SEMALAM, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, umat Islam di negara ini boleh membuat pinjaman peribadi bagi menunaikan fardu haji dengan syarat mereka mempunyai kemampuan membayar balik pinjaman yang dibuat.
Sebagaimana termaktub dalam Rukun Islam, syarat utama mengerjakan haji diukur dari aspek kemampuan fizikal dan kewangan, justeru jika dilihat dari kaedah meminjam, secara tuntasnya boleh dikatakan individu yang membuat pinjaman tergolong di kalangan mereka yang masih belum mampu untuk menyempurnakan hajat dan impian untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
Bukan saja meminjam untuk menunaikan fardu haji, tetapi untuk apa-apa tujuan sekalipun ia memberi gambaran jelas bahawa peminjam dan pihak yang memberi pinjaman akan tertakluk kepada pelbagai syarat dan risiko yang perlu ditanggung bersama.
Para peminjam mesti meneliti syarat-syarat pinjaman, pada masa yang sama akan terus membuat persediaan dari aspek mental dan fizikal untuk menunaikan haji dan bersedia untuk mula membuat bayaran pinjaman sebaik pulang dari mengerjakan ibadat tersebut.
Pada era nenek moyang kita dahulu, mereka beristiqamah dengan berdikit-dikit menyimpan wang sehinggalah jumlahnya mencukupi untuk tambang kapal laut dan perbelanjaan mengurus diri di tanah suci. Bukan itu saja, aspek 'kesucian' wang disimpan juga turut dititikberatkan agar ibadat haji mereka dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.
Sebagaimana kata Dr. Mashitah, biarpun masih dibenarkan membuat pinjaman, para bakal jemaah yang berminat untuk membuat pinjaman hendaklah memahami dengan sepenuhnya aspek 'mampu' dan 'yakin' terhadap pinjaman wang yang dibuat.
Mampu dari segi membuat pembayaran balik yang sudah tentu akan melebihi jumlah yang dipinjam atas kos perkhidmatan dan pengurusan, dan juga yakin dengan prospek pinjaman yang dibuat sama ada ia dilakukan dengan telus berlandaskan kehendak syariat itu sendiri.
Apabila melibatkan wang, maka institusi kewangan milik kerajaan atau swasta sudah tentu menyediakan pelbagai prosedur yang harus dipatuhi oleh kedua pihak apabila berlakunya proses pinjam meminjam ini.
Para peminjam mesti bersedia untuk berani menghadapi apa jua risiko apabila pinjaman diluluskan.
Lantaran itu kewujudan Tabung Haji sendiri sudah tepat dengan kehendak dan keperluan umum iaitu mereka tidak memberi kemudahan pinjaman secara khusus kerana masih kekal dengan konsep menabung yang diamalkan oleh organisasi itu sejak sekian lama.
Islam sendiri menggalakkan umatnya agar menabung bagi tujuan menunaikan haji iaitu seawal usia dan apabila wang sudah mencukupi, barulah individu tersebut dikira mampu untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.
Menunaikan fardu haji dengan simpanan sendiri lebih menyerlahkan perasaan ikhlas dan tulus seseorang untuk melakukan ibadat suci itu kerana segala usaha menabung dari kudrat diri sendiri telah membuahkan hasil.
Kita sendiri tidak lagi berfikir-fikir kemudiannya setelah kembali ke tanah air untuk mencari wang bagi membuat bayaran balik pinjaman.
Walau apa pun, membuat pinjaman dari institusi kewangan untuk menunaikan haji tetap dibenarkan sekiranya seseorang individu itu telah mampu dan yakin dapat membayar balik pinjaman kerana barangkali memikirkan soal kesihatan dan faktor umur.
Jika ditangguh akan menyebabkan terlepasnya peluang untuk menunaikan ibadat suci itu, maka soal untuk membuat pinjaman bolehlah diteruskan.
Apa pun, tepuk dada tanyalah iman, sama ada kita terus berusaha menabung dengan iringan doa agar kita mampu dan sempat menunaikan Rukun Islam kelima itu pada satu ketika nanti, atau membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama untuk segera menunaikan ibadat suci itu.
Namun, perlu diingat walau apa sekalipun ikhtiar dan kaedah yang dilakukan, hanya keizinan Tuhan saja yang mampu membawa kita ke tanah suci.
WAN MARZUKI WAN RAMLI
SK SIE, Pasir Mas, Kelantan
Wednesday, August 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment