Saturday, July 26, 2008

Harta rampasan perang

MEREKA menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman. (al-Anfaal: 1)

SEJURUS kaum Muslimin mencapai kemenangan, Rasulullah mengutuskan dua pembawa berita kepada penduduk Madinah untuk menyampaikan berita gembira dengan segera mengenai perkembangan terkini di medan pertempuran. Abdullah bin Rawahah diutus kepada penduduk al-Aliah dan Zaid bin Hatithah kepada penduduk al-Safilah.

Selepas peperangan, Rasulullah tinggal di Badar selama tiga hari. Sebelum bergerak pulang, berlaku sedikit perselisihan pendapat mengenai pembahagian harta rampasan. Setelah perselisihan menjadi parah, Rasulullah memerintahkan supaya semua harta rampasan yang ada dalam tangan mereka dipulangkan semula. Mereka semuanya akur dan patuh.

Selepas wahyu di atas pun turun bagi mengatasi perselisihan yang berlaku. Dengan itu, Rasulullah pun membahagikan harta rampasan sesama kaum Muslimin.

Setelah tiga hari Rasulullah berada di Badar, Baginda pun menggerakkan tenteranya ke Madinah. Mereka membawa bersama mereka harta-harta rampasan perang dan orang tawanan Quraisy.

Abdullah bin Kaab dilantik sebagai amir yang bertanggungjawab ke atas harta-harta rampasan tersebut. Setibanya di Segenting al-Safra, Baginda singgah di dataran yang terletak di antara segenting dan al-Naziah. Di situlah Baginda membahagikan harta rampasan di kalangan kaum Muslimin, setelah Baginda mengambil seperlima daripadanya.

Apabila sampai ke al-Safna, Baginda mengarahkan supaya al-Nadr bin al-Harith dibunuh, kerana beliaulah pembawa panji kafir Quraisy di Badar. Beliau juga merupakan antara penjenayah Quraisy paling jahat yang telah mengecam Islam serta menyakiti Baginda. Dia kemudiannya dibunuh oleh Saidina Ali bin Abi Talib.

Setelah sampai ke Iraq al-Zibya, Baginda memerintahkan supaya dibunuh Uqbah bin Abi Muith kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab menganiayai Baginda dengan mencampakkan najis sembelihan ke atas kepada Baginda semasa sedang solat. Beliau juga pernah mencekik leher Baginda dengan kain sehingga hampir-hampir membunuh Baginda, tetapi sempat dihalang oleh Abu Bakar.

Setelah diperintahkan untuk dibunuh, akhirnya beliau dibunuh oleh Asim bin Thabit al-Ansari. Hukuman membunuh dua orang kepala thaghut ini adalah kemestian dari segi undang-undang perang kerana mereka bukan sekadar tawanan perang, malah merupakan penjenayah perang berdasarkan kanun semasa.

Manusia binasa apabila langgar syariat

MUHAMMAD Quraish Syihab dalam tafsirnya berkata: Ayat yang lalu menegaskan bahawa Allah SWT mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh manusia, yang nyata mahupun yang tersembunyi. Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan kekuasaan-Nya di seluruh jagat raya, dan apa pun yang dikerjakan manusia, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, maka semua akan dipertanggungjawabkan termasuk apa yang dihuraikan oleh ayat yang lalu, yakni menyembunyikan persaksian.

Dapat juga diperkatakan, bahawa setelah dalam ayat yang lalu Allah SWT menegaskan keluasan ilmu-Nya, maka di sini dijelaskan keluasan kekuasaannya dalam rangka membuktikan bahawa Dia Yang Maha Kuasa itu menyandang segala macam kesempurnaan yang layak bagi-Nya. Ini kerana pada hakikatnya semua kesempurnaan dapat tergambar melalui kekuasaan dan pengetahuan. Demikian al-Biqa’i menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.

Firman Allah SWT: Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.

Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah kesimpulan al-Quran yang dibuat dalam pembicaraannya mengenai undang-undang madani atau sivil itu dengan mengemukakan bimbingan yang ditujukan kepada hati nurani dan menghubungkan di antara undang-undang kehidupan dan Allah SWT yang menciptakan kehidupan itu dengan tali ikatan yang kukuh yang terdiri dari perasaan takut dan harapan kepada Allah SWT yang memiliki bumi dan langit”.

Ini bererti al-Quran menambahkan jaminan-jaminan daripada hati nurani di samping jaminan undang-undang, sedangkan jaminan hati nurani itu merupakan jaminan yang amat kuat dan istimewa bagi syariat Islam di dalam hati kaum muslimin yang hidup dalam masyarakat Islam.
Jaminan hati nurani dan undang-undang di dalam Islam merupakan dua perkara yang sepadu. Sebabnya Islam menciptakan hati dan mengaturkan undang-undang untuknya dan juga Islam menciptakan masyarakat dan menyusun undang-undang dan peraturan untuknya.

Itulah ciptaan Allah SWT selama-lamanya sepadu dan seimbang. Itulah tarbiah (didikan) di samping undang-undang. Itulah rasa takwa di samping kuasa undang-undang. Itulah sistem hidup manusia dari ciptaan Allah SWT yang menciptakan manusia.

Ketahuilah bahawa kecelakaan umat manusia berlaku apabila umat manusia lari dari sistem hidup dan syariat yang diatur oleh Allah SWT. Di dunia Barat, kecelakaan itu bermula dari pelarian mereka dari pengaruh gereja yang zalim dan dari tuhannya.

Gereja mendakwa bahawa ia bercakap atas nama tuhan lalu ia mengharamkan manusia dari berfikir dengan teliti, mewajibkan orang ramai dengan menggunakan nama tuhan supaya membayar rasuah-rasuah yang tinggi dan bertindak terhadap mereka dengan menggunakan kuasa yang sewenang-wenangnya.

Apabila orang ramai mahu menyelamatkan diri mereka daripada momok yang menakutkan ini, mereka terus melarikan diri dari gereja dan kuasanya, tetapi mereka tidak terhenti setakat garis yang sederhana sahaja.

Malah mereka terus melarikan diri daripada tuhan gereja itu sendiri dan kuasanya kemudian melarikan diri daripada segala agama yang memimpin kehidupan mereka di bumi ini dengan undang-undang dan peraturan Allah SWT. Akibatnya mereka menempuh kecelakaan dan malapetaka.

Namun, bagi kita para penganut Islam, mengapa pula kita bertindak begitu juga? Mengapa kita juga bertindak lari dari Allah SWT? Lari daripada sistem hidup dan syariat yang diatur oleh-Nya?

Mengapa kita bertindak begitu, sedangkan agama kita agama yang toleransi dan lurus. Ia tidak sekali-kali mewajibkan ke atas kita melainkan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan kita daripada belenggu-belenggu khurafat, menggugurkan beban-beban (dosa) dari pada kita dan melimpahkan ke atas kita rahmat, hidayat, kemudahan, kejujuran dan keteguhan sikap mengikut jalan yang membawa kepada Allah SWT, kepada kemajuan dan keberuntungan di akhirat?

Firman Allah SWT: Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini adalah, dengan rahmat-Nya Dia mengampuni orang yang dikehendaki dan dengan keadilan-Nya juga Dia akan menghukum orang yang dikehendaki. Allah SWT hanya menghendaki agar sesuatu itu sesuai dengan dasar kemurahan dan keadilan-Nya.
Dengan keadilan-Nya, Dia menghukum orang yang berdosa sesuai dengan dosanya dan memberi pahala sesuai dengan kebaikannya. Akan tetapi dengan kemurahan-Nya pula, Dia melipatgandakan pahala kebaikan sebanyak 10 kali atau lebih, tetapi tidak pula melipatgandakan hukuman terhadap sesuatu dosa.

Dosa yang diampun ialah orang yang Allah SWT berikan jalan kepadanya untuk berbuat kebaikan, sehingga kebaikannya mengatasi dosanya. Ia bukan seperti anggapan orang yang bodoh, bahawa masalah pengampunan terhadap dosa ini mudah, sehingga mereka berani membuat dosa dengan terus-menerus tetapi pada masa yang sama, dia berharap akan diampunkan oleh Allah SWT.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Friday, July 18, 2008

Solat 'pendinding' daripada kemungkaran

DIDIKAN AWAL: Rasulullah berpesan agar mengajar anak mengambil wuduk dengan betul dan menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun.

Kesempurnaan ibadat jadikan jiwa sentiasa tenang dan bencikan kejahatan

SALAH satu peristiwa agung yang berlaku kepada Rasulullah ialah Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar dan tidak pernah dikurniakan kepada nabi serta rasul sebelumnya.

Pada peristiwa itu Rasulullah SAW menyaksikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Di samping itu, Baginda juga diperlihatkan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan bakal mereka terima.

Di kemuncak peristiwa inilah Allah mensyariatkan solat kepada umat Islam. Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah al-Nisa', ayat 103)

Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu'ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, "jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa.

Di samping itu, kita juga digalakkan berdoa supaya anak dan zuriat sentiasa mendirikan solat. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku." (Surah Ibrahim, ayat 40)

Sesungguhnya solat mempunyai banyak rahsia dan kelebihan, antaranya ialah solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan-Ku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Taha, ayat 14)

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah. Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Seterusnya solat juga memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Solat juga mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek perubatan dan kesihatan antaranya, solat yang ikhlas dan khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan sihat serta cergas.

Perkara itu terbukti apabila pakar urat saraf bukan beragama Islam melakukan kajian mendapati bahawa ada beberapa urat saraf dalam otak manusia yang berkeadaan selalu kosong, tidak dimasuki darah, iaitu darah tidak boleh masuk ke dalamnya, padahal setiap bahagian otak manusia itu memerlukan darah yang cukup untuk ia dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun, selepas sekian lama membuat kajian, akhirnya doktor itu mendapati memang darah tidak dapat sampai ke beberapa bahagian urat saraf tertentu dalam otak kecuali pada ketika seseorang itu sujud dalam solatnya, barulah darah itu boleh masuk dan mengalir.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril. Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah.

Oleh itu, sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat, mereka adalah golongan yang sesat. Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)." (Surah Maryam, ayat 59)

Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai'a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.

Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran)." (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).


Sembahyang jadi kayu ukur darjat keimanan manusia

ULAMA berbeza pendapat dalam menentukan hukum orang yang meninggalkan solat. Ada yang mengkafirkan dan ada yang mengatakan imannya semakin berkurang. Berbeza Rukun Islam lain seperti puasa, zakat dan haji, apabila ditinggalkan ia akan mengurangkan keimanan seorang Muslim.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah mereka diperintahkan kecuali supaya beribadah, iaitu menyembah Allah serta mengikhlaskan diri kepada-Nya dalam mengikuti agama yang hanif (suci) ini, mendirikan solat serta menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Baiyyinah, ayat 5)

Solat disyariatkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah, menghilangkan dosa, menunjukkan kepatuhan, ketaatan dan rendah diri di hadapan Allah dengan menggunakan anggota badan untuk berbakti dan menghambakan diri kepada Allah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah memfardukan lima waktu solat. Sesiapa yang memperelokkan wuduk dan solat tepat pada waktunya, menyempurnakan rukuk, sujud dan khusyuk, Allah berjanji kepadanya untuk mengampunkan dosanya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak melakukan semua itu, Allah tidak berjanji untuknya. Jika Dia ingin mengampunkan dosanya, maka diampunkan. Begitu juga jika Dia ingin mengazabnya, Dia akan mengazabnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak dinafikan, ada orang yang benar-benar khusyuk dan sempurna dalam solatnya. Namun, kebanyakan mereka kurang sempurna dan lalai. Tidak hairanlah setiap orang beriman akan mendapat ganjaran mengikut tahap kesempurnaan serta keikhlasannya ketika melakukan solat.

Allah menentukan bahawa solat adalah syarat penting untuk membuktikan seseorang itu beriman pada Allah. Solat juga mampu menghilangkan keresahan yang sentiasa menyelubungi manusia. Dengan solat, hati mereka menjadi tenang, gembira dan ceria.

Ujian pertama selepas melafazkan kalimah syahadah ialah solat. Allah cuba menguji manusia beriman dengan ujian pertama yang kebanyakan manusia gagal memenuhinya.

Hukum kafir kepada sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja dan menganggap tidak wajib. Ulama bersepakat bahawa darahnya halal untuk dibunuh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perjanjian antara Muslim dengan kafir ialah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya dia telah kafir.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaai dan Ibn Majah)

Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab di hadapan Allah. Rasulullah SAW mewasiatkan seluruh umatnya supaya mendirikan solat. Itulah perkataan terakhir yang keluar daripada mulut Baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Solat juga termasuk satu rukun terpenting dalam Islam. Ia membuktikan kedudukan agama Islam sama ada kukuh atau lemah. Jika sebahagian umat Islam tidak lagi menunaikan solat, ini bermakna sebahagian umat Islam tidak faham dengan kepemimpinan Islam.

Tidak mungkin mereka akan berjihad di atas satu kalimah syahadah sedangkan mereka tidak mengikut seorang imam dalam solat berjemaah. Meninggalkan solat, bererti menanggalkan keislaman dan keima-nannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah aku beritahu kepadamu sesuatu perkara, tiang sesuatu perkara dan puncak sesuatu perkara. Aku berkata: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Kepala semua perkara adalah Islam. Tiangnya adalah solat dan puncaknya (apa yang meninggikan martabat Islam) ialah berjihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram

Kita dituntut bersabar supaya dijauhi daripada 'rasukan' kemarahan

SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya. Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.

Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah.

Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani pertanyaan orang bodoh."

Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab'in menerangkan bahawa syaitan berkata, "Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya."

Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, "Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:

l Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.

l Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.

l Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu

Sementara itu, Abdullah bin Mas'ud berkata, "Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus."

Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya, "Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat."

Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, "Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan."

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, "Meninggalkan marah."

Wahab bin Muhaib berkata, "Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak."

Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.