Universiti elit AS tetapkan waktu berasingan siswi guna gimnasium
Universiti Harvard, antara pusat pengajian tinggi tersohor dunia yang terletak di Amerika Syarikat, akur dengan permohonan pelajar Muslim dengan menetapkan waktu khas bagi mereka menggunakan kemudahan di gimnasiumnya.
Laman web stesen televisyen Fox News melaporkan, berkuatkuasa 28 Januari lalu, Pusat Atlit dan Rekreasi Quandrangle, hanya dibuka kepada wanita pada jam 8 pagi 10 pagi setiap Selasa dan Khamis serta jam 3 petang 5 petang, setiap Isnin.
Keputusan pihak pengurusan yang mencetuskan rasa tidak senang beberapa pelajar, dibuat bagi memenuhi permintaan Pusat Wanita Kolej Harvard.
"Ia sebagai menyusuli permintaan asal enam pelajar wanita Muslim.
Kami melakukannya atas alasan agama tetapi pada masa sama kami membenarkan pelajar wanita yang bukan Muslim menggunakan kemudahan pada masa ditetapkan," kata Robert Mitchell, Pengarah Komunikasi Fakulti Sastera dan Sains Harvard.
Beliau berkata, Pusat Rekreasi dan Atlit Quadrangle adalah salah satu daripada tiga kemudahan utama ditetapkan di kampus di Cambridge, Massachussets biarpun sebahagian besar daripada 12 asramanya mempunyai kemudahan bersenam.
"Harvard sentiasa mengutamakan pelajar dan akur dengan keperluan agama masing-masing. Ini termasuk kawasan solat bagi pelajar Muslim dan ibadat bagi penganut Hindu. Kami turut menyusun jadual dengan mengambil kira cuti keagamaan.
"Ini adalah antara usaha memenuhi permintaan yang kami anggap wajar atas alasan agama, dan bukannya kerana soal jantina semata-mata. Sementara itu, Ola Aljawhary, siswi dan ahli Persatuan Islam Harvard mengalu-alukan keputusan pihak pengurusan yang disifatkannya amat tepat. Kemudahan gimnasium bagi siswi saja sememangnya amat diperlukan.
"Tempoh waktu yang ditetapkan bagi kegunaan siswi saja amat penting kerana ramai yang tidak berminat berkumpul di gimnasium kerana tidak selesa dengan kehadiran pelajar lelaki. Ini menyebabkan ramai tidak suka ke gimnasium, bukannya kerana enggan bersenam tetapi tidak selesa dengan kehadiran pelajar bukan muhrim."
Aljawhary berkata, pakaian sukan yang mengikut bentuk badan bagi memudahkan pelajar wanita bersenam, sebaliknya menimbulkan rasa tidak senang jika pelajar lelaki turut berada di situ. "Kami mahu bebas bersenam dan memakai pakaian bersesuaian. Namun, sudah pasti rasa tidak selesa dan rimas akan ketara jika pelajar lelaki berada di tempat sama.
" Bagaimanapun, tidak semua mengalu-alukan keputusan Harvard berkenaan termasuk pelajar tahun ketiga, Nicholas Wells yang menyifatkan perkembangan itu sebagai mengundang masalah.
Agensi
Wednesday, March 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment