Thursday, November 15, 2007

11. Perlu usaha elak terlibat dengan arak

SOALAN

SAYA kini sedang belajar di New Zealand. Untuk pengetahuan ustaz, saya juga sedang bekerja sebagai housekeeper di sebuah hotel di sini bagi menimba pengalaman bekerja. Masalah yang ingin saya ajukan adalah berkenaan botol arak dan gelas arak.

Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap bilik hotel yang saya uruskan mempunyai botol-botol arak dan gelas-gelas arak yang telah digunakan.

Soalan saya, apakah hukumnya jika saya menguruskan botol-botol dan gelas-gelas arak tersebut, seperti saya membasuh gelas yang digunakan atau membuang botol-botol arak yang berada dalam bilik hotel tersebut? Adakah ini haram dan gaji daripada pekerjaan ini juga haram?

JAWAPAN

Adalah lebih baik dan selamat sekiranya saudara boleh mencari kerja yang tiada kaitan dengan arak. Walaupun pekerjaan saudara pengemas bilik-bilik hotel, secara tidak langsung saudara terpaksa membasuh cawan-cawan yang digunakan untuk meminum arak serta mengutip dan membuang botol-botol arak di situ. Melihat kepada skop kerja saudara tidak terlibat secara langsung di dalam golongan yang dilaknat oleh Allah s.w.t.. Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Rasulullah melaknat berkenaan dengan arak sepuluh golongan: Orang yang memerah arak, orang yang minta diperahkan arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang minta dihantar arak, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang makan harga arak, orang yang membeli arak dan orang yang minta dibelikan arak”. (riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi) .

Namun jika diteliti dan dihalusi hadis ini akan didapati apa sahaja perkara yang berkaitan dengan arak adalah ditegah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90).

Walaupun demikian, sekiranya tiada pekerjaan lain yang lebih selamat, demi menyara hidup dan pelajaran untuk sementara mendapat kerja lain tidak mengapa. Ini kerana memelihara nyawa serta menyelamatkan diri daripada sebarang mudarat adalah lebih utama. Yakinlah saudara sekiranya kita meninggalkan sesuatu perkara kerana haram atau subahat kerana memelihara agama dalam diri kita pasti Allah akan memberi jalan keluar yang lebih selamat dunia dan akhirat kita.


SOALAN

Apakah hukumnya seorang suami yang melengah-lengahkan pembayaran nafkah kepada isterinya dengan alasan tidak cukup duit. Apakah alasan itu boleh diterima, sedangkan dia mampu untuk membayar ansuran bulanan tiga kereta dan tiga rumah?

JAWAPAN

Suami bertanggungjawab memberi nafkah yang secukupnya kepada isteri dan keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sikap suami yang tidak serius dalam memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah menggambarkan sikap suami yang tidak bertanggungjawab di dalam menjaga kebajikan rumah tangga.

Di dalam undang-undang Islam, isteri berhak mengadu perkara ini kepada pihak kadi dan mengadu kepada mahkamah. Walaupun undang-undang memperuntukkan hak nafkah yang wajib diberi oleh seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik, kadang-kadang akan mengeruhkan keadaan rumah tangga.

Namun demikian si suami wajib mendahulukan nafkah kepada isteri dan anak-anak daripada memiliki dan membayar duit kereta sampai tiga buah dan bayar rumah sampai tiga buah. Pepatah Melayu ada menyebut, “ukur baju di badan sendiri”, bermaksud berbelanja mengikut kemampuan dan bukan mengikut selera. Keadaan ini juga mungkin berpunca daripada kegagalan si suami dalam merancang perbelanjaan mengikut bajet yang termampu olehnya.

Jangan sampai kereta tiga buah, makan minum anak dan isteripun tak mampu, rumah sampai tiga buah tetapi perbelanjaan anak-anak ke sekolah tidak mencukupi. Apa ertinya seseorang itu memiliki harta benda yang banyak, jika kasih sayang dan perhubungan suami isteri terbantut dan terganggu kerana sifat acuh tak acuh ketua rumah tangga dalam melaksanakan amanah yang besar ini.

Sebagai seorang suami dan ketua rumah tangga, perlu lebih matang dan bijaksana di dalam menguruskan keperluan rumah tangga, ini termasuklah nafkah kepada isteri. Bukannya mengutamakan keperluan diri sendiri dengan menukar telefon bimbit dan menukar rim tayar kereta tetapi mendahulukan keluarga sebelum membuat perbelanjaan yang tidak utama.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (al-Talaq:7).

Dalam ayat ini Allah s.w.t. memerintahkan setiap orang bergelar suami memberi nafkah kepada ahli keluarganya mengikut kemampuannya. Ini tidak bermaksud beri berapa yang ada, cukup atau tidak itu bukan masalah suami, yang penting ada diberi. Ini fahaman yang salah kalau isteri seorang anak tiga orang berapa kadar perbelanjaannya untuk sebulan? Termasuk makan minum, pakaian, tempat tinggal serta perbelanjaan pembelajaran. Mungkin RM1,000, mungkin juga lebih daripada itu.

Maka si suami tidak boleh sekadar memberi RM200 atau RM300 kemudian berdiam. Suami perlu berusaha sedaya upaya menanggung perbelanjaan rumah tangga dengan tidak mengabaikannya.

Ini tidaklah bermaksud isteri tiada peranan. Lebih-lebih dalam suasana hari ini yang memakan belanja yang tinggi. Perancangan dan kerjasama serta bertoleransi di antara suami isteri akan meringankan bebanan antara satu sama lain.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967

No comments: