FENOMENA perubahan iklim kini menjadi antara isu utama masyarakat antarabangsa. Bagaimanapun ia kelihatan kurang diberi perhatian oleh pemimpin agama Islam di negara ini.
Tidak banyak wacana bagi membicarakan mengenai kepentingan isu perubahan iklim atau pemanasan bumi ini daripada perspektif Islam.
Apa yang berlaku seolah-olah tiada kesedaran di kalangan pemuka agama mengenai isu perubahan iklim dan kepentingan sidangnya di Copenhagen pada awal bulan ini. Namun tindakan secara praktikal dan teknikal yang diguna bagi menyelamatkan alam sekitar dengan bantuan sains dan teknologi ternyata bukan merupakan penyelesaian yang paling tepat.
Apa yang diperlukan adalah perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup yang bukan hanya tertumpu kepada seseorang individu tetapi harus menjadi semacam budaya masyarakat secara luas.
Dengan lain perkataan diperlukan perubahan dalam pemahaman tentang alam semesta yang dapat membawa suatu perubahan kepada tingkah laku manusia.
Agama menjadi salah satu faktor yang dapat mengubah perilaku manusia dalam bersikap dan memberikan penghargaan terhadap alam sekitar.
Islam sebenarnya mempunyai pandangan dan konsep yang sangat jelas tentang pemuliharaan dan keselamatan alam sekitar. Islam merupakan agama yang memandang alam sekitar sebagai bahagian yang tidak terpisah daripada keimanan.
Dengan kata lain, perilaku manusia terhadap alam sekitarnya merupakan manifestasi dari keimanan dan ketakwaan mereka.
Konsep Islam tentang alam sekitar ini ternyata sebahagiannya telah digunakan dan menjadi prinsip etika yang dikembangkan oleh para ilmuwannya.
Prinsip prinsip pengelolaan dan etika alam sekitar yang terdapat dalam ajaran Islam ternyata telah banyak pula yang dituangkan dalam beberapa pasal dalam Kesepakatan dan Persidangan dunia yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.
Akan tetapi konsep dan ajaran Islam yang sangat jelas ini tampaknya masih belum banyak difahami apalagi dijadikan pedoman dalam bersikap dan berperilaku terhadap alam sekitar oleh sebahagian besar umat Islam yang jumlahnya tidak kurang dari sepertiga penduduk dunia.
Hal ini ditandai daripada kerosakan alam sekitar yang terjadi baik pada tahap nasional mahupun global. Ini ternyata sebahagian besar terjadi di kawasan yang majoritinya adalah penduduk Islam.
Tetapi mengapakah para ulama agak dingin dengan isu perubahan iklim? Adakah wujudnya dikotomi dalam pemahaman di mana isu perubahan iklim dipandang sebagai suatu aspek keduniaan dan bukan sebagai wilayah agama?
Pemahaman dikotomi seperti ini cukup dominan di kalangan umat Islam dan berpengaruh luas dalam ilmu pengetahuan dan kehidupan sosial keagamaan.
Dalam espistemologi ilmu, sebahagian cerdik pandai Islam masih membezakan secara dikotomi antara ilmu agama dengan ilmu sekular.
Malah karya imam mazhab dan kitab-kitab syarahannya (penjelasannya) yang ditulis oleh para murid mereka tidak ada yang membahaskan masalah alam sekitar secara khusus dalam kitab mereka.
Ini mungkin kerana masalah alam sekitar tidak dianggap sebagai sebahagian daripada ritual ibadah. Ini juga kerana pada kurun waktu ulama fikah hidup masalah alam sekitar tidak berlaku sehingga perbahasannya tidak diperlukan.
Adakah mungkin wujudnya salah faham dalam ajaran agama, serta cara pendekatan yang dipilih oleh penganut Islam di negara ini khususnya dan umat Islam pada umumnya.
Ini juga yang menyebabkan perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka. Adakah mungkin ia tidak merupakan topik hangat walaupun perubahan iklim akan membawa kehangatan kepada bumi?
Setahu penulis jarang ada syarahan, soal jawab agama mahupun khutbah Jumaat yang membicarakan isu perubahan iklim. Adakah tiada kesedaran di kalangan para ustaz, ustazah dan pemuka agama yang lain terhadap isu atau mereka tiada kepakaran untuk membicarakan isu ini untuk dikaitkan dengan Islam.
Di manakah badan-badan Islam seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berwajib agama berhubung dengan isu perubahan iklim ini?
Ramai yang sudah mengetahui keburukan fenomena perubahan iklim yang boleh mengakibatkan bumi menjadi tidak seimbang serta mengakibatkan bencana besar di muka bumi adalah akibat perilaku manusia.
Oleh itu bagi menguruskan bumi supaya menjadi sihat diperlukan perubahan kepada perilaku manusia dalam mengelola, mengurus dan melindungi bumi daripada kerosakan.
Arne Naess (1993) salah seorang pendukung ekosentrisme dan deep ecology pernah menyatakan bahwa krisis alam sekitar yang terjadi dewasa ini hanya dapat diatasi dengan merubah secara fundamental dan radikal cara pandang dan perilaku manusia terhadap alam sekitarnya.
Pendidikan Islam, baik formal mahupun tidak formal seperti di madrasah dan masjid, dapat menjadi landasan yang sangat baik untuk memberikan kesedaran serta tindakan terhadap perubahan iklim. Tentu sahaja para aktivis masjid, madrasah, dan ustaz perlu diberikan latihan dan pengkaderan untuk memahami soal perubahan iklim serta jenis tindakan yang dapat dilakukan.
Islam telah mengajar bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi yang diberi amanah untuk merawat, memelihara dan memulihara bumi.
Di dalam al-Quran disebutkan bahwa tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon tunduk kepada-Nya dan Allah meninggikan langit dan Dia meletakkannya secara seimbang (55: 4-7) dan Dia menciptakan sesuatu menurut ukuran (54:49). Oleh kerana itu, manusia (yang beriman) diperintahkan selalu memohon doa dengan rendah hati dan rasa takut dan tidak membuat kerosakan di bumi (7:55-56).
Usaha praktikal dalam keselamatan alam sekitar dengan memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi rupanya tidak cukup untuk mengendalikan kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh manusia. Permasalahan alam sekitar ternyata bukan hanya masalah teknikal atau ekologi semata, akan tetapi juga menyangkut persoalan teologi.
Permasalahan yang menyangkut alam sekitar adalah sangat kompleks serta pelbagai dimensi. Oleh itu nilai agama (addin) bagi memandu manusia ke jalan yang benar digunakan sebagai landasan berpijak dalam upaya menyelamatkan alam sekitar.
PENULIS adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
Friday, December 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment