SOALAN:
Sejauh manakah kaum wanita boleh turut terlibat dalam politik? Wajarkah mereka dipilih jika menentang kaum lelaki, sedangkan lelaki dikatakan lebih berupaya menjadi pemimpin?
JAWAPAN:
Kaum wanita tidak ada bezanya dengan lelaki menurut kefahaman Islam yang sebenar. Mereka dituntut beribadat, menunaikan tanggungjawab, mengambil tugas amar makruf dan nahi mungkar seperti lelaki. Apabila al-Quran menyerukan wahai manusia atau wahai orang beriman ia termasuk lelaki dan wanita kesemuanya. Pendek kata, apa sahaja hak dan kewajipan kepada lelaki, itulah juga hak dan kewajipan perempuan.
Pada zaman rasulullah kaum wanita memainkan peranan cukup cemerlang. Khadijah manusia pertama menerima kerasulan Muhammad. Sumayyah orang Islam pertama mati syahid, malah ramai daripada kalangan mereka turut dalam banyak peristiwa termasuk perang Uhud dan perang Hunain.
Ada beberapa hukum yang berbeza pada kaum wanita yang tidak ada pada lelaki seperti hukum haid, nifas, mengandung, bersalin, menyusu anak dan sebagainya.
Sementara beberapa perkara terkena ke atas lelaki tetapi tidak perempuan seperti memberi nafkah keluarga, menjaga keluarga dan beberapa perbezaan dalam hukum perkahwinan, pesaka dan persaksian.
Isu bolehkah wanita masuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menjadi pemilih tidak timbul langsung sebab tidak ada keterangan yang jelas melarangnya. Kaedah syarak, jika tidak ada larangan, hukumnya harus, ertinya dibolehkan.
Orang selalu mengaitkan dengan ayat yang menyuruh isteri nabi tidak keluar rumah kecuali ada keperluan. Ulama mengkhaskan ayat ini untuk isteri nabi yang agak ketat berbanding wanita lain. Pada zaman ini pun isteri pemimpin atau permaisuri sultan tidak layak merayau-rayau seperti wanita biasa.
Malah Aisyah, isteri Rasulullah pun keluar rumah jika ada tujuan baik malah turut sama dalam perang. Pada zaman ini wanita seperti juga lelaki keluar ke sekolah, universiti dan berkerjaya; doktor, guru, pegawai dan tidak ada pun pihak yang tidak menyukainya. Ertinya, secara ijmak wanita dibenar keluar rumah jika keadaan memerlukan.
Wanita Islam perlu keluar rumah untuk mengundi bagi berdepan dengan wanita kaum lain dan agama lain yang dibenar keluar untuk mengundi. Malah keperluan turut serta dalam pilihan raya menjadi keperluan negara dan masyarakat. Malah wanita perlu ada wakilnya di badan-badan pembuat dasar.
Selalu dihujahkan, jika wanita menerima pencalonan sebagai wakil rakyat akan mendedahkan mereka kepada pergaulan dengan lelaki dalam kempen dan sebagainya.
Perkara ini memang patut diberi perhatian agar jangan berlaku kebebasan di luar batas. Tetapi terlampau ketat menutup pintu pun tidak elok, seperti membuka pintu terlampau luas. Kita harus kembali kepada kesederhanaan Islam.
Hak
Jika suara dan undi wanita tidak diambil kira, lebih banyak bahaya kepada umat. Sedang dalam masa yang sama wanita lain diberikan hak bersuara dan hak mengundi.
Pada zaman dahulu, wanita dihalang belajar menulis kerana bimbang pandai menulis surat cinta. Pada hari ini siapa yang sanggup tidak menghantar anak perempuan mereka ke sekolah atas alasan bimbang nanti pandai menulis surat cinta? Bukan pandai menulis itu yang salah, malah pandai menulis itu lebih banyak kebaikan.
Satu alasan lain yang selalu digunakan untuk tidak membenar wanita ikut sama bertanding dalam pilihan raya kerana kepimpinan adalah tugas lelaki, bukan wanita. Jawapannya mudah sahaja. Wanita tidak akan menjadi angka majoriti di parlimen, masih minoriti. Majoriti tetap kaum lelaki. Lelaki masih membuat keputusan dan wanita ikut serta membuat keputusan. Tidak timbul wanita akan menguasai lelaki.
Isu kepimpinan lelaki, jika ditelusuri dengan baik berkait dalam pimpinan rumah tangga. Lelaki adalah ketua rumah tangga. Mereka lebih bertanggungjawab. Meskipun begitu ada pula peranan wanita di situ.
Memang ada tafsiran yang wanita tidaklah boleh sampai menjadi ketua negara atau Perdana Menteri. Tetapi melantik wanita menjadi mufti, guru hatta menteri, tidak ada larangan yang jelas. Mazhab Hanafi membolehkan wanita dilantik menjadi hakim. Turut berkongsi pandangan ulama seperti al-Tabari dan Ibn Hazam.
Parlimen dan DUN memikul tanggungjawab memantau dan membuat dasar. Perkara ini dalam istilah islah tidak terkeluar daripada amar makruf dan nahi mungkar atau nasihat. Kedua fungsi ini tidak ada nas dalam Islam yang hanya khusus kepada kaum lelaki sahaja.
Semua orang tahu cerita Umar Bin Al- Khattab menarik balik pandangannya kerana dikritik oleh sorang wanita. Malah sebelum itu nasihat Ummu Salamah kepada Nabi ketika perang Hudaibiah.
Jika wanita berhak menasihati nabi dan khalifah, mana pula hak kita zaman ini menghalang wanita untuk ke majlis permesyuaratan tertinggi dalam negara dan negeri?
Perkara ini bukanlah ibadat khusus. Dalam perkara umum sebegini, ia dianggap harus selagi tidak ada dalil kukuh menghalangnya. Alasan mengatakan tidak ada berlaku dalam sejarah wanita berbuat demikian, Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan, ia termasuk perkara yang berubah fatwa mengikut perubahan zaman dan keadaan.
Contoh paling jelas, kata al-Qaradawi lagi, pada zaman ini kita memberi ruang kepada wanita dengan tugas yang belum diberikan dulunya. Umpamanya di Malaysia ada wanita yang sudah dilantik ke jawatan Gabenor Bank Negara, atau Naib Canselor dan sebagainya. Apa bezanya dengan memberikan mereka hak ke parlimen dan DUN?
Kalau berijtihad dibenar kepada lelaki dan wanita yang mencukupi syarat, tidak ada sebab menghalang mereka ke majlis perundangan ini. Aisyah adalah mufti sekali gus seorang mujtahid.
Memang jumlah mereka tidak ramai yang sampai ke tahap itu. Ini merujuk kurangnya mereka diberi peluang belajar pada zaman dahulu. Pada hari ini keadaan sudah terbalik, di mana wanita Malaysia sudah menyaingi kaum lelaki dalam pendidikan.
Berhati-hati
Al-Quran menceritakan tentang puteri Balqis yang menjadi pemerintah di negara Saba. Seorang ratu yang cukup bijak dan berhati-hati ketika berdepan dengan nabi Allah Sulaiman. Akhirnya beliau memeluk Islam.
Kisah ini paling tidak menunjukkan kebijaksanaan wanita dalam mengurus politik dan pemerintahan.
Walau bagaimanapun pandangan ini tidaklah membenarkan wanita bebas bergaul tanpa batas dengan lelaki seperti berlaku dalam beberapa keadaan. Atau kerana asyik berpolitik sampai mengabaikan hak suami dan anak-anak. Wallahualam.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur.
Tuesday, February 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment