BULAN Syaaban adalah antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ia dianggap pintu gerbang sebelum kita menyambut Ramadan. Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita menggandakan amal ibadat dalam bulan ini.
Bagaimanapun, dalam keghairahan kita melakukan ibadat masih terdapat perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan ibadat tertentu oleh masyarakat untuk dilakukan pada bulan ini.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHAHARANI SAIRI menemu bual pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Mohamad Shukran Abdul Razak bagi memperincikan hal ini.
Apakah maksud Syaaban dan apakah kelebihan yang terkandung di dalamnya?
MOHAMAD SHUKRAN: Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya, Nabi bertanya kepada umatnya, Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan Syaaban? Jawab umatnya: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui maknanya. Baginda menjawab Syaaban ini kata dasarnya adalah yatasha’abu yang membawa maksud berkembang segala kebaikan.
Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.
Antara amalan yang kerap dilakukan oleh umat Islam negara ini adalah membaca Yasin tiga kali dan mengaitkannya dengan malam Nisfu Syaaban. Adakah terdapat nas tentang perbuatan sedemikian?
MOHAMAD SHUKRAN: Umumnya, masyarakat Melayu di negara kita memang melakukan banyak amalan. Setengahnya kalau dirujuk kepada sumber asal ada percanggahan pendapat. Ada yang merujuk kepada nas sahih dan kadang-kadang ia dilakukan secara jemaah tetapi bila diselidiki amalan tersebut tidak ada nas yang sahih.
Melihat pada tradisi yang biasa dan masyhur dilakukan oleh umat Islam negara kita adalah amalan membaca Yasin tiga kali menyambut Nisfu Syaaban. Kali pertama ia diniatkan supaya dikuatkan iman, kedua dimurahkan rezeki dan ketiga dipanjangkan umur.
Sebenarnya amalan sebegini bukanlah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi ia berlaku sejak zaman tabien. Antaranya adalah solat sunat al-khair yang dibuat beratus-ratus rakaat pada malam tersebut.
Solat sedemikian ditolak oleh ulama fikah hijaz iaitu Mekah dan Madinah kerana tidak ada nas atau hadis sahih mengenainya.
Tentang membaca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban ini pun tidak ada nas yang qatie (tepat) yang menunjukkan Rasulullah SAW berbuat demikian.
Ada juga yang tanya, adakah salah atau bidaah kita baca Yasin pada malam Nisfu Syaaban?
MOHAMAD SHUKRAN: Untuk mengatakan amalan tersebut tidak akan kaitan atau bidaah, kita perlu berhati-hati. Sebabnya, ulama bersetuju memang tidak ada nas yang qatie tentang bacaan Yasin tiga kali itu. Namun, bagi saya untuk terus menolaknya kita memerlukan pertimbangan yang wajar. Yang dilarang oleh Islam adalah bidaah dari segi akidah.
Sebabnya, ada nas lain yang menyuruh supaya umat Islam membaca al-Quran. Antaranya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pemiliknya. (riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya. (riwayat Bukhari)
Malah, surah Yasin itu juga adalah jantung al-Quran di mana ramai ulama telah pun membincangkan kelebihan membacanya.
Saya melihat isu ini lebih kepada sudut ilmu. Para ulama tidak mahu masyarakat membuat andaian sambil lewa tanpa ada hukum atau dalil yang mewajibkannya.
Namun, untuk mengatakan wajib baca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban itu memang salah. Sebabnya, Rasulullah tidak pernah mengatakan begitu.
Sebab itu, kalau kita merujuk kepada kitab Adab-adab Perbezaan Pandangan, apabila berlaku dua pendapat, kita kena berhati-hati supaya akhirnya perbezaan itu tadi membawa kebaikan kepada umat Islam.
Saya lebih suka melihat kepada syiarnya. Manusia ini sifatnya kalau tidak ada sebab, mereka tidak akan melakukan sesuatu. Maknanya, kalau bukan kerana Nisfu Syaaban mungkin tidak ramai yang membaca Yaasin di masjid atau surau-surau.
Jadi, bagaimana hendak menyambut malam tersebut, daripada tidak berbuat apa-apa lebih baik membaca al-Quran. Walaupun tidak semestinya baca Yasin tetapi masyhurnya orang Melayu adalah membaca surah tersebut.
Hal yang sama juga apabila kita mengadakan kenduri tahlil arwah. Memanglah tidak ada nas tentang hal itu. Tetapi bab memberi makan kepada orang lain dan menghubungkan silaturrahim itu memang ada nas dan hadisnya. Cuma yang dibimbangi adalah masyarakat beranggapan mengadakan kenduri tahlil arwah itu wajib.
Saya berpendapat, kita harus menghormati kedua-dua pandangan. Selagi amalan seperti membaca Yasin dan tahlil arwah itu tidak membawa kerosakan, eloklah ia diteruskan.
“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku”. Ini adalah antara hadis yang kerap dibaca dalam bulan Syaaban. Apakah status hadis ini?
MOHAMAD SHUKRAN: Ada yang mengatakan hadis ini daif dan ada yang mengatakannya mauduk (rekaan). Namun, untuk mengetahui secara tepat, kita perlu merujuk kepada ahli hadis dalam bab Mustalah Hadis.
Bagaimanapun, hadis yang daif ini masih boleh dipakai dengan tujuan untuk amalan individu atau sebagai motivasi. Bagi hukum yang lebih besar atau mengenai bab sah atau tidak memanglah ia tidak boleh digunakan. Ini kerana taraf hadis yang boleh dijadikan nas mesti sekurang-kurangnya hadis hasan. Yang terbaik adalah hadis mutawatir.
Sejak kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam sudah berbeza pandangan dalam bab fikah. Fikah ini sifatnya dinamik. Sebab itu kita mempunyai imam mazhab seperti Imam Syafi’ie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Apa yang lebih dibimbangi adalah Barat akan mengambil kesempatan terhadap perbalahan akibat perbezaan pendapat dalam bab furuk begini. Kita tidak mahu umat Islam beranggapan yang agama suci ini terlalu banyak mengongkong umatnya.
Walhal, Islam memang menyuruh kita berbuat baik contohnya kepada ibu bapa dan isteri. Tetapi disebabkan perbalahan tadi, Barat dilihat lebih mempromosikan kasih sayang apabila mewujudkan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Kekasih pada setiap 14 Februari.
Demikian juga halnya dengan sambutan hari lahir. Islam meraikannya dengan amalan sunat membuat akikah iaitu dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.
Apa yang kita bimbang, perbalahan dalam perkara furuk ini akhirnya menyebabkan masjid dan surau-surau menjadi kosong dan tidak diimarahkan.
Sebenarnya, dalam banyak perkara, Nabi SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana Islam meraikannya.
Cuma, barangkali kita kurang mempromosikannya berbanding Barat yang pada masa sama mahu melalaikan umat Islam melalui sambutan-sambutan tersebut.
Apakah pula hadis yang menyebut kelebihan bulan Syaaban dan apakah amalan sunat yang perlu dibanyakkan?
MOHAMAD SHUKRAN: Antara hadis tersebut adalah Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis lain yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban adalah “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”. (riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Wednesday, August 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment