Ulama pewaris nabi menambah baik sistem kewangan Islam, perkuat isu kehidupan ummah penuh rahmat DALAM Kuala Lumpur Islamic Finance Forum 2007 anjuran Centre for Research and Training (CERT) tahun lalu, ada disarankan agar institusi kewangan Islam seharusnya melantik pakar syariah sepenuh masa supaya senang membuat rujukan dan mendapatkan nasihat. Dengan adanya penasihat syariah sepenuh masa dalam perbankan atau institusi kewangan Islam amnya, produk inovatif syariah akan lebih banyak diperkenalkan. Ia kerana penasihat syariah akan menumpukan perhatian kepada penerokaannya sama ada menjumpai satu-satu produk dalam khazanah fikah Islam mahupun mencipta satu produk baru yang belum pernah wujud sebelum ini. Perkara ini boleh dibuat seandainya penasihat syariah sudah sebati dengan organisasi perbankan Islam atau institusi kewangan Islam.
Panduan yang lazimnya dilakukan penasihat syariah perbankan Islam adalah hakikat jenis kontrak dalam khazanah fikah Islam yang antaranya adalah kontrak dalam jenis aqud musamma dan uqud ghayr musamma atau uqud mustajiddah. Yang pertama disebut merujuk jenis kontrak yang sudah dibincangkan ulama terdahulu yang membincangkan pengertian, syarat, rukun dan hukumnya seperti kontrak jual beli, sewa, dan penjaminan. Yang kedua pula disebut merujuk kepada jenis kontrak yang belum pernah atau tidak pernah disentuh dan dibincangkan oleh ulama silam secara spesifik. Antara uqud ghayr musamma yang dicipta ulama semasa dan diguna pakai secara meluas pada hari ini adalah murabahah li al-amir bi al-syira', ijarah muntahiyah bi tamlik, musyarakah mutanaqisah dan wakalah bi istithmar. Jadi kerja penasihat syariah yang boleh dianggap sebagai mujtahid di sini adalah melakukan ijtihad ketika menerusi penemuan pandangan ulama terdahulu mahupun mencari yang terbaik daripada pandangan mereka. Dalam mempertimbangkan uqud mustajiddah beberapa perkara utama harus diambil kira. Dr Nazih Hamad dan Dr Mohammad Ali al-Qari, seperti ditulis Suhaimi Mohd Yusof dan Ahmad Hazim Alias menggariskan dhawabit atau panduan tertentu yang perlu dipatuhi dalam pembentukan apa saja konsep uqud mustajiddah. Panduan itu ialah:
l Tujuan melaksanakan kontrak baru berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan masyru`ah yang diharuskan syarak serta atas dasar maslahah muktabarah atau kemaslahatan (faedah) yang diambil kira. l Ia hendaklah bebas daripada riba, gharar fahisy, ghisy, tadlis, daripada memakan harta secara batil, tidak memudaratkan salah satu pihak atau mengakibatkan kehilangan hak seseorang. l Ia tidak bercanggah dengan nas atau ijmak yang sorih dan jelas. l Kontrak baru boleh terbina sama ada ia langsung tidak menyerupai mana-mana uqud musamma yang sedia ada dalam syarak atau menyerupai uqud yang sedia ada dalam fiqh tetapi berbeza dari segi syarat.
Dalam keadaan di mana syaratnya berbeza, maka pada ketika ini syarat itu perlu diteliti daripada beberapa sudut yakni jika ia menggugurkan syarat yang dinaskan maka hukumnya haram. Sebagai contoh jual beli tertangguh dalam pasaran komoditi di pasaran komoditi antarabangsa menyerupai jual beli saham, tetapi ia tidak mempunyai syarat penyerahan modal ketika majlis akad, sedangkan penyerahan modal ketika majlis adalah syarat dinaskan. Kedua, jika ia menggugurkan syarat yang juga ijtihad ulama maka hukumnya bergantung kepada: kewujudan `illah syarat berkenaan. Contohnya syarat mudarib mesti seorang Muslim diwujudkan kerana terdapat kesangsian bahawa seorang bukan Muslim tidak memelihara soal riba dan perkara haram, tetapi dengan wujudnya aktiviti pengawasan kegiatan perniagaan, rekod dan perakaunan, kesangsian itu tidak lagi timbul. Oleh itu, pengguguran syarat ini tidak menjejaskan kontrak. Dan 'uruf yang berkaitan. Contohnya, garam pada masa silam dikategorikan sebagai al-makilat, tetapi pada masa kini ia dikategorikan sebagai al-mauzunat. Akhirnya persekitaran ekonomi semasa. Contohnya logam lain seperti besi dan tembaga yang dijadikan sebagai alat perantara pertukaran dikeluarkan daripada hukum sarf dan jual beli saham dalam mata wang diharuskan ketika mata wang yang diguna pakai adalah dinar dan dirham. Jika syarat yang wujud dalam kontrak baru tidak diketahui dalam perbahasan fikah terdahulu, maka syarat itu harus selagi ia mengandungi kemaslahatan pihak berkontrak dan tidak membatalkan atau menafikan tujuan kontrak muqtada al'aqd. Syarat itu dianggap fasid dan menjejaskan kontrak jika ia membawa kepada perkara haram dan menafikan tujuan kontrak. Dengan perkataan lain, penerokaan produk perbankan Islam memerlukan tajdid atau pembaharuan fikah. Tajdid boleh diertikan sebagai pembaharuan (renewal); memulih (islah) atau merangka semula (reshape). Dalam konteks tulisan ini tajdid mungkin boleh merujuk kepada usaha merangka semula jenis kontrak khasnya uqud ghayr musamma dalam Islam sebagai tindak balas kepada pelbagai cabaran industri perbankan dan kewangan Islam. Tajdid adalah perkara lumrah dalam fikah Islam. Dalam sejarah perkembangan mazhab Shafie ia sudah melalui beberapa proses "pembaharuan", "tajdid", tanqih dan tahdhib. Sebagai contoh, dua kali tanqih berlaku dalam mazhab Shafie. Tanqih pertama (505-676H) diketuai oleh al-Imam al-Rafi'i (557-623H) dan Imam al-Nawawi (631-676H), manakala tanqih yang kedua (676-1004H) dipimpin oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami (m.973H) dan Imam al-Ramli (m.1004H). Tanqih al-madhhab boleh difahami sebagai menyucikan mazhab daripada pendapat yang pelik (shadh) dan marjuh; atau menerangkan qawl muktamad fuqaha mazhab dalam semua bab fiqh. Faktor tanqih ini merujuk kepada beberapa sebab terutama "lambakan karya fiqh, takhrij fiqh yang menyalahi usul mazhab, istinbat yang marjuh atau ijtihad yang syaz; taksub mazhab dan sebagainya. (Prof Madya Dr Abdul Karim Ali, "Tajdid Fiqh Mazhab Shafie di Malaysia") Amalan perbankan dan kewangan Islam membabitkan aktiviti kewangan yang dilakukan berdasarkan falsafah, prinsip dan konsep yang digariskan dalam syariah. Amalan perbankan dan kewangan Islam semasa dibangunkan dengan meletakkan beberapa asas penting bagi memastikan kepatuhannya kepada hukum syarak. Asas-asas utama itu ialah bebas daripada amalan riba, meminimumkan gharar dan bebas daripada unsur judi (maysir). Ulama secara umumnya sepakat berhubung pengharaman riba. Bagaimanapun, ulama mempunyai pandangan berbeza dalam soal kategori atau jenis riba dan `illah pengharaman riba. Ulama pada dasarnya sepakat berhubung keperluan menghindari unsur gharar dalam aktiviti muamalat. Namun begitu, ulama dalam membahaskan mengenai gharar, memberikan definisi gharar yang pelbagai. Penghapusan unsur perjudian dalam aktiviti muamalat Islam adalah perkara yang disepakati oleh semua ulama kerana terdapat dalil yang jelas terhadap pengharamannya. Urusan muamalat adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dalam mengatur kehidupan umat. Asas syariah yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah menjadi sandaran utama dalam mentafsirkan kehendak dan keperluan manusia yang sering berubah-ubah dari semasa ke semasa. Dalam konteks meraikan kehendak dan amalan semasa berhubung dengan muamalat, syariah sama sekali tidak menyempitkan keadaan dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ijtihad ulama diperlukan untuk memperincikan hukum sesuatu perkara yang digambarkan secara umum oleh kedua-dua sumber utama itu. Ruang lingkup ijtihad ulama sudah pastinya berasaskan sumber utama dengan melihat realiti kehidupan yang lebih praktikal sejajar kehendak syariah. Bagi menangani isu semasa muamalat, ulama fikah mengambil kira secara serius perkara pokok dalam tradisi istinbat al-ahkam (kaedah perumusan hukum). Namun begitu, dalam menjalankan tanggungjawab ini, ulama sentiasa mengambil pendekatan seimbang antara aspek teori dengan amalan dan antara pematuhan prinsip syariah dengan `urf al-iqtisadiyyah (amalan kebiasaan aktiviti ekonomi). Dalam konteks ini, terdapat kaedah fikah yang bermaksud: "Tidak boleh dinafi atau diingkar perubahan sesuatu hukum kerana perubahan masa". Kaedah membawa mesej jelas betapa hukum akan berubah dengan perubahan budaya dan cara hidup manusia. Dalam bidang perniagaan, kaedah perniagaan juga terus berubah bersama-sama dengan kemajuan zaman dan tamadun manusia itu sendiri. Kaedah fikah menyatakan "perkara yang menjadi amalan dalam kalangan peniaga adalah pengikat antara mereka". Seperti dinisbahkan Subhi Mahmasani kepada Ibn al-Qayyim apabila dia berpendapat kegagalan memberikan tindak balas yang tepat terhadap perubahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan. Katanya:
interpretasi undang-undang sewajarnya berubah dengan perubahan masa, tempat, keadaan, dan adat pengabaian fakta ini mengakibatkan ketidakadilan kepada syariah dan menyebabkan banyak kesukaran dan kepayahan. Sungguhpun begitu, memang diketahui bahawa syariah yang mulia lagi memelihara kepentingan tertinggi manusia tidak akan membenarkan natijah sedemikian." (Lihat Suhaimi & Ahmad, "Kedudukan Mazhab Syafi'i dalam Produk Kewangan Semasa) Islam adalah suatu cara hidup. Ulama adalah pihak yang bertanggung jawab memastikan Islam itu didukung dengan sewajarnya. Mereka berusaha menjernihkan semua isu dan masalah kehidupan masyarakat Islam. Malah, kekuatan masyarakat Islam terletak kepada kewibawaan dan pendekatan mereka sebagai ulama pewaris nabi. Namun dalam melaksanakan peranannya ulama berdepan perbezaan pendekatan dan pendapat sehingga boleh menjejaskan imej Islam sebagai agama yang penuh rahmat bukan saja untuk umat Islam bahkan untuk manusia sejagat. Di sinilah letak pentingnya inovasi dalam perbankan dan kewangan Islam yang juga satu sendi perekonomian dunia. Sudah menjadi kenyataan bahawa wang global khasnya milik umat Islam yang sebelum kejadian buatan 9/11 di Amerika Syarikat 'diletak' di Barat, kini ia seolah-olah sedang balik kampung. Jika sistem kewangan Islam tidak inovatif dan kondusif serta mengakomodasi arus balik ini sudah tentu akan ada sistem lain yang melahapnya. Dan pada masa itu, umat Islam juga yang merugi. Wallahu a'lam.
Monday, February 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment