Friday, February 29, 2008

Dosa besar mengumpat

AKHLAK atau budi pekerti yang baik merupakan darjat paling tinggi bagi umat Islam. Akhlak yang baik akan menentukan kuat atau lemahnya suatu bangsa atau negara.
Apabila suatu bangsa sudah tidak memiliki moral yang baik maka bangsa itu sedang menempuh jalan kehancuran.
Mengenai akhlak terhadap sesama manusia, al-Quran memberi petunjuk bukan hanya dalam bentuk larangan melakukan hal-hal yang negatif seperti membunuh, tetapi juga memaki hamun, menyakiti hati dengan cara menceritakan aib seseorang di belakangnya tanpa mempedulikan aib itu benar atau salah.
Memperkatakan sesuatu menyentuh peribadi seseorang sehingga boleh mencemar kewibawaannya di khalayak ramai atau memperkatakan sesuatu yang bukan menyentuh peribadi dengan maksud untuk menjatuhkan seseorang tanpa pengetahuan orang yang diperkatakan, maka itu adalah umpatan.
Keangkuhan yang ada pada diri seseorang juga menyebabkan dia mengumpat orang lain akibat tidak dapat menerima hakikat yang orang lain itu lebih baik dan lebih mulai daripada dirinya.
Dia berbuat begitu kerana merasakan dirinya lebih layak dan terbaik atau lebih baik lalu merendah-rendahkan orang tersebut.
Dalam hal mengumpat, jumhur ulama telah sepakat mengatakan bahawa ia adalah satu perbuatan keji dan dosa besar.
Pengumpat, pemfitnah termasuk dalam kategori pencela yang mana mereka itu semuanya dijanjikan dengan azab neraka.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji.” (Surah Al-Humazah ayat 1).
Memang tidak dapat dinafikan dalam keadaan tertentu membicarakan tentang kedurhakaan seseorang itu diharuskan.
Namun persoalannya apakah orang yang diumpat itu sudah nyata dari segi kefasikan dan kekejian perbuatannya atau sekadar prasangka buruk kita sahaja tanpa bukti yang sahih dan kukuh. Imam Malik meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jauhilah berprasangka, kerana prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta. Janganlah kamu meneliti rahsia orang lain, mencuri dengar, bersaing yang tidak baik, saling mendengki, saling membenci, saling membelakangi. Jadilah kamu ini sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara”.
Dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apakah kamu sekelian tahu apa itu ghibah? Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Lalu Nabi bersabda: “Kamu menceritakan sesuatu tentang diri saudara kamu yang ia tidak sukai.” Salah seorang sahabat bertanya: “Bagaimana pendapat tuan hamba, jika apa yang saya perkatakan itu memang ada pada diri saudara saya. Baginda menjawab: “Walaupun apa yang kamu perkatakan itu memang ada pada diri saudara kamu, ia tetap ghibah terhadapnya. Dan sekiranya tidak ada maka engkau telah melakukan dusta terhadap dirinya.” (Riwayat Muslim).
Keji
Justeru larangan mengumpat sangat keras (dosa besar dan keji), maka Allah menyerupakan perbuatan ghibah (mengumpat) dengan memakan daging manusia yang sudah menjadi bangkai.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap harta, kehormatan dan darah seorang muslim adalah haram atas Muslim lainnya. Cukup buruklah seseorang yang merendahkan saudaranya sesama Muslim.”
Dalam sebuah hadis dinyatakan berkaitan dengan keburukan mengumpat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. “Mengumpat atau membicarakan aib orang lain itu lebih teruk dosanya daripada perbuatan zina. Mereka(para sahabat) bertanya: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?" Nabi bersabda: “Orang lelaki berzina lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampuninya. Adapun orang yang mengumpat, tidak akan diampuni, kecuali orang yang diumpat itu memaafkannya terlebih dahulu. “Manakala balasan yang disediakan untuk orang mengumpat ialah sebagaimana sabda Nabi maksudnya: “Orang-orang yang mengumpat, orang-orang yang mencela dan orang yang melaga-lagakan orang serta orang yang membuat hina atau cela terhadap orang yang bersih daripada sifat keji atau cela itu. Maka nanti di hari Kiamat mereka semua akan dikumpulkan atau himpunkan dalam rupa anjing”.
Antara lain, orang yang mengumpat itu akan diambil pahala dan kebajikan yang dia lakukan serta diberikan kepada orang yang diumpatnya pada hari kiamat nanti sebagai balasan.
Islam melarang keras perbuatan menghina, mencela, memfitnah orang lain kerana dengan perbuatan-perbuatan itu boleh menyebabkan putusnya hubungan persaudaraan.
Perbuatan seumpama itu boleh menjatuhkan maruah orang yang terlibat. Malah perbuatan seperti ini amat tidak sesuai sama sekali dengan orang beriman, kerana orang beriman itu hendaklah sentiasa menyedari dirinya juga lemah, kurang dan ada keburukan.
Namun orang yang tidak beriman atau tidak benar-benar beriman sahaja yang lupa diri dan sengaja atau sentiasa mencari kelemahan dan mendedahkan keburukan atau kelemahan orang lain.
Mengumpat adalah satu sikap daripada beberapa sifat akhlak buruk yang harus dihindarkan daripada menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.”
Sesiapa sahaja yang sengaja mencari jalan kelemahan seseorang yang lain dan mengintai-intai keaiban orang lain, sesungguhnya orang itu tidak dijamin keselamatannya.
Sebaliknya bukan keaiban orang yang disebarnya terdedah kepada orang tetapi keaibannya juga akan terbuka dengan sendirinya.
Allah akan mendedahkan kelemahan di dalam lingkungan rumah tangganya sebagai balasan ke atasnya yang suka mencari-cari kelemahan dan aib orang lain.
Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Lisannya tidak pernah digunakan untuk memfitnah atau mengumpat, menyinggung perasaan orang lain, kata-kata kasar atau kotor atau untuk menghina orang lain.
Ketika kita berbeza pendapat apa yang harus dilakukan ialah selalu memegang teguh etika Islam iaitu tidak menghilangkan etika bicara yang baik dan sopan.
Perkataan yang baik atau sopan merupakan kunci pergaulan yang boleh mengeratkan tali persahabatan yang abadi. Di dalam al-Quran disebut dengan bermacam-macam istilah termasuk Qaulan maruf (perkataan yang baik) Surah al-Nisa:5; Qaulan baligha (perkataan yang menyentuh perasaan) Surah al-Nisa: 63; Qaulan sadida (perkataan yang lurus dan bermakna) Surah al-Ahzab: 70; Qaulan karima (perkataan yang mulia) surah al-Isra: 23; Qaulan ahsan (perkataan yang terbaik) surah Fuhshilat: 33; Qaulan layyina (perkataan yang lemah lembut) surah Thaha: 44; Qaulan azhima (perkataan yang agung) surah al-Isra: 40; Qaulan thayyib (perkataan yang bersih/baik) surah al-Hajj: 24.
Kita sesama Islam hendaklah menjaga dan mempertahankan nama baik dan kehormatan sesama Muslim.

* PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

Thursday, February 28, 2008

Kita digalak infak di jalan Allah

FIRMAN Allah s.w.t., Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafaat.

Dan orangorang kafir. Itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

SYEIKH Sya’rawi berkata: “Dengan pengorbanan manusia sama ada jiwa raga atau harta benda seperti ayat-ayat terdahulu maka amat munasabah dibincangkan di sini berkenaan nafkah khususnya pada zaman dahulu orang yang berperang akan menyediakan peralatan perang sama ada kudanya, lembing, pedang dan alat-alat panah.

Semuanya itu memerlukan kepada nafkah”.
Allah membicarakan hal ini kerana untuk mengekalkan keimanan yang digambarkan pada manhaj langit yang dibawa oleh rasul-rasul supaya manhaj ini sentiasa kekal di bumi sehingga manusia kembali padanya.

Sayyid Qutub berkata: “Oleh sebab itulah selepas pembicaraan mengenai perselisihan dan peperangan itu ayat yang berikut diiringi seruan, “Wahai orang-orang yang beriman!” Ia mengajak mereka mengeluarkan infak di jalan Allah daripada sebahagian rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka. Infak itu gambaran jihad dan nadi jihad”.
Firman Allah: Hai orang-orang yang beriman.

Sayyid Qutub berkata: Itulah seruan dengan menyebut sifat yang sangat disukai oleh orang-orang yang beriman, iaitu sifat beriman yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka dan yang dipercayai oleh mereka.

Itulah seruan kepada infak di jalan Allah dengan menghulurkan sebahagian dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, kerana Allahlah yang memberi dan Dialah juga yang menyeru supaya membelanjakan apa yang telah diberikanNya (ke jalan Allah).

Firman Allah, Belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah kami berikan kepadamu.

Al-Baghawi menaqalkan pendapat As-Suddi dengan berkata: “Dikehendaki dengannya zakat yang difardukan. Pendapat yang lain pula dengan maksud sedekah sunat dan nafkah pada kebaikan”.

Sayyid Qutub berkata: “Itulah seruan merebut suatu peluang yang andainya terluput daripada mereka ia tidak akan kembali lagi”.

Firman Allah: Sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafaat.

Menurut Hamka: “Sekalipun engkau bersahabat karib dengan seorang yang hebat dalam agama, ia tidak akan membantumu atau mensyafaatkanmu di waktu itu supaya Allah meringankan azab terhadap kesalahanmu. Yang hanya dapat melindungimu di akhirat kelak ialah keinsafan sekarang. Harta benda yang telah dikurniakan Allah s.w.t. kepada kita bukanlah milik kita sepenuhnya walaupun setelah kita mengakui keimanan terhadap Allah”.

Orang yang beriman pasti mengakui keimanannya dan sekiranya dia bakhil tanda imannya telah tercalar.

Watak manusia ada dua: Sesetengah orang menamakannya dengan kata rayuan, ajakan halus yang dinamakan sebagai galakan. Maka pada ayat 245 kepada orang yang halus begini Tuhan berkata lain.

Tuhan bertanya: Siapakah gerangan yang sudi membuat pinjaman dengan Tuhan dengan satu pinjaman yang baik? Agar kelak dibayar dengan ganjaran yang berlipat kali ganda? Dan dengan halus pula Tuhan mengakui bahawa Dia kadang-kadang memberi dengan anugerah dengan lebar dan kadang-kadang dengan berbatas-batas. Namun semuanya akan kembali kepada Tuhan jua.

Namun di ayat yang tengah ini kita membicarakan Tuhan bukan bersabda ‘meminjam’. Sebab ada orang yang banyak mendengar kata demikian. Ayat ini memperingatkan bahawa rezeki yang kamu pakai dan makan itu daripada Tuhan asalnya: Razaqnakum. Kami kurniakan kepada kamu. Ayat ini bukan ancaman lagi melainkan sesudah ancaman. Tidak dipujuk rayu tetapi sebagai ancaman. Kalau kamu mengakui beriman, padahal kamu bakhil dan yang akan kamu keluarkan itu bukan milik kamu melainkan anugerah Allah. Maka berwaspadalah kamu di hadapan Allah kelak.

Sayyid Qutub berkata: “Itulah peluang dan kesempatan yang tiada lagi selepasnya – jika mereka kehilangannya – sebarang jual beli yang memberi keuntungan dan sebarang persahabatan atau pertolongan yang dapat menghindarkan mereka dari akibat kegagalan dan kecuaian itu”.

Ayat yang berikut memberi isyarat kepada mauduk infak yang kerananya Allah menyeru mereka supaya membelanjakan harta mereka, iaitu mauduk infak kerana jihad di jalan Allah untuk menolak kekafiran dan menolak kezaliman yang wujud di dalam kekafiran itu.

Firman Allah: Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim.

Sayyid Qutub berkata: Mereka telah menzalimi kebenaran kerana itulah mereka mengingkarinya. Mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan meletakkan diri mereka di jalan kebinasaan.

Mereka menzalimi orang ramai dengan perbuatan mereka menghalang mereka dari mendapat hidayat dan menindas mereka supaya meninggalkan keimanan.

Melakukan pengeliruan dan pemalsuan terhadap mereka dan menafikan mereka dari kebajikan iman yang tiada tolok bandingnya, iaitu kebajikan mendapat kedamaian, rahmat, ketenteraman, kebaikan dan keyakinan.

Orang inilah musuh manusia yang paling jahat dan paling zalim. Oleh itu, kewajipan manusia ialah memburu mereka sehingga mereka menjadi lemah daripada melakukan kezaliman itu.

Al-Maghari berkata: “Iaitu mereka yang meninggalkan zakat merupakan yang menzalimi mereka sendiri. Ini kerana mereka meletakkan harta pada bukan tempatnya dan membelanjakannya bukan kerana Allah. Dengan sebab itulah Allah menamakan mereka sebagai kafir untuk memberi ancaman dan peringatan”.

Al-Nasafi berkata: “Mereka menjadi zalim kerana meninggalkan apa yang patut didahulukan bagi hajat-hajat mereka atau orang kafir pada hari ini merekalah yang zalim. Tiada jual beli padanya, rakan taulan dan pemberi syafaat sama ada orang Mekah atau orang Basrah”.

Iktibar Ayat:

* Seruan dengan orang yang beriman sebagai satu kemuliaan untuk melaksanakan arahan Allah s.w.t.

* Hari akhirat adalah hari di mana segala harta benda dan rakan-rakan taulan tidak boleh menyelamatkannya kecuali iman dan amal solehnya.

* Kezaliman adalah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya apatah lagi membabitkan permasalahan akidah.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM) Nilai.

Wednesday, February 20, 2008

Sifat rendah diri benteng tamakkan dunia

TAMAKKAN dunia ialah kecenderungan untuk memburu dan mengejar kehidupan duniawi termasuk mengumpul benda, mengejar kedudukan pangkat dan darjat, menyintai kemewahan hidup dan melupakan tanggungjawab terhadap Allah.

Islam tidak menegah atau menghalang umatnya mencari kekayaan dan kebahagiaan hidup di dunia, sebaliknya apa yang ditekankan ialah memburu kebahagiaan hidup di dunia janganlah sampai lupa tanggungjawab mempersiapkan diri dengan amalan serta bekal kehidupan di akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah kurniaan Allah untuk kebahagiaan di akhirat di samping itu jangan pula engkau lupa kepada kebahagiaan di dunia." (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." (Hadis riwayat Al-Asyakin) Jelas Islam adalah agama yang radikal serta tidak pasif, ia menyarankan perspektif luas supaya wujud keseimbangan antara kepentingan dunia dan akhirat antaranya menerusi kewajipan berzakat – yang kaya membantu golongan memerlukan. Malah, selain ganjaran pahala amalan zakat menjadikan umat Islam bersifat rendah hati dan mereka yang rendah hati tergolong dalam golongan sangat dikasihi Allah.

Sejarah Islam sudah menunjukkan bukti jelas bahawa orang yang tamakkan dunia akan menerima pembalasan daripada Allah, bukan saja di dunia, tetapi di akhirat seperti berlaku terhadap Qarun seorang hartawan yang hidup pada zaman Nabi Daud. Disebabkan sifat tamak dan haloba atas rezeki yang Allah kurniakan, Qarun bersama hartanya ditelan bumi. Begitu juga Firaun yang bongkak hingga mengaku dirinya tuhan akhirnya mati dihanyutkan arus lautan yang bergelora.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa segala kekayaan dimiliki seseorang adalah suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana kesyukuran serta ketakwaan kita dalam menerima anugerah itu. Bagi yang tebal rasa keimanannya tentu saja mereka akan menerima segala kekayaan dan harta benda itu sebagai pemberian perlu disyukuri, manakala mereka yang tamak dan haloba sering berasa tidak pernah cukup lalu akhirnya kekayaan menjadikan ia bertambah sombong, bongkak, kikir dan kedekut serta berpaling menjauhkan diri daripada Allah.

Oleh itu, sifat rendah hati amat ditekankan Islam kerana sifat rendah hati boleh menjadi benteng mencegah daripada rasa tamak haloba terhadap dunia. Firman Allah yang bermaksud: "Bahawa kebanyakan manusia itu sentiasa bersifat tamak serta tidak pernah bersyukur, jika kami berikan satu lembah emas nescaya dia akan meminta lagi, kemudian bila kami berikan dua lembah emas sekalipun, namun dia tidak juga berasa cukup lalu memintanya lagi.

" Sementara dalam kumpulan riwayat (Al-Futahal Makkiyah) Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu kebanyakannya berada di dalam kecukupan tetapi mereka masih mencari akan apa yang membawanya kepada kedurhakaan, sesungguhnya manusia itu juga tidak pernah berasa cukup dengan sedikit, tetapi tidak pula mereka berasa puas dengan yang banyak.
" Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat bernama Abu Saalabah yang hidup dalam keadaan miskin, tetapi terkenal sebagai seorang cukup taat mengerjakan sembahyang berjemaah bersama nabi serta sahabat. Nabi Muhammad SAW hairan kerana Abu Saalabah tidak pernah mahu ikut bersama jemaah lain untuk mengaminkan doa dibacakan Baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat. Pada suatu hari ketika Abu Saalabah hendak bangun meninggalkan jemaah yang sedang mengaminkan doa, tiba-tiba Rasulullah SAW memanggilnya seraya bertanya: "Wahai Saalabah, mengapa aku lihat engkau tidak pernah mahu menunggu bersama orang lain untuk mengaminkan doaku." Maka Saalabah pun menjawab: "Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang sangat miskin, kebetulan hanya inilah saja sehelai kain (sambil dia memegang kain yang dipakainya) yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama bagi mengaminkan doa tuan, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah." Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah SAW tercengang lalu baginda bertanya kepada Abu Saalabah: "Jika demikian miskinnya kamu, maka mahukah engkau aku doakan supaya menjadi kaya?" Lalu Abu Saalabah menjawab: "Demi engkau sebagai nabi dan kekasih Allah, doakanlah supaya aku menjadi kaya." Selang tidak berapa lama, dengan berkat doa Nabi Muhammad SAW maka kehidupan Saalabah beransur-ansur senang akhirnya dia menjadi kaya raya selaku seorang saudagar dan tuan punya biri-biri dan unta yang banyak. Selepas kekayaannya Abu Saalabah tidak lagi kelihatan datang ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah bersama nabi serta golongan sahabat lain. Ketika beberapa sahabat menanyakan Nabi Muhammad SAW mengenai ketiadaan Saalabah sembahyang berjemaah, lalu Baginda menjawab: "Kesibukan menguruskan harta benda dan kecintaan Saalabah kepada dunia ini menyebabkan dia terlupa untuk mencari jalan ke masjid." Kisah Saalabah menunjukkan bahawa kemewahan hidup serta sifat tamakkan dunia bisa menggugat ketakwaan serta keimanan seseorang. Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda: "Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing.

" Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah SAW mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: "Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat."

Meletak kembali nilai kehidupan Islam

Pengurusan siasah, iqtisadiah dan kepenggunaan atasi pendekatan dikuasai Yahudi BANJIR yang melanda, kebakaran hutan, terik matahari atau kemarau panjang memusnahkan tanaman masyarakat kuno menjadikan kehidupan mereka sukar. Mereka tidak mampu melawan kuasa itu yang bagi mereka terlalu kuat dan hebat. Langkah yang boleh diambil ialah meminta pertolongan dan belas kasihan daripadanya iaitu dengan menyembahnya. Lalu masyarakat kuno menyembah air, sungai, batu, matahari, bintang, api dan seterusnya menjadikan apa yang disembah sebagai tuhan mereka. Semua itu mempunyai kuasa luar biasa yang mencabar keupayaan mereka yang akhirnya mengalah dengan menyembahnya. Kaedah kewarasan berasaskan yang kuat dan luar biasa menguasai yang lemah adalah pencetus fitrah beragama.
Kepercayaan kepada tuhan adalah naluri semula jadi manusia. Naluri itu mendorong manusia mencari dan mentakrif kehidupan serta kebergantungan kepada satu kuasa yang lebih besar dan agung bukan kerana pilihan, tetapi hakikat. Akibatnya, manusia pada zaman kuno percaya kuasa luar biasa itu membentuk pelbagai kewarasan kepercayaan ketuhanan kuno. Mereka beramal daripada kepercayaan ketuhanan dengan mengadakan penghormatan, pengorbanan dan penyembahan sebagai ibadat tertentu turun temurun kepada generasi demi generasi. Perkembangan kewarasan tamadun sedikit demi sedikit menganjak amalan undang-undang berkaitan kepercayaan sebagai perkara yang boleh dan tidak boleh diamalkan. Max Muller berpendapat, manusia sudah beragama sejak muncul di alam nyata dengan berasakan kehebatan ruang yang tidak diketahui dan kebesaran waktu yang tiada penghujungnya. Akhirnya mereka mengikat diri kepada perkara itu dalam kehidupan.
Sebenarnya naluri beragama itu sama dimiliki setiap manusia bahkan oleh puak primitif atau yang bersifat kehaiwanan bahawa perhatian terhadap makna ketuhanan dan kepada kuasa ghaib adalah kecenderungan yang kekal, sejagat serta tidak tersembunyi atau menjadi layu dan lemah. (La Rousse) Sejarah manusia masa lalu menunjukkan masyarakat manusia yang tidak memiliki falsafah dan tidak mengenal ilmu atau kemahiran tidak ada satu pun daripada mereka yang tidak memiliki sesuatu kepercayaan dianuti. (Henri Bergson) Faham fitrah yang lurus penting sekali mewarna kehidupan dengan ketamadunan sebenar kerana fitrah akan membawa manusia kepada takrifan hakikat ketuhanan. Fitrah adalah perkembangan undang-undang rimba dulu kala kepada tamadun bangsa. Apabila manusia menolak fitrah, manusia dikudakan oleh nafsu yang menjunjung undang-undang rimba kuno semata-mata sebagai panji kehidupan. Pengabaian sejarah dan perkembangan undang-undang rimba melenyapkan sempadan akal waras dan undang-undang hakiki serta saduran ciptaan adat yang tidak bercanggah.
Antara akal dan nafsu, ada benteng waras yang membezakan tindakan dan amalan pelaku. Nafsu waras adalah nafsu yang terbimbing oleh kemurnian akal, manakala akal waras pula adalah tindakan yang dilakukan dengan panduan nafsu waras dan munasabah. Waras adalah satu keadaan yang berada di antara keduanya. Pemikiran dan kematangannya berkembang dengan benih kewarasan dan munasabah seiringan sehingga agama Islam meletakkan taklif kepada kewarasan tertakluk kepada jangka waktu dan prasyarat. Prasyarat pula adalah jalan syariat yang berpaksikan kepada tujuannya. Apa yang boleh serta perlu buat dan apa yang tidak. Lima pengkelasan hukum taklif iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram adalah terpakai dalam apa saja keadaan dan tindakan. Dalam perkembangan masyarakat terutama golongan muda-mudi sekarang, ada kecenderungan fahaman undang-undang rimba kuno yang menyumbang kepada berlakunya pelbagai kerosakan akhlak. Undang-undang fitrah kuno dan tidak matang menjadi pendorong tamadun akhirnya menganggap ketentuan itu bersifat lapuk dan boleh untuk tidak dipakai. Hukum taklifi yang digunakan budaya mereka adalah semata-mata atas dongeng yang sering tidak seimbang dan adil dalam terjemahan sebenar maksud sesuatu tindakan. Akibatnya, masyarakat balik semula ke zaman undang-undang rimba kuno. Undang-undang rimba diangkat menjadi benteng baru hingga mampu menolak, walaupun kewarasan sendiri. Dalam Protokol Yahudi, ternyata perkara itu sudah ditambahbaikan tanpa disedari dan menjadi terapi untuk kaum mereka menguasai dunia. Jelas kejayaan memesong dan menguasai kedudukan iqtisadi, siasah dan kemasyarakatan bangsa dunia di persada antarabangsa. Bermula daripada penguasaan aturan kewangan dengan menghilangkan kemampuan perantara pertukaran emas dan perak kepada wang fiat sehingga kekuatan persenjataan untuk menakluki kebebasan dan kefahaman orang bukan Yahudi. Perjuangan kebangkitan baru memperkasakan tujuan syariah dan mengguna pakai Qawa'id Fiqhiyyah dalam ijtihad ketika perlu diberi keutamaan. Ledakan pelaksanaan sistem kewangan Islam dengan pokok utama penakrifan semula dan penghapusan riba, pengurusan berasaskan nilai dan kepenggunaan berdasarkan kepada faham halalan tayyiban adalah ancaman kepada dakyah mereka. Ummah perlu meletakkan kembali keadilan jika ingin menguasai aturan kewangan dunia daripada lonjakan kewangan Islam, penyelarasan nilai Islami dalam ehwal pengurusan sama ada siasah, iqtisadiah atau jama'iyyah serta mendahului faham kepenggunaan mengatasi faham Yahudi yang diperkenalkan. Musuh tidak berhenti dan mudah menyerah begitu saja. Perancang ummah perlu mempunyai hikmah mendahului apa yang mereka cetuskan. Begitu juga ummah perlu menyokong perjuangan ini dengan keupayaan masing-masing. Putar belit undang-undang fitrah akan terus berlaku dalam rangkaian tamadun manusia untuk mengubah layar sudut pandangan alam Islam. Kita tahu bahawa pengabaian kejiranan atau silaturahim dan fitrah yang terpimpin memberi tamparan hebat dalam kes kehilangan adik Sharlinie atau kes lain. Namun, dalam sedar atau tidak, masyarakat atau kita sendiri tidak berusaha untuk membangunkan kejiranan yang sewajarnya. Kewarasan kita sudah dicemari akibat serangan, pengubahsuaian dan pencemaran terhadap undang-undang rimba dan fitrah. Oleh itu, adalah menjadi satu perjuangan penting dalam dasar negara dan pemikiran masyarakat terhadap kepercayaan kepada tuhan dan menerapkan semula dengan bersungguh-sungguh dalam pendidikan. Hal ini tidak terkecuali dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Landasan penerapan kepada fitrah kewujudan tuhan perlulah diterapkan sehingga ia berupaya merasai kehadiran dan kegerunan. Akhirnya, inilah bekalan yang membentuk tingkah laku sebenar bermula daripada sudut pandangan sehinggalah kepada perlakuan. Biarlah kehadiran kita menyumbang kepada pemurnian tamadun bangsa. Apa yang penting bukanlah kecekapan tetapi perwatakan. Kehidupan bukan ketentuan keadaan, tetapi pilihan, keredaan dan perkenan Ilahi.

Monday, February 18, 2008

Ulul Albab: Ijtihad penasihat syariah membentuk tajdid

Ulama pewaris nabi menambah baik sistem kewangan Islam, perkuat isu kehidupan ummah penuh rahmat DALAM Kuala Lumpur Islamic Finance Forum 2007 anjuran Centre for Research and Training (CERT) tahun lalu, ada disarankan agar institusi kewangan Islam seharusnya melantik pakar syariah sepenuh masa supaya senang membuat rujukan dan mendapatkan nasihat. Dengan adanya penasihat syariah sepenuh masa dalam perbankan atau institusi kewangan Islam amnya, produk inovatif syariah akan lebih banyak diperkenalkan. Ia kerana penasihat syariah akan menumpukan perhatian kepada penerokaannya sama ada menjumpai satu-satu produk dalam khazanah fikah Islam mahupun mencipta satu produk baru yang belum pernah wujud sebelum ini. Perkara ini boleh dibuat seandainya penasihat syariah sudah sebati dengan organisasi perbankan Islam atau institusi kewangan Islam.
Panduan yang lazimnya dilakukan penasihat syariah perbankan Islam adalah hakikat jenis kontrak dalam khazanah fikah Islam yang antaranya adalah kontrak dalam jenis aqud musamma dan uqud ghayr musamma atau uqud mustajiddah. Yang pertama disebut merujuk jenis kontrak yang sudah dibincangkan ulama terdahulu yang membincangkan pengertian, syarat, rukun dan hukumnya seperti kontrak jual beli, sewa, dan penjaminan. Yang kedua pula disebut merujuk kepada jenis kontrak yang belum pernah atau tidak pernah disentuh dan dibincangkan oleh ulama silam secara spesifik. Antara uqud ghayr musamma yang dicipta ulama semasa dan diguna pakai secara meluas pada hari ini adalah murabahah li al-amir bi al-syira', ijarah muntahiyah bi tamlik, musyarakah mutanaqisah dan wakalah bi istithmar. Jadi kerja penasihat syariah yang boleh dianggap sebagai mujtahid di sini adalah melakukan ijtihad ketika menerusi penemuan pandangan ulama terdahulu mahupun mencari yang terbaik daripada pandangan mereka. Dalam mempertimbangkan uqud mustajiddah beberapa perkara utama harus diambil kira. Dr Nazih Hamad dan Dr Mohammad Ali al-Qari, seperti ditulis Suhaimi Mohd Yusof dan Ahmad Hazim Alias menggariskan dhawabit atau panduan tertentu yang perlu dipatuhi dalam pembentukan apa saja konsep uqud mustajiddah. Panduan itu ialah:
l Tujuan melaksanakan kontrak baru berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan masyru`ah yang diharuskan syarak serta atas dasar maslahah muktabarah atau kemaslahatan (faedah) yang diambil kira. l Ia hendaklah bebas daripada riba, gharar fahisy, ghisy, tadlis, daripada memakan harta secara batil, tidak memudaratkan salah satu pihak atau mengakibatkan kehilangan hak seseorang. l Ia tidak bercanggah dengan nas atau ijmak yang sorih dan jelas. l Kontrak baru boleh terbina sama ada ia langsung tidak menyerupai mana-mana uqud musamma yang sedia ada dalam syarak atau menyerupai uqud yang sedia ada dalam fiqh tetapi berbeza dari segi syarat.
Dalam keadaan di mana syaratnya berbeza, maka pada ketika ini syarat itu perlu diteliti daripada beberapa sudut yakni jika ia menggugurkan syarat yang dinaskan maka hukumnya haram. Sebagai contoh jual beli tertangguh dalam pasaran komoditi di pasaran komoditi antarabangsa menyerupai jual beli saham, tetapi ia tidak mempunyai syarat penyerahan modal ketika majlis akad, sedangkan penyerahan modal ketika majlis adalah syarat dinaskan. Kedua, jika ia menggugurkan syarat yang juga ijtihad ulama maka hukumnya bergantung kepada: kewujudan `illah syarat berkenaan. Contohnya syarat mudarib mesti seorang Muslim diwujudkan kerana terdapat kesangsian bahawa seorang bukan Muslim tidak memelihara soal riba dan perkara haram, tetapi dengan wujudnya aktiviti pengawasan kegiatan perniagaan, rekod dan perakaunan, kesangsian itu tidak lagi timbul. Oleh itu, pengguguran syarat ini tidak menjejaskan kontrak. Dan 'uruf yang berkaitan. Contohnya, garam pada masa silam dikategorikan sebagai al-makilat, tetapi pada masa kini ia dikategorikan sebagai al-mauzunat. Akhirnya persekitaran ekonomi semasa. Contohnya logam lain seperti besi dan tembaga yang dijadikan sebagai alat perantara pertukaran dikeluarkan daripada hukum sarf dan jual beli saham dalam mata wang diharuskan ketika mata wang yang diguna pakai adalah dinar dan dirham. Jika syarat yang wujud dalam kontrak baru tidak diketahui dalam perbahasan fikah terdahulu, maka syarat itu harus selagi ia mengandungi kemaslahatan pihak berkontrak dan tidak membatalkan atau menafikan tujuan kontrak muqtada al'aqd. Syarat itu dianggap fasid dan menjejaskan kontrak jika ia membawa kepada perkara haram dan menafikan tujuan kontrak. Dengan perkataan lain, penerokaan produk perbankan Islam memerlukan tajdid atau pembaharuan fikah. Tajdid boleh diertikan sebagai pembaharuan (renewal); memulih (islah) atau merangka semula (reshape). Dalam konteks tulisan ini tajdid mungkin boleh merujuk kepada usaha merangka semula jenis kontrak khasnya uqud ghayr musamma dalam Islam sebagai tindak balas kepada pelbagai cabaran industri perbankan dan kewangan Islam. Tajdid adalah perkara lumrah dalam fikah Islam. Dalam sejarah perkembangan mazhab Shafie ia sudah melalui beberapa proses "pembaharuan", "tajdid", tanqih dan tahdhib. Sebagai contoh, dua kali tanqih berlaku dalam mazhab Shafie. Tanqih pertama (505-676H) diketuai oleh al-Imam al-Rafi'i (557-623H) dan Imam al-Nawawi (631-676H), manakala tanqih yang kedua (676-1004H) dipimpin oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami (m.973H) dan Imam al-Ramli (m.1004H). Tanqih al-madhhab boleh difahami sebagai menyucikan mazhab daripada pendapat yang pelik (shadh) dan marjuh; atau menerangkan qawl muktamad fuqaha mazhab dalam semua bab fiqh. Faktor tanqih ini merujuk kepada beberapa sebab terutama "lambakan karya fiqh, takhrij fiqh yang menyalahi usul mazhab, istinbat yang marjuh atau ijtihad yang syaz; taksub mazhab dan sebagainya. (Prof Madya Dr Abdul Karim Ali, "Tajdid Fiqh Mazhab Shafie di Malaysia") Amalan perbankan dan kewangan Islam membabitkan aktiviti kewangan yang dilakukan berdasarkan falsafah, prinsip dan konsep yang digariskan dalam syariah. Amalan perbankan dan kewangan Islam semasa dibangunkan dengan meletakkan beberapa asas penting bagi memastikan kepatuhannya kepada hukum syarak. Asas-asas utama itu ialah bebas daripada amalan riba, meminimumkan gharar dan bebas daripada unsur judi (maysir). Ulama secara umumnya sepakat berhubung pengharaman riba. Bagaimanapun, ulama mempunyai pandangan berbeza dalam soal kategori atau jenis riba dan `illah pengharaman riba. Ulama pada dasarnya sepakat berhubung keperluan menghindari unsur gharar dalam aktiviti muamalat. Namun begitu, ulama dalam membahaskan mengenai gharar, memberikan definisi gharar yang pelbagai. Penghapusan unsur perjudian dalam aktiviti muamalat Islam adalah perkara yang disepakati oleh semua ulama kerana terdapat dalil yang jelas terhadap pengharamannya. Urusan muamalat adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dalam mengatur kehidupan umat. Asas syariah yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah menjadi sandaran utama dalam mentafsirkan kehendak dan keperluan manusia yang sering berubah-ubah dari semasa ke semasa. Dalam konteks meraikan kehendak dan amalan semasa berhubung dengan muamalat, syariah sama sekali tidak menyempitkan keadaan dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ijtihad ulama diperlukan untuk memperincikan hukum sesuatu perkara yang digambarkan secara umum oleh kedua-dua sumber utama itu. Ruang lingkup ijtihad ulama sudah pastinya berasaskan sumber utama dengan melihat realiti kehidupan yang lebih praktikal sejajar kehendak syariah. Bagi menangani isu semasa muamalat, ulama fikah mengambil kira secara serius perkara pokok dalam tradisi istinbat al-ahkam (kaedah perumusan hukum). Namun begitu, dalam menjalankan tanggungjawab ini, ulama sentiasa mengambil pendekatan seimbang antara aspek teori dengan amalan dan antara pematuhan prinsip syariah dengan `urf al-iqtisadiyyah (amalan kebiasaan aktiviti ekonomi). Dalam konteks ini, terdapat kaedah fikah yang bermaksud: "Tidak boleh dinafi atau diingkar perubahan sesuatu hukum kerana perubahan masa". Kaedah membawa mesej jelas betapa hukum akan berubah dengan perubahan budaya dan cara hidup manusia. Dalam bidang perniagaan, kaedah perniagaan juga terus berubah bersama-sama dengan kemajuan zaman dan tamadun manusia itu sendiri. Kaedah fikah menyatakan "perkara yang menjadi amalan dalam kalangan peniaga adalah pengikat antara mereka". Seperti dinisbahkan Subhi Mahmasani kepada Ibn al-Qayyim apabila dia berpendapat kegagalan memberikan tindak balas yang tepat terhadap perubahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan. Katanya: …interpretasi undang-undang sewajarnya berubah dengan perubahan masa, tempat, keadaan, dan adat pengabaian fakta ini mengakibatkan ketidakadilan kepada syariah dan menyebabkan banyak kesukaran dan kepayahan. Sungguhpun begitu, memang diketahui bahawa syariah yang mulia lagi memelihara kepentingan tertinggi manusia tidak akan membenarkan natijah sedemikian." (Lihat Suhaimi & Ahmad, "Kedudukan Mazhab Syafi'i dalam Produk Kewangan Semasa) Islam adalah suatu cara hidup. Ulama adalah pihak yang bertanggung jawab memastikan Islam itu didukung dengan sewajarnya. Mereka berusaha menjernihkan semua isu dan masalah kehidupan masyarakat Islam. Malah, kekuatan masyarakat Islam terletak kepada kewibawaan dan pendekatan mereka sebagai ulama pewaris nabi. Namun dalam melaksanakan peranannya ulama berdepan perbezaan pendekatan dan pendapat sehingga boleh menjejaskan imej Islam sebagai agama yang penuh rahmat bukan saja untuk umat Islam bahkan untuk manusia sejagat. Di sinilah letak pentingnya inovasi dalam perbankan dan kewangan Islam yang juga satu sendi perekonomian dunia. Sudah menjadi kenyataan bahawa wang global khasnya milik umat Islam yang sebelum kejadian buatan 9/11 di Amerika Syarikat 'diletak' di Barat, kini ia seolah-olah sedang balik kampung. Jika sistem kewangan Islam tidak inovatif dan kondusif serta mengakomodasi arus balik ini sudah tentu akan ada sistem lain yang melahapnya. Dan pada masa itu, umat Islam juga yang merugi. Wallahu a'lam.

Monday, February 11, 2008

Kahwin selepas berzina

Soalan:

Saya ada kemusykilan tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya, perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai perempuan yang haram dikahwini sementara.

Betulkah sekiranya mereka berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi, adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan dengan terperinci tentang situasi tersebut?

Jawapan:

Saudara, perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk membina kehidupan.

Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.
Namun ada satu pengecualian, bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.

Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.
Imam Ahmad menambahkan satu lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.

Walau bagaimanapun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.
Pendapat ini mentafsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.

Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal edah itu.

Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.

Walau apa pun, perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.

Berdasarkan soalan saudara, sah atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.

Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya? Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.

Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.
Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.
Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq.
Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Prasangka buruk meruntuh kesatuan

Salah satu punca kelemahan umat Islam hari ini sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan umah amat terkait dengan fenomena prejudis dan berprasangka buruk sesama sendiri. Sikap berprasangka buruk bagaikan budaya yang sukar dibendung lantas menjadikan manusia saling bercakaran dan bermusuhan kerana terhakisnya rasa percaya antara satu sama lain.
Berprasangka buruk atau dalam istilah al-Quran disebut ‘Zhan’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat global yang hidup dalam dunia tanpa sempadan kini. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, khidmat pesanan ringkas (SMS), Internet dan instrumen-instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini.
Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu lama untuk disebarkan. Semuanya mampu dilakukan dengan kecanggihan teknologi yang disalahguna bagi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan.
Dalam penulisan kali ini, penulis lebih cenderung membicarakan isu prejudis atau prasangka buruk ini dalam realiti budaya politik umat Islam kini. Ini kerana politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik persengketaan yang berpunca daripada sikap berprasangka yang bagaikan semakin sebati dalam diri.

Sikap

Sesungguhnya sikap prejudis dan berprasangka sering kali dikaitkan dengan gejala ketaksuban dalam budaya politik kepartian yang semakin tercabut nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga sering kali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri hingga memecahkan ikatan ukhuwah dan meleburkan kesatuan yang menjadi tunjang kekuatan ummah.
Sememangnya di antara gejala taksub atau ekstrem berpolitik ini ialah sikap prasangka buruk terhadap orang lain hingga sentiasa berkecenderungan memandang kelompok lain dengan pandangan negatif yang penuh dengan kejelikan dan keburukan.
Sikap fanatik atau taksub yang menyelimuti diri, acapkali membutakan mata dari segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-
orang yang berbeza pandangan dengannya. Sebagaimana kata pepatah: “Dan prasangka baik cenderung menafikan segala keburukan. Sebagaimana prasangka buruk cenderung melebih-lebihkan keburukan”.
Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat sesuatu perbuatan baik, tidak akan keluar dari mulutnya kata- kata pujian kecuali yang melakukannya termasuklah dari golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.
Fenomena berpolitik yang tidak didasari dengan akhlak Islam seperti inilah yang menyebabkan kelompok ekstrem ini amat mudah terjerumus ke kancah mencari salah orang lain lantaran didasari sikap prejudis dan berburuk sangka. Malah sekiranya ada perkataan atau perbuatan yang mengandungi dua kemungkinan iaitu baik atau buruk, maka mereka akan beratkan kemungkinan yang buruk daripada kemungkinan baik.
Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan: Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. (al-Hujurat:12. Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. turut dipertegaskan: Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan yang paling dusta (riwayat Muttafaqun Alaihi).
Apa yang pasti prinsip al-Quran dan as-sunah sentiasa menganjurkan agar umat sentiasa berprasangka baik terhadap hamba Allah. Apabila didapati padanya keaiban, hendaklah ditutupi supaya Allah menutupi keaibannya di dunia dan akhirat. Sebaliknya apabila didapati kebaikan, hendaklah dizahirkan dan disebarluaskan.
Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Kita jarang mengambil sikap berbaik sangka apabila satu-satu berita yang berupa keburukan orang lain diceritakan. Lebih menyedihkan, kita pula yang menokok tambah cerita-cerita yang sampai agar ia lebih sensasi tanpa memikirkan natijah yang bakal berlaku kepada mangsa fitnah tersebut.
Kita mungkin lupa bahawa Islam amat keras mencela golongan pencacai-pencacai dan pengadu-pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah di kalangan umat. Amaran keras Allah jelas ternukil dalam al-Quran: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah. (al-Qalam: 10-11).
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Pada satu hari Rasulullah s.a.w. melewati sebuah kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya, lalu Nabi s.a.w bersabda, Kedua-duanya diseksa, padahal bukan kerana dosa yang besar. Yang pertama diseksa kerana tidak betul-betul bersih sesudah membuang air kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba (hadis riwayat al-Bukhari, lihat Fathul Baari, 1/317).
Banyak hadis lain yang menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mengadu domba dan membudayakan prejudis dalam kehidupan. Bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. jelas memberi indikasi bahawa orang yang mengadu domba dan mereka-reka cerita tidak akan masuk syurga bahkan bakal berhadapan azab pedih pada hari kiamat kelak.
Sebab itulah seorang mukmin sejati harus sentiasa berfikiran jernih dan menjauhi sikap berprasangka buruk agar sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan. Jika benar sekalipun cerita-cerita keburukan mahupun kelemahan seseorang mukmin yang disampaikan itu, tidaklah sekali-kali menghalalkan kita berterusan membuka keaibannya.

Usaha

Justeru usaha bersepadu harus dilakukan untuk membendung gejala berprasangka daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam kini. Umat harus dibimbing agar lebih berakhlak dalam memanfaatkan pelbagai kecanggihan teknologi agar tidak mudah terjerumus dalam budaya berprasangka yang membinasakan. Umat harus dididik agar dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan kesatuan ummah hingga meletakkan masa depan negara diambang kemusnahan.

Thursday, February 7, 2008

Lupa amanah punca manusia abai alam sekitar

PUNCA utama berlaku kerosakan dan kemusnahan alam ini ialah sikap manusia yang lupa tanggungjawab diamanahkan Allah terhadap mereka supaya memelihara serta memanfaatkan anugerah ciptaan Allah.

Disebabkan sikap alpa itu, manusia berhadapan dengan kesan daripada pengabaian tanggungjawab memelihara dan memulihara alam ini. Akibatnya, berlaku bencana alam hingga membawa kepada kehilangan jiwa, tempat tinggal, harta benda, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebenarnya Islam tidak melarang manusia menggunakan segala benda serta nikmat yang ada di atas dan dalam perut bumi. Lagipun, tujuan Allah menjadikan semua itu untuk kegunaan dan kesenangan manusia sendiri.

Walaupun begitu, dalam mengejar kemajuan atau pembangunan, kita dilarang memusnahkan alam sekitar hingga lupa akan tanggungjawab memastikan pusingan alam semula jadi terus seimbang dan tidak terjejas. Sikap manusia yang tidak menunaikan tanggungjawab diamanahkan Allah untuk mengurus alam ini dan kerakusan melakukan kemusnahan, kerosakan dan pelbagai bencana alam yang lain akhirnya mendatangkan masalah besar kepada mereka.

Perbuatan memusnah dan merosakkan alam dilarang Allah berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang jika tidak diterima dan juga dengan perasaan terharap-harap supaya makbul. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘raf, ayat 56)

Ayat di atas menjelaskan bahawa penjagaan alam semula jadi adalah sesuatu yang penting. Perbuatan memusnah dan merosakkan alam bukan saja mendatangkan kerugian kepada manusia, malah ia sama sekali ditegah. Sikap segelintir manusia yang tidak mentaati perintah Allah menyebabkan makhluk di bumi ditimpa bala tidak disangka seperti berlakunya kejadian tanah runtuh, banjir kilat, kemarau berpanjangan, dan pemanasan global. Firman Allah bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Jelasnya, setiap kerosakan dibuat manusia hanya akan merugikan mereka baik dari segi keselamatan, aspek kesihatan, keselesaan hidup dan ketenangan jiwa yang boleh dinikmati jika manusia sentiasa berhati-hati dalam tindak balas mereka terhadap alam sekitar.
Allah berfirman bermaksud: “Orang yang mencabuli perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya dihubungkan dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, maka mereka itu ialah orang yang amat rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 27)

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha meninggalkan segala perbuatan yang merugikan dan memastikan keindahan, kehijauan alam serta keselamatan bumi dijaga oleh tangan-tangan manusia yang mendiami dunia ini.

Peringatan ini bukan untuk masyarakat hari ini saja, tetapi ditujukan juga kepada generasi akan datang supaya berazam untuk tidak melakukan kerosakan dan sentiasa mengambil tanggungjawab bersama memelihara serta memulihara alam sekitar.

Tuesday, February 5, 2008

Islam pada kelas tersendiri

MENGAPA timbul dakwaan dan fahaman bahawa semua agama sama? Apakah kerana kejahilan tentang agama atau kerana ada agenda dan kepentingan lain sehingga sanggup menyamaratakan semua konsep agama untuk kelangsungan hidup.

Memang zaman selalu berubah, begitu juga dengan budaya hidup dan cara berfikir manusia. Berkembang dan majunya akal fikiran menjadikan akidah manusia jadi keliru, lalu timbul fahaman semua agama adalah sama.

Walaupun manusia punya kebebasan hak kehormatan (maruah) dan beragama tetapi budaya hidup dengan suku kaum yang pelbagai adalah berbeza.

Apa lagi soal agama iaitu pegangan ketauhidan dan konsep akidah terhadap Allah s.w.t. dalam Islam. Ia tidak akan pernah sama dengan mana-mana agama.

Islam hanya satu-satunya agama diterima di sisi Allah s.w.t sebagaimana mafhum-Nya: Sesungguhnya din (agama) yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam.... (Ali-Imran:19).

Sebaliknya kepelbagaian bangsa dan suku kaum serta warna kulit manusia itu adalah agar mereka saling mengenali dan berhubungan antara satu sama lain sebagaimana mafhum-Nya lagi: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku (berpuak-puak) supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujuraat: 13)

Salah satu jalan ke arah mengenali dan merapatkan hubungan sukuan bangsa serta menjalin kesefahaman untuk saling menghormati dan hidup dalam keharmonian adalah melalui majlis dialog dan bermuzakarah.

Namun, Ketua Jabatan Undang-Undang Awam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari menggesa jangan ada pihak yang menafikan apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia adalah negara Islam, jadi dasar keislaman harus jadi keutamaan oleh pemerintah dan ini harus difahami oleh golongan bukan Islam,” tegas beliau.

Menurut Abdul Aziz, kontrak sosial dibangkitkan kerana kefahaman yang cetek mengenai sejarah dan perlembagaan negara dan orang Islam terlalu bertolak ansur sehingga mengabaikan hak Islam sendiri.

“Akhirnya kita tidak tahu apa lagi yang ada untuk umat Islam,” katanya pada forum ‘Isu-isu tumpuan dalam dialog antara agama dan peradaban: Pengalaman semasa umat Islam’ dalam Muzakarah Ke Arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban, baru-baru ini.

Muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di dewan besar institusi berkenaan pada 22 Januari lalu itu dihadiri oleh kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli akademik dan ahli agama tempatan.

Abdul Aziz ialah antara tiga ahli panel yang membicarakan mengenai tajuk tersebut. Dua lagi ahli panel ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman.

Kena tegas

Muzakarah sehari itu juga turut menampilkan empat pembahas daripada ahli akademik dan ilmuwan dalam perbahasan ‘Ke arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban’.
Menurut Abdul Aziz, timbul kekeliruan mengenai Islam juga disebabkan ada pihak yang tidak senang dengan kedudukan Islam dalam sejarah dan perlembagaan negara Malaysia.

“Sebab itu kita orang Islam sebagai peneraju dalam pemerintahan tidak boleh bertolak ansur lagi. Pemimpin dan Muslim kena tegas dan jangan jahil hukum-hukum syarak serta sentiasalah mengikuti perkembangannya,” tegas beliau.

Sementara itu, Mohd. Nakhaie pula mempersoalkan, apakah Islam perlu kepada dialog antara agama?

Ini kerana tegas beliau, penyertaan Islam dalam dialog antara agama tidak pernah terancang dan bukan mewakili Islam yang sebenar.

“Melalui dialog, Muslim sepatutnya mendakwahkan Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang ‘dilantik’ dalam dialog telah didakwahkan oleh penganjurnya (musuh Islam),” ujar beliau.

Kata Mohd. Nakhaie lagi, ini berlaku kerana orang Islam yang dijemput berdialog mengenai agama tidak memahami latar belakang peradaban dan sejarah Islam serta tidak peka pada muslihat di sebalik dialog antara agama yang diadakan.

Akibatnya, jelas beliau, dengan mudah Islam diperalatkan oleh golongan Islam liberal dan yang memusuhi Islam.

“Oleh itu keilmuan mengenai dialog mesti mantap, sebab belum ada dialog yang menguntungkan Islam, tetapi banyak beri kelebihan kepada musuh kerana kecekapan strategi mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKIM, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata, agama-agama lain tidak berhak mengguna istilah atau perkataan Allah kerana ia nama khas dalam Islam yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

“Dari sudut falsafah, tidak ada tasawwur kefahaman mengenai Allah dalam mana-mana agama lain kecuali Islam,” tegasnya semasa menyampaikan ucaptama dan merasmikan muzakarah itu.
Sedangkan kalimah Tuhan menurut beliau, adalah istilah umum yang turut merujuk kepada Tuhan-tuhan dalam agama penyembahan berhala dan makhluk.

Wanita boleh berpolitik

SOALAN:
Sejauh manakah kaum wanita boleh turut terlibat dalam politik? Wajarkah mereka dipilih jika menentang kaum lelaki, sedangkan lelaki dikatakan lebih berupaya menjadi pemimpin?

JAWAPAN:
Kaum wanita tidak ada bezanya dengan lelaki menurut kefahaman Islam yang sebenar. Mereka dituntut beribadat, menunaikan tanggungjawab, mengambil tugas amar makruf dan nahi mungkar seperti lelaki. Apabila al-Quran menyerukan wahai manusia atau wahai orang beriman ia termasuk lelaki dan wanita kesemuanya. Pendek kata, apa sahaja hak dan kewajipan kepada lelaki, itulah juga hak dan kewajipan perempuan.

Pada zaman rasulullah kaum wanita memainkan peranan cukup cemerlang. Khadijah manusia pertama menerima kerasulan Muhammad. Sumayyah orang Islam pertama mati syahid, malah ramai daripada kalangan mereka turut dalam banyak peristiwa termasuk perang Uhud dan perang Hunain.

Ada beberapa hukum yang berbeza pada kaum wanita yang tidak ada pada lelaki seperti hukum haid, nifas, mengandung, bersalin, menyusu anak dan sebagainya.

Sementara beberapa perkara terkena ke atas lelaki tetapi tidak perempuan seperti memberi nafkah keluarga, menjaga keluarga dan beberapa perbezaan dalam hukum perkahwinan, pesaka dan persaksian.

Isu bolehkah wanita masuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menjadi pemilih tidak timbul langsung sebab tidak ada keterangan yang jelas melarangnya. Kaedah syarak, jika tidak ada larangan, hukumnya harus, ertinya dibolehkan.

Orang selalu mengaitkan dengan ayat yang menyuruh isteri nabi tidak keluar rumah kecuali ada keperluan. Ulama mengkhaskan ayat ini untuk isteri nabi yang agak ketat berbanding wanita lain. Pada zaman ini pun isteri pemimpin atau permaisuri sultan tidak layak merayau-rayau seperti wanita biasa.

Malah Aisyah, isteri Rasulullah pun keluar rumah jika ada tujuan baik malah turut sama dalam perang. Pada zaman ini wanita seperti juga lelaki keluar ke sekolah, universiti dan berkerjaya; doktor, guru, pegawai dan tidak ada pun pihak yang tidak menyukainya. Ertinya, secara ijmak wanita dibenar keluar rumah jika keadaan memerlukan.

Wanita Islam perlu keluar rumah untuk mengundi bagi berdepan dengan wanita kaum lain dan agama lain yang dibenar keluar untuk mengundi. Malah keperluan turut serta dalam pilihan raya menjadi keperluan negara dan masyarakat. Malah wanita perlu ada wakilnya di badan-badan pembuat dasar.

Selalu dihujahkan, jika wanita menerima pencalonan sebagai wakil rakyat akan mendedahkan mereka kepada pergaulan dengan lelaki dalam kempen dan sebagainya.

Perkara ini memang patut diberi perhatian agar jangan berlaku kebebasan di luar batas. Tetapi terlampau ketat menutup pintu pun tidak elok, seperti membuka pintu terlampau luas. Kita harus kembali kepada kesederhanaan Islam.

Hak

Jika suara dan undi wanita tidak diambil kira, lebih banyak bahaya kepada umat. Sedang dalam masa yang sama wanita lain diberikan hak bersuara dan hak mengundi.

Pada zaman dahulu, wanita dihalang belajar menulis kerana bimbang pandai menulis surat cinta. Pada hari ini siapa yang sanggup tidak menghantar anak perempuan mereka ke sekolah atas alasan bimbang nanti pandai menulis surat cinta? Bukan pandai menulis itu yang salah, malah pandai menulis itu lebih banyak kebaikan.

Satu alasan lain yang selalu digunakan untuk tidak membenar wanita ikut sama bertanding dalam pilihan raya kerana kepimpinan adalah tugas lelaki, bukan wanita. Jawapannya mudah sahaja. Wanita tidak akan menjadi angka majoriti di parlimen, masih minoriti. Majoriti tetap kaum lelaki. Lelaki masih membuat keputusan dan wanita ikut serta membuat keputusan. Tidak timbul wanita akan menguasai lelaki.

Isu kepimpinan lelaki, jika ditelusuri dengan baik berkait dalam pimpinan rumah tangga. Lelaki adalah ketua rumah tangga. Mereka lebih bertanggungjawab. Meskipun begitu ada pula peranan wanita di situ.

Memang ada tafsiran yang wanita tidaklah boleh sampai menjadi ketua negara atau Perdana Menteri. Tetapi melantik wanita menjadi mufti, guru hatta menteri, tidak ada larangan yang jelas. Mazhab Hanafi membolehkan wanita dilantik menjadi hakim. Turut berkongsi pandangan ulama seperti al-Tabari dan Ibn Hazam.

Parlimen dan DUN memikul tanggungjawab memantau dan membuat dasar. Perkara ini dalam istilah islah tidak terkeluar daripada amar makruf dan nahi mungkar atau nasihat. Kedua fungsi ini tidak ada nas dalam Islam yang hanya khusus kepada kaum lelaki sahaja.
Semua orang tahu cerita Umar Bin Al- Khattab menarik balik pandangannya kerana dikritik oleh sorang wanita. Malah sebelum itu nasihat Ummu Salamah kepada Nabi ketika perang Hudaibiah.

Jika wanita berhak menasihati nabi dan khalifah, mana pula hak kita zaman ini menghalang wanita untuk ke majlis permesyuaratan tertinggi dalam negara dan negeri?
Perkara ini bukanlah ibadat khusus. Dalam perkara umum sebegini, ia dianggap harus selagi tidak ada dalil kukuh menghalangnya. Alasan mengatakan tidak ada berlaku dalam sejarah wanita berbuat demikian, Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan, ia termasuk perkara yang berubah fatwa mengikut perubahan zaman dan keadaan.

Contoh paling jelas, kata al-Qaradawi lagi, pada zaman ini kita memberi ruang kepada wanita dengan tugas yang belum diberikan dulunya. Umpamanya di Malaysia ada wanita yang sudah dilantik ke jawatan Gabenor Bank Negara, atau Naib Canselor dan sebagainya. Apa bezanya dengan memberikan mereka hak ke parlimen dan DUN?

Kalau berijtihad dibenar kepada lelaki dan wanita yang mencukupi syarat, tidak ada sebab menghalang mereka ke majlis perundangan ini. Aisyah adalah mufti sekali gus seorang mujtahid.
Memang jumlah mereka tidak ramai yang sampai ke tahap itu. Ini merujuk kurangnya mereka diberi peluang belajar pada zaman dahulu. Pada hari ini keadaan sudah terbalik, di mana wanita Malaysia sudah menyaingi kaum lelaki dalam pendidikan.

Berhati-hati

Al-Quran menceritakan tentang puteri Balqis yang menjadi pemerintah di negara Saba. Seorang ratu yang cukup bijak dan berhati-hati ketika berdepan dengan nabi Allah Sulaiman. Akhirnya beliau memeluk Islam.

Kisah ini paling tidak menunjukkan kebijaksanaan wanita dalam mengurus politik dan pemerintahan.

Walau bagaimanapun pandangan ini tidaklah membenarkan wanita bebas bergaul tanpa batas dengan lelaki seperti berlaku dalam beberapa keadaan. Atau kerana asyik berpolitik sampai mengabaikan hak suami dan anak-anak. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur.

Islam menentang politik asabiah

POLITIK perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik persengketaan. Ulama terkenal Sayyid Muhammad Rashid Ridho dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini apabila menggariskan salah satu daripada empat faktor utama yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai ‘firqah’ atau kelompok dalam Islam adalah terkait dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.

Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika hingga menggejala secara meluas apa yang sering diistilahkan sebagai politik wang, politik ampu, politik fitnah, politik adu domba, politik kuasa dan sebagainya. Penyimpangan budaya politik ini juga sering kali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

Sebenarnya apabila disebut politik maka tergambarlah seribu satu persepsi yang menganggapi politik dengan segala kekotoran, kejelikan dan keserabutan. Pendangkalan makna politik ini lantas menuntun umat kepada polemik yang tiada berkesudahan.

Di satu pihak, ada yang menolak politik dengan tidak mengendahkannya atau mengambil sikap tidak peduli lantaran kecewa dengan sepak terajang politik yang penuh unsur keji dan nista. Di satu pihak wujud keghairahan dan kerakusan dengan budaya politik yang bukan sekadar dijadikan alat, malah seolah-olah dipertuhankan dengan harapan kuasa dan pangkat boleh dikecapi.

Hakikat

Hakikat yang harus difahami, Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik. Malah politik sebahagian daripada tuntutan agama yang memerlukan umat mentadbir kehidupan selaku khalifah Allah. Cuma berpolitik dalam kerangka Islam tentunya tidak sama dengan pendekatan politik Barat acuan Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat pangkat dan kuasa.

Sebab itulah Islam, agama yang bermatlamat membebaskan manusia dari kejahilan dan kejumudan menggariskan pelbagai prinsip dan etika akhlak agar umat tahu batasan halal haram berpolitik. Sebaliknya apa yang sering terjadi mereka melupai perintah dan tuntunan agama, bagaikan membelakangi arahan Allah dalam al-Quran: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (al-Sunah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (al-Nisa’:59).

Kealpaan ini juga didorong oleh budaya politik kesukuan atau politik asabiah yang semakin mengakar dalam masyarakat. Asabiah yang dimaksudkan di sini tidak wajar disalah tafsir sebagai penentangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau bangsa. Walhal Islam sebagai agama fitrah turut memperakui tabii manusiawi yang tidak dapat lari daripada kecenderungan menyintai kaum kerabat mahupun bangsa sendiri.

Sebab itulah dalam menjelaskan maksud asabiah, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiah? Sabda baginda: Tidak, sebaliknya asabiah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman (hadis Hasan riwayat Abu Dawud).

Penentangan Islam terhadap sikap asabiah yang membela atau menyokong kaum secara membuta-tuli turut dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jamaah (kesepakatan kaum Muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiah atau marah kerana asabiah maka kematiannya adalah jahiliah (R. Muslim).

Al-Sindi dalam kitabnya Syarh Ibn Majah ketika menjelaskan maksud bendera kebutaan atau istilah ‘rayah ‘immiah’ dalam hadis di atas ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Dengan kata lain politik asabiah yang ditegah Allah ialah perlampauan dalam mempertahan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik Islam. Budaya politik seperti inilah yang sering kali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta tuli kepada sesebuah parti politik juga mendorong gejala pelampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat.

Wujud

Lebih mendukacitakan apabila wujud kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam namun sikap dan tindakan lebih menjiwai politik asabiah yang mendoktrinasi pengikut untuk menyokong parti secara membuta tuli. Kerakusan untuk berkuasa lantas mendorong perilaku songsang hingga sanggup mempertaruhkan ayat-ayat suci Allah dengan maksud menjustifikasi tindakan ataupun memburuk-burukkan parti lawan.

Semuanya dilakukan lantaran ketaksuban kepada kuasa hingga tergamak menggadaikan prinsip agama. Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiah yang menyesatkan.

Friday, February 1, 2008

Nabi Musa bertemu jodoh di Kota Madyan

BERKATALAH dia (Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu, maka aku tidak hendak memberkati kamu.

Dan kamu insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik. (al-Qashash: 27).
PADA suatu hari, apabila tiba di Madyan, Nabi Musa telah menolong dua orang gadis mengambil air untuk kambing-kambing gembalaan mereka. Nabi Musa kasihan melihat gadis itu menunggu giliran untuk mengambil air kerana terlalu ramai lelaki di situ. Lalu, kedua anak perempuan itu pulang dan menceritakan akan hal itu kepada bapa mereka.

Bapa mereka menyuruh salah seorang daripada anaknya menemui Nabi Musa dan menjemputnya ke rumah. Maka, anaknya itu menemui Nabi Musa untuk menjemputnya ke rumah mereka.

Apabila tiba di rumah mereka, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu. Bapa mereka mahu Nabi Musa menceritakan tentang dirinya. Maka, Nabi Musa menceritakan segala-galanya dan beliau kemudiannya diminta tinggal di rumah itu.

Tinggallah Nabi Musa di situ dan kehidupan beliau di situ sangat tenang dan bahagia. Hubungan Nabi Musa dan mereka juga semakin rapat.

Salah seorang anak perempuannya mahu Musa bekerja dengan mereka.

“Wahai ayah, elok sungguh sekiranya kita mengambil lelaki itu bekerja dengan kita. Dia banyak membantu kita dan juga seorang yang sangat kuat,” kata anak perempuannya.
“Baiklah anakku,” jawab ayahnya acuh tidak acuh.

Bapanya faham sangat akan perasaan anaknya itu.

Pada suatu pagi, bapa mereka telah memanggil Nabi Musa. Dia mahu bertanya akan hajatnya kepada Musa.

“Wahai Musa, aku mempunyai cita-cita untuk mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada anakku. Aku harap kamu dapat menemaninya dan menolongku. Bekerjalah kamu di sini menggembalakan kambing selama lapan tahun lamanya, sebagai mas kahwin untuk anakku. Sekiranya kamu suka, tambahlah dua tahun lagi. Itu bergantung kepada kesanggupanmu,” kata bapa gadis tersebut.

“Saya terima apa yang dihajati. Saya berjanji akan turut mana-mana keinginanmu sama ada lapan atau 10 tahun lamanya. Allah akan menjadi saksi atas perjanjian kita ini,” kata Musa.
Dengan perkahwinan itu, Nabi Musa hidup bahagia kerana mendapat isteri yang cantik dan mentua yang baik. Nabi Musa bekerja keras bagi memenuhi janji yang telah ditetapkan.
Walaupun beliau bahagia dengan kehidupannya tetapi telah tiba masanya untuk pulang ke Mesir. Setelah perjanjian bersama dengan mentuanya tamat. Nabi Musa bersama isterinya berangkat pulang ke Mesir. Nabi Musa meninggalkan mentuanya yang sudah tua. Baginda berdoa semoga selamat sampai ke destinasi. Baginda turut berdoa semoga Allah memelihara keluarga isterinya itu.

PENGAJARAN

* Apabila kita berjanji, hendaklah kita menunaikannya.
* Hendaklah kita menolong orang yang berada di dalam kesusahan.

Tidak sah solat jika salah baca al-Fatihah

Soalan:
SAYA tertarik dengan ulasan ustaz tentang kewajipan imam terhadap fatihah makmum. Bagaimanapun, masalah di tempat saya ialah bagaimana hendak menasihatkan atau menegur bacaan imam yang fatihahnya tidak fasih?

Jawapan:
Perkara yang salah tidak boleh dibiarkan. Lebih-lebih lagi dalam persoalan yang berkaitan dengan ibadat. Allah s.w.t. memfardukan solat dan menjadikan bacaan fatihah di dalamnya sebagai rukun. Maka, tidak sah solat yang tidak dibaca fatihah. Juga tidak sah solat jika fatihah yang dibaca salah sehingga mengubah makna sebenar yang dikehendaki Allah s.w.t.
Kesalahan dalam bacaan al-Quran terbahagi kepada dua, pertamanya: lahn khafi (kesalahan yang kecil, kesalahan yang tidak mengubah makna seperti bunyi ra berulang, atau menebalkan lam).

Keduanya:

lahn jali (kesalahan yang jelas mengubah makna seperti mengubah baris depan kepada baris bawah, atau mengubah sifat huruf tho kepada ta atau dal).
Kedua-dua keadaan ini dihukum haram dilakukan, pendapat ini disebut oleh al-Barkawiy. (al-Barkawiy, Nihayah al-Mufid, hlm:29).

Namun daripada bahagian pertama biasanya disedari oleh ahli quran yang mahir dalam soal fasahah, yang meliputi makhraj, sifat dan wakaf serta ibtida’.

Lahn jali disedari oleh orang awam, ini kerana kesalahannya jelas. (Abdul Fattah ‘Ajami al-Marsafiy, Hidayah al-Qori, jld:1, hlm:55 ).

Sekiranya kesalahan imam hanya termasuk dalam lahn khafi, maka bacaannya dan solatnya sah. Namun perlu dibetulkan bacaannya, sekiranya kesalahan itu boleh diperbaiki.
Jika kesalahan dalam bacaan boleh menyebabkan maknanya berubah maka wajib imam itu diberitahu akan kesalahannya supaya dapat dia perbetulkan bacaannya.

Jika susah diperbaiki bacaannya keran usia yang tua atau sebab ketiadaan gigi atau kerana keuzuran, maka imam itu perlulah mengundur diri dan diganti dengan imam lain.
Kadang-kadang bacaan imam menjadi punca kenapa orang ramai tidak berminat ke masjid atau surau.

Walaupun ini tidak sepatutnya berlaku, namun setiap orang yang ke masjid adalah untuk beribadat, tetapi bila didengar bacaan imam yang banyak salah ini menyebabkan orang kurang minat ke masjid. Lebih-lebih lagi kalau imam itu memang tidak boleh ditegur.

Allah s.w.t. berfirman: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (al-‘Asr: 1-3 ).

Jawatan imam ada kelayakannya, jika kurang berkelayakan adalah lebih baik serahkan kepada orang yang mempunyai keahliannya. Terutamanya ahli al-Quran dan baik budi pekertinya.