MEREKA menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman. (al-Anfaal: 1)
SEJURUS kaum Muslimin mencapai kemenangan, Rasulullah mengutuskan dua pembawa berita kepada penduduk Madinah untuk menyampaikan berita gembira dengan segera mengenai perkembangan terkini di medan pertempuran. Abdullah bin Rawahah diutus kepada penduduk al-Aliah dan Zaid bin Hatithah kepada penduduk al-Safilah.
Selepas peperangan, Rasulullah tinggal di Badar selama tiga hari. Sebelum bergerak pulang, berlaku sedikit perselisihan pendapat mengenai pembahagian harta rampasan. Setelah perselisihan menjadi parah, Rasulullah memerintahkan supaya semua harta rampasan yang ada dalam tangan mereka dipulangkan semula. Mereka semuanya akur dan patuh.
Selepas wahyu di atas pun turun bagi mengatasi perselisihan yang berlaku. Dengan itu, Rasulullah pun membahagikan harta rampasan sesama kaum Muslimin.
Setelah tiga hari Rasulullah berada di Badar, Baginda pun menggerakkan tenteranya ke Madinah. Mereka membawa bersama mereka harta-harta rampasan perang dan orang tawanan Quraisy.
Abdullah bin Kaab dilantik sebagai amir yang bertanggungjawab ke atas harta-harta rampasan tersebut. Setibanya di Segenting al-Safra, Baginda singgah di dataran yang terletak di antara segenting dan al-Naziah. Di situlah Baginda membahagikan harta rampasan di kalangan kaum Muslimin, setelah Baginda mengambil seperlima daripadanya.
Apabila sampai ke al-Safna, Baginda mengarahkan supaya al-Nadr bin al-Harith dibunuh, kerana beliaulah pembawa panji kafir Quraisy di Badar. Beliau juga merupakan antara penjenayah Quraisy paling jahat yang telah mengecam Islam serta menyakiti Baginda. Dia kemudiannya dibunuh oleh Saidina Ali bin Abi Talib.
Setelah sampai ke Iraq al-Zibya, Baginda memerintahkan supaya dibunuh Uqbah bin Abi Muith kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab menganiayai Baginda dengan mencampakkan najis sembelihan ke atas kepada Baginda semasa sedang solat. Beliau juga pernah mencekik leher Baginda dengan kain sehingga hampir-hampir membunuh Baginda, tetapi sempat dihalang oleh Abu Bakar.
Setelah diperintahkan untuk dibunuh, akhirnya beliau dibunuh oleh Asim bin Thabit al-Ansari. Hukuman membunuh dua orang kepala thaghut ini adalah kemestian dari segi undang-undang perang kerana mereka bukan sekadar tawanan perang, malah merupakan penjenayah perang berdasarkan kanun semasa.
Saturday, July 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment