Friday, January 11, 2008

Bicara Agama - Solat bermula dengan niat

SOALAN:
Saya ada membaca tentang rukun solat. Saya keliru sebab ada yang mengatakan niat dahulu baru berdiri lurus, dan satu lagi mengatakan berdiri lurus dahulu baru niat sambil takbiratul ihram. Manakah yang betul?

JAWAPAN:
Berdiri dalam menunaikan solat adalah rukun kedua dalam solat bagi mereka yang mampu. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu secara duduk, jika tidak mampu duduk solatlah dengan berbaring. (riwayat al-Bukhari, jld: 2, hlm: 60, Abu Daud, no:952, al-Tarmidzi, no:372).

Bagi mereka yang tidak ada kudrat untuk berdiri, boleh solat sambil duduk dan kalau tidak mampu duduk boleh berbaring. Maksudnya di sini syarat berdiri adalah untuk mereka yang mampu.

Namun, niat dalam solat adalah rukun, tanpanya solat tidak sah. Niat perlu dilakukan di hati. Tidak timbul mampu atau tidak mampu. Semua orang yang waras pasti mampu berniat dalam hati. Biasa disebut dengan ungkapan ‘pasang niat’.

Persoalan sekarang, bilakah masa yang dituntut seseorang untuk berniat atau `memasang niat’nya dalam solat? Niat dalam solat mesti disertakan dengan perbuatan. Apakah perbuatan yang pertama dalam solat? Perbuatan pertama dalam solat ialah takbiratulihram.

Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. (riwayat al-Bukhari, no: 1, Muslim, no:1907). Kesimpulannya, niat harus dilakukan ketika takbiratul ihram. (al-Iqna’, Shamsuddin, Khatib al-Syarbiniy, jld:1, hlm:291).

SOALAN:
Bagaimana agaknya jika seseorang itu amat yakin akan kewujudan Allah dan semua yang ada dalam rukun iman. Selain itu, dia seseorang itu juga melakukan semua yang diperintahkan Allah. Tetapi sejak kebelakangan ini, di hatinya sering terlintas perkataan yang tidak sepatutnya iaitu murtad. Tetapi selepas disedari, dia menenangkan hatinya dengan mengucap kalimah syahadah dan lain-lain bahawa dia hanya mempercayai Allah dan amat menyayangi agama Islam.

Bukan sekali perkataan itu terlintas di hatinya. Setiap kali melakukan sesuatu dia akan meyakinkan diri bahawa dia masih mukmin. Walaupun apabila melakukan ibadat, sering terlintas adakah Allah menerimanya? Tetapi dia akan meyakinkan diri bahawa Allah Maha segala-galanya. Bagaimana mengatasi perkara ini ustaz?

JAWAPAN:
Apa yang terlintas dalam hati itu adalah punca dari bisikan syaitan. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: Katakanlah: “Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia. (an-Nas: 1-5).

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa? (Tahaa: 120).

Dalam surah yang lain firman Allah s.w.t yang bermaksud: Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga). (al-A’raaf: 20).

Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak Adam, hal ini dijelas oleh Allah dalam surah al-Nisa’ yang bermaksud: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka Telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (al-Nisa’: 60).

Syaitan hanya tahu menjanjikan sesuatu yang bersifat tipu daya, firman Allah yang bermaksud: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu, dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.(al-Israk: 64)

Dalam ayat ini Allah memberi kesempatan kepada Iblis untuk menyesatkan manusia dengan segala kemampuan yang ada padanya. Tetapi segala tipu daya syaitan itu tidak akan mampu menghadapi orang-orang yang benar-benar beriman.

Jelas sekali orang beriman sama sekali tidak dapat dipesong oleh syaitan. Sudah menjadi tugas syaitan sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia supaya kufur kepada Allah. Jadinya, orang mukmin sering bersaing di antara bisikan kebaikan dan bisikan kejahatan.

Mereka yang memiliki kejituan iman dan menyedari bisikan keburukan itu bisa menyesatkan dan memesongkannya dari hidayah pasti akan segera beristighfar dan mengingati Allah s.w.t.
Apa yang penting di sini ialah sedar dan terjaga dari bisikan dan segera kepada mendampingi Allah dengan doa. Seseorang yang mampu menghadapi situasi sebegini pasti satu hari nanti bisikan itu akan hilang dan pergi jauh daripadanya. Ini kerana tidak berjaya mengheret mangsanya kepada kesesatan.

Bisikan ini timbul mungkin kerana dua punca; pertamanya: kerana iman yang lemah, keduanya; kerana imannya kuat. Syaitan sentiasa mencari peluang dari punca yang pertama untuk menyesatkan seseorang itu. Golongan ini sering tewas kepada bisikan syaitan. Golongan kedua pula kerana iman mereka sering diuji dengan gangguan bisikan.

Dalam ayat di atas jelas bagaimana Nabi Adam a.s dan isterinya Hawa a.s diganggu gugat dengan bisikan dan cubaan untuk menyesatkan mereka daripada mentaati perintah Allah.
Tidak sekadar Adam a.s tetapi kebanyakan anbiya’ dan rasul diuji iman mereka. Orang beriman pasti akan diuji. Cuma ujian antara seorang hamba dengan seorang hamba yang lain tidak sama. Sentiasalah ingat kepada Allah kerana dengan mengingati Allah, manusia pasti akan mendapat ketengan yang hakiki.

Fikirlah akan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Minda yang positif pasti akan bertahan biar apa sahaja ujian yang mendatang.

* Sebarang kemusykilan agama boleh dihantar ke Utusan Melayu (M) Bhd, 46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200, Kuala Lumpur atau faks ke 03-9222 4967 atau emel ke agama@utusan.com.my.

No comments: