MENGHAYATI akhlak mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan adalah keperluan untuk membimbing individu termasuk ahli politik, korporat dan pentadbir dalam urusan bermasyarakat dan bernegara.
Islam mempunyai asas akhlak yang tersendiri bersumber daripada semangat falsafah tauhid. Akhlak membicara mengenai sistem perilaku ditentukan Allah untuk manusia dalam menjalani kehidupannya. Justeru, semua kegiatan individu dalam urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang sudah ditentukan Allah.
Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing mereka kepada keserasian hidup dengan fitrah kejadiannya.
Natijah daripada keserasian itu membolehkan individu berkenaan memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia, seterusnya di akhirat.
Oleh itu, pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam. Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia.
Penyempurnaan akhlak manusia dalam semua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal menjamin masyarakat kepada kecemerlangan semua aspek kegiatan, termasuk usaha membangun negara.
Mengikut Imam Al-Ghazali, akhlak adalah satu kajian berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan mengenai kebenaran dan kebatilan berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu.
Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang individu. Setiap amalan baik adalah untuk menyuci jiwa semoga memperoleh pembalasan baik di akhirat. Kelakuan berakhlak bersamaan dengan tuntutan agama.
Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama makin berakhlak individu itu. Seterusnya Al-Ghazali menerangkan, akhlak adalah ilmu berkaitan roh, sifatnya dan ciri kelakuan manusia. Beliau dengan tegas menyatakan, akhlak ilmu amalan yang penting. Bagi beliau seseorang yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang lain.
Beliau menyarankan kemantapan akhlak mesti bermula dengan kefahaman berkaitan jiwa, kuasanya dan sifatnya.
Menguasai ilmu itu adalah syarat awal untuk menyuci jiwa seperti disarankan al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya." (Surah asy-Syams, ayat 9-10)
Manusia pada fitrahnya mengandungi sifat malakiah dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang sedia wujud pada diri manusia penting untuk dibangunkan. Islam tidak menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia.
Bahkan Islam mahu sifat bahimiah terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat malakiah menjamin perubahan mengikut nilai akhlak yang dapat membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.
Shah Waliullah, seorang ulama pada abad ke-18 ada mengutara beberapa asas akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu kemuliaan, ke arah menterjemah keadilan dalam semua urusan kehidupan hingga terbina sebuah peradaban yang tinggi.
Empat ciri asas akhlak itu adalah:
Taharah. Penyucian diri manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati dan kebersihan luaran.
Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya.
Kebersihan luaran meliputi sikap positif seperti, disiplin, pemakaian kemas dan bersih serta pertuturan mempamerkan sahsiah yang tinggi.
Memiliki nilai dalaman dan luaran menjadikan seseorang individu dapat menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin. Sifat keperibadian individu yang mulia itu akan dapat memainkan peranan positif kepada kegiatan kehidupan diceburi.
Asas ini mampu dibina menerusi amalan ibadat wajib dan sunat seperti solat tahajud, solat witir, berzikir khususnya pada larut malam hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina selepas hubungan erat dengan Allah diamalkan.
Ikhbat.
Menegak kebenaran menerusi ketaatan kepada Allah. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah menolak kebenaran, walaupun ia yakin sesuatu itu benar. Justeru, keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala tindak tanduk individu semoga semua tindak tanduk itu menepati arahan Ilahi. Kealpaan mendukung kebenaran menghasilkan individu yang munafik, iaitu tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan masyarakat itu.
Samahah.
Sifat bertolak ansur, pemurah dan pemaaf. Sifat ini perlu dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan setiap ahli masyarakat. Kemajuan sesebuah tamadun adalah usaha bersama oleh setiap individu. Ia menepati sifat tabii kemanusiaan yang memiliki ciri manusia sosial. Justeru, sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam sesebuah negara.
Adalah.
Bersifat insaf dan adil. Menghayati semangat keadilan dalam semua aspek kehidupan adalah kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, ayat 90)
Kecapaian pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan masyarakat adalah kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara dan syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.
Dalam usaha individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, golongan berilmu dikalangan masyarakat hendaklah memainkan peranan yang berkesan. Allah berfirman yang bermaksud:
"Allah mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain daripada-Nya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak dengan keadilan." (Surah ali-'Imran, ayat 18)
Daripada perspektif kemajuan ekonomi dan pembangunan negara, pendekatan yang diambil menepati semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai menerusi pendekatan keadilan sosial. Keadilan sosial bererti usaha ke arah pembasmian kemiskinan diberi keutamaan.
Ia diikuti dengan penghapusan segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha itu akan mengurang jurang perbezaan antara yang kaya dan kurang bernasib baik.
Turut diberi perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang ekonomi dapat dicetus.
Ia sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran. Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada pertumbuhan ekonomi disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan tercapai.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tuesday, March 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment