu-tetamu Allah dan para penziarah rumah-Nya, jika mereka meminta sesuatu dari-Nya nescaya Ia akan memberinya. Dan jika mereka memohon ampun daripada-Nya nescaya Ia akan mengampuninya. Dan jika mereka berdoa kepada-Nya nescaya Ia akan mengabulkannya. Dan jika mereka bersyafaat (memintakan sesuatu untuk orang lain) kepada-Nya nescaya Ia akan menerima syafaatnya (Ibnu Majah dari Abu Hurairah).

Apabila kembali ke kampung halaman, jadilah kita sebagai seorang yang sentiasa mengingati pengalaman berhaji, berdoa, berzikir dan bertaubat seolah-olah kita menjalani kehidupan yang baru, yang ingin membawa perubahan ketika berhadapan dengan realiti kehidupan di kampung halaman kita.

Oleh itu jadilah tetamu Allah dengan mendapat ganjaran haji mabrur.

No comments: