Thursday, November 15, 2007

2. Takwa asas toleransi Islam



Sebagai negara yang diiktiraf model negara Islam, Malaysia perlu sentiasa menunjukkan contoh terbaik bukan sahaja dalam aspek pembangunan negara dan insan tetapi merangkumi hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum. Malah, sikap toleransi yang diamalkan selama ini dikatakan adalah antara faktor kejayaan negara memahat nama di mata dunia dalam tempoh 50 tahun merdeka.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa memelihara perpaduan kaum dengan mengamalkan sikap toleransi.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET menemu bual Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah asas pergaulan sesama makhluk dalam Islam?

DR. MUHAMAD FUAD: Pergaulan sesama manusia dalam Islam adalah berasaskan al-ta’awanun alal-birri wattaqwa iaitu bekerjasama di atas dasar kebaikan dan takwa.
Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyadhus Salihin. Beliau membicarakannya dalam bab khas bertajuk ‘Bab kelebihan bergaul dengan manusia serta menghadiri perjumpaan dan perkumpulan mereka yang baik, majlis zikir bersama mereka, menziarahi mereka yang sakit dan yang meninggal, membantu yang memerlukan, membimbing mereka yang jahil dan selainnya yang mempunyai kebajikan, bagi yang mampu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah mungkar serta menahan diri daripada menyakiti dan bersabar apabila disakiti. Imam Nawawi menegaskan, itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w serta para anbiya di samping khulafah ar-rasyidin, para sahabat dan ulama selepas mereka termasuk Imam Syafie dan Ahmad.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa...(al-Maidah: 2)
Seorang Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya sebagai khalifah serta hamba Allah, memang perlu bergaul dan bekerjasama sesama manusia.
Kehidupan bermasyarakat tidak dapat diwujudkan tanpa pergaulan dan jalinan serta kerjasama di kalangan anggotanya. Dalam mentaati Allah sebagai seorang hamba, seseorang itu perlu bergaul sesama manusia termasuk jirannya untuk menunaikan hak-hak sesama insan. Menunaikan hak tersebut adalah pelaksanaan praktikal asas konsep taawun tadi.

Bila disebut toleransi, apakah hadnya?

DR. MUHAMAD FUAD: Toleransi sesama manusia khususnya terhadap kaum dan agama lain adalah sesuatu yang wujud dalam Islam. Allah mencipta manusia daripada pelbagai bangsa dan puak, pada masa yang sama tidak memaksa semua manusia memeluk Islam. Maka toleransi adalah satu hakikat dalam Islam.
Perbezaan agama dan bangsa memberi peluang untuk berkenalan sebagai mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13.

Mempertahankan

Had toleransi adalah seperti yang digariskan oleh asas pergaulan sesama manusia iaitu kerjasama dalam kebaikan dan takwa. Jika keluar daripada garis panduan ini maka tamatlah toleransi dalam pergaulan dan seseorang Muslim hendaklah menghentikan pergaulan berkenaan.

Ketika itu bermulalah kedudukan sebagaimana firman Allah, Untukmu agamamu dan untukku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Mereka bebas melakukan mengikut cara dan kepercayaan mereka tanpa mengganggu dan mengkhianati orang Islam. Jika terhadap pengkhianatan dan permusuhan, maka hendaklah kaum Muslimin mempertahankan cara hidup dan takwa mereka.

Sebagai orang bukan Melayu, apakah isu yang selalu atau boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Hal ini BOLEH berlaku apabila berlaku interaksi antara kedua-dua belah pihak dan ada pihak yang menjadi antagonis. Ia juga berlaku kerana adanya prejudis orang Islam kepada bukan Islam dan sebaliknya.
Prejudis ini adalah pendirian yang diambil sebelum mengetahui hakikat sebenarnya. Contoh, melabel orang Islam sebagai ganas. Demikian juga prejudis mengatakan orang bukan Islam memang menentang Islam. Antara sebab ia berlaku ialah tidak ada kefahaman dan ketiadaan peluang berinteraksi untuk bertukar-tukar pandangan antara kedua-dua pihak. Jika peluang untuk berinteraksi tidak ada, suasana ke arah mewujudkan kefahaman mungkin tidak dapat diwujudkan.

Di antara isu yang mungkin mencetuskan ketegangan kaum ialah isu yang ada kaitan dengan beberapa hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Tanpa mengambil kira latarbelakang perkara berkenaan, perspektif yang semata-mata berasaskan norma-norma hak asasi dan keadilan sosial boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketegangan.

Contoh, hak bukan Islam menyebar agama mereka kepada orang Islam. Begitu juga soal murtad yang jika tidak ditangani secara berhemah boleh menjejaskan keharmonian kaum. Tidak dinafikan, mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Mereka membakar semangat perkauman dengan mempersoalkan hal seperti hak mewarisi harta dan mengapa anak-anak belum baligh perlu memeluk Islam apabila si bapa memeluk Islam. Mereka mahu kebebasan memilih agama diberi kepada semua tanpa kecuali walaupun seseorang itu dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam.

Adakalanya timbul isu oleh golongan tertentu yang seolah-olah mahu menguji kesabaran orang Islam. Adakah ini disebabkan kurang faham tentang Islam atau memang disengajakan?

DR. MUHAMAD FUAD: Kumpulan yang terlibat selalunya adalah yang memperjuangkan hak asasi manusia atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai agenda tertentu. Tetapi ada juga orang Islam yang berfikiran begitu. Ada juga orang Islam yang melihat mengapa hanya agama Islam diberi keistimewaan dan dilindungi. Seterusnya mempersoalkan adakah iman orang Islam lemah sehingga mereka terus perlu dilindungi? Pendek kata, mereka memperjuangkan liberalisme dan pluralisme dalam beragama.
Hakikatnya, ia bukanlah soal itu sahaja. Sebaliknya, ia melibatkan Perlembagaan negara iaitu kontrak sosial yang dipersetujui oleh orang Islam atau Melayu dengan bukan Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Orang Melayu sanggup memberi hak tertentu kepada bukan Melayu dan begitu juga orang bukan Melayu.
Memang pada mulanya, mereka kurang faham tetapi adakalanya ia disengajakan atas tiket mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia.
Bagi orang Islam yang terlibat dalam perkara sebegini mungkin mereka tidak berfikir panjang tentang kesannya yang amat besar kepada Islam. Jika ia dibiarkan berterusan bermakna, Islam kena dikorbankan. Tetapi umat Islam tidak boleh membenarkan hal ini berlaku kerana kita kelak perlu membayar harga yang terlalu besar jika ini berlaku.

Bukan mudah nak memahamkan golongan bukan Islam terutama dalam bab amalan agama. Adakah petua mengatasi masalah ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Orang Islam perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bukan Islam. Ia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi contoh tauladan terbaik kepada manusia. Masalahnya, kadang-kadang perbuatan orang Islam sendiri yang menimbulkan salah-faham kepada bukan Islam. Contohnya, keruntuhan akhlak orang Islam, sikap suka mengumpat dan bergaduh sesama sendiri. Apabila ini berlaku di manakah yang dikatakan umat Islam itu bersaudara?

Umat Islam juga prejudis kepada bukan Islam. Kalau 20 tahun lalu, orang Cina Muslim yang makan guna chopstick mungkin dilabel ‘murtad’ kerana masyarakat tidak boleh menerima budaya tersebut. Alhamdulillah, keadaan sudah berubah sekarang.
Kalau orang Islam berpendirian begitu bagaimana pula dengan orang bukan Islam. Sudah tentu, prejudis mereka terhadap kita lebih banyak lagi.

Dengan media Barat yang tidak membantu, sudah tentu prejudis terhadap orang Islam semakin bertambah. Saya berpendapat label Islam sebagai pengganas itu akan kekal untuk satu jangka masa yang panjang. Bagaimanapun sebagai Muslim kita hendaklah terus menghayati Islam dalam kehidupan seharian, berinteraksi dengan akhlak yang mulia mengikut ajaran Islam. Dengan demikian insya-Allah, amalan agama kita yang sebenarnya akan lebih difahami.

Utusan Malaysia 13 November 2007

No comments: