Friday, December 26, 2008

HIV & AIDS

Jakim tidak sekat pasangan HIV positif berkahwin

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihaknya tidak menyekat atau menolak permohonan mana-mana pasangan yang disahkan positif HIV untuk berkahwin kerana mereka berhak berbuat demikian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, sehingga Jun 2008, seramai 97,879 calon telah menjalani ujian saringan HIV dan daripada jumlah tersebut, seramai 46 orang didapati positif.

Beliau berkata, tujuh daripada 46 orang itu bersetuju meneruskan perkahwinan mereka.

''Kita tidak menerima tekanan daripada calon yang ingin berkahwin untuk menjalani ujian ini, malah ada antara mereka yang memilih untuk menjalani secara sukarela.

''Sekiranya positif HIV, calon berhak membuat pilihan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau tidak dengan pasangan masing-masing, ini termasuk bagi pasangan yang bukan Islam," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1430H/2008M di sini hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semua bakal pengantin beragama Islam wajib menjalani ujian saringan HIV bermula tahun depan.
Wan Mohamad seterusnya berkata, secara dasarnya, semua negeri bersetuju untuk melaksanakan ujian saringan HIV kepada semua bakal pengantin.

Tambahnya, Jakim pula melalui proses perbincangan yang panjang dengan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Kesihatan berhubung pelaksanaan dasar tersebut.

''Perkara ini sudah lama dilaksanakan oleh negeri Johor, malah pernah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, tetapi bermula hujung tahun lalu, semakin ramai calon pengantin bukan Islam yang menyedari akan kepentingan ujian ini," katanya.

Mengulas dakwaan pelbagai pihak yang menolak pelaksanaan dasar itu atas alasan mencabul hak asasi manusia, beliau menegaskan, semua pihak perlu memikirkan hak pasangan kepada penghidap HIV terbabit.

''Kalau ia dikatakan mencabul hak asasi manusia, kita turut kena fikir hak pasangan pembawa HIV itu, mereka akan jadi mangsa kerana hanya mengetahui perkara sebenar setelah berkahwin dengan pasangan masing-masing.

''Dalam soal ini, Jakim termasuk agensi agama Islam yang lain menerima sebarang pandangan daripada pelbagai pihak secara terbuka, namun mereka yang meragui tindakan Jakim perlu mengemukakan kajian yang terperinci terlebih dahulu," ujarnya.

Mengenai Maal Hijrah pula, beliau berkata, sambutan yang bertemakan Menjana Ummah Gemilang itu akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Disember ini.

Utusan 24/12/2008


Ujian saringan kurangkan kes AIDS

Ujian saringan HIV ke atas bakal pengantin beragama Islam yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu berjaya mengurangkan bilangan pesakit AIDS di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ghazali Othman berkata, sejak program itu diperkenalkan pada 2005, seramai 6,085 bakal pengantin menjalani ujian tersebut dengan sembilan kes disahkan positif HIV.

Menurutnya, kebanyakan bakal pengantin yang disahkan positif HIV itu telah meneruskan perkahwinan masing-masing selepas mendapat kaunseling dan rawatan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan terlibat.

''Kes kematian akibat AIDS di negeri ini juga masih rendah berbanding negeri lain iaitu 491 kematian daripada 608 kes AIDS sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari AIDS Sedunia 2008 peringkat negeri yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Kheng Hua di sini hari ini.

Selain itu, Dr. Ghazali berkata, kes pesakit AIDS di negeri ini semakin berkurangan ekoran peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai melalui keberkesanan program saringan ke atas ibu hamil yang turut dipraktikkan oleh pihaknya.

Katanya, program saringan ke atas ibu hamil juga dilaksanakan bagi mencegah penyebaran HIV di negeri ini dan setakat ini, seramai 11,279 ibu hamil sudah menjalani ujian tersebut.

''Daripada jumlah tersebut, 10 ibu hamil disahkan positif HIV dan kami sudah melakukan rawatan yang perlu bagi membantu ibu dan kandungannya termasuk memberi kaunseling percuma," ujarnya.

Katanya, majoriti pesakit AIDS ialah lelaki Melayu berusia lingkungan 30 hingga 39 tahun yang dijangkiti HIV kerana berkongsi jarum suntikan dadah tercemar serta mengamalkan seks rambang tanpa perlindungan.

Kata beliau, pihaknya sentiasa menjalankan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) termasuk menganjurkan program kaunseling dan saringan mengesan HIV untuk bakal pengantin beragama Islam.

''Kita juga amat menggalakkan pasangan bukan beragama Islam terlibat menyertai program saringan HIV ini demi kesejahteraan generasi akan datang sekali gus menghentikan penularan penyakit tanpa penawar itu," jelasnya.

Kata beliau, menerusi sesi kaunseling yang diadakan, pihaknya turut memanggil ibu bapa pasangan pengantin untuk mendapatkan restu seterusnya mengelak salah faham jika ada antara pasangan itu positif HIV.

''Walaupun kes AIDS di negeri telah menurun namun kempen-kempen kesedaran mengenainya akan terus dilaksanakan bagi memastikan penyakit ini terus dihapuskan dan penularannya dapat dihentikan sepenuhnya kelak," katanya.

No comments: