Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sayid Qutub berkata: Sikap yang baik, budi yang elok dan berbuat kebaikan pastilah menyelubungi suasana kehidupan suami isteri sama ada yang masih teguh tali hubungannya atau telah putus ikatan perhubungannya.
Niat untuk menyakiti atau menimbulkan kesulitan dan kesusahan tidak seharusnya menjadi salah satu daripada unsur-unsur hidup ini. Dan tahap toleransi yang luhur ini tidak mungkin dicapai dalam suasana perpisahan dan perceraian, di mana jiwa semua pihak berada dalam keadaan yang genting dan tegang, melainkan dengan wujudnya satu unsur yang lebih tinggi daripada perhubungan-perhubungan hidup di bumi.
Satu unsur yang dapat mengangkat jiwa manusia mengatasi dendam kesumat dan meluaskan ufuk hidupnya melewati alam kenyataan masa kini yang kecil, iaitu unsur keimanan kepada Allah dan keimanan kepada hari akhirat dan mengingati nikmat Allah dalam pelbagai bentuk. Dimulai dengan nikmat keimanan – selaku nikmat yang paling tinggi – kepada nikmat kesihatan dan rezeki, juga mengenangkan ketakwaan kepada Allah serta berharap mendapat gantian daripada Allah selepas kegagalan perkahwinan dan perbelanjaan yang hilang itu.
Inilah unsur yang dibawa dua ayat yang mengatakan tentang pentingnya menunjukkan sikap yang baik, budi yang elok dan melakukan kebaikan sama ada kehidupan suami isteri itu masih kukuh tali perhubungannya atau telah putus ikatan talinya.
Firman Allah s.w.t.: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 232)
Firman Allah s.w.t.: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka...
Ibn al-Arabi berkata: Firman Allah yang bermaksud: lalu habis idah mereka. Perkataan bulugh di sini ialah perkataan yang hakiki bukannya majazi. Hal ini kerana kalau ia membawa maksud hampir sampai seperti ayat sebelum ini, tentulah isteri tidak terkeluar daripada penguasaan suami dari segi hak merujuk. Akan tetapi apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka.
Maka ternyatalah bahawa perkataan al-Bulugh (sampai) itu bermaksud tamatnya idah, dan hak suami untuk merujuk isteri telah gugur.
Firman Allah s.w.t: Maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka...
Ibn al-Arabi berkata: Firman Allah s.w.t yang bermaksud: maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka. Perkataan al-‘Adal membawa banyak maksud yang kesemuanya merujuk kepada maksud halangan. Itulah pengertian yang dimaksudkan di sini.
Allah s.w.t melarang para wali menghalang wanita mengahwini suami yang disukainya. Ini adalah dalil muktamad yang orang perempuan tidak berhak melangsungkan perkahwinannya sendiri, tetapi adalah hak wali berbuat demikian.
Hal ini berbeza dengan pendapat Abu Hanifah yang berpendirian sebaliknya kalau bukan kerana keberhakan para wali itu, maka tentulah Allah s.w.t tidak melarang wali daripada menghalang wanita itu berkahwin.
Dalam hadis yang sahih menyebutkan bahawa Ma’qil bin Yasar mempunyai seorang adik perempuan. Semuanya telah menceraikannya. Apabila idahnya selesai, suaminya melamarnya semula, tetapi Ma’qil enggan menerimanya.
Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini. Kalau Ma’qil tidak mempunyai sebarang hak, tentulah Allah s.w.t menyebutkan kepada Nabi-Nya: Jangan pedulikan Ma’qil dalam hal itu.
Berdasarkan ayat ini, timbul banyak persoalan yang akhirnya terjawab dengan hadis yang sahih ini.
Kalau dikatakan: Sebab turunnya ayat yang anda riwayatkan itu menyebabkan susunan ayat itu salah. Ini kerana jika wali ialah orang yang menikahkan, maka bagaimana pula boleh dikatakan kepadanya: Jangan kamu enggan perbuatan kamu sendiri. Susunan ayat sebegini adalah mustahil. Kami menjawab: Maksudnya bukan seperti anda katakan. Perempuan mempunyai hak untuk minta berkahwin, dan wali pula mempunyai hak untuk melangsungkan akad.
Jadi, apabila perempuan itu mahu berkahwin dengan suami pilihannya, tetapi wali enggan melakukan akad maka ini bererti wali enggan menunaikan kehendak perempuan itu. kenyataan ini adalah jelas.
Firman Allah s.w.t.: Apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak).
Al-Mawardi berkata: Terdapat dua takwilan:
Pertama: Apabila kedua suami isteri reda.
Kedua: Apabila perempuan reda dangan suaminya yang mencukupkannya.
Imam Syafie berkata: Ini amat nyata di dalam kitab Allah yang menunjukkan bahawa tiada boleh bagi perempuan berkahwin tanpa wali.
Ibn al-Arabi berkata: Yakni apabila lelaki itu sekufu dengan perempuan tersebut. Hal ini kerana mas kahwin bagi janda yang memiliki urusan dirinya tidak berhak oleh wali. Ayat ini turun tentang janda yang memiliki urusan dirinya tidak berhak oleh wali. Ayat ini turun tentang janda yang memiliki urusan dirinya.
Justeru, ini menunjukkan bahawa perkataan al-Makruf dalam ayat ini membawa maksud kufu (sama taraf) di mana dalam soal kesamaan taraf para wali mempunyai hak yang besar. Ini juga disebabkan perkahwinan yang tidak mempedulikan kufu (kesamaan taraf) menyebabkan keaiban kepada para wali. Hal tersebut sabit dengan ijmak dalam kalangan umat ini.
Firman Allah s.w.t: Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Kaum wanita di zaman jahiliah mengalami kesulitan dan penderitaan yang sesuai dengan kekasaran dan penyelewengan jahiliah. Ia mengalami penderitaan dalam usia kanak-kanak yang kadang-kadang ditanam hidup-hidup atau hidup dalam kehinaan dan kesusahan.
Ia mengalami penderitaan semasa menjadi seorang isteri yang diperlakukannya laksana sebahagian dari barang-barang yang dimiliki lelaki, di mana unta dan kuda lebih mahal dan lebih mulia darinya. Ia mengalami penderitaan ketika ia benar menjadi isteri yang dicerai, di mana ia dihalang dan ditahan untuk berkahwin sehingga dibenarkan oleh suami yang telah menceraikannya, atau ia dihalang oleh keluarganya dari kembali kepada suaminya yang telah menceraikannya apabila kedua-duanya mahu rujuk kembali.
Dahulu pandangan terhadap kaum wanita pada umumnya sangat rendah dan hina. Pandangan ini samalah dengan pandangan seluruh masyarakat jahiliah yang lain yang wujud di masa itu di dunia ini.
Kemudian Islam datang meniupkan angin-angin yang lembut ini ke atas kehidupan wanita dan sebahagian dari contoh-contohnya kita dapat melihatnya di sini. Ia datang mengangkatkan pandangan terhadap kaum wanita. Ia menjelaskan bahawa wanita dan lelaki adalah berasal dari satu diri yang diciptakan Allah.
Ia datang mengangkatkan hubungan-hubungan suami isteri ke tahap ibadat apabila dilakukannya dengan ihsan, walaupun ia tidak dituntut atau dicari sedikitpun oleh perempuan dan lelaki dan tidak pula diketahui dan difikir oleh mereka, malah itulah penghormatan yang dikurniakan Allah dari limpah rahmat-Nya kepada kedua-dua lelaki dan perempuan ke atas kehidupan manusia seluruhnya.
Iktibar Ayat
- Perbuatan ‘adal iaitu menahan wanita daripada berkahwin adalah haram jika pasangannya sekufu.
- Asal yang terbaik dalam mengharmonikan rumahtangga ialah saling reda dan bertolak ansur.
- Talak mempunyai tempoh idah mengikut keadaan wanita dan jenis talak.
Thursday, November 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment