Monday, September 1, 2008

Ramadan bukan waktu untuk belanja ikut nafsu


Puasa mengajar umat Islam bersabar hadapi ujian kehidupan, hargai nikmat kemerdekaan
HARI ini sekali lagi umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, bulan mulia yang menjanjikan pelbagai pengajaran dan ganjaran, bulan untuk kita meningkatkan ibadat serta mendekatkan diri dengan Allah. Seperti yang dituntut oleh agama, berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga kerana tidak makan dan minum pada waktu siang hanyalah ujian kecil yang boleh dilakukan oleh sesiapa saja termasuk kanak-kanak.
Jika sekadar mahu mengenal erti lapar dan dahaga, berpuasa sehari dua sudah cukup untuk kita merasainya. Apa yang lebih penting, ibadat puasa mengajak kita membersihkan diri daripada segala nafsu mata, telinga dan mulut.

Dalam erti kata lain, puasa mengajar umat Islam supaya lebih bersabar menghadapi segala ujian kehidupan, bersabar menahan nafsu rohani dan jasmani, nafsu membazir dan hidup berfoya-foya, nafsu marah, dendam dan pelbagai tindakan negatif. Kerana itu, puasa Ramadan kali ini adalah peluang terbaik kita untuk menghayati makna sebenar ibadat itu.
Dengan harga barang bertambah mahal, Bajet 2009 seharusnya mengajar kita mengawal perbelanjaan pada Ramadan supaya tidak berlaku pembaziran. Biasanya nafsu untuk makan pada bulan puasa sememangnya banyak, pelbagai juadah hendak dimakan tetapi apabila tiba masa berbuka banyak pula yang tidak pun disentuh.

Di sinilah letaknya kekuatan kita melawan nafsu makan kerana nafsu tidak mempunyai sempadan sedangkan perut kita mempunyai hadnya. Kita harus sedar, dalam kita mengecap kemewahan, masih ramai yang diburu kemiskinan dan diancam kebuluran. Belajar berlapar dan menahan nafsu bukan saja mendekatkan kita dengan Tuhan, malah meningkatkan lagi kesedaran kita dengan erti kehidupan. Kepada peniaga pula, inilah waktunya untuk mereka menentang nafsu tamak dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya atau mengelirukan pengguna melalui pelbagai tawaran dan taktik menjelang musim perayaan nanti.
Islam sememangnya menuntut umatnya bersatu padu dan sentiasa bersyukur. Bagi umat Islam yang benar-benar insaf dan mengerti makna kesyukuran, sama seperti Ramadan, membawa seribu rahmat. Kerana merdekalah, umat Islam di negara ini bebas melakukan ibadat tanpa sebarang sekatan dan ancaman seperti dialami saudara mereka di banyak negara di mana Islam menjadi agama minoriti. Bagaimanapun nikmat itu mungkin hilang jika mereka terus bersengketa dan bergaduh sesama sendiri seperti terjadi di beberapa negara Islam sebelum ini.
Selamat berpuasa Ramadan, semoga terpancar rasa kesyukuran, keinsafan dan keimanan yang lebih tinggi di sanubari kita.

No comments: