Wednesday, November 21, 2007

19. Tempoh idah ialah 4 bulan 10 hari

Syeikh al-Maraghi berkata: Kalam sebelum ini berkenaan dengan segala hukum talak dari segi bilangan dan kaifiyatnya. Begitu juga dalam masalah hukum rujuk dan cerai dengan baik. Maka Allah menyebut ayat berikut.

Begitu juga Sayid Qutub berkata: Setelah selesai menjelaskan hukum-hukum dan peraturan bagi wanita yang dicerai dan bagi menghadapi kesan-kesan yang terbit dari penceraian itu, maka al-Quran mulai menjelaskan hukum perempuan yang kematian suaminya, iaitu hukum idahnya, hukum melamarnya selepas habis idah dan hukum melamarnya secara sindiran semasa idah.

Allah berfirman: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. (al-Baqarah: 234)

Ibn al-Arabi berkata: Tentang hukum nasakh pada ayat di atas, ada dua pendapat mengenainya:

* Ayat ini memansuhkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 240 yang bermaksud: Iaitu diberi nafkah sagu hati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Idah perempuan yang kematian suami semasa permulaan Islam ialah setahun sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliah. Kemudian Allah s.w.t memansuhkan idah tersebut dengan idah selama empat bulan sepuluh hari. Inilah pendapat yang terbanyak.

* Ayat ini dimansuhkan oleh firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 240 yang bermaksud: Iaitu diberikan nafkah sagu hati (makan,pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) tentang apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut. Iaitu isteri itu boleh beridah sampai bila yang dia mahu. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas dan `Atta'.

Namun yang paling sahih ialah pendapat yang pertama.

Firman Allah: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak).

Sayid Qutub berkata: Dahulu wanita yang kematian suami dilayan kasar oleh keluarga, kaum kerabat suami dan masyarakat umumnya. Menurut tradisi Arab, apabila suami meninggal dunia isterinya akan masuk di tempat yang buruk dan memakai pakaian yang paling hodoh. Dia tidak boleh menyentuh minyak wangi selama setahun. Selepas itu dia keluar menunaikan beberapa upacara jahiliah seperti mengambil dan membaling tahi binatang, menunggang keldai atau kibasy dan lain-lain. Tetapi apabila Islam datang ia meringankan penderitaan perempuan yang kematian suaminya. Malah ia menghapuskan semua penderitaan itu.

Islam menetapkan idahnya hanya empat bulan sepuluh hari. Bagi yang hamil, maka idahnya lebih lama sedikit daripada idah perempuan yang dicerai untuk membersihkan rahimnya dalam masa itu. Dia tidak melukakan perasaan keluarga suaminya dengan keluar terus (selepas kematian itu). Dalam masa idah, dia dikehendaki memakai pakaian yang bersopan dan tidak berhias untuk peminangan, tetapi selepas habis idah, maka tiada siapa yang boleh mengganggu kebebasannya sama ada keluarganya sendiri atau keluarga suaminya.

Malah ia mempunyai kebebasan menentukan perilakunya yang baik yang termasuk dalam garisan undang-undang Allah dan syariat-Nya. Ia boleh berhias dengan perhiasan yang dibenarkan oleh Islam. Ia boleh menerima pinangan dan boleh berkahwin dengan sesiapa yang disukainya, dan hasrat keinginannya itu tidak boleh dihalang oleh tradisi yang lapuk atau oleh keangkuhan yang palsu dan tiada yang mengawasinya melainkan Allah.

Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Walaupun lafaz ayat ini menunjukkan khabar dan maksudnya juga sebagai pemberitahuan, tafsiran ini bermaksud khabar itu berlaku sejajar dengan lafaznya dan kalam Allah tetap benar.

Di sini diterangkan beberapa permasalahan:
Pertama: Perkataan menunggu atau Tarabbus.

Ada tiga perkara yang berkaitan dengannya iaitu perkahwinan, berwangi-wangian dan berpakaian cantik serta berurusan dan keluar rumah. Tentang perkahwinan: apabila isteri yang kematian suami melahirkan anak walaupun tidak lama setelah kematian suaminya, maka timbul perselisihan pendapat kepada tiga pendapat.

* Isteri itu halal (daripada idah).

* Dia tidak halal melainkan setelah berlalunya tempoh bulan-bulan tersebut, iaitu pendapat Ibn Abbas.

* Dia tidak halal melainkan setelah suci daripada nifas, iaitu pendapat al-Hassan, Hammad bin Abi Sulaiman dan al-Auza’ie.

Sepintas lalu pendapat Ibn Abbas agak jelas, tetapi (ia menjadi lemah) oleh sebab terdapat hadis Subai’ah al-Aslamiah yang melahirkan anak beberapa malam selepas kematian suaminya. Lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: Kamu telah halal, maka berkahwinlah dengan siapa yang engkau mahu. Hadis ini adalah sahih dan diriwayatkan oleh para Imam.

Kedua: Adakalanya bercampur dua benih dalam satu rahim.

Oleh itu, idah yang dikira bagi kedua-dua benih itu ialah idah yang paling lama. Hal ini berlaku dalam beberapa contoh, antaranya apabila suami yang diisytiharkan meninggal dunia tiba-tiba kembali dan meninggal dunia, sedangkan ketika itu isterinya mengandung hasil perkahwinan dengan suami kedua.

Dalam hal ini, tempoh isteri beridah adalah terbanyak daripada dua idah (iaitu idah suami pertama iaitu idah kematian suami dan idah suami kedua iaitu sehingga melahirkan anak). Begitu juga jika suami yang disangka mati pulang kemudian menceraikan isterinya. Maka isterinya yang ketika itu telah berkahwin lain tidak selesai idahnya dengan melahirkan anak, malah hendaklah dimulakan dengan bilangan tiga kali haid setelah melahirkan anak.

Ketiga: Tentang memakai wangian dan berhias.

Diriwayatkan daripada al-Hassan bahawa beliau berpendapat perkara itu boleh dilakukan dengan mengemukakan hujah bahawa Nabi s.a.w berkata kepada Asma’ binti Umais ketika suaminya, Jaafar meninggal dunia: Tahanlah dirimu selama tiga hari kemudian buatlah apa yang engkau mahu. Hadis ini adalah batil.

Para Imam meriwayatkan daripada Zainab binti Abi Salamah daripada Ummu Salamah daripada Nabi s.a.w bahawa seorang perempuan datang kepada Nabi seraya berkata: Sesungguhnya puteriku kematian suaminya, dan dia mengadu sakit pada matanya. Apakah dia boleh memakai celak pada kedua-dua belah matanya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, diulanginya dua kali atau tiga kali. Kemudian baginda bersabda: Tempohnya ialah empat bulan sepuluh hari. Sedangkan pada masa dahulu seorang perempuan melontar najis unta apabila genap setahun.

Zainab berkata: Wanita (pada zaman jahiliah) yang kematian suaminya memakai pakaian paling buruk dan masuk dalam rumah kecil tanpa menyentuh wangi-wangian sehingga berlalu tempoh setahun. Setelah itu dibawa seekor binatang sama ada keldai, kambing atau burung lalu dia menyapukan kotoran tubuhnya pada binatang itu. Biasanya benda yang disapu kotoran tubuhnya itu akan mati. Kemudian dia keluar lalu diberikan najis unta, lalu dia pun melontar najis itu. Setelah itu barulah dia kembali membuat apa yang dia mahu seperti memakai wangian atau sebagainya.

Keempat: Tentang isteri kematian suami yang keluar rumah, ada tiga pendapat:

* Keluar kerana berpindah rumah. Dalam hal ini dia tidak boleh berbuat demikian (semasa dalam idah) menurut kebanyakan ulama, melainkan pendapat yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, ‘Atta’ dan Sufiyan al-Tahuri. Hal ini kerana mereka menganggap ayat berkaitan keuar rumah itu tidak dimansuhkan. Namun, hal tersebut telah kami terangkan sebelum ini.

* Keluar kerana ibadat seperti menunaikan haji atau umrah. Ibn Abbas dan ‘Atta’ berkata: Mereka boleh keluar menunaikan haji yang fardu ke atas mereka. Umar dan Ibn Umar pula berkata: mereka tidak boleh menunaikan haji. Umar r.a pernah menyuruh perempuan yang sedang beridah supaya pulang dari Baida’ dengan melarang mereka daripada menunaikan haji. Justeru, pandangan Umar daripada kalangan khalifah-khalifah dan pandangan Malik daripada kalangan imam-imam serta selain mereka berdasarkan kewajipan beridah yang umum hendaklah diutamakan. Apatah lagi jika kita mengatakan bahawa kewajipan itu hendaklah dengan cara segera. Namun kewajipan beridah lebih kuat daripada kewajipan berhaji. Hal ini kerana idah itu adalah hak Allah s.w.t dan hak manusia dari sudut menjaga benih dan nasab suami, sedangkan hak haji itu hanya khusus untuk Allah s.w.t sahaja.

* Keluar berurusan pada waktu siang dan pulang pada waktu malam. Ia dibolehkan menurut pendapat Ibn Umar dan selainnya, iaitu dia boleh keluar pada waktu pagi dan pulang ketika waktu tidur. Pendapat mereka ini mengambil kira soal bermalam yang dianggap sebagai tunggak kepada tinggal di rumah dan maksudnya. Inilah yang dimaksudkan dengan hakikat tempat berlindung.

Iktibar Ayat:

* Kewajipan beridah bagi perempuan kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.

* Ulama khilaf apabila suami meninggal dunia tanpa pengetahuan isteri melainkan selepas berlalu tempoh idah. Seperti menurut jumhur ulama, idahnya selesai. Walaupun begitu mengikut riwayat Ali, ia bermula dari isteri mengetahui kematian suaminya. Pendapat ini sama dengan al-Hassan, Umar bin Abd. Al-Aziz dan al-Sya'bi.

* Mengithbatkan sifat Allah Maha Mengetahui.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments: