Friday, November 30, 2007

26. Hayati hikmah syariat ibadat haji

ENAM wajib haji yang mesti dilakukan setiap jemaah haji yang mengerjakan haji. Jika wajib haji ini tidak dikerjakan, akan mencacatkan haji itu sendiri. Meninggalkan wajib haji dikenakan dam dan berdosa. Oleh itu, wajib haji perlu dijaga supaya hikmah disyariatkan ibadat haji dapat dihayati.

Wajib haji yang ketiga ialah mabit di Muzdalifah, bermaksud berada di Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh). Sebaiknya jemaah haji berada sepanjang malam di Muzdalifah sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jemaah haji digalakkan bertalbiah sebanyak-banyaknya dan memuji Allah.

Sah dan dikira sudah mabit bagi jemaah haji yang mendiami bumi Muzdalifah walau berada seketika. Jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah selepas berwukuf di Arafah selepas Asar atau Maghrib mengikut jadual ditentukan Kerajaan Arab Saudi.

Jarak dari Arafah ke Muzdalifah kira-kira tujuh kilometer. Jemaah akan bergerak ke sana dengan menaiki bas. Urusan pergerakan dan suasana di Arafah dan Muzdalifah adalah dalam keadaan mencabar serta menguji kekuatan fizikal serta mental jemaah haji.

Selepas tiba di Muzdalifah, jemaah haji kebiasaannya ditempatkan di satu kawasan oleh pihak muassasah masing-masing sementara menunggu masuknya waktu setengah malam kira-kira jam 11.42 malam.

Jemaah haji dinasihatkan jangan leka atau terus tidur apabila sampai di Muzdalifah. Kesempatan berada di Muzdalifah digalak melaksanakan amalan sunat seperti:

l Mengutip tujuh biji anak batu untuk melontar Jamrah Kubra pada keesokan harinya di Mina.

l Sunat mabit di Muzdalifah sehingga terbit fajar (masuk waktu Subuh). Kemudian menunaikan solat Subuh pada awal waktunya.

l Terus berada di Muzdalifah hingga langit semakin cerah. Dalam masa sama hendaklah bersungguh-sungguh berzikir dan berdoa kepada Allah.

Jemaah haji perlu mengambil maklum bahawa meninggalkan mabit di Muzdalifah tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam (jenis tertib dan taqdir). Namun begitu, ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Muzdalifah tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

Mereka ialah seseorang yang takut dirinya mendapat bahaya sama ada pada nyawa, anggota tubuh badan, maruah atau hartanya walaupun sedikit; menjaga atau menemani orang sakit; mencari orang yang sesat atau hilang.

Seseorang yang menghidap penyakit susah baginya untuk mabit di Muzdalifah, menunggu bas di Arafah hingga larut malam atau Subuh dan bas yang ditunggu tidak tiba dan jemaah haji yang dibawa terus ke Mina atau Makkah tanpa bermabit di Muzdalifah atas sebab tidak dapat dielakkan (terpaksa). Setelah bermabit di Muzdalifah, jemaah haji akan bertolak pula ke Mina. Jemaah akan dibawa ke sana menaiki bas. Jarak antara Muzdalifah ke Mina kira-kira enam kilometer.

Wajib haji keempat ialah mabit di Mina iaitu berada di Mina pada malam hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jemaah haji yang melaksanakan nafar awwal bermabit pada 11 dan 12 Zulhijjah, manakala jemaah haji yang melaksanakan nafar thani bermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Berhubung tempoh mabit di Mina, ada dua pendapat. Pertama, lebih daripada separuh malam, manakala pendapat kedua, memadai berada di Mina seketika sebelum dan selepas terbit fajar (masuk waktu Subuh).

Bagi jemaah haji Malaysia, mereka akan bermabit di Mina sama ada di kawasan Mina Jamrah, Mina Muaissim atau Mina Marhalah al-Thalithah (Muhassir). Jemaah haji ditempatkan di perkhemahan yang sudah ditetapkan selepas tiba dari Muzdalifah.

Jemaah dinasihatkan supaya memperbanyakkan amalan sunat ketika berada di Mina. Elakkan daripada bercakap kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah serta menjaga pantang larang ihram.

Amalan sunat ketika berada di Mina iaitu memperbanyakkan amal ibadat, membaca al-Quran, berzikir dan bertakbir pada Hari Raya, berdoa, melakukan sembelihan korban dan dam serta solat berjemaah.

Meninggalkan mabit di Mina tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam mengikut syaratnya. Namun begitu, ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Mina tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

Mereka ialah seseorang yang takut dirinya mendapat bahaya sama ada pada nyawa, anggota tubuh badan, maruah atau hartanya walaupun sedikit; menjaga atau menemani orang sakit; mencari orang yang sesat atau hilang.

Seseorang yang menghidap penyakit yang susah baginya untuk mabit di Mina, jemaah haji yang tidak mendapat tempat untuk mabit kerana Mina penuh sesak serta padat dengan jemaah haji dan ini sememangnya tidak dapat dielakkan (terpaksa).

Wajib haji kelima ialah melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah. Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah dan berakhir apabila terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) 13 Zulhijjah. Kebiasaannya jemaah haji akan mula melontar selepas waktu Maghrib bergantung kepada jadual yang dikeluarkan pihak Muassasah Asia Tenggara.

Syarat melontar Jamrah Kubra:

Melontar selepas masuk waktu (selepas separuh malam)

Lontaran anak batu itu hendaklah ditujukan ke arah takungan jamrah.

Hendaklah dilakukan dengan gaya melontar.

Anak batu yang dilontar hendaklah masuk ke dalam takungan jamrah dengan yakin.

Hendaklah melontar dengan anak batu atau jenisnya.

Hendaklah melontar dengan tangan.

Hendaklah melontar anak batu satu persatu, (sehingga cukup tujuh biji) bukannya beberapa biji sekali gus.

Tidak melontar untuk orang lain kecuali selepas melontar untuk diri sendiri.

Amalan sunat melontar Jamrah Kubra:

Bertakbir setiap kali melontar.

Melontar dengan tangan kanan.

Melontar dalam keadaan arah kiblat di sebelah kiri dan Arafah di sebelah kanan dengan mengadap takungan jamrah.

Melontar secara berturutan.

Wajib haji keenam ialah melontar anak batu di tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra (dulu dikenali sebagai Ula) Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra (dulu dikenali sebagai Jamrah Aqabah).

Syarat melontar di ketiga-tiga jamrah:

Melontar tujuh biji anak batu pada tiap-tiap jamrah.

Tertib jamrah iaitu dimulai dengan melontar di Jamrah Sughra, kemudian Wusta dan Kubra.

Tertib hari iaitu tidak boleh melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 11 Zulhijjah, melainkan selepas melontar di Jamrah Kubra bagi hari ke 10 Zulhijjah. Demikian juga tidak boleh melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 12 Zulhijjah melainkan selepas melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 11 Zulhijjah. Begitu juga tidak boleh melontar bagi hari ke 13 Zulhijjah melainkan setelah melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 12 Zulhijjah.

Melontar jamrah dengan tidak terpesong kepada tujuan lain.

Hendaklah dilakukan dengan gaya melontar.

Anak batu yang dilontar hendaklah masuk ke dalam takungan jamrah dengan yakin.

Hendaklah melontar dengan anak batu atau jenisnya.

Hendaklah melontar dengan tangan.

Hendaklah melontar anak batu satu persatu, bukannya beberapa biji sekali gus (serentak).

Tidak melontar untuk orang lain kecuali setelah melontar untuk diri sendiri.

Demikian enam wajib haji yang perlu diketahui oleh setiap jemaah haji. Meninggalkan mana-mana daripada wajib haji dengan sengaja dikenakan dam serta berdosa. Oleh itu, berhati-hati ketika mengerjakan kesemua wajib haji yang dilakukan di kawasan di panggil masy'aer selain wukuf di Arafah.

No comments: