Wednesday, November 28, 2007

24. Belanja jangan ikut perasaan




PROF. MADYA DR. GHAFARULLAHUDDIN DIN.




Isu kenaikan harga barang keperluan boleh dikatakan berlaku setiap tahun. Itu belum lagi ditambah dengan kenaikan harga minyak dan tol yang pastinya memeningkan kepala. Bagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada ‘adat resam’ perniagaan.

Dalam Islam, perniagaan adalah antara pekerjaan mulia sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w.: “Pendapatan yang paling baik adalah hasil usaha sendiri dan perniagaan yang bersih”. (Riwayat al-Bazzar)

Kepada wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ASMARUDDIN JAMALUDDIN, Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Dr. Ghafarullahhuddin Din menjelaskan peranan yang boleh dilakukan oleh umat Islam dalam menangani isu ini.

Dalam berdepan dengan isu kenaikan harga barang ini, apakah jalan keluar yang perlu diambil oleh umat Islam?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Fenomena kenaikan harga barang kerap menarik perhatian semua pihak. Dalam sesetengah keadaan, bukan setakat rakyat biasa terpaksa menerima sahaja fenomena ini, malah pihak negara pun tidak boleh berbuat apa-apa.

Di zaman Nabi s.a.w pun keadaan seperti ini berlaku. Diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis dan dibincangkan oleh ulama kemudian seperti Ibn Taymiyyah rahimahullah dalam Risalah al-Hisbah bahawa pernah baginda diminta menetapkan keadaan harga pasaran yang sedang naik namun Nabi bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allahlah yang menetapkan harga, yang menahan serta melepaskan, yang memberi rezeki dan aku berharap agar berjumpa Allah dalam keadaan tidak ada seorangpun antara kamu semua yang menuntut kepadaku lantaran kezaliman (penganiayaan) mengenai sebarang jiwa dan harta”.

Sabda ini jelas menggambarkan negara tidak campur tangan dalam kes kenaikan harga yang normal sesuai dengan aliran hukum permintaan dan penawaran semasa. Namun bagi kes kenaikan yang tidak normal kerana gelagat negatif para pedagang seperti amalan ihtikar, negara pasti akan campur tangan.

Dalam suasana kenaikan harga seperti ini, para pengguna perlu kembali kepada etika perbelanjaan yang dianjurkan agama. Ilmuwan tersohor, Pendita Za’ba rahimahullah dalam karyanya Asuhan Budi terbitan tahun 1958, telah membahas aspek ini dengan begitu menarik dalam bab yang diberi judul ‘Ajaran Jimat Cermat dalam Islam’ atau al-Iqtisad fi'l Islam.

Za’ba yang lebih terkenal sebagai tokoh bahasa itu antara lain mengingatkan; “Gajah berak besar, kancil pun nak berak besar, akhirnya keluar isi perut”. Kekuatan karya ini ialah beliau memberi perhatian sepenuhnya kepada budaya perbelanjaan orang Melayu.

Beliau turut memberi penekanan kepada pentingnya budaya menabung walaupun sedikit tetapi amalan ini akan mengayakan si penabung daripada miskin meminta kepada orang lain. Beliau melarang keras terhadap budaya suka berhutang dan malas berusaha (beramal).

Dalam suasana kenaikan harga barang yang semakin terasa ini, peringatan-peringatan seperti yang dinyatakan perlu diberi perhatian. Kita perlu berbelanja berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan keinginan.

Layanan terhadap semua keinginan akan memerangkap kita di bawah payung nafsu. Berhubung dengan keperluan, kita perlu lihat apakah keperluan itu pada tahap daruriyyah (keperluan asas), hajiyyah (keselesaan) atau tahsiniyyah (kesempurnaan)?

Perbelanjaan kita perlu mengikut urutan keperluan sebenar. Kita perlu pastikan perbelanjaan kita tidak tergolong pada tahap tarafiyyah yakni perbelanjaan yang membawa kepada pembaziran. Meskipun barang yang dibeli itu halal, tindakan ini tetap salah apabila membazir. Pembelian terhadap barangan yang tidak diiktiraf syarak sejak awal lagi salah. Kedudukan ini mesti diberi perhatian oleh pengguna Muslim.

Kadang-kadang sedikit kesusahan yang dirasai mendatangkan keadaan rahmat apabila ia mengembalikan kita kepada ajaran agama. Kenaikan harga barang akan menjadikan kita berkira dalam berbelanja. Bagi yang sering makan di luar, semakan perlu dibuat mengenai kekerapan dan keperluan makan dan minum di luar.

Kadang-kadang sudah sarapan di rumah masih minum pagi di luar. Jika sarapan itu bernilai RM2, untuk 20 hari kerja dalam sebulan akan mencecah RM40. Setahun jumlahnya RM480. Jika bekerja selama 25 tahun jumlah menjadi RM12,000. Bagi yang menghisap rokok, jika dia menghisap pada kadar RM4 sehari, sebulan mencecah RM120. Setahun nilainya RM1,440. Jika dia hisap rokok selama 25 tahun, nilainya ialah RM36,000.

Bagi mereka yang suka membeli komik-komik atau majalah hiburan yang sedikitpun tidak memberi nilai tambah kepada iman mahupun amal, jika sebulan antara RM10-RM20, setahun sekitar RM120-RM240. Begitu juga penggunaan telefon dan khidmat pesanan suara (SMS) tanpa keperluan sebenar, semua perbelanjaan ini amat berpotensi dikurangkan.

Apa yang dinyatakan disini kenaikan harga barang masih boleh ditangani dengan berbelanja secara bijak.

Kebijaksanaan ini perlu diusahakan kerana setiap perbelanjaan pasti akan dihisab Allah dan bagi setiap perbelanjaan yang tidak menepati syarak, pasti membahayakan kita di akhirat.

Namun, bagi golongan yang tidak mampu dan mereka juga telah lama bersederhana kerana cengkaman kemiskinan, kerajaan perlu berperanan secara menyeluruh dengan keefisienan pentadbiran semua jentera kerajaan yang berkaitan. Agihan dana zakat dan sedekah oleh institusi berkaitan juga perlu efektif dan kreatif dalam berjihad membebaskan ummah daripada belenggu kemiskinan.

Senario kenaikan harga juga berpotensi menarik peranan murni tokoh-tokoh korporat, usahawan berjaya dan sebagainya bangun membantu masyarakat dan negara menyelesaikan dan meringankan masalah dan bukannya bersikap negatif mengambil kesempatan. Tindakan positif yang dituntut ialah meringankan masyarakat dan negara daripada kesempitan dan tekanan ekonomi.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berperanan untuk menangani isu kenaikan harga. Kita perlu bertindak sebagai penyelesai kepada masalah walau sekecil manapun peranan kita dan jangan sama sekali memberi ruang untuk mengkronikkan lagi masalah.

Melahirkan usahawan Muslim sudah lama diusahakan oleh kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) lagi. Namun, tidak ramai yang boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya terutama dalam bidang peruncitan. Bagaimana mengatasi hal ini?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Kerajaan memang tidak pernah melupakan orang Melayu dalam merancakkan pembangunan ekonomi. Ramai pun usahawan yang telah menikmati kejayaan melalui pelbagai usaha murni kerajaan namun barangkali jumlahnya masih di tahap yang belum kita berpuas hati.

Dunia keusahawanan semakin rencam. Usahawan Muslim perlu peka dengan pelbagai perkembangan apatah lagi aura gelombang globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan. Ini menuntut usahawan lebih gigih dan lebih bersedia bertapak dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mereka perlu berusaha untuk berdikari semantap mungkin dan bersikap positif membina seiring usahawan yang lain melalui pelbagai perkongsian pintar. Ummah amat merindui kehadiran tokoh usahawan seperti Saidina Uthman dan Abdul Rahman bin Auf r.a.

Meskipun kita telah nampak bayangan tokoh-tokoh ini kepada beberapa usahawan kini, tokoh-tokoh usahawan berjaya seperti ini perlu diperbanyakkan.

Meskipun pendidikan terhadap dunia keusahawanan sudah bergerak tetapi mungkin belum mencukupi. Setiap usahawan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang mencukupi. Semangat menuntut ilmu perlu berterusan sama ada dalam bentuk formal, informal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sebagainya seperti yang dianjurkan dalam tradisi Islam, belajarlah sejak dari buaian hingga ke liang lahad.

Setiap usahawan Muslim perlu gigih, berdisiplin dan istiqamah dalam medan masing-masing. Gambaran kerja mereka seperti orang yang ‘tangannya sibuk dengan kerja namun hatinya sibuk dengan Allah’. Neraca kejayaan sebenar ialah dalam dunia keusahawan itu, kita berjaya atau tidak membawa perintah Allah. Kalau orang tengok kita berjaya secara zahirnya sahaja, namun dunia kita penuh dengan aktiviti rasuah, transaksi riba, sembahyang diabaikan dan zakat entah ke mana, budaya hidup tidak seperti seorang Muslim, ini bukanlah tokoh yang membanggakan dunia keusahawanan Islam.

Segala program dan kursus untuk melahirkan usahawan Muslim perlu diperbanyakkan dengan pendedahan ilmu-ilmu perniagaan terkini. Usahawan-usahawan yang sudah berjaya dianjurkan mengambil sebanyak mungkin adik dan anak angkat dalam keluarga perniagaan dan keusahawanan.

Dana-dana wakaf dan dana institusi-institusi agama mungkin perlu diperluaskan skop penggunaan dana-dana tersebut agar setiap kawasan-kawasan pembangunan baru akan mempunyai beberapa unit premis perniagaan wakaf yang pasti tidak akan hilang ditelan iklim ekonomi muram.

Sejarah menunjukkan bahawa harta wakaf berjaya mempertahankan premis-premis perniagaan Muslim di tempat-tempat yang strategik. Perkara ini perlu diberi perhatian untuk survival usahawan Muslim.

Peranan harta wakaf ternyata terbukti dalam perkembangan ekonomi ummah sepanjang zaman. Instrumen ini perlu digerakkan secara aktif, efisien dan berperancangan pada masa kini. Sekurang-kurangnya tanah atau aset tersebut akan kekal selama-lamanya untuk maslahat umat Islam.

Apabila perniagaan orang Islam berjaya maka mereka ini akan menunaikan zakat serta sedekah yang lain. Ini pasti akan menjana pertumbuhan ekonomi umat Islam dan juga negara amnya. Usaha sebegini tidak mustahil akan memperbanyakkan gedung-gedung perniagaan usahawan Muslim yang mampu menjadi saingan kepada Tesco, Giant dan lain-lain.

Menjadi peniaga adalah antara tuntutan fardu kifayah bagi umat Islam. Adakah dengan wujudnya monopoli kaum lain dalam industri peruncitan ini menyebabkan sekelian umat Islam Malaysia juga berdosa?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Tidaklah sampai ke tahap itu. Semangat nak buat memang dah ada cuma hasilnya belum memuaskan. Kita telah lama bergerak ke arah ini namun sinarnya sahaja masih belum terserlah.

Saya masih menaruh kepercayaan kepada pembangunan dana tanpa kos oleh jabatan-jabatan agama negeri untuk membantu usahawan Muslim.

Institusi zakat misalnya mempunyai dana yang cukup untuk menjayakan hasrat ini baik melalui asnaf fakir, miskin, fi sabilillah atau gharimin (penghutang). Beberapa negeri berjaya mengutip dana zakat mencecah lebih RM100 juta namun kita jangan hanya bangga dengan angka kutipan zakat. Sebaliknya agihan yang menceriakan ummah seluruhnya perlu diberi perhatian dengan keutamaan-keutamaan yang setepatnya.

Kita perlu renung, jika tampil seorang usahawan yang berjaya, kita turut berbangga. Malah kita hebahkan usahawan berkenaan telah menyumbang dana zakat dan sedekah dengan sekian-sekian jumlah. Apa kata jika usahawan yang sama ditimpa kemeruduman dalam perniagaannya, siapakah yang datang menghulurkan tangan membantu usahawan yang kita banggakan ini?

Di zaman Nabi apabila ada seorang peniaga yang ditimpa musibah dalam perniagaannya, dana sedekah didatangkan untuk menyelesaikan masalah. Sistem sekuriti seperti ini perlu diusahakan dalam rangka mencetuskan usahawan merdeka. Di samping itu. dana-dana yang diurus setiap jabatan agama negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan korporat Muslim berjaya, berpotensi membina institut latihan atau pusat giat bagi melahirkan golongan usahawan Islam. Beberapa negeri telah bergerak ke arah ini. Syabas kita ucapkan.

Masjid-masjid besar (utama) pula berpotensi memulakan koperasi masjid menjual barangan keperluan harian kepada para jemaah di samping menyediakan tapak untuk pasar tani mingguan. Usaha ini sekali gus memperkukuhkan ekonomi masjid berkenaan.

Salah satu taktik yang diguna oleh peniaga untuk menuntut kenaikan harga barang ialah menyorok barang makanan asas seperti gula dan minyak. Apakah laknat Allah kepada golongan begini?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Dalam bab mencari rezeki halal ini semuanya kena dibuat dengan elok. Bermula di peringkat awal sehinggalah ia dijual kepada pengguna.

Dalam Islam perbuatan yang dinyatakan ini dikenali sebagai ihtikar. Rasulullah mencela golongan begini melalui sabda-Nya yang bermaksud, “Sejahat-jahat hamba ialah yang berihtikar, apabila ia mendengar harga barang turun ia merasa dukacita, dan apabila ia mendengar harga barang naik ia bergembira” (dan Nabi juga dilaporkan bersabda yang maksudnya, “tidak melakukan ihtikar kecuali orang yang berdosa”.

Larangan keras baginda disebabkan masyarakat memang memerlukan barang-barang seperti beras, minyak dan gula. Tetapi ia tidak dapat dipenuhi disebabkan perbuatan menyorok barang yang dilakukan oleh sesetengah peniaga.

Apabila ini berlaku, memanglah barang berkurangan tetapi ia adalah kekurangan yang diciptakan lantaran sifat tamak haloba peniaga.

Walhal apabila harganya dinaikkan, tiba-tiba barang tadi semacam turun dari langit melimpah di pasaran. Dalam perlakuan seorang usahawan Muslim yang mencari keredaan Allah, sepatutnya tidak timbul pemikiran dan tindakan sebegini.

Perbahasan ini mengingatkan saya kepada amalan murni Khalifah Islam yang ketiga serta menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman bin Affan r.a. Abd. al-Latif ‘Asyur dalam al-‘Asyrah al-Mubasysyarun bi al-Jannah menukilkan kisah yang menarik berhubung dengan sifat kedermawanan Saidina Uthman seperti berikut;

Di masa Khalifah Abu Bakar r.a, kaum Muslimin pernah dilanda kemarau yang dahsyat. Mereka mendatangi Khalifah Abu Bakar dan bertanya apakah yang harus dilakukan?

Abu Bakar menjawab; “Pergilah dan sabarlah. Aku berharap sebelum tiba malam hari Allah s.w.t akan meringankan kesulitan kamu semua”.

Pada petang harinya, sebuah kafilah yang terdiri daripada 1,000 unta yang mengangkut gandum, minyak dan kismis berhenti di depan rumah Saidina Uthman dan diturunkan muatannya di situ. Para pedagang kemudiannya menemui Saidina Uthman dengan tujuan untuk membeli barang-barang itu.

Saidina Uthman bertanya kepada mereka mengenai jumlah keuntungan yang mereka bersedia untuk beri kepadanya. Mereka menjawab: “Sekali ganda”. Saidina Uthman menjawab bahawa telah ada tawaran lain yang lebih dari kadar tersebut. Para pedagang itu kemudiannya menawarkan kadar yang lebih tinggi hingga mencecah empat ke lima kali ganda namun masih ditolak Saidina Uthman dengan alasan ada tawaran lain yang lebih daripada kadar yang ditawarkan itu.

Para pedagang yang kecewa itu lalu berkata kepada Saidina Uthman; “Di Madinah tidak ada pedagang selain kami dan tidak ada yang dapat mendahului kami dalam penawaran, siapakah yang sanggup membeli dengan harga yang lebih dari apa yang kami tawarkan?”

Saidina Uthman menjawab: “Allah s.w.t memberi kepadaku 10 kali ganda, apakah kamu boleh memberi lebih dari itu?” Mereka serentak menjawab: “Tidak”. Saidina Uthman berkata lagi: “Aku menjadikan Allah s.w.t sebagai saksi bahawa seluruh yang dibawa kafilah ini adalah sedekah kerana Allah, untuk fakir miskin dari kaum Muslimin”.

Petang hari itu juga Saidina Uthman membahagi-bahagikan seluruh makanan yang dibawa unta tadi kepada setiap fakir dan miskin. Mereka semua mendapat bahagian yang cukup untuk keperluan keluarga masing-masing.

Ini adalah contoh murni tokoh korporat yang membantu membela nasib masyarakat mendapatkan barang keperluan dalam keadaan yang terdesak. Jika kisah ini boleh dijadikan contoh di kalangan ahli korporat hari ini, sudah tentu sedikit sebanyak dapat mengatasi isu kenaikan harga barang.

Dalam keadaan sekarang, mungkin sudah sampai masanya kita memperkenalkan satu jabatan agama negeri menggerakkan aktiviti ekonomi dengan mengkhusus kepada satu produk ekonomi tertentu seperti mana diuar-uarkan slogan satu kampung satu produk atau satu industri.

Kalau ini dilaksanakan, insya-Allah kita dapat membantu mengatasi masalah ekonomi seperti isu kenaikan harga barang.

Dalam sebuah hadis, golongan peniaga yang amanah digolongkan bersama para nabi dan syuhada. Apakah pula ancaman kepada peniaga yang tidak amanah dan suka mengambil kesempatan ke atas pengguna?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Hadis ini memberi suntikan motivasi istimewa kepada para peniaga. Rasulullah s.a.w bersabda, “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, Siddiqin dan Syuhada”. (Riwayat at-Tirmizi)

Inilah ciri-ciri yang kita mahu lihat ada dalam diri usahawan dan peniaga muslim. Sikap amanah sebegini amat dituntut.

Namun, jika kita menilai kembali adakah semua peniaga mendapat ganjaran sedemikian?

Berlaku kisah di zaman Rasulullah di mana baginda melalui suatu kawasan melintasi selonggok bijirin. Di atasnya nampak sungguh elok dan cantik tetapi apabila baginda menyeluk ke bawah didapati tangan Nabi basah.

Lalu Rasulullah bertanya kepada pemilik makanan itu, Apa ini, hai pemilik makanan? Pemilik makanan itu menjawab, terkena air hujan ya Rasulullah. Baginda bersabda, kenapa tidak engkau letakkan di atas supaya orang dapat melihatnya, sesiapa menipu, maka dia tidak termasuk dalam golonganku. (riwayat Muslim)

Apabila peniaga tidak amanah maka berlakulah penipuan. Ini menyebabkan pengguna jadi mangsa. Jadi kita kena amanah dalam setiap tugas kita. Ingatlah kehidupan di dunia ini hanya sementara dan tempohnya tidak lama. Kehidupan yang kekal abadi ialah di akhirat.

Jadi hendaklah kita berusaha memastikan kehidupan di akhirat kelak lebih baik daripada hidup di dunia. Seperkara lagi yang perlu kita ingat ialah khianat itu adalah satu daripada tiga tanda pada orang munafik.

Sebagai peniaga, model terbaik kita ialah Rasulullah yang terbukti menjadi usahawan berjaya ketika baginda berniaga sejak semasa sebelum berkahwin dengan Saidatina Khadijah r.anha lagi.

Ada baiknya Panel Penasihat Syariah diwujudkan di organisasi-organisasi perniagaan yang besar agar dapat membantu menangani isu-isu berkaitan dengan syariah. Paling kurang, mereka bermasalah perlu merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan atau memanfaatkan pakar rujuk dalam bidang muamalat yang terdapat di pelbagai institusi pengajian tinggi.

Setakat ini, kita telah pun mempunyai panel syariah untuk perbankan dan sistem insurans. Dengan adanya panel ini ia dapat membantu para usahawan Muslim mematuhi batasan syariat dalam urusniaga masing-masing.

No comments: