SUATU ketika dulu imej Islam dipandang hebat oleh dunia Barat dan Timur. Rasulullah s.a.w. membina asas tamadun dengan menjadikan Madinah sebagai model asas dan dikembangkan oleh para sahabatnya, tabie tabien, para ulama dan ilmuan yang terbilang sehingga menjadikannya tamadun yang bertahan hampir 700 tahun.
Baitulhikmah dibangunkan dengan tradisi perpustakaan dan ilmu yang amat menakjubkan. Zaman Abbasiyyah adalah zaman yang menampilkan keunggulan tradisi sains dan matematik yang amat mengkagumkan. Andalusia menjadi tempat rujukan ilmu dan Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam.
Orang-orang Barat melihat Islam di Andalusia sebagai agama tamadun. Darinya lahir ilmuan terbilang dalam berbagai bidang. Karya-karya mereka diterjemahkan ke bahasa orang-orang Barat iaitu bahasa Latin dan Ibrani dan ilmunya diambil untuk dijadikan sandaran dalam membangun ilmu-ilmu falsafah, astronomi, sains, perubatan, geografi, matematik, muzik dan sebagainya.
Darinya Barat membangun kekuatan sebagai bangsa maju dan akhirnya menjadi penakluk dengan mengembangkan ilmu dan tamadun dalam orientasi baru kepada umat manusia terutamanya orang-orang Islam.
Ratusan tahun umat Islam dijajah sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar terhadap tradisi ilmu, kehidupan dan juga sistem. Faham sekular berkembang dalam masyarakat Islam. Akhirnya sebahagian umat Islam mengagumi kekuatan Barat dalam melakukan pemodenan dan perubahan dalam acuan Barat.
Pada hari ini umat Islam terpalit dengan imej buruk sehingga menimbulkan fobia atau ketakutan bagi sesetengah orang di Barat hingga timbul kebencian mereka terhadap kebangkitan Islam itu sendiri. Islam dianggap agama yang membimbing manusia ke arah kepengganasan, pelampau dan menyuburkan faham fundamentalis. Sistem pondok, pesantren, madrasah dan seumpamanya menghasilkan taliban-taliban yang bakal menghancurkan seluruh kepentingan Barat. Apakah itu benar?
Samuel Hutington dalam analisis politiknya mengenai ‘Pertembungan Tamadun’ (Clash of Civilization) merupakan suatu kesengajaan lanjutan daripada teori konflik Barat yang sifatnya sentiasa mempertembungkan.
Memang niat kuasa-kuasa Barat untuk menjadi kuasa penakluk dalam bentuk baru ternyata berkesan. Hanya bangsa kulit putih dianggap mampu melakukan pencerahan budaya dan tamadun terhadap orang lain. Sebab itulah globalisasi berlaku dengan maksud tersirat untuk melakukan hegemoni atau penguasaan politik, ketenteraan, teknologi, budaya, sistem komunikasi dan telekomunikasi terhadap umat Islam dan juga umat manusia.
Bush menyerang Iraq menggunakan alasan Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah dan membantu perjuangan Osama bin Laden. Ternyata selepas Iraq dihancurkan tiada pula senjata pemusnah itu ditemui. Yang nyata Iraq menjadi huru-hara. Perang saudara sedang berlaku. Dasar pecah-belah dan perintah ini adalah bayangan teori konflik yang telah berjalan sejak lama.
Tetapi mengapa pertembungan tamadun tidak dihalakan kepada agama Kristian atau orang-orang Yahudi dan Zionis yang banyak mempengaruhi dasar-dasar utama kuasa-kuasa besar atau kepada agama Buddha dan Hindu. Tentu ada sebab yang tersirat mengapa imej agama Islam dirosakkan semahu-mahunya dan umat Islam ditekan dan dihimpit sesuka hati mereka.
Meneliti ajaran Islam itu sendiri, ia mengajak manusia kepada nilai-nilai baik seperti adil, amanah, kemanusiaan tinggi, adab dan santun. Mengapa nilai-nilai ini dibenci dan dihina.
Dalam masa yang sama media Barat berhempas pulas menyemaikan budaya popular yang meruntuhkan nilai-nilai murni dan tata kemanusiaan seolah-olah itulah makna kemajuan dan tamadun baru yang hendak disuburkan. Imej Islam dirosakkan tanpa batasan. Imej orang-orang menutupi aurat dan berjubah atau berketayap di Barat menjadi objek sendaan dan kehidupan umat Islam semakin disukarkan.
Oleh itu, amat penting umat Islam terutama di kalangan para remajanya melihat kembali hal-hal yang berbangkit supaya mereka tidak terjebak dalam perangkap pemikiran dan nilai, ilmu dan maklumat atas nama teknologi canggih sehingga akhirnya menjadikan remaja Islam sebagai penciplak unggul terhadap tamadun Barat tanpa usul periksa.
Lebih strategik
Dalam masa yang sama umat Islam harus lebih strategik dalam menampilkan imej Islam supaya wujud titik keseimbangan yang tinggi antara cita-cita untuk merubah dengan kemampuan ilmu untuk merubah.
Pokoknya, bila kita menyebut Islam terdapat dua perkara yang dijadikan fokus. Pertama ajarannya dan kedua ialah pemeluknya. Allah memberi jaminan bahawa al-Quran akan tetap terpelihara sehingga hari kiamat.
Al-Quran sebagai sumber ajaran tetap tidak berubah. Prinsip hukumnya tetap sama sampai bila-bila. Pedoman saintifiknya tetap utuh sampai bila-bila. Peraturan sosialnya tetap tidak berubah walaupun gaya hidup manusia berubah.
Sebagai agama yang menganjurkan ajaran dan pendidikan sudah tentu Islam mempunyai dinamika untuk menghadapi faktor zaman yang berubah. Soal utamanya ialah apakah yang berubah?
Faktor asasi manusia tidak berubah. Yang berubah ialah cara manusia hidup dan mencapai sesuatu dalam kehidupan. Ada manusia membangunkan hidup hanya dengan berpandukan logik akal dan nafsu semata-mata. Tetapi Islam menganjurkan kehidupan manusia di pedoman dengan ajaran yang benar dan dengan nilai-nilai yang benar. Ajaran dan nilai yang benar datangnya dari Allah.
Mengenal kebenaran dan nilai adalah tanggungjawab manusia dalam proses pengilmuan dan pendidikannya. Tanpa pedoman kebenaran manusia akan hilang pedoman dan arah dalam hidup. Al-Quran, kalam Allah memberikan manusia pedoman tentang hal-hal yang mereka tidak tahu supaya pengetahuan manusia tentang pencipta, alam, ilmu, insan dan persekitarannya berada dalam landasan yang benar.
Para remaja harus dapat membezakan asas-asas dari Barat dan Timur yang sifatnya universal atau sejagat dan terkandung faedah berbanding yang bermanfaat. Dalam masa yang sama ajaran dan prinsip Islam yang terdapat memerlukan olahan bijaksana bagi menangani faktor cabaran zaman yang sifatnya dinamik berubah.
Remaja Islam dituntut untuk menekuni ilmu-ilmu mengurus diri seperti akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Dalam masa yang sama para remaja harus mempunyai tekad untuk mempunyai keahlian dan kepakaran dalam ilmu-ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi.
Kekuatan ilmu-ilmu mengenai nilai dan kemahiran, nilai dan sains sekiranya dapat diadun dengan kreatif dan inovatif, ia bakal melahirkan suatu tradisi keilmuan yang berada dalam acuan sendiri.
Asas ini penting menjadi fokus remaja supaya umat Islam akhirnya mampu menguasai bidang ilmu mengurus diri dengan baik supaya jati diri Islamnya tinggi dan imej umat Islam menjadi terserlah.
Dalam masa yang sama pembangunan modal insan berkualiti akan terjadi kerana umat Islam tidak membelakangkan kepentingan ilmu mengurus sistem. Jika ajaran Islam diolah secara lebih strategik dan futuristik imej Islam akan menjadi lebih teguh dan utuh.
* PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment