Thursday, November 15, 2007

12. Zakat menyucikan harta

AMBILLAH (wahai Muhammad) dari mereka bahagian sedekah yang membersihkan diri mereka dan menyuburkan harta mereka, dan berdoalah ke atas mereka, sesungguhnya doamu itu memberi ketenteraman kepada mereka, dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. (at-Taubah: 103)

HURAIAN

Allah s.w.t. dalam ayat ini memerintahkan Rasulullah s.a.w. memungut zakat dari umatNya untuk menyucikan dan membersihkan mereka dengan zakat itu, harta yang diambil terdiri dari jenis wang tunai (emas dan perak), haiwan ternakan, harta peninggalan, buah zan, bijian, galian, harta terpendam untuk dijadikan sedekah fardu (zakat) dengan mengikut kadar dalam hukum zakat, ini bertujuan untuk membersihkan diri dari sifat mazmumah seperti tamak dan kejam terhadap orang-orang miskin. Selain itu bertujuan untuk menyucikan diri hingga mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kemudian Rasulullah s.a.w. berdoa ke atas mereka ini yang mana sebagai rahmat bagi mereka, dapat mententeramkan jiwa dan ketenangan kepada mereka. Allah s.w.t. mendengar doa para hambaNya ini dan dan mengetahui isi hati mereka, ini memberi erti bahawa taubat dan zakat mereka diterima Allah s.w.t..

KESIMPULAN

Kepekaan yang membangkitkan penyesalan dan keinginan bertaubat di dalam hati layak diberi keyakinan dan wajar dikurniakan simpati yang mencurah hasrat dan cita-cita dan membuka pintu harapan kepada mereka.

Bersedekah dan bertaubat adalah satu cara yang terbaik untuk kita membuktikan kehambaan kita kepada Tuhan yang Maha Mendengar.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: