Thursday, February 25, 2010

Hukuman syariah perlu diseragam elak kekeliruan

AWAL minggu ini seorang peguam syarie dan peguam sivil, melalui blognya, Rapera menimbulkan satu perkara yang amat penting dan patut mendapat perhatian Kerajaan Pusat dan semua kerajaan negeri.

Ia adalah mengenai pelbagai enakmen syariah yang termaktub dan dikuatkuasakan di semua negeri. Yang menjadi persoalan ialah perbezaan yang wujud mengenai sesetengah salah laku oleh orang Islam hingga memberi gambaran apa yang dianggap salah di sebuah negeri mungkin tidak salah di negeri lain. Berikutan itu, penguatkuasaan juga berbeza di antara negeri. Bukan itu saja, hukuman terhadap kesalahan sama juga berbeza antara negeri. Kesimpulannya, bagi rakyat biasa ialah agama Islam mempunyai pelbagai peruntukan dan penguatkuasaan serta hukuman yang berbeza pula.

Blog itu menyebut bagaimana rakyat negara ini lupa mengenai wujudnya undang-undang syariah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dikuatkuasakan. Justeru, apabila seorang Islam dikenakan hukuman oleh Mahkamah Syariah kerana sesuatu perlakuan yang menyalahi undang-undang itu, ada saja pihak tidak senang dengan hukuman dikenakan hingga ada yang membantahnya.



Gambaran diberikan seolah-olah hukuman yang dijatuhkan itu tidak sepatutnya dibuat. Padahal semua tindakan itu dilakukan mengikut apa yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah negeri yang diluluskan DUN masing-masing.

Masalahnya waktu undang-undang itu dikemukakan di DUN, tidak ramai mendebatkannya mungkin takut membuat teguran terhadap hal-hal agama yang mereka tidak begitu arif. Ini pun kesalahan orang agama juga yang sering menekankan bahawa mereka yang tidak tahu selok-belok agama tidak harus membincangkannya.

Suatu lagi persoalan yang ditimbulkan ialah perbezaan amat ketara mengenai peruntukan terhadap pelbagai kesalahan, penguatkuasaan dan hukuman yang dijatuhi yang jelas menunjukkan perbezaan peruntukan itu dalam pelbagai enakmen syariah di negeri. Maka apa yang menjadi kesalahan di sebuah negeri mungkin tidak di negeri lain. Dengan itu penguatkuasaannya juga berbeza. Hukuman juga berbeza antara negeri walaupun untuk kesalahan yang sama.

Perbezaan ketara ini berlaku kerana hal ehwal agama adalah mengikut bidang kuasa negeri masing-masing. Maka itulah di Pahang dan Kelantan misalnya seorang Islam yang minum arak di khalayak dan dibawa ke pengadilan boleh dihukum sebat mengikut Enakmen Jenayah Syariah negeri itu. Tetapi hukuman sebatan itu tidak pula diperuntukkan bagi negeri lain.

Jangan hendaknya perbezaan ini boleh menjadi bahan ejekan dan lelucuan pula. Apa tidaknya kalau seorang boleh berkata, orang Islam jangan minum arak di Pahang atau Kelantan tetapi boleh minum di Wilayah Persekutuan atau negeri lain kerana mereka tidak akan disebat jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Malah, mengikut suatu peruntukan enakmen undang-undang syariah di sebuah negeri, sesiapa yang tidak bersembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut dikatakan murtad. Dan mengikut fahaman sesetengah pihak yang percaya bahawa seorang yang murtad hendaklah dikenakan hukuman rejam, jadi apakah seorang Islam yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut di negeri itu harus direjam?

Selain itu, ada juga pelbagai kelemahan lain hanya kerana setiap negeri mempunyai peruntukan berbeza itu. Ia memberi gambaran betapa tidak adanya kesefahaman di antara jabatan agama negeri masing-masing.

Apapun rakyat perlu sedar bahawa setiap undang-undang syariah itu telah diluluskan oleh DUN masing-masing. Memandangkan undang-undang itu diluluskan ketika Barisan Nasional (BN) menguasai setiap negeri kecuali Kelantan, ia bermakna semua Adun BN bertanggungjawab terhadap kewujudan peruntukan berbeza itu.

Jadi tidak sepatutnya ada menteri atau wakil rakyat BN membantah apabila Kartika Sari Dewi Shukarno dikenakan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Kuantan atau pun tiga wanita di Wilayah Persekutuan dikenakan sebatan kerana bersetubuh di luar nikah. (Empat lelaki juga dikenakan hukuman enam sebatan itu di atas kesalahan sama pada masa itu di Wilayah Persekutuan).

Ada juga sesetengah pihak mengatakan hukuman yang dijatuhkan itu hanya ‘acah-acah’ dan separuh masak kerana tidak menepati hukuman hudud yang diperuntukkan al-Quran. Sememangnya tidak ada peruntukan hukuman Hudud dalam undang-undang syariah negeri termasuk di Kelantan walaupun Kerajaan Pas negeri itu termasuk pimpinan Pas heboh mahu mengadakan hukuman hudud sebelum ini.

Kesimpulannya bukan saja pengurusan agama Islam tetapi kesalahan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah juga berbeza di antara negeri? Ia memberi gambaran kepada orang ramai termasuk bukan Islam bahawa dalam Islam wujud kesalahan dan hukuman yang berbeza antara negeri. Perbezaan ini menunjukkan tidak ada kesefahaman atau kesepakatan antara jabatan agama negeri. Apakah tidak perlu diwujudkan penyeragaman pelbagai peruntukan dan hukuman yang wujud sekarang?

Tidakkah boleh pihak bertanggungjawab mendukung kehendak syariah duduk berbincang untuk mewujudkan penyeragaman itu? Susah sangatkah mereka mengadakan perjumpaan untuk berusaha ke arah itu? Masanya sudah tiba supaya semua undang-undang jenayah syariah diseragamkan.

Perjumpaan demikian juga perlu untuk membincangkan hal bersangkutan kutipan dan pengagihan zakat di negeri. Negeri kaya seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor setiap tahun mengutip jumlah yang besar. Bagi tahun lalu saja Wilayah Persekutuan mengutip RM290 juta dan Selangor pula sejumlah RM250 juta.

Ramai juga mengetahui nisbah orang fakir dan miskin di kedua-dua wilayah itu tidak begitu ketara seperti di Kedah, Kelantan atau Terengganu iaitu negeri yang jumlah kutipan zakat mereka tidak begitu banyak. Memandangkan rakyat beragama Islam tidak kira di mana negeri adalah rakyat Malaysia, apakah tidak boleh diwujudkan kaedah bantu membantu wang kutipan zakat antara jabatan agama negeri?

Satu perkara lagi mengenai zakat ini ialah keghairahan mereka yang menguruskannya hendak melabur wang kutipan itu untuk membesarkan lagi dananya. Apakah objektif mereka melakukannya?

Saya difahamkan sepatutnya semua kutipan zakat dibelanjakan pada tahun berikutnya. Mungkin kalau ada lebihan sedikit setelah diagihkan kepada yang berhak dan memerlukan bantuan, dana lebihan itu boleh dilaburkan. Tetapi di kebanyakan negeri soal pelaburan yang ditekankan.

Mereka ini seolah-olah lupa bahawa kutipan zakat kini terus saja meningkat setiap tahun. Jadi tidak akan timbul keadaan di mana tidak ada kutipan mencukupi untuk diagihkan kepada semua asnaf.

No comments: