KISAH ini berlaku lewat 1980-an membabitkan seorang pelajar perubatan di sebuah universiti di utara tanah air. Pelajar terbabit mengadu kepada rakan penulis bahawa kameranya bernilai lebih RM1,000 yang baru dibeli dan disimpan di bilik asrama hilang. Puas dicari, tetapi kamera itu gagal ditemui. Rakan penulis yang juga pengurus di asrama itu menjalankan siasatan. Semua pekerja disiasat, tetapi kamera yang dikatakan hilang, tidak juga ditemui.
Dalam kesibukan mencari kamera, seorang pekerja rakan penulis mencadangkan supaya pelajar terbabit berjumpa bomoh di sebuah kampung berhampiran pusat pengajian tinggi itu. Rakan penulis kemudian meminta pekerjanya membawa pelajar terbabit ke rumah bomoh berkenaan. Selepas memandu kira-kira 20 minit, kumpulan yang membabitkan rakan penulis, pelajar dan tiga pekerjanya tiba di rumah bomoh. Rumahnya agak kecil dan beratapkan nipah, manakala keadaan persekitarannya sunyi sepi.
Salam diberi, tetapi tiada jawapan. Untuk sekian kalinya barulah salam disambut. Kemudian muncul seorang lelaki gemuk berusia lingkungan 60-an yang hanya memakai kain sarung tanpa baju sambil menyambut salam kumpulan terbabit.
Masing-masing memandang sesama sendiri sebelum dipelawa naik ke rumah bomoh. Seorang pekerja rakan penulis yang pernah mendapatkan khidmat bomoh itu kemudian menyatakan hasrat kunjungan mereka. "Saya tahu apa maksud anak datang ke rumah saya. Seorang daripada anak mesti ada menghadapi masalah. Mungkin kehilangan barang berharga. Usah bimbang, saya akan berusaha untuk mendapatkannya semula," kata bomoh.
Bomoh terbabit kemudian mengambil mangkuk berisi air sambil membakar kemenyan di tempat khas. Selepas membaca beberapa potong ayat, bomoh terbabit meminta seorang pekerja rakan penulis melihat kandungan air di mangkuk itu.
Pekerja terbabit menurut kehendak bomoh dan kemudian dahinya berkerut sambil memerhatikan rakan penulis, pelajar terbabit dan dua rakan setugasnya. Bomoh terbabit kemudian menjelaskan; "Apa yang saya nampak, pencurinya berkulit putih dan berusia lingkungan awal 20-an. Pencuri ini berasal dari selatan (Pahang atau Johor). Dia kini dalam perjalanan membawa kamera untuk dijual." Bomoh itu kemudian menambah; "Yang lain saya tidak dapat buat apa-apa.
Gambaran yang saya lihat daripada mangkuk itu seperti apa yang saya katakan tadi." Pekerja rakan penulis kemudian bertanya berapa bayaran yang harus dibuat untuk perkhidmatan yang diberi bomoh berkenaan. "Terpulang..." kata bomoh itu. Selepas pelajar terbabit membayar 'imbuhan' berkenaan, kumpulan itu kemudian pulang dengan penuh tanda-tanya.
Sepanjang perjalanan pelbagai andaian dibuat mengenai gambaran pencuri yang dinyatakan bomoh terbabit. Selepas itu, siapa saja pelajar yang berkulit putih dan berasal dari Pahang, Johor, Melaka atau Negeri Sembilan disyaki pencuri. Paling sedih nak dijadikan cerita, rakan penulis turut dituduh mencuri kamera itu kerana berkulit putih dan berasal dari Johor. "Ini betul-betul kerja gila dan fitnah yang tidak dapat aku maafkan," kata rakan penulis kesal.
Kita tahu mendapatkan khidmat bomoh salah di sisi agama, tetapi kita tetap melakukannya. Itulah sikap segelintir orang Melayu, mengaku Islam, tetapi masih percaya perkara yang karut marut. Sehubungan itu, penulis bersetuju dengan pendapat Shamsul Ghazali, 35, bapa Muhammad Nazrin atau Yin yang hilang di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Mac tahun lalu. Shamsul meminta bapa Sharline, Mohd Nashar Mat Hussain supaya tidak menggunakan khidmat bomoh kerana kaedah yang digunakan mereka mungkin bertentangan dengan akidah hingga boleh membawa syirik.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Sesiapa datang kepada kahin (tukang tenung) menanyakan kepadanya sesuatu, nescaya tertutup pintu taubat selama empat puluh malam. Jika dia (orang yang datang itu) mempercayai apa yang dikatakan oleh tukang telek itu, nescaya dia kafir."
Sunday, January 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment