SETIAP kata yang keluar daripada mulut mempunyai pengaruh dan implikasi besar terhadap orang lain. Apa saja kata yang keluar pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan kata-kata itu.
Jika orang melemparkan kata kasar dan kotor kepada kita, hati akan panas membara. Jika orang bercakap menggunakan bahasa dan kata yang halus dan lembut, hati akan sejuk sesejuk air mengalir.
Imam al-Ghazali menyebutkan, "Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun."
Dalam hal ini, Islam mengambil berat terhadap setiap perkataan yang diucapkan. Allah mengutuk dan membenci orang yang menggunakan lidahnya untuk mencaci atau mengeji. Allah berfirman yang bermaksud: "Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji." (Surah al-Humazah, ayat 1)
Hadis diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela)." (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Perbuatan memaki, menghina, menyumpah dan sebagainya sangat ditegah dalam Islam.
Ia hanya menimbulkan kebencian, pertelingkahan dan permusuhan sesama manusia. Islam menganjurkan umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik, halus, berlapik, manis, indah dan sopan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 83) Perkataan yang baik bukan saja menggembirakan pendengar, malah boleh mendatangkan pahala seperti dijelaskan hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Perkataan yang baik itu adalah sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Orang yang suka menghamburkan kalimat kasar dan kotor menandakan orang itu memiliki jiwa yang kasar dan kotor. Rasulullah SAW menekankan bahawa seorang mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.
Hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina." (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Jika ditinjau sejarah kehidupan Rasulullah SAW, kita akan mendapati Baginda tidak pernah berkata kasar kepada sesiapa pun, sebaliknya Baginda sentiasa menjaga tutur kata serta cara bergaul dengan setiap masyarakat.
Sikap Rasulullah SAW itu hendaklah menjadi contoh ikutan umat Islam hari ini. Jika berkata, berbicara, bergurau, bergaul dengan orang lain hendaklah dengan cara baik, bersopan santun dan penuh berbudi bahasa. Jika kita mengasihi orang lain dengan tidak menyakiti mereka, maka Allah merahmati kita.
Tidak ada yang lebih berharga di dunia ini dan di akhirat nanti melainkan rahmat Allah.
Tuesday, March 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment