TANPA kita sedari, Mac yang baru saja kita lalui sekali lagi membuka lembaran bersejarah dalam kehidupan umat Islam. Mungkin masih segar dalam ingatan pada 18 Mac 2005, telah tercipta satu sejarah besar yang mana Dr Amina Wadud di Manhattan, Amerika Syarikat, telah mengimami solat Jumaat dan beliau turut membaca khutbah Jumaat - satu peristiwa belum pernah terjadi sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.
Pada 28 Mac 2008 pula, umat Islam dikejutkan pula dengan satu tayangan filem yang benar-benar menghina dan mempersendakan agama Islam yang suci. Kali ini Islam diserang dalam satu bentuk penghinaan dengan propaganda dahsyat.
Filem Fitna yang diasaskan Geert Wilders, menimbulkan suasana tidak tenteram, baik di kalangan umat Islam itu sendiri mahupun masyarakat dunia seluruhnya.
Walaupun lebih awal Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) merayu supaya Kerajaan Belanda mengharamkan dan melarang penayangan filem itu, disebabkan tiada undang-undang yang mampu menghalang, Wilders terus angkuh.
Apa yang terkandung dalam filem yang ditayang selama 15 minit itu tidak lain hanyalah menggambarkan salah faham Wilders terhadap Islam.
Cuma pada zahirnya, kita tidak dapat menilai ke mana hala tujunya filem itu selepas ini, namun objektifnya adalah jelas untuk mempromosikan Islam sebagai sebuah agama yang menganjurkan keganasan. Kita juga turut boleh menyangka bahawa Wilders telah mengeksploitasi ayat al Quran yang dibawanya bagi kepentingan tertentu.
Selain itu, kelihatan juga nilai sentimen untuk melaga-lagakan agama secara umumnya. Perkara ini jelas terkandung di dalam isi kandungan filem itu.
Dalam hal ini, kita sebagai umat Islam tidak harus cepat melatah dan menuding terus ke arah Wilders dan Belanda. Dengan melakukan tindakan melampau dan ganas akan hanya memburukkan keadaan yang sedia membara.
Kita tidak perlu mengadakan demonstrasi atau menunjukkan protes dengan cara yang kurang bijak seperti membakar bendera dan sebagainya. Itu hanyalah seperti mengiyakan apa yang cuba ditonjolkan Wilders dalam Fitna.
Harus diingat Wilders agak licik dalam menyusun strategik untuk menjatuhkan imej Islam di mata masyarakat dunia. Justeru, umat Islam harus bijak menangani situasi seperti ini supaya tidak jatuh ke dalam perangkap yang dibuat Wilders.
Satu perkara lagi, tindakan atau reaksi kurang bijak seperti menganjurkan demonstrasi jalanan hanya merugikan masa dan mencerminkan budaya yang kurang matang. Tetapi kita perlu menyalurkan kemarahan membara di dalam hati ini, dengan menunjukkan reaksi yang bijak dan lebih digeruni.
Seruan supaya memboikot barangan buatan Belanda perlu dibuat secara bersepadu dan menyeluruh. Kita juga perlu bermuhasabah agar tidak mempertimbangkan hal individu dan keuntungan poket sendiri, tetapi perlu melihat kemaslahatan yang membawa kesan yang lebih besar.
Di samping itu, kerajaan boleh membawa langkah drastik dan berkesan bagi mengimbangi situasi ini. Kita tidak perlu melawan kekerasan dengan kekerasan, tetapi adalah lebih efektif jika kita menggunakan kepintaran dan kelembutan (hikmah). Kita mungkin boleh mengadakan satu dialog antarabangsa bagi membetulkan kefahaman yang salah ini.
Dihadiri oleh Wilders atau wakil Kerajaan Belanda sendiri, sesi dialog dibuat secara terbuka dan umum di khalayak.
Di sini kita memerlukan cerdik pandai yang berwibawa dalam menjalankan tanggungjawab dan cerdik pandai ini pula pasti tidak mampu untuk mengusahakan perjalanan dialog ini, dan di sinilah usaha Malaysia ataupun OIC mampu membentuk perjalanan seterusnya. Kita juga boleh melawan propaganda Wilders itu dengan propaganda yang serupa.
Jika beliau menggunakan pentas globalisasi, kita juga sepatutnya mampu menggunakan pentas yang sama. Kita juga boleh membuat filem yang dapat menjawab dan memberi kefahaman sebenar berhubung dakwaan Wilders itu, namun perkara ini saya kira juga perlu pembabitan pertubuhan yang besar, sama ada Malaysia itu sendiri mahupun OIC.
Ini bertujuan mempromosi atau mengkontrovesikan perkara yang kita bawa, supaya menarik perhatian umum dan masyarakat seluruhnya.
Di sini tidak lain, kita perlu mengetepikan permasalahan dalaman yang wujud dan berusaha menggembleng tenaga bagi mendapat manfaat yang besar.
Dan peristiwa ini juga, boleh di jadikan sebagai titik tolak dalam melakukan proses penyatuan masyarakat mahupun negara Islam secara keseluruhannya.
Apa sebenarnya menjadi kebimbangan besar pada pendapat saya, bukannya kepada isi kandungan filem dan propaganda tersebut, tetapi yang lebih dibimbangkan adalah reaksi umat Islam secara umumnya.
Kita bimbang jika perkara ini boleh mencetuskan suasana keganasan dan mendedahkan umat Islam kepada satu tindakan yang melampau dan tidak wajar. Ini yang sepatutnya terlebih dulu di bendung dan di kawal. Kita tidak mampu lagi membuat kesilapan dan melampau, dalam membawa gelombang kebangkitan kita perlu bersikap berhati-hati dan bijak.
Tidak pula terlalu radikal, dan tidak pula terlalu perlahan, apa yang perlu di ingat adalah kita masih berada dalam proses kebangkitan semula.
Dalam hal ini, kita juga perlu kembali bermuhasabah dan menilai tanggungjawab kita sama ada sudah melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Sudah tentu ada sekelumit kesalahan pada diri kita sendiri dan ini berhubung kait dengan tanggungjawab kita untuk membetulkan kesalahan, sekali gus menyedarkan orang lain
Thursday, April 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment