Sunday, January 27, 2008
Khidmat bomoh boleh sesatkan akidah ummah
Dalam kesibukan mencari kamera, seorang pekerja rakan penulis mencadangkan supaya pelajar terbabit berjumpa bomoh di sebuah kampung berhampiran pusat pengajian tinggi itu. Rakan penulis kemudian meminta pekerjanya membawa pelajar terbabit ke rumah bomoh berkenaan. Selepas memandu kira-kira 20 minit, kumpulan yang membabitkan rakan penulis, pelajar dan tiga pekerjanya tiba di rumah bomoh. Rumahnya agak kecil dan beratapkan nipah, manakala keadaan persekitarannya sunyi sepi.
Salam diberi, tetapi tiada jawapan. Untuk sekian kalinya barulah salam disambut. Kemudian muncul seorang lelaki gemuk berusia lingkungan 60-an yang hanya memakai kain sarung tanpa baju sambil menyambut salam kumpulan terbabit.
Masing-masing memandang sesama sendiri sebelum dipelawa naik ke rumah bomoh. Seorang pekerja rakan penulis yang pernah mendapatkan khidmat bomoh itu kemudian menyatakan hasrat kunjungan mereka. "Saya tahu apa maksud anak datang ke rumah saya. Seorang daripada anak mesti ada menghadapi masalah. Mungkin kehilangan barang berharga. Usah bimbang, saya akan berusaha untuk mendapatkannya semula," kata bomoh.
Bomoh terbabit kemudian mengambil mangkuk berisi air sambil membakar kemenyan di tempat khas. Selepas membaca beberapa potong ayat, bomoh terbabit meminta seorang pekerja rakan penulis melihat kandungan air di mangkuk itu.
Pekerja terbabit menurut kehendak bomoh dan kemudian dahinya berkerut sambil memerhatikan rakan penulis, pelajar terbabit dan dua rakan setugasnya. Bomoh terbabit kemudian menjelaskan; "Apa yang saya nampak, pencurinya berkulit putih dan berusia lingkungan awal 20-an. Pencuri ini berasal dari selatan (Pahang atau Johor). Dia kini dalam perjalanan membawa kamera untuk dijual." Bomoh itu kemudian menambah; "Yang lain saya tidak dapat buat apa-apa.
Gambaran yang saya lihat daripada mangkuk itu seperti apa yang saya katakan tadi." Pekerja rakan penulis kemudian bertanya berapa bayaran yang harus dibuat untuk perkhidmatan yang diberi bomoh berkenaan. "Terpulang..." kata bomoh itu. Selepas pelajar terbabit membayar 'imbuhan' berkenaan, kumpulan itu kemudian pulang dengan penuh tanda-tanya.
Sepanjang perjalanan pelbagai andaian dibuat mengenai gambaran pencuri yang dinyatakan bomoh terbabit. Selepas itu, siapa saja pelajar yang berkulit putih dan berasal dari Pahang, Johor, Melaka atau Negeri Sembilan disyaki pencuri. Paling sedih nak dijadikan cerita, rakan penulis turut dituduh mencuri kamera itu kerana berkulit putih dan berasal dari Johor. "Ini betul-betul kerja gila dan fitnah yang tidak dapat aku maafkan," kata rakan penulis kesal.
Kita tahu mendapatkan khidmat bomoh salah di sisi agama, tetapi kita tetap melakukannya. Itulah sikap segelintir orang Melayu, mengaku Islam, tetapi masih percaya perkara yang karut marut. Sehubungan itu, penulis bersetuju dengan pendapat Shamsul Ghazali, 35, bapa Muhammad Nazrin atau Yin yang hilang di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Mac tahun lalu. Shamsul meminta bapa Sharline, Mohd Nashar Mat Hussain supaya tidak menggunakan khidmat bomoh kerana kaedah yang digunakan mereka mungkin bertentangan dengan akidah hingga boleh membawa syirik.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Sesiapa datang kepada kahin (tukang tenung) menanyakan kepadanya sesuatu, nescaya tertutup pintu taubat selama empat puluh malam. Jika dia (orang yang datang itu) mempercayai apa yang dikatakan oleh tukang telek itu, nescaya dia kafir."
Friday, January 25, 2008
Imam wajib memahami hak makmum
ADAKAH dibolehkan makmum membaca surah al-Fatihah sebelum imam habis membaca surah al-Fatihah tersebut? Ini kerana kebiasaannya apabila makmum membaca surah al-Fatihan selepas imam tamat membaca surah tersebut menyebabkan makmum tidak sempat untuk menghabiskan bacaan untuk rukuk bersama-sama dengan iman. Oleh itu, apa perlu dilakukan dan apakah hukumnya?
JAWAPAN
Adab menjadi imam ialah memahami hak makmum dalam solat. Dalam Mazhab al-Syafie imam hendaklah memberi sedikit masa kepada makmum selepas membaca surah al-Fatihah untuk membolehkan makmum membacanya. Ini kerana solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak dikira solat seseorang itu melainkan dengan adanya al-Fatihah”. (Ibn Hibban).
Dalam riwayat yang lain Baginda bersabda yang bermaksud: “… seseungguhnya aku dapati kalian membaca di belakang imam? Sahabat menjawab : Ya Rasulullah kami membaca, lantaran Baginda bersabda: Jangan kalian lakukan yang demikian melainkan kamu boleh membaca surah al-Fatihah”. (Ibn Abdul Bir, hadis sahih, sanad yang bersambung).
Seperti soalan yang dikemukakan di atas jelas imam tidak memahami hak makmum. Ini menyebabkan perjalanan solat berjemaah tidak teratur, kerana imamnya sempat membaca al-Fatihah dan surah al-Ikhlas, manakala makmum tidak sempat habis.
Makmum akan berada dalam keadaan yang serba salah sebab pertamanya makmum tidak boleh sama sekali membaca bersama atau mendahului imam dalam bacaan.
Maksudnya makmum wajib mendengar dan menghayati surah al-Fatihah yang dibaca oleh imam. Setelah imam selesai barulah makmum boleh membaca surah al-Fatihah. Sekiranya imam tidak memberi ruang untuk makmum membaca surah al-Fatihah malahan terus membaca surah al-Ikhlas, maka bila masanya makmum akan membaca surah al-Fatihah? Sedangkan makmum tidak boleh membaca apa-apa sekiranya imam sedang membaca. Namun makmum perlu membaca al-Fatihah walaupun imam sedang membaca surah al-Ikhlas. Imam wajib memahami hak makmum.
SOALAN
Apakah hukum membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas sahaja tanpa berhenti?
JAWAPAN
Harus membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas. Bacaan seperti ini dikira bacaan wasal antara ayat dengan ayat yang berikutnya. Ulama yang pakar dalam bacaan al-Quran mengharuskannya.
Namun membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas ada syarat-syaratnya. Jika syarat-syaratnya dipenuhi bacaannya sah dan jika dibaca dalam solat dengan satu nafas, solatnya juga sah. Syaratnya ialah;
*Memahami makna wasal (bacaan sambung antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya)
*Memahami makna wakaf (bacaan yang diberhentikan terutamanya di hujung ayat)
*Memelihara hukum tajwid hukum tanwin dan nun mati, hukum mim
*Memelihara panjang pendek
*Memelihara fasahah, makraj huruf dan sifat huruf.
Persoalan yang timbul adalah adakah orang membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas? Kalau ada cukup luar biasa, terutamanya nafas yang cukup panjang. Secara normal bila seseorang membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya akan mengambil masa lebih kurang hampir satu minit. Jika baca sambung mungkin juga tak sampai setengah minit.
Seterusnya kita ditegah daripada membaca al-Quran dengan bacaan yang laju, sehingga tidak cukup harakat panjang pendek atau tidak cukup kadar harakat bagi gunnahnya. Sebenarnya orang yang membaca al-Quran dengan kadar cepat berkemungkinan melanggar hukum-hukum tajwid.
Falsafah solat adalah demi menghayati solat dari mula hingga akhirnya. Ini termasuklah menghayati bacaan dalam solat. Bacaan yang laju tidak dapat dihayati maknanya. Selalu disebut contohilah bacaan syeikh-syeikh Arab yang muktabar dalam bacaan al-Quran.
Perlu diingat bahawa setiap ayat daripada surah al-Fatihah bila wakaf padanya maka akan dipuji oleh Allah s.w.t. Ini jelas dalam tafsir Ibn Kathir menyebut yang bermaksud: “Selepas membaca al-Hamdulillahi rabbil alamin, Allah akan menjawab: Sesungguhnya hambaku telah memuji aku…begitulah Allah s.w.t. akan menyebut-nyebut akan hamba yang memujinya, apatah lagi surah al-Fatihah sarat dengan doa dan harapan (Ibn Kathir, jld:1, hlm:43).
Justeru itu, yang afdalnya ialah membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya, wakaf di penghujung ayat juga dikenali dengan wakaf tam (berhenti kerana sempurna maknanya). (Husniy Syeikh Uthman, Haqq al-Tilawah, hlm:48-49)
Wakaf ini adalah mengikut cara al-Quran diturunkan, bermaksud ketika Jibril menyampaikan al-Quran, Jibril berhenti di situ. Maka penghujung ayat itu diberi tanda wakaf. Berdasarkan wakaf itu jugalah ayat-ayat itu dikira. Sebab itulah setiap kali Jibril wakaf pada ayat, bermaksud makna bagi ayat itu sempurna.
Adapun wakaf Jibril lain perbincangannya. Perlu ingat juga tidak semestinya ayat pertama dengan ayat kedua membincangkan topik yang sama. Kadang-kadang berlaku perubahan topik dalam satu surah walaupun ayatnya berurutan. Ini tidak bermaksud topiknya berurutan. Bukan sahaja surah al-Fatihah malahan surah-surah yang lain juga adalah lebih baik dibaca dengan wakaf di penghujungnya, melainkan ayat-ayat daripada beberapa surah yang tertentu.
SOALAN
Jika seseorang makmum yang sembahyang berjemaah membaca dalam sembahyang dengan suara perlahan akan menimbulkan keraguan kepadanya sama ada bacaannya itu sampai makhraj atau tidak, betul atau salah. Dengan itu dia membacanya dengan suara yang agak tinggi. Apakah bacaannya akan menimbulkan gangguan kepada makmum yang lain? Jika mengganggu apa hukumnya?
JAWAPAN
Bacaan orang yang solat berjemaah kadarnya hanya didengari oleh telinganya sahaja. Jika lebih kuat daripada itu boleh mengganggu orang lain atau mengganggu jemaah di sebelahnya. Mengganggu orang makmum yang lain dengan menguatkan bacaan hukumnya makruh.
Saudara tidak perlu risau, baca perlahan atau baca kuat tiada kaitannya dengan betul atau salah makhraj seseorang. Ramai yang baca kuat tetapi makhraj masih salah, dan tidak semestinya yang baca kuat itu betul makrajnya. Dan tidak pula orang yang membaca perlahan salah makhrajnya
Ketepatan makhraj adalah berdasarkan kepada ilmu, seseorang itu mesti tahu di mana tempat keluarnya huruf qaf, mim, kho dan sebagainya daripada huruf-huruf hijaiyyah. Bila kita pasti makrajnya dan tepat maka kita baca perlahan pun sah, kerana makhrajnya kena pada tempatnya.
Janganlah sampai demi mencari kesempurnaan solat kita, kita mengganggu solat orang lain.
Kisah Al-Quran
Dan demikian pulalah Kami memberi kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir) dan agar Kami ajarkan kepadanya takbir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya. (Yusuf: 21)
Selepas terselamat daripada menemui kematian dalam perigi kerana dibuang oleh adik-beradiknya sendiri, Nabi Yusuf dijual oleh para pedagang yang menemuinya kepada pembesar Mesir yang bernama al-Aziz sebagai hadiah kepada isterinya. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia sekitar 12 tahun.
Nabi Yusuf dijadikan anak angkat kepada al-Aziz dan isterinya. Maka bermulalah kehidupan baru Nabi Yusuf di rumah pembesar Mesir itu. Al-Aziz berpesan kepada isterinya supaya menjaga Nabi Yusuf dengan baik dan menghormatinya. Al-Aziz berfirasat bahawa suatu hari nanti, Nabi Yusuf akan menjadi seorang yang ternama.
Sejak pertama kali melihat Nabi Yusuf, isteri pembesar tersebut sudah tertarik dengan kanak-kanak itu. Nabi Yusuf dijadikan anak angkat dan dijaga dengan baik. Nabi Yusuf membantu isteri al-Aziz melakukan kerja-kerja rumah sewaktu pembesar tersebut berada di dalam negeri mahupun luar negeri. Tinggallah Nabi Yusuf di rumah pembesar Mesir itu sehingga dewasa.
Nabi Yusuf telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan paras rupa yang cukup kacak. Selain itu, Nabi Yusuf juga memiliki sifat-sifat yang mulia dan sangat disukai oleh semua orang. Pembesar itu juga mengetahui bahawa Allah s.w.t. telah memberikan kepada Nabi Yusuf sifat-sifat yang baik seperti kejujuran, kemuliaan dan istiqamah. Tiada siapa pada waktu itu yang mampu menandingi kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf.
Kebanyakan ulama mengatakan bahawa al-Aziz bukanlah nama sebenar pembesar yang telah membeli Nabi Yusuf. Mereka berpendapat al-Aziz itu dimaksudkan sebagai nama gelaran atau pangkat yang menunjukkan kekuasaan yang dimiliki pegawai itu. Beliau seorang pembesar kerajaan di Mesir yang berjawatan tinggi. Kedudukan jawatannya menyamai jawatan Perdana Menteri.
Setelah hidup menderita dan susah, Nabi Yusuf dijadikan anak angkat oleh al-Aziz yang tidak mempunyai anak. Berkat kesabaran Nabi Yusuf terhadap tindakan saudara-saudaranya yang telah membuang baginda, Allah telah menggantikannya dengan kehidupan dan kedudukan yang baik. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia sekitar 12 tahun.
Walaupun Nabi Yusuf tinggal bersama keluarga bangsawan, baginda tidak pernah lupa akan asal-usulnya. Baginda begitu menjaga akhlak dan sentiasa berbudi pekerti mulia. Baginda tidak menyombong diri dan sentiasa membuat apa-apa pekerjaan yang boleh dilakukan untuk meringankan kerja-kerja rumah yang dilakukan isteri al-Aziz.
PENGAJARAN
*Kita hendaklah bersabar terhadap ujian Allah dan sentiasa berusaha keluar daripada kesusahan.
*Kita mestilah membalas segala budi baik orang terhadap diri kita.
*Janganlah sesekali kita melupakan asal-usul kita biarpun kita telah mengecapi kesenangan.
PERBENDAHARAAN KATA
*pedagang: orang yang menjalankan perniagaan
*berfirasat: tanda-tanda, gambaran
*istiqamah: ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana dan berterusan
INFORMASI
*Menurut sesetengah pendapat, nama pembesar Mesir yang telah membeli Nabi Yusuf ialah Malik bin Zu’ri, sementara isterinya ialah Fakkaa binti Yanan atau nama gelarannya, Zulaikha. Ketika itu, Mesir di bawah pemerintahan Raja yang bernama Rayyan bin Walid.
*Penggunaan Raja (Malik) Mesir tersebut di dalam al-Quran membuktikan pengunaan istilah tersebut pada abad ke-4 iaitu Zaman Mesir Purba. Pada abad ke-20 iaitu Zaman Mesir Baru, perkataan ‘Firaun’ diangkat sebagai gelaran kehormat.
- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.
Penemuan air raksa Al-Majriti diakui ilmuwan Barat
Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan. Seperti biasa, pemikiran Barat menciplak hasil penemuan cendekiawan Islam, tetapi apabila sudah maju, mereka lupa pihak yang membentuk peradaban kemajuan itu. Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan, mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains. Dengan gabungan pengetahuan itu, katanya, umat Islam akan memiliki kelebihan dalam pekerjaan dari segi teori dan praktikal.
Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau. Eksperimen terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari. Al-Majriti akan memerhatikan eksperimennya itu dari semasa ke semasa untuk melihat perubahan pada air raksa yang membentuk oksida raksa hasil proses perubahan secara kimia. Sebagai ilmuwan teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia menerusi proses percubaan di makmal. Kesimpulan yang dicapai Al-Majriti daripada kaedah percubaan di makmal ialah bahan yang terhasil adalah sama dengan kumpulan bahan kimia yang diuji menerusi proses makmal. Penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit. Ia adalah cakera diperbuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan tengahnya ada jarum penunjuk yang boleh bergerak.
Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini. Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke bahasa Latin pada 1252 Masihi. Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Mu'amalat, Ikhtisar Ta'dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada'iq wa Riyadh Al-Khala'iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan. Al-Majriti mempunyai ramai murid berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera. Di sebalik kesibukannya mendalami pelbagai ilmu pengetahuan serta menterjemah buku ilmiah Yunani, Al-Majriti menggemari muzik, yang katanya, mempunyai persamaan dengan pengiraan ilmu matematik.
Sunday, January 20, 2008
Larangan memanggil dengan gelaran tidak elok
Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Hujuraat: 11)
AYAT ini menceritakan keadaan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Thabit ibnu Qais ibnu Syammas. Beliau merupakan seorang yang pekak dan tuli.
Walau bagaimanapun, beliau suka menghadiri ceramah-ceramah agama yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w. Setiap kali beliau hadir majlis ilmu tersebut, para sahabat yang lain akan memberikannya tempat duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. supaya pendengarannya akan lebih jelas dan nyata. Dia juga dapat mendengar dengan lebih baik setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Pada suatu hari, ketika beliau sampai di masjid, tempat yang biasa didudukinya telah diambil oleh orang lain. Beliau pun melangkah selangkah demi selangkah untuk sampai ke hadapan.
Walau bagaimanapun langkahan kakinya tidak disukai oleh orang ramai kerana beliau melangkah di atas belakang dan kepala jemaah di dalam masjid. Ketika beliau melangkah, beliau berkata, “Lapangkanlah, lapangkanlah, berilah aku ruang.”
Tidak diendahkan
Walaupun begitu, kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh orang ramai. Beliau pun meneruskan lagi langkahnya sehinggalah sampai ke hadapan, kemudian beliau pun duduk. Apabila beliau duduk, berkatalah lelaki di sebelahnya:
“Ini tempat aku dan aku lebih berhak untuk duduk di situ.”
Thabit tidak mempedulikan kata-kata lelaki tadi. Beliau pun bertanya lelaki tadi, “Siapa kamu ini?”
Jawab lelaki itu, “Si anu anak kepada si anu.” Thabit berasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Beliau pun bertanya lagi sambil menyebut nama ibu lelaki itu dengan panggilan yang memalukan di zaman jahiliah.
“Kamu anak kepada perempuan si anu binti si anukah?”
Apabila mendengar pertanyaan Thabit tadi, lelaki itupun tertunduk malu. Dia malu kerana gelaran itu amat mengaibkan ibunya.
Selepas itu makan turunlah ayat ini, ayat 11 surah al-Hujurat.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi pula, pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang lelaki yang mempunyai dua atau tiga nama gelaran. Orang ramai biasanya memanggil nama lelaki itu dengan nama gelaran yang ketiga. Lelaki tersebut tidak menyukai jolokan itu.
Sehubungan dengan itu, turunlah ayat tersebut di atas. Rasulullah s.a.w. lalu membacakan ayat tersebut. Baginda melarang umat Islam memanggil seseorang lain dengan nama gelaran yang tidak elok.
Pengajaran* Jangan sesekali memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukai olehnya.
Perbendaharaan kata
* Majlis ilmu: perjumpaan agama
* Jemaah: kumpulan orang beribadat
* Aib: rasa malu atau hina
Informasi
SINGA Allah dan Singa Rasul adalah gelaran agung yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Hamzah bin Abdul Muttalib. Pada zaman Rasulullah, memang terdapat gelaran-gelaran yang diberikan baginda kepada para sahabatnya. Contohnya, Abu Hurairah (Bapa Kucing) diberikan kepada Abdul Rahman Bin Saqr, Humairah (Pipi Merah) diberikan kepada Siti Aisyah, Asadullah (Singa Allah) diberikan kepada Hamzah Abdul Muttalib, Saifullah (pedang Allah) diberikan kepada Khalid al-Walid. Semua gelaran di atas bukan bertujuan menghina tetapi menunjukkan rapatnya hubungan Rasulullah s.a.w. dengan mereka.
* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.
Memahami, menerima fatwa
“Fatwa berubah menurut perubahan masa dan tempat.” Bolehkah diterangkan perkara tersebut? Sebenarnya fatwa itu hukum Tuhan atau pendapat manusia?
JAWAPAN:
Ulama sejak zaman-berzaman, berasaskan petunjuk al-Quran dan hadis, mereka sentiasa menulis tentang hukum dalam dua bentuk. Bentuk pertama memperincikan yang kurang jelas daripada nas-nas al-Quran dan hadis. Bentuk kedua pula menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh orang ramai.
Dari bentuk pertama muncullah pelbagai buku dan huraian. Sementara jawapan kepada soalan orang ramai itu selalunya dinamakan dengan fatwa, jika berkaitan hukum. Malah fatwa nabi pun ada, contohnya apabila dihalakan soalan kepada tentang hukum air untuk bersuci.
Jadi, persoalan fatwa harus difahami sebagai satu keperluan bagi orang ramai dalam memahami hukum Islam daripada pakar bidangnya. Adalah menjadi satu kesalahan segala pendapat peribadi mereka yang tidak mencukupi syarat sebagai mufti (yakni yang layak menyatakan fatwa) dianggap sebagai fatwa.
Di kalangan ulama Islam termasyhur mereka juga ada kitab fatwa masing-masing. Misalnya Ibn al-Qayyim dengan kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in. Ulama semasa Mustafa al-Zarqa mengumpul pendapatnya dengan nama Fatawa Mustafa al-Zarqa. Mutawalli al-Sha‘rawi dengan kitab al-Fatawa al-Kubra malah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaya dengan himpunan fatwanya.
Pada masa akhir-akhir ini pelbagai pendapat peribadi dianggap menjadi fatwa. Di Malaysia hanya pendapat rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah menjadi fatwa rasmi. Adapun pendapat perseorangan yang lain, apatah lagi yang berkepentingan masih merupakan pendapat peribadi semata-mata. Fatwa yang tidak terurus dengan baik boleh menjadi malapetaka kepada orang ramai. Bukan membawa kebaikan.
Jadi fatwa itu dapat disebut sebagai satu penyelidikan hukum, kajian tentang hukum yang original dan dibuat secara mendalam. Tak kira panjang atau pendek. Tetapi ia bukan hanya sekadar jawapan “harus” atau “tidak harus”, atau “harus menurut mazhab itu” dan “tidak harus menurut mazhab ini” sahaja. Ia mesti mendalam, menganalisis, membawa dalil-dalil syariah, kaedah yang muktabar, maqasid dan benar-benar diperhalusi.
Justeru itu pada masa ini, ia perlu kepada kerja kolektif seperti dijalankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang melibatkan ramai pihak berautoriti dengan mengambil kira perkembangan zaman dan perbezaan tempat, malah berbeza khalayaknya.
Tidak boleh seorang mufti itu (sesiapa yang mengeluarkan fatwa) menyatakan pendapatnya atau fatwanya itu adalah hukum Allah. Atau mengaku pendapatnya mesti benar, tak mungkin silap.
Ulama
Para ulama terdahulu cukup berlapang dada. Mereka selalu mengatakan “pendapat saya betul tetapi mungkin salah, dan pendapat orang lain salah tetapi mungkin betul.”
Pengeluar fatwa sama ada mufti rasmi atau mufti persendirian ini seharusnya memiliki: kefahaman mendalam (faqih) dalam nas-nas agama, faqih dalam maqasid syariah dan faqih dalam realiti yang berlaku pada zaman dan tempat itu.
Menyentuh prsoalan yang ditimbulkan oleh saudara, ingin saya menekankan bahawa, Akademi Fekah Mesir pada tahun 2006 telah menetapkan hanya fatwa secara kolektif diterima sebagai fatwa. Fatwa yang tidak berdisiplin tidak dapat dianggap sebagai fatwa yang boleh dipakai.
Beberapa fatwa yang membawa kepada perpecahan umat (dan tidak membawa kepada penyatuan umat) dianggap fatwa yang tidak baik. Misalnya, fatwa yang melaga-lagakan kumpulan orang Islam, contohnya di antara Sunni dan Syiah, menghalalkan darah sesama umat Islam kerana faktor perbalahan politik sempit, atau apa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan (maslahah) umat tidak patut diterima.
Mufti Mesir Dr Ali Jum‘ah contohnya, memberikan peringatan, dalam memberikan fatwa, isu kesatuan umat lebih penting diberi perhatian daripada isu lain, hatta isu akidah, dalam keadaan umat menghadapi krisis.
Justeru itu beliau tidak brsetuju diperbesarkan isu-isu sperti perbezaan Syiah dan Sunni pada masa-masa terakhir ini.
Dr. Yusuf al-Qaradawi pula ada menerangkan maksud persoalan yang dikemukakan oleh saudara. Misalnya, mazhab Hanbali di Arab Saudi berpendapat haram mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam pada hari kebesaran mereka.
Namun pada hari ini sama ada ulama Mesir atau Arab Saudi, mereka mengatakan harus berbuat demikian asalkan si pemberi tahniah tidak terlibat dalam perkara yang haram dari segi syarak seperti turut sama meminum minuman keras dalam majlis tersebut, atau ikut sama dalam pergaulan di luar batas.
Dengan kata lain, dalam memberikan fatwa, situasi zaman dan tempat yang berbeza akan mempengaruhi hukum bagi sesuatu umat di tempat itu.
Justeru itu, hukum bagi orang susah berbeza dengan hukum bagi orang senang, hukum tinggal di negara Islam berbeza dalam beberapa perkara dengan orang Islam yang tinggal di negara minoriti umat Islam.
Malah satu contoh yang popular, bagi mazhab yang mewajibkan bersembahyang jemaah di masjid, atau mengatakan sunat, namun pada tempat dan ketika hujannya amat lebat atau musim sejuknya yang keterlaluan, hukumnya dibolehkan untuk bersembahyang di rumah. Berubah dari hukum asal.
Demikian juga kewajipan mengambil wuduk dibolehkan ganti dengan tayammum apabila keadaan terlampau sejuk dan sukar untuk memanaskan air.
Jadi perubahan dari keadaan usia muda dengan datangnya usia persaraan atau usia sangat tua, dari waktu sihat menjadi sakit, ketika keadaan aman bertukar kepada suasana peperangan... Kesemua itu akan berubah fatwa dalam hukumnya.
Seorang atau satu kumpulan pengeluar fatwa yang bijaksana akan mengambil kira kesemua faktor itu dan bukannya jumud pada nas atau tks al-Quran dan hadis, pada satu hukum sahaja.
Diberitakan ulama Tunisia pada zaman penjajahan Perancis ke atas negara tersebut pernah mengharamkan penduduk Tunisia ke Perancis untuk menjadi warganegara di sana. Tetapi dalam keadaan masa kini, dengan keadaan yang berubah, tidak timbul pula pengharaman menukar kewarganegaraan penduduk negeri Islam yang berhijrah ke negara barat.
Wallahualam.
* Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
Malapetaka ekonomi kerana riba
Dalam satu laporan, Ben Bernanke iaitu bos tertinggi institusi mengawal selia sistem ekonomi dan kewangan AS (Federal Reserve), menjangkakan tahun 2008 bakal menyaksikan tahun terburuk sejarah ekonomi AS.
Kekalutan ekonomi AS yang bermula dengan krisis hutang perumahan subprima yang mencecah kerugian ratusan bilion dolar tampak semakin meruncing hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. Untuk makluman, hutang subprima ialah hutang perumahan yang diberikan pihak bank kepada golongan peminjam yang tidak mempunyai kelayakan kewangan yang baik.
Lazimnya bank hanya memberikan pinjaman berpandukan kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.
Hutang
Hutang-hutang daripada pembiayaan perumahan ini kemudiannya diperdagangkan di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pulangan lumayan kepada para pelabur.
Apatah lagi jika yang menjual sijil-sijil hutang ini adalah dari kalangan bank-bank ternama AS. Penyimpangan persepsi bahawa bank-bank AS tidak mungkin rugi juga meningkatkan kepercayaan pelabur untuk membeli sijil-sijil hutang subprima yang berkualiti rendah ini.
Namun keadaan ini tidak bertahan lama. Peningkatan hutang lapuk lantaran kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian sijil hutang subprima ini tidak terkecuali daripada mengalami kerugian besar.
Natijahnya, kita lihat betapa seriusnya krisis hutang subprima ini sehingga menimbulkan malapetaka yang maha hebat bukan sahaja ke atas ekonomi AS bahkan terhadap ekonomi dunia. Peningkatan harga minyak yang mencecah AS$100 setong kerana kemerosotan mendadak nilai dolar akibat krisis ekonomi ini turut memberi kesan kenaikan harga pasaran komoditi dunia yang lain.
Pengguna seperti kita juga tidak ketinggalan merasai bahang kejatuhan ekonomi AS dengan peningkatan mendadak harga barang kegunaan asas termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah.
Tidak sukar menelah punca kepada segala malapetaka ini. Malah bekas Pengerusi tersohor bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu Alan Greenspan telahpun menjangkakan malapetaka ini dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk The Age of Turbulence.
Sesungguhnya malapetaka ekonomi yang sedang melanda ini merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba. Kerakusan manusia mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa termasuklah pelbagai keuntungan atas angin yang diperoleh melalui spekulasi ke atas kadar faedah menambahkan lagi masalah ekonomi yang sedia parah.
Hakikat
Menyedari hakikat inilah, Islam sejak dari awal lagi mengharamkan urus niaga ekonomi berasaskan riba yang amat terkait dengan unsur-unsur ketidakadilan, penindasan dan ekploitasi. Sistem ekonomi kapitalis berorientasikan riba dan manipulasi kadar faedah ini merangsang kegiatan mencari untung atas angin yang kadangkala tidak terkait dengan sektor pengeluaran mahupun perkhidmatan sebenar yang disebut istilah ‘real economy’.
Malah sistem ekonomi sebeginilah yang amat sensitif kepada krisis dan manipulasi hingga boleh memudaratkan seluruh umat manusia. Sebab itulah Allah menegaskan secara khusus bahawa urus niaga berasaskan riba tidak akan sesekali mendapat barakah malah boleh membawa kepada kecelakaan dan kesengsaraan.
Prinsip
Dalam al-Quran disebutkan: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)
Apa yang pasti sistem ekonomi Islam menitikberatkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur-unsur penindasan. Keuntungan atas angin tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaliknya setiap keuntungan yang dijana mestilah ada unsur ‘iwad atau pertukaran nilai (counter-
values) sama ada dari segi usaha (al-kasb), risiko (al-ghurm) dan tanggungan (al-dhaman).
Sebagai contoh, apabila Allah mengharamkan riba, Dia memberi alternatif jual-beli (al-Baqarah: 275). Keuntungan yang dihalalkan melalui jual-beli (al-bai‘) ialah apabila adanya usaha kerana penjual harus membeli barangan daripada pembekal sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada kos asal. Penjual juga mesti bersedia menanggung kerugian (al-dhaman) dan risiko (al-ghurm) lain sekiranya barangan yang dijual itu rosak atau tidak terjual. Inilah sebahagian daripada elemen ‘iwad yang membezakan keuntungan dalam jual beli dengan faedah berupa riba dalam kontrak hutang.
Justeru tiba masanya umat kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja bebas daripada unsur riba tetapi yang lebih utama menjunjung prinsip keadilan dan kebajikan dalam urus niaga, bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Keuntungan yang diperoleh melalui jalan halal akan menambah keberkatan.
Sebaliknya keuntungan atas angin melalui urus niaga riba hanya menjerumus umat manusia kepada kecelakaan.
Jangan melampau jika bertelingkah, itu dibenci Allah
Cuba memuhasabah diri sendiri dan melihat kepada perjalanan masyarakat Islam. Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu, Allah teramat benci manusia yang apabila berbalah, dia melampaui batas. Menolak apa yang benar hanya ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran.
Berkeras kepala dengan hujah sendiri lalu berusaha menegakkan benang yang basah. Allah amat benci orang seperti ini. Inilah juga tabiat munafik yang disifat oleh al-Quran: (maksudnya) “Dan di antara manusia ada mengagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad). (Surah al-Baqarah: 204). Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut ciri manusia munafik itu empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya untuk menang dalam perbalahan seorang munafik tidak kira apa caranya.
Dia sanggup menyelewengkan fakta, menipu hakikat, mengelirukan orang ramai, menghalalkan cara dan apa sahaja watak sekalipun jahat akan digunakan dalam memenangkan diri. Inilah seorang munafik. Inilah orang jahat. Inilah orang yang amat dibenci oleh Allah.
Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar. Sebab itulah, insan-insan agung seperti Abu Bakar dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut: “Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku”. Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah.
Lalu kita dengar manusia bongkak berbicara: “awak siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz” atau “...saya ini tok guru”, “...saya ini menteri”. Lalu insan-insan bongkak ini memejamkan mata dan memekakkan telinga dari mendengar pendapat atau alasan orang lain, hanya kerana keegoan. Inilah manusia yang berkeras kepala apabila berbalah. Kadang-kala bagi yang berkedudukan, ada pula pengampu-pengampu yang mempertahankan pendapat mereka yang salah.
Dalam kehidupan kekeluargaan pun, sikap seperti ini ada. Suami atau isteri apabila berselisih, enggan tunduk kepada kebenaran. Berkeras kepala sehingga ada yang menyebut: “engkau sesen pun tidak berguna untuk aku”. Padahal sudah berapa banyak faedah kehidupan yang sudah dikecapi antara satu sama lain.
Demikian juga suami isteri yang bercerai. Entah berapa tahun mereka ‘tidur’ sekali, tiba-tiba apabila bercerai mereka bagaikan musuh yang berperang untuk mempertahankan agama. Segala-galanya ditafsirkan dengan penuh keburukan. Padahal bukan tidak ada hari-
hari manis antara mereka. Kalaupun berbalah, janganlah memutuskan nilai-nilai persaudaraan dalam agama.
Orang yang pandai bercakap antaranya peguam. Jika mereka ini tidak beretika, mereka akan menjadi manusia yang paling dibenci Allah. Ini kerana mereka akan melampau dalam perbalahan, sehingga yang mereka tahu salah pun akan dipertahankan kerana itu anak guam mereka.
Jika demikian, maka insan lain akan dizalimi dengan sebab kepetahan atau penguasaan mereka dalam memusingkan hakikat undang-undang. Proses penghakiman tentulah akan berdasarkan penghujahan. Bagi yang gagal mendapatkan peguam yang baik – sekalipun dia benar – maka dia menjadi mangsa. Justeru Nabi s.a.w bersabda: Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar.
Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Janganlah dalam keghairahan menghasilkan wang, seorang peguam muslim menjadikan kemampuannya dalam berhujah – sekalipun batil – untuk mempetahankan kebatilan. Saya kadang-kadang bergurau dengan rakan-rakan peguam: “Jika anda tidak beretika, rezeki anda dan rezeki seorang perompak tidak banyak bezanya di sisi Tuhan”.
Demikian juga dalam politik. Dalam mengejar kerusi atau mempertahankannya, tidak dipedulikan batasan halal dan haram. Perbalahan politik seakan berada di luar sempadan agama. Apa diharamkan agama seperti perbuatan fitnah, maki-hamun, mencemarkan maruah orang lain dan pelbagai lagi dilanggar. Kata mereka: “ini politik”. Kerana kerusi, bukan sahaja yang berlainan parti, sesama parti pun berperang.
Kegilaan merebut kerusi membuatkan banyak pihak hilang akal dan keras kepala. Lupa nilai-nilai persaudaraan Islam. Barangkali kerana hal yang seperti inilah, seorang tokoh Turki, Said Nursi menyebut: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”. Saya pula berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik ala jahiliah”. Sebab, Nabi s.a.w juga berpolitik tetapi untuk kemaslahatan umat, bukan kepentingan diri.
Malangnya kadangkala yang ingin berpolitik atas nama agama pun berperangai jahiliah. Saya begitu pelik apabila seorang penceramah politik berceramah tentang melaksanakan hukuman zina yang diwajibkan al-Quran iaitu 100 sebatan. Pada masa yang sama dalam ceramahnya dia menuduh ‘si polan’ dan ‘si polan’ musuh-musuh politiknya berzina. Dia lupa, atau sengaja buat-buat lupa, al-Quran bukan sahaja menyuruh agar dihukum orang yang berzina, bahkan menyuruh untuk dihukum penuduh orang lain melakukan zina tanpa empat saksi yang adil dengan 80 sebatan seperti disebut dalam ayat 4 Surah al-Nur. Itulah politik ala jahiliyah, apabila berbalah mereka berlebih- lebihan. Sehingga soal rumah tangga, rupa paras dan berbagai-bagai lagi yang pada asal tidak diheret ke gelanggang politik, turut dibelasah. Fitnah, surat layang, penyalahgunaan harta kerajaan, caci maki dan segala keburukan yang lain seakan perang antara agama.
Dalam Islam, jika berperang kerana agama pun tidak dibenar melampaui batas seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi melampaui batas.
Perselisihan
Lebih pelik lagi di kalangan golongan agama, ada yang melampaui batas dalam perselisihan pendapat mengenai Islam. Sehingga sanggup mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan aliran mereka seperti Khawarij dan Ahbash. Ada yang sanggup mengada-adakan hadis-hadis palsu demi mempertahankan pegangan mazhab seperti Syiah.
Ada yang sanggup mengetepikan hadis-hadis hanya kerana taksub kepada mazhab yang dipegang. Tokoh ilmuwan besar Islam, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika menceritakan sikap golongan taksub secara ‘mengkhinzir buta’ sesuatu mazhab, menyebut: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya.
Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat pelbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunah.
Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati 100 atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit...”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi‘in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah sikap melampau dalam berbeza pendapat.
Di Lebanon lahirnya puak yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy‘ari, bermazhab syafii, serta bertarikat.
Beliau membentuk satu mazhab yang ekstrem sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang beliau anjurkan. Beliau mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mutawalli Sya‘rawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Muhammad bin Abdul Wahhab, Syed Qutb dan berbagai lagi. Juga mengkafirkan majoriti umat Islam khususnya Arab Saudi.
Berlaku huru-hara di Lebanon disebabkan sikap suka berbalah mazhab Ahbash ini sehingga mereka dikaitkan dengan pembunuhan bekas Presiden Rafiq Hariri. Di Australia, 36 persatuan Islam membantah sikap ekstrem mereka yang menimbulkan perbalahan di kalangan umat Islam.
Asas golongan Ahbash ini adalah berbalah berhubung dengan ayat-ayat sifat Allah dan berbalah sesiapa yang enggan terikat dengan satu mazhab dan pelbagai kekarutan lain. Para ulama di peringkat antarabangsa telah menyenaraikan mereka ini dalam ajaran sesat. Itulah yang diputuskan oleh Mufti Mesir, Arab Saudi, Australis, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Ahmad Shalabi dan lain-lain. Malangnya, mereka mula bergerak dan menyebarkan fahaman di negara kita melalui bekas-bekas penuntut kita di sana dan buku-buku yang diedarkan.
Apa yang ingin saya sebutkan, dalam keghairahan sesetengah pihak di negara kita menentang kebangkitan pemikiran pembaharuan ke arah Islam yang lebih terbuka, rasional dan dinamik, mereka menggunakan puak Ahbash ini untuk berceramah.
Jika di negara arab mereka mengkafirkan Dr. Yusuf al-Qaradawi dan tokoh-tokoh ulama lain, di Malaysia anak-anak buah Ahbash ini mengkafirkan insan biasa seperti saya dan sesiapa yang mereka pilih. Fitnah menjadi teras utama mereka. Atas alasan terlalu terbuka menerima keluasan pandangan, saya dikafirkan.
Saya katakan kepada ustaz-ustaz ini, negara ini adalah aman. Pendekatan apabila berbalah mengkafirkan orang adalah melampaui batas yang akhirnya akan membawa kekacauan dan keadaan menakutkan.
Tidak lama dahulu, kerana perbalahan politik kafir-mengkafir berlaku dalam negara kita. Pulau-memulau antara sesama Islam, solat dua imam, memutuskan silaturahim antara keluarga, mengharamkan sembelihan dan ucapan-ucapan yang seakan menghalal darah sesama kita. Hanya disebabkan perbezaan parti. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang awam.
Mereka tidak tahu menilai, lalu mereka bertindak dengan tindakan yang disangkakan arahan Allah dan Rasul-Nya, padahal ia hanya kempen politik. Kafir itu pun hanya ‘kafir politik’ bukan ‘kafir hakiki’. Menjatuhkan hukuman kafir kepada sesuatu individu bukan semudah mengupas kacang tanah. Ada kaedah dan prinsipnya. Perbuatan mengkafir sesama muslim secara ‘borong’ adalah kejahatan atas nama agama.
Walaupun keadaan itu sudah hampir reda, namun kesannya masih ada. Bukan sedikit baki penceramah yang meneruskan ucapan yang sama. Cuma masyarakat kita mulai berpendidikan dan sedar, perbalahan politik tidak sepatutnya sampai ke kancah kafir-mengkafir. Bukan saya menafikan seseorang muslim mungkin murtad atau terbatal syahadatnya jika melakukan perkara-perkara tertentu. Namun hukuman hendaklah berdasarkan peraturan syarak. Menghukum manusia lain secara melampaui batas atas sentimen perbalahan adalah perbuatan terkutuk yang dibenci Allah.
Perpecahan
Dalam sejarah, kafir-mengkafir secara rambang berakhir dengan penumpahan darah atau perpecahan yang meruncing. Itulah yang berlaku pada pemerintah Sayidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. sehingga beliau dibunuh atas fitnah pemberontak politik yang menggunakan isu agama, yang akhirnya membentuk mazhab Syiah.
Diikuti kemunculan puak Khawarij yang mengkafir sesiapa yang melakukan dosa khusus pemimpin politik seperti ‘Ali bin Abi Talib, Mu‘awiyah bin Abi Sufyan, ‘Amr bin al-‘As r.ahum.
Khawarij mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Sayidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Manusia hidup berkomunikasi antara satu sama lain. Kadangkala kita berbalah dan bertelingkah. Namun jangan melampau. Sesiapa yang melampau dia layak diambil tindakan, bahkan diperangi. Firman Allah: Dan jika dua puak dari kalangan yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara);
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertawalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al- Hujurat: 9-10)
* Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Monday, January 14, 2008
Balasan syurga bagi orang menahan marah, nafkahkan harta
SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.
Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.
Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)
Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)
Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.
Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.
Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)
Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)
Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Tajdid Iman: Mempertingkat kualiti iman
Tajdid Iman: Mempertingkat kualiti iman
MANUSIA dinilai dengan kualiti imannya yang terbaik di sisi Allah SWT. Tidak kira siapakah dia di mata masyarakat, hal itu tidak bermanfaat sama sekali melainkan siapakah dia pada pandangan Tuhannya.
Orang ramai boleh memuji kita sebagai seorang yang dermawan, baik budi, warak dan alim. Tetapi mereka tidak mengetahui seperti mana Allah Yang Maha Mengetahui rahsia keburukan dan kekejian yang kita sorokkan daripada pandangan mereka.
Andai setiap perbuatan itu dibukakan untuk pengetahuan umum dan manusia saling melihat secara terang keaiban satu sama lain, rosak binasalah dunia ini. Sesungguhnya perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Namun, jika ada seorang hamba yang sengaja dibukakan aibnya di khalayak ramai, itu semua mengandungi pengajaran dan rahmat baginya supaya tidak menzalimi diri sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk supaya mereka kembali (bertaubat)." (Surah Al-A'raf, ayat 168)
Ketika tahun berganti tahun, azam yang lalu pun tidak sempat lagi dikotakan menjadi bukti. Hanya rahsia kekejian dalam peribadi kita tetap dipelihara dengan rapi, Namun kuasa Allah SWT menggariskan setiap nasib anak Adam menurut qada' dan qadar-Nya yang mengandungi hikmah supaya kita sedar dan faham bahawa hidup ini tidaklah indah jika tiada matlamat yang menuju kepada Allah SWT semata-mata.
Dari mana kita datang dan hendak ke mana kita menuju? Kita berjalan membawa dosa umpama seorang pengemis yang membusuk oleh nanah dan darah di seluruh badannya. Bayangkanlah bagaimana seorang insan menghadap Tuhan dengan aib dan cela pada jasadnya. Kehinaan apakah yang paling dahsyat ditimpakan kepada diri kita selain menghadap Allah SWT sambil membawa dosa?
Kita hendaklah membawa kualiti kemuliaan dan kesempurnaan ketika hidup dan apabila pulang kepada Allah SWT nanti. Pada hakikatnya, manusia seperti sebuah kereta, ada enjin, stering, tayar, lampu, kerusi, penghawa dingin, besi badan kuat, warna cat cantik dan radio menyenangkan telinga.
Begitulah kualiti manusia, ada yang berilmu tetapi tidak beramal seperti kereta yang mempunyai enjin tetapi tidak ada tayar. Ada pula yang suka menderma tetapi tidak sembahyang, mungkin dia hanya sebuah kereta yang cantik tanpa brek.
Yang beriman dan ahli ibadat, tetapi kedekut dan tamak pada harta orang lain seperti kereta yang remuk dan tidak sejuk. Yang berjaya dalam hidupnya tetapi melupakan orang tua yang banyak berjasa umpama kereta hilang steringnya. Begitulah keadaan manusia yang tidak sempurna, segala puji hanya milik Allah SWT.
Betapa ramai mereka yang memburu kecemerlangan dunia dan akhirat tetapi sayang ada yang sempurna pada satu bahagian tetapi rosak pada bahagian lain. Rasulullah SAW menggambarkan kesempurnaan kualiti iman seseorang melalui sabdanya yang bermaksud: "Iman mempunyai enam puluh atau tujuh puluh lebih cabang, yang tertinggi ialah kalimah Lailahaillallah dan terendah ialah menyingkirkan sesuatu gangguan dari jalan, dan sifat malu adalah cabang iman." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bolehkah kita sampai kepada tahap iman yang tujuh puluh lebih cabangnya? Sempurna zahir dan batin, baik dalam hati dan amal perbuatan? Semua kesempurnaan memerlukan proses yang panjang untuk dicapai.
Jalan bagi mendapatkan kualiti iman terbaik sudah diajarkan Baginda SAW kepada umatnya melalui petunjuk Al-Quran dan hadis. Ada yang mengambil petunjuk itu untuk bekalan hidupnya dan ada pula yang meninggalkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada pula yang pertengahan dan ada yang lebih dulu berbuat kebaikan dengan izin Allah." (Surah Al-Fathir, ayat 32)
Tiga peringkat iman pada diri seseorang dijelaskan dalam ayat itu, yang menganiaya diri sendiri, pertengahan dan paling terkehadapan dalam berbuat kebaikan. Kita tinggal memilih di mana diri ini harus diletakkan. Jalannya sudah jelas dan terang, hanya hamba yang mendapat pertolongan Allah SWT saja yang menduduki peringkat teratas dalam carta iman itu.
Dulu, sahabat amat suka bertanya mengenai sesuatu amalan yang paling utama. Hadis menceritakan mengenai apa yang utama, paling dikasihi Allah SWT atau yang paling baik dan dekat kepada Allah SWT menjadi pertanyaan ditunggu-tunggu sahabat sebagai tips iman yang boleh mereka ambil setiap kali beramal.
Rasulullah SAW melihat keadaan orang yang bertanya dan memberi jawapan sesuai dengan keadaan orang itu. Jika yang datang bertanya seorang tua dan lemah badannya, Baginda memberi tips terbaik untuk meningkatkan iman dengan banyak berzikir. Berlainan dengan seorang yang gagah, maka Nabi SAW menyuruhnya untuk berjihad meninggikan kalimah Allah SWT dengan kekuatannya.
Sebenarnya, kita juga boleh merasa apakah kekurangan yang belum kita perbaiki dalam amalan sehari-hari. Hanya diri sendiri yang boleh menjawab setiap persoalan ditanya oleh hati kita. Mengapa orang membenci kita? Mungkin ada aib yang perlu dihapuskan dalam pergaulan dengan orang lain.
Atau mengapa hati berasa risau, sedih dan tidak tenang? Kerana hati tidak mendapat makanan tambahan yang diperlukannya untuk hidup dengan sihat. Rupanya sudah lama kita tinggalkan zikrullah, tidak seronok ketika solat, Al-Quran pun tidak tersentuh kedua tangan apatah lagi hati.
Lupa bersyukur dan banyak merungut dengan ketentuan Allah SWT ke atas diri kita. Malas dan tidak merancang dalam menguruskan harta dan kehidupan keluarga. Keras dan menakutkan bagi anak yang memerlukan sentuhan kasih sayang. Tinggalkan majlis ilmu dan biarkan diri bangga dengan amalan yang sedikit dan riak yang banyak. Semua itu perlu diperbaiki dan menjadi azam terpenting dalam kehidupan seorang mukmin.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Friday, January 11, 2008
Bicara Agama - Solat bermula dengan niat
Saya ada membaca tentang rukun solat. Saya keliru sebab ada yang mengatakan niat dahulu baru berdiri lurus, dan satu lagi mengatakan berdiri lurus dahulu baru niat sambil takbiratul ihram. Manakah yang betul?
JAWAPAN:
Berdiri dalam menunaikan solat adalah rukun kedua dalam solat bagi mereka yang mampu. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu secara duduk, jika tidak mampu duduk solatlah dengan berbaring. (riwayat al-Bukhari, jld: 2, hlm: 60, Abu Daud, no:952, al-Tarmidzi, no:372).
Bagi mereka yang tidak ada kudrat untuk berdiri, boleh solat sambil duduk dan kalau tidak mampu duduk boleh berbaring. Maksudnya di sini syarat berdiri adalah untuk mereka yang mampu.
Namun, niat dalam solat adalah rukun, tanpanya solat tidak sah. Niat perlu dilakukan di hati. Tidak timbul mampu atau tidak mampu. Semua orang yang waras pasti mampu berniat dalam hati. Biasa disebut dengan ungkapan ‘pasang niat’.
Persoalan sekarang, bilakah masa yang dituntut seseorang untuk berniat atau `memasang niat’nya dalam solat? Niat dalam solat mesti disertakan dengan perbuatan. Apakah perbuatan yang pertama dalam solat? Perbuatan pertama dalam solat ialah takbiratulihram.
Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. (riwayat al-Bukhari, no: 1, Muslim, no:1907). Kesimpulannya, niat harus dilakukan ketika takbiratul ihram. (al-Iqna’, Shamsuddin, Khatib al-Syarbiniy, jld:1, hlm:291).
SOALAN:
Bagaimana agaknya jika seseorang itu amat yakin akan kewujudan Allah dan semua yang ada dalam rukun iman. Selain itu, dia seseorang itu juga melakukan semua yang diperintahkan Allah. Tetapi sejak kebelakangan ini, di hatinya sering terlintas perkataan yang tidak sepatutnya iaitu murtad. Tetapi selepas disedari, dia menenangkan hatinya dengan mengucap kalimah syahadah dan lain-lain bahawa dia hanya mempercayai Allah dan amat menyayangi agama Islam.
Bukan sekali perkataan itu terlintas di hatinya. Setiap kali melakukan sesuatu dia akan meyakinkan diri bahawa dia masih mukmin. Walaupun apabila melakukan ibadat, sering terlintas adakah Allah menerimanya? Tetapi dia akan meyakinkan diri bahawa Allah Maha segala-galanya. Bagaimana mengatasi perkara ini ustaz?
JAWAPAN:
Apa yang terlintas dalam hati itu adalah punca dari bisikan syaitan. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: Katakanlah: “Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia. (an-Nas: 1-5).
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa? (Tahaa: 120).
Dalam surah yang lain firman Allah s.w.t yang bermaksud: Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga). (al-A’raaf: 20).
Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak Adam, hal ini dijelas oleh Allah dalam surah al-Nisa’ yang bermaksud: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka Telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (al-Nisa’: 60).
Syaitan hanya tahu menjanjikan sesuatu yang bersifat tipu daya, firman Allah yang bermaksud: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu, dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.(al-Israk: 64)
Dalam ayat ini Allah memberi kesempatan kepada Iblis untuk menyesatkan manusia dengan segala kemampuan yang ada padanya. Tetapi segala tipu daya syaitan itu tidak akan mampu menghadapi orang-orang yang benar-benar beriman.
Jelas sekali orang beriman sama sekali tidak dapat dipesong oleh syaitan. Sudah menjadi tugas syaitan sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia supaya kufur kepada Allah. Jadinya, orang mukmin sering bersaing di antara bisikan kebaikan dan bisikan kejahatan.
Mereka yang memiliki kejituan iman dan menyedari bisikan keburukan itu bisa menyesatkan dan memesongkannya dari hidayah pasti akan segera beristighfar dan mengingati Allah s.w.t.
Apa yang penting di sini ialah sedar dan terjaga dari bisikan dan segera kepada mendampingi Allah dengan doa. Seseorang yang mampu menghadapi situasi sebegini pasti satu hari nanti bisikan itu akan hilang dan pergi jauh daripadanya. Ini kerana tidak berjaya mengheret mangsanya kepada kesesatan.
Bisikan ini timbul mungkin kerana dua punca; pertamanya: kerana iman yang lemah, keduanya; kerana imannya kuat. Syaitan sentiasa mencari peluang dari punca yang pertama untuk menyesatkan seseorang itu. Golongan ini sering tewas kepada bisikan syaitan. Golongan kedua pula kerana iman mereka sering diuji dengan gangguan bisikan.
Dalam ayat di atas jelas bagaimana Nabi Adam a.s dan isterinya Hawa a.s diganggu gugat dengan bisikan dan cubaan untuk menyesatkan mereka daripada mentaati perintah Allah.
Tidak sekadar Adam a.s tetapi kebanyakan anbiya’ dan rasul diuji iman mereka. Orang beriman pasti akan diuji. Cuma ujian antara seorang hamba dengan seorang hamba yang lain tidak sama. Sentiasalah ingat kepada Allah kerana dengan mengingati Allah, manusia pasti akan mendapat ketengan yang hakiki.
Fikirlah akan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Minda yang positif pasti akan bertahan biar apa sahaja ujian yang mendatang.
* Sebarang kemusykilan agama boleh dihantar ke Utusan Melayu (M) Bhd, 46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200, Kuala Lumpur atau faks ke 03-9222 4967 atau emel ke agama@utusan.com.my.
Kesederhanaan hidup para sahabat
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang- orang yang melanggar peraturan. (al-Maidah: 87)
PADA suatu hari, Rasulullah telah bercerita tentang hari Kiamat. Baginda menceritakan bagaimana manusia akan dibangkitkan semula setelah dimatikan. Keadaan dunia pada waktu itu maha dahsyat. Ibu-ibu tidak menghiraukan anaknya, bapa-bapa pula bertempiaran menyelamatkan diri. Semua hanya mementingkan diri sahaja.
Orang ramai yang mendengar cerita Rasulullah itu berasa kecut. Mereka terketar-ketar kerana sangat takut. Mereka amat takut apabila membayangkan hari Kiamat.
Sebaik sahaja majlis bersurai, para sahabat Rasulullah termasuk Abu Bakar, Alin bin Abi Talib dan Uthman bin Madzun berkumpul. Mereka membincangkan topik yang baru sahaja dikatakan oleh Rasulullah sebentar tadi.
Para sahabat menangis dan menyatakan rasa takut mereka untuk menghadapi hari Kiamat. Akhirnya, mereka mencapai kata putus. Semua bersetuju. Mereka memutuskan untuk hidup secara amat sederhana. Hal-hal keduniaan tidak lagi akan diambil tahu. Mereka akan memakai pakaian daripada kulit binatang sahaja.
Mereka sepakat untuk berpuasa setiap hari. Malam mereka akan dihidupkan dengan solat. Mereka enggan makan daging dan lemak dan serta menjauhi isteri mereka. Akhir sekali, mereka akan hidup berkelana.
Perkara itu telah diketahui oleh Rasulullah. Baginda pun berkunjung ke rumah Uthman bin Madzu’n. Uthman tidak ada di rumah. Hanya terdapat Ummu Hakim iaitu isteri Uthman.
“Benarkah berita yang aku dengar tentang suamimu dan teman-temannya?” tanya Rasulullah.
“Benar, Rasulullah,” kawab Ummu Hakim. Dia tidak mahu berbohong.
Rasulullah pun pulang. Apabila Uthman pulang ke rumah, Ummu Hakim segerapa merapati suaminya dan menceritakan tentang kedatangan Rasulullah. Uthman dan teman-temannya pun pergi mendapatkan Rasulullah.
Rasulullah bertanya adakah benar perkara yang didengarnya? Semua para sahabat mengiakannya.
“Saya tidak menyuruh kamu berbuat demikian,” kata Rasulullah. “Kamu boleh berpuasa, tetapi hendaklah berbuka. Sembahyang malam amat digalakkan tetapi tidurlah. Saya berpuasa dan berbuka, saya makan daging dan lemak. Sesiapa yang tidak mengikuti sunah saya, dia bukanlah golongan saya.”
Baginda pun mengarahkan orang ramai berkumpul. Selepas itu Baginda berpidato kepada semua yang ada.
“Mengapa ada di antara kamu mengharamkan hal yang halal? Saya tidak pernah menyuruh kamu menjadi paderi dengan tidak makan daging dan tidak berkahwin. Tidak ada suruhan untuk bertapa dan mengembara. Pengembaraan umat Islam ialah puasa dan pertapaan mereka adalah jihad. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya,” kata Rasulullah dengan tegas.
PENGAJARAN
* Islam itu adalah agama yang indah. Penganutnya sentiasa dilimpahi dengan pahala. Sesungguhnya orang Islam adalah manusia yang paling beruntung di dunia ini.
PERBENDAHARAAN KATA
* maha: sangat, amat
* berkelana: mengembara
* bertapa: mengasingkan diri di tempat sunyi.
* jihad: perjuangan di jalan Allah
* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.
Friday, December 28, 2007
121. Masjid di Madinah penuh sejarah
ZIARAH luar kota Madinah, bahagian kedua daripada aktiviti melawat tempat bersejarah di Madinah al-Munawwarah yang hukumnya sunat, membawa jemaah menaiki bas untuk melihat tempat bersejarah terletak di luar kota Madinah.
Tempat yang menjadi persinggahan ialah Majid Quba', Jabal Uhud, Masjid al-Qiblatain dan Masjid al-Sab'ah.
Masjid Quba' terletak di perkampungan Bani 'Amru ibn 'Auf iaitu kira-kira tiga kilometer dari arah selatan kota Madinah. Ia adalah masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW, tatkala Baginda selamat tiba di Madinah pada Isnin, 12 Rabi'ul Awwal bersamaan 20 September 622 Masihi.
Masjid itu dibina atas sebidang tanah yang asalnya adalah tempat pengeringan tamar milik Kulthum ibn Hadam. Ia dinamakan Masjid Quba' bersempena nama sebuah perigi yang berada di tempat berkenaan.
Selepas selesai pembinaannya, Rasulullah SAW mengimamkan solat berjemaah secara terbuka bersama sahabat di kalangan Muhajirin dan Ansar berkiblatkan Baitul Maqdis.
Sesungguhnya pembinaan Masjid Quba' mendapat pujian dan penghormatan khusus daripada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya,..." (Surah al-Taubah, ayat 108)
Riwayat yang sahih menyatakan, Rasulullah SAW sering kali pada pagi Sabtu atau ada kalanya pada hari Isnin atau Khamis pergi ke Masjid Quba' dan mendirikan solat sunat di dalamnya. Amalan itu diteruskan sahabat seperti Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Amirul Mu'minin Umar ibn Khattab selepas kewafatan Baginda.
Masjid Quba' mempunyai kelebihannya tersendiri. Ia dinyatakan Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang keluar dari rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan bersembahyang di dalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan Umrah" (Hadis riwayat al-Nasa'iy dan Ibnu Majah)
Jabal Uhud yang kelihatan berwarna kemerah-merahan adalah bukit terpanjang di Madinah dengan ukuran panjang dari timur ke barat kira-kira enam kilometer. Ia terletak di bahagian utara Madinah iaitu kira-kira lima kilometer dari kota Madinah.
Di situlah berlakunya Ghazwah Uhud (Peperangan Uhud) antara tentera muslimin pimpinan Rasulullah SAW yang berjumlah 700 orang dengan tentera musyrikin pimpinan Abu Sufyan yang berjumlah 3,000 orang pada Syawal tahun ketiga hijrah.
Peperangan itu adalah misi balas dendam kabilah Quraisy atas kekalahan tentera mereka pada Ghazwah Badr al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadan tahun dua hijrah lalu.
Peperangan yang terbahagi kepada dua peringkat pertempuran itu menyaksikan kemenangan tentera muslimin pada pertempuran pertama sehingga memaksa tentera musyrikin berundur ke kawasan perkhemahan mereka.
Kemenangan itu hasil strategi Rasulullah SAW menempatkan 50 orang pemanah diketuai Abdullah ibn Jubair al-Ansary di puncak Jabal al-Rumah. Mereka bertanggungjawab melindungi bahagian belakang tentera muslimin sekali gus menyekat kemaraan tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid ibn Walid dan 'Ikrimah ibn Abu Jahal.
Kemenangan awal itu menyebabkan sebahagian besar tentera muslimin ditempatkan di puncak Jabal al-Rumah turun untuk mengumpulkan harta rampasan perang yang ditinggalkan tentera musyrikin walaupun ditegah Abdullah ibn Jubair al-Ansary.
Situasi itu dilihat Khalid ibn Walid, lalu beliau bersama pasukan berkuda musyirikin mengambil kesempatan menggempur baki tentera muslimin yang berada di Jabal al-Rumah yang jumlahnya tinggal sepuluh orang hingga semuanya gugur syahid.
Pada masa sama, isyarat dihantar kepada tentera musyrikin supaya kembali menyusun barisan tentera seterusnya menggempur tentera muslimin. Maka, berlakulah pertempuran kedua yang menyaksikan tentera muslimin diserang dari pelbagai sudut sehingga mereka terpaksa berundur ke tempat tinggi iaitu di Jabal Uhud.
Pengunduran penuh strategi itu menyebabkan tentera musyrikin hanya mampu menyerang dari arah selatan saja. Keadaan itu mengecewakan tentera musyrikin dan sebagai melepaskan dendam dan kekecewaan, mereka memotong serta merosakkan jasad syuhada sebelum berundur seterusnya pulang ke Makkah.
Jabal Uhud menjadi saksi gugurnya 70 syuhada iaitu 64 al-Ansar dan enam al-Muhajirin, berbanding 22 kematian tentera musyrikin dalam peperangan itu. Antara para sahabat yang gugur syahid ialah Sayyidul Syuhada Hamzah ibn Abdul Muttalib, Abdullah ibn Jahsy al-Asadiy dan Mus'ab ibn 'Umair al-'Abdariy.
Jabal Uhud berserta kesan sejarahnya, mempunyai kelebihan dan keistimewaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Uhud adalah bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya" (Hadis riwayat al-Bukhariy)
Umat Islam juga disunatkan menziarahi makam syuhada Uhud untuk memberi salam dan berdoa kesejahteraan syuhada. Dalam hadis diriwayatkan 'Ubadah ibn al-Somit, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW sering menziarahi makam syuhada Uhud dan mengucapkan salam dengan ucapan, "Selamat sejahtera buat kamu di atas kesabaran kamu, dan nikmatilah sebaik-baik tempat tinggal (syurga)."
Selain menziarahi makam syuhada Uhud, jemaah boleh menziarahi Jabal al-Rumah dan Masjid Syuhada yang terletak berhampiran makam berkenaan. Lokasi masjid itu tempat gugurnya Saidina Hamzah sebagai salah seorang mujahid yang mati syahid demi mempertahankan agama Islam. Semoga ziarah ke Jabal Uhud melahirkan keinsafan sekali gus meningkatkan keimanan dan ketakwaan jemaah kepada Allah.
Pada zaman Rasulullah SAW, Masjid Al-Qiblatain adalah tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah. Ia terletak di sebelah barat laut Madinah berdekatan Wadi Aqiq dan Universiti Islam Madinah.
Masjid ini diberi nama Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) bersempena peristiwa turunnya perintah Allah supaya Rasulullah SAW menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Baitul Maqdis.
Peristiwa itu berlaku pada tahun 2 Hijrah iaitu selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat pergi ke perkampungan Bani Salamah kerana menerima jemputan jamuan makan tengah hari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'.
Apabila tiba waktu Zuhur, Rasulullah SAW dan sahabat mengerjakan solat Zuhur di Masjid Bani Salamah berkiblatkan Baitul Maqdis. Ketika berada pada rakaat kedua, turun firman Allah yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram." (Surah Al-Baqarah, ayat 144)
Dengan turunya ayat itu, Rasulullah SAW segera mengubah arah kiblat Baginda dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke Baitullah iaitu berbetulan dengan al-Mizab (Pancur Emas) dan Baginda terus menyempurnakan solat Baginda.
Jelas di sini bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat Zuhur itu mengadap ke arah dua kiblat iaitu Baitul Maqdis, kemudian mengubah kedudukan Baginda lalu berkiblatkan Baitullah di Makkah.
Masjid Al-Sab'ah (Masjid Tujuh) terletak di kawasan Jabal Sila' (Bukit Sila') iaitu di sebelah barat laut Madinah. Walaupun dikenali dengan nama Masjid Tujuh, namun kini hanya ada sebuah masjid saja di kawasan itu yang dikenali sebagai masjid al-Fath.
Selain Masjid al-Fath, nama yang diberikan kepada masjid yang pernah dibina di situ ialah Masjid Saidina Umar al-Khattab, Masjid Saidina Ali ibn Abi Talib, Masjid Salman al-Farisi, Masjid Saidatina Fatimah al-Zahra'.
Ini berdasarkan kedudukan lokasi perkhemahan tentera muslimin diketuai sahabat berkenaan semasa Ghazwah al-Khandaq atau al-Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW menerima pakai pandangan Salman al-Farisi supaya tentera muslimin menggali khandaq (parit) di sekeliling Madinah bagi mengekang kemaraan tentera al-Ahzab (Tentera Quraisy dan sekutunya) daripada menyerbu masuk ke dalam kota.
Slepas selesai menggali parit dalam masa enam hari, tentera muslimin dibahagikan kepada beberapa pasukan kecil berserta lokasi perkhemahan bagi memudahkan operasi pengawasan yang diketuai sahabat berkenaan. Namun, kedudukan tempat itu tidak semestinya tepat kerana tiada asas sejarah yang kukuh mengenainya.
Menurut sejarah, Masjid al-Fath terletak di atas Jabal Sila' dan berhadapan Wadi Buthan (Wadi Abu Jidah). Ia dinamakan Masjid al-Fath kerana menurut satu riwayat, Rasulullah SAW memaklumkan suatu perkhabaran gembira kepada sahabat yang datang membawa berita perihal Yahudi Bani Qurayzah.
Baginda bersabda yang bermaksud: "Bergembiralah dengan al-Fath (pembukaan kota-kota) dan al-Nasr (kemenangan) daripada Allah."
Selain itu, masjid ini turut dikenali sebagai Masjid al-Ahzab dan al-Masjid al-Ala. Masjid al-Fath mempunyai sejarahnya tersendiri ketika berlakunya Ghazwah al-Khandaq.
Diriwayatkan ketika tentera muslimin berada dalam keadaan tertekan akibat dikepung tentera Ahzab dan ditambah dengan faktor lain seperti kesejukan, kelaparan serta pengkhianatan Yahudi Bani Qurayzah, Rasulullah SAW mengerjakan solat dan berdoa di situ selama tiga hari berturut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu.
Antara yang dipohon Rasulullah SAW ke hadrat Allah ialah: "Ya Allah! Tuhan yang menurunkan kitab dan Tuhan yang menggerakkan awan, kalahkanlah mereka dan berilah pertolongan kepada kami untuk menghancurkan mereka."
Permohonan doa Rasulullah SAW diperkenankan Allah pada hari Rabu. Pada malamnya, dalam keadaan suhu yang amat dingin, Allah menghantar angin kencang yang memusnahkan khemah dan peralatan tentera al-Ahzab.
Keadaan itu memaksa mereka menamatkan kepungan ke atas Madinah dan segera berundur seterusnya pulang ke tempat masing-masing dengan penuh kekecewaan.
Walaupun kini sudah tiada lagi sebarang kesan Khandaq atau parit itu, apa yang penting bagi jemaah yang datang menziarahi ialah menyelami roh jihad dan pahit getir dialami Rasulullah SAW dan sahabat dalam mempertahankan Islam.
Betapa ilmu dan pengalaman, keteguhan iman, usaha bersungguh dan tawakal mampu menjadi senjata ampuh dalam mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Inilah tempat bersejarah di Madinah dan kawasan sekitarnya yang akan diziarahi jemaah haji atau umrah. Jika berkesempatan masa dan ada pemandu arah, jemaah boleh menziarahi tempat lain seperti Masjid al-Jum'ah yang terletak di Wadi Ranawna kira-kira 500 meter dari Masjid Quba', Masjid al-Ghamamah, Masjid Abu Bakar, Masjid Umar al-Khattab, Masjid Ali ibn Abi Talib, Masjid al-Ijabah dan Masjid al-Sajdah (Masjid Abi Zar) yang kesemuanya terletak berdekatan Masjid Nabawi serta pusat percetakan mashaf al-Quran.
Disediakan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji
120. Hikmah air zamzam kekal sepanjang zaman
Airnya jernih dan menyegarkan, apa lagi ketika dahaga dan kepenatan mengerjakan tawaf dan saie.
Air zamzam punya hikmah, keajaiban, sejarah dan kemuliaannya tersendiri. Bagi ahli profesional pengurusan air seperti saya, kewujudan, sumber dan kualiti air zamzam amat menakjubkan.
Tidak ada air setanding air zamzam di bumi ini dari segi sumber dan kualitinya, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas, "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zamzam".
Sejarah air zamzam bermula seawal sejarah Makkah, kira-kira 4,000 tahun lalu. Selepas Nabi Ibrahim AS meninggalkan isterinya, Hajar dan anaknya di bumi Makkah yang gersang, Allah memancarkan mata air zamzam dari hentakan kaki Nabi Ismail AS yang masih kecil.
Peristiwa itu berlaku dalam keletihan Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari sumber air. Dalam konteks haji dan umrah, amalan saie seharusnya mengingatkan jemaah kisah Hajar dan Nabi Ismail AS itu.
Selain syiar Islam, amalan saie juga perlu dianggap sebagai sinonim dengan fitrah insaniah yang memerlukan sumber utama kehidupan, iaitu air. Hakikatnya air zamzam adalah anugerah Allah kepada jemaah haji dan umrah supaya menyedari hakikat keinsanan dan proses pembersihan jiwa.
Pada saat air zamzam mula memancar maka bermulalah satu penempatan besar yang akhirnya menjadi pusat umat Islam sepanjang zaman. Jarak telaga zamzam hanya kira-kira 20 meter ke timur Kaabah, tempat paling suci bagi umat Islam.
Sejak dulu, perigi zamzam tetap terpulihara, menyediakan sumber air kepada setiap pengunjung Makkah. Istilah zamzam sendiri bermakna 'berhenti mengalir', iaitu ucapan Hajar ketika cuba membina empangan kecil menakung air zamzam yang melimpah-ruah keluar dari perut bumi.
Perigi zamzam pernah pupus pada zaman Jurhum, tetapi digali semula oleh Abdul Mutalib, nenda Nabi Muhammad SAW. Ketika zaman pemerintahan Abasiyyah di bawah Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur (771 M / 145 H), kubah dibina melindungi telaga zamzam.
Pada 1417M (802H), ketika pemerintahan Mamluk, Masjidil Haram terbakar sehingga turut memusnahkan kubah telaga zamzam. Kerja baik pulih dilakukan sepanjang zaman. Pada era moden, kerja baik pulih dilakukan pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II pada 1915 (1300H).
Sejak 1956 pam elektrik mula digunakan. Ketika ini, jumlah jemaah hají dan umrah menjangkau jutaan setiap tahun. Oleh itu, struktur baru dibina untuk memudahkan perjalanan ibadat tawaf. Jemaah tidak lagi berpeluang melihat perigi zamzam.
Pemantauan dan operasi telaga zamzam dijalankan oleh Pusat Kajian dan Penyelidikan Zamzam (PKPZ), sebuah agensi di bawah Jabatan Kaji Bumi Saudi. Dari segi hidrogeologi, telaga zamzam termasuk dalam Wadi Ibrahim.
Bahagian atas telaga zamzam adalah aluvium berpasir diperkukuhkan dengan batuan dan konkrit. Antara aluvium dan dasarnya wujud batuan poros yang mengalirkan air. Air zamzam terhasil menerusi air larian kawasan sekitarnya.
PKPZ sudah menjalankan pelbagai kajian untuk menganalisis ciri telaga dan air zamzam. Paras airnya dipantau menggunakan hidrograf berdigital dan sebahagian parameter kualiti air dipantau secara berterusan.
Biasanya paras air 3.23 meter di bawah paras permukaan. Ujian pengepaman pada 8,000 liter sesaat selama 24 jam menunjukkan paras air menurun kepada 12.72 meter. Apabila pam dihentikan, air zamzam kembali naik ke paras 3.9 meter dalam tempoh 11 minit saja. Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa telaga zamzam bersambung dengan akuifer dari gunung-ganang sekitar Makkah.
Umat Islam percaya bahawa air zamzam adalah kurnia dan rahmat Allah. Air zamzam menghilangkan dahaga dan kelaparan. Itulah sebabnya jemaah umrah dan haji disunatkan meminum air zamzam sepuasnya.
Dari segi saintifik, air zamzam bersifat alkali. Itu sebabnya air zamzam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.
Kandungan mineral seperti kalsium, magnesium dan florida juga tinggi. Begitu juga iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potasium menyebabkan air zamzam bersifat nutritif berbanding sumber air lain.
Itulah hikmah dan kemujaraban air zamzam. Namun, keajaiban paling ketara ialah keupayaan telaga zamzam mengalirkan air tanpa henti, menampung keperluan jiwa dan jasad jutaan jemaah haji dan umrah yang sentiasa dalam kehausan.
Ketulenan dan khasiatnya tidak terjejas biarpun setiap jemaah meminum air zamzam sepuasnya, malah membawa bekalan pulang.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah profesor kejuruteraan alam sekitar
di Universiti Teknologi Malaysia, kini berada di Makkah.
Wednesday, December 26, 2007
119. Anak ialah anugerah Allah & Larangan mengusir balu dari rumah suaminya
FIRMAN Allah, Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. (An-Nahl: 58)
Huraian
Al-Quran telah menunjukkan gambaran tentang sikap buruk orang arab Jahiliah yang apabila dikurniakan anak perempuan mereka merasa terlalu dukacita sehingga ternampak kemurungan di wajah masing-masing.
Memendam perasaan marah dan dukacita seolah-olah anak perempuan itu membawa kecelakaan kepada keluarga mereka. Sedangkan anak perempuan juga adalah kurniaan Allah s.w.t seperti anak lelaki.
Mengapa mereka berdukacita, sedangkan mereka sendiri tidak berkuasa untuk menentukan jantina anak di dalam rahim ibu, apatah lagi untuk meniupkan roh ke dalam janin.
Dengan hanya mengenangkan hayat seorang insan yang berkembang subur dengan keizinan Allah dari setitis nutfah kepada seorang manusia sempurna sudah cukup untuk kita menyambut bayi yang lahir itu dengan penuh kegembiraan, walau apa pun jantinanya.
Oleh itu, mengapa orang yang disampaikan berita kelahiran anak perempuan itu menjadi dukacita dan menyembunyikan dirinya dari orang ramai setelah menerima berita yang buruk itu, sedangkan dia tidak pernah mencipta dan membentuk rupa bayi itu, malah dia hanya merupakan alat kudrat Ilahi dalam proses kelahiran mukjizat yang gemilang itu.
Hikmat Allah dan peraturan hidup telah menentukan bahawa anak itu adalah terjadi dari pasangan lelaki dan perempuan. Oleh itu, perempuan merupakan unsur utama di dalam peraturan hidup sama seperti lelaki juga, malah peranan perempuan lebih besar lagi kerana merupakan wadah perkembangan dan pertumbuhan bayi.
Kesimpulan
Sebagai hamba yang lemah, kita hendaklah menerima anugerah Allah sama ada anak lelaki mahupun perempuan. Kedua-duanya adalah anugerah Allah yang tidak ternilai.
Anak lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan kerana tanpa kedua-duanya tidak akan wujud generasi manusia yang akan memakmurkan bumi ini. Bahkan peranan wanita itu sangat besar dalam menempatkan atau mengandung bayi sebelum ia menjadi seorang manusia sama ada ia lelaki atau perempuan.
Oleh sebab itu, sikap dukacita atau bimbang menerima kelahiran anak perempuan adalah cetusan sikap yang tidak bersyukur dengan segala bentuk pemberian Allah.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
LARANGAN MENGUSIR BALU DARI RUMAH SUAMINYA
FIRMAN Allah s.w.t: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya).
Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa kepada kamu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 240)
SYEIKH al-Maghari berkata: “Ayat-ayat ini datang sebagai pelengkap berhubung dengan perkahwinan dan disebut padanya berkenaan dengan perintah supaya memelihara solat kerana ia merupakan tiang agama.
Justeru amat layak bagi orang Islam untuk prihatin dengan sesungguh-sungguhnya. Ini kerana natijahnya siapa yang menjaga solat yang diletakkan di hadapan matanya sebenarnya ia telah mendirikan segala batasan agama dan beramal dengan syariat”.
Firman Allah: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya).
Ibnu Kathir berkata: “Kebanyakan ulama berpendapat ayat ini dimansuhkan dengan ayat sebelumnya. Persoalannya apakah hikmah dikekalkan tulisan ini bersama hilangnya hukum dan kekal tulisannya selepas dinasakhkannya boleh memberi waham bahawa hukumnya kekal?
Amirul Mukminin Saidina Uthman menjawab: “Perkara ini adalah tauqifi dan aku dapatinya sabit dalam mushaf begitu juga selepasnya. Maka aku mensabitkannya mengikut apa yang aku dapatinya”.
Riwayat ini disebut oleh Suyuti di dalam al-Dur al-Manthur begitu juga dengan Ibnu Jariri, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan An-Nuhas dalam an-Nasikh Wal Mansukh.
Firman Allah: Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa kepada kamu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka.
Imam Al-Nasafi berkata: “Dan maknanya ialah bahawa hak yang kematian suami mereka bahawa hendaklah diwasiatkan sebelum dalam sakaratul maut. Di mana sebahagian daripada suami telah memberi kepada isteri mereka setahun penuh iaitu yang diinfakkan atas mereka daripada pusaka dengan wanita tersebut tidak boleh keluar daripada rumah. Dan inilah pada permulaan Islam yang kemudian dinasakhkannya”.
Al-Sonhaji berkata: “Ayat ini mulanya diturunkan kerana suatu peristiwa iaitu: Ada seorang lelaki bernama Hakim bin Harith telah meninggalkan negerinya iaitu Taif menuju ke Madinah. Dia ada membawa bersamanya dua orang ibu bapa, seorang isteri dan beberapa orang anak. Kemudian orang itu meninggal dunia dan beritanya terus disampaikan kepada Nabi s.a.w. Di atas kematiannya itu turunlah ayat ini, lalu baginda membahagikan harta warisannya kepada kedua ibu bapanya dan anaknya, sedang isterinya tidak diberi warisan apa-apa. Tetapi baginda menyuruh memberikan nafkah dari harta peninggalan si mati itu yang mencakupi baginya selama setahun”.
Al-Baghawi berpendapat: “Allah s.w.t telah menasakhkan nafkah tahunan dengan ayat mirath (pusaka) kepada satu perempat untuk isteri atau satu perlapan. Begitu juga dinasakhkan idah setahun dengan empat bulan 10 hari.
Begitulah hukum yang telah dijalankan pada permulaan Islam. Jika seseorang itu mati, jandanya hendaklah beridah selama setahun. Haram ahli waris suami mengeluarkannya dari rumah sebelum cukup masa setahun, dan perbelanjaan bagi nafkah dan tempat tinggalnya selama setahun itu tertanggung atas ahli waris suami, yang diambil dari harta peninggalannya. Dengan demikian bererti janda itu tidak berhak mendapat warisan hanya nafkah setahun sahaja.”
Dalam pada itu janda tersebut boleh memilih antara dua perkara:
Menunggu selama setahun dengan mendapat nafkah dan tempat tinggal.
Atau ia boleh keluar. Bermakna, tidak perlu menunggu di rumah suaminya hingga setahun.
Tetapi dengan sebab keluarnya itu, gugurlah pula nafkah dan tempat tinggal untuknya, dan ahli waris suaminya tidak menanggung apa-apa.
Dengan adanya peraturan yang sedemikian ini, adalah menjadi kewajipan kepada seorang suami sebelum meninggal dunia membuat wasiat yang sedemikian, iaitu untuk memberikan jandanya kegembiraan atau saguhati yang berupa nafkah, pakaian dan tempat tinggal selama setahun dan tidak mengeluarkannya dari rumahnya.
Hamka berkata: “Maksudnya sekalipun belum cukup setahun asal idah yang empat bulan 10 hari sudah lepas, maka bolehlah ia diberi keluar jika dia mahu asalkan pada hal yang berpatutan. Misalnya kerana mendapat jodoh atau pulang kerumah orang tuanya dengan baik.
“Di sini ditekankan pada ayat ‘perkara yang patut’ kerana sekiranya dia keluar tanpa apa-apa hal atau sekadar suka-suka dalam had setahun itu dan dia tidak dipertanggungjawabkan demi menjaga wasiat si mati, tidak bolehlah dia menguasai rumah semula. Tetapi sekiranya tempoh setahun itu sudah selesai, maka terlepaslah penguasaannya terhadap rumah itu”.
Sayyid Qutub berkata: “Kata-kata ‘kepada kamu’ menyarankan kelompok muslimin yang padu dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di dalam masyarakat, kerana kelompok musliminlah yang diserahkan urusan syariat dan agama Allah dan diserahkan kepada setiap individu serta setiap tindakan yang berlaku dalam lingkungan masyarakat. Merekalah yang menanggung kesalahan terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh individu-individu masyarakat mereka.
“Saranan ini mempunyai nilainya dalam memahami hakikat kelompok muslimin dan tanggungjawab-tanggungjawab mereka, juga mempunyai nilainya dalam keperluan dalam mewujudkan kelompok ini untuk mengawal dan menjaga agama Allah dari penyelewengan mana-mana individunya. Kelompok inilah pada akhirnya bertanggungjawab terhadap individu-individu muslimin dalam persoalan-persoalan kecil dan besar.
“Ayat ini ditujukan kepada mereka dengan sifat ini untuk menjelaskan hakikat ini di dalam hati mereka dan di dalam hati setiap setiap individu yang ada di dalam kelompok mereka”.
Kemudian diiringi dengan kenyataan: Firman Allah s.w.t: Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sayyid Qutub berkata: “Kenyataan ini bertujuan untuk menarik hati manusia menginsafi kekuatan Allah dan hikmat kebijaksanaan-Nya dalam segala apa yang difardukan oleh-Nya. Dan kenyataan ini juga mengandungi ancaman dan amaran”.
Syeikh al-Maghari berkata: “Allah s.w.t yang maha perkasa mampu untuk menghukum mereka yang menyalahinya dan Maha Bijaksana dengan meraikan pada hukumnya dan maslahat hambanya.
“Dengan keperkasaannya Dia boleh menukarkan umat-umat daripada adat dan tradisi yang mudarat kepada yang manfaat dan maslahat sebagaimana menukar bangsa arab dari adat mereka berhubung dengan masalah idah dan lain-lainnya apabila menjadikan perempuan tawanan yang hina dikuasai di rumahnya selama setahun dengan yang lebih mulia dan memuliakannya di rumah suaminya”.
Iktibar Ayat:lHukum berkenaan dengan pusaka dan mutaah kepada isteri.
* Terdapat ayat yang dinasakhkan hukum tetapi masih dikekalkan bacaan.
* Mengisbatkan sifat Allah s.w.t yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Monday, December 24, 2007
118. Sedekah dan kemaafan
Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 263)
Huraian
Sedekah yang diberikan adalah bertujuan untuk membantu keperluan umum bukan untuk membangga diri. Justeru sifat riak, perkataan-perkataan yang boleh menyinggung dan menyakiti hati hendaklah dijauhi. Islam menghendaki umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik dan bersopan.
Jika didapati terdapat kesilapan, hendaklah kita maafkan kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita juga tidak boleh bersifat riak dan sombong, tetapi hendaklah bersifat penyabar.
Kesimpulan
Dalam mengharungi kehidupan zaman kini kita hendaklah pandai mengimbangi antara yang baik dan buruk. Yang baik hendaklah kita amalkan seperti bersedekah, memberi nasihat, bercakap dengan sopan dan berakhlak mulia. Manakala sifat yang buruk seperti mengungkit-ungkit pemberian sedekah, menyakiti hati, kedekut dan sebagainya hendaklah dijauhi.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
117. Berkat zakat mudah diperoleh tapi sukar ditunaikan

IBADAH zakat adalah kewajipan semua umat Islam
DALAM sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan Allah pada tahun kedua Hijrah, ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati oleh umat Islam.
Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya ia disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada rukun Islam.
Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam, yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini. Baginda Rasulullah sendiri digambarkan sebagai pemuda al-Amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat.
Digambarkan pada zaman jahiliah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Mekah seringkali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga miskin yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.
Muhammad al-Amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila Baginda sering memberi makanan kepada orang-orang miskin, membantu anak-anak yatim dan memelihara kebajikan ibu-ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas nabi menjangkau kepada semua makhluk Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Nabi sendiri bertuah kerana Baginda disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid yang telah terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.
Para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf sendiri adalah golongan yang banyak bersedekah dan berderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal disiksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar.
Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati. Ini kerana, Allah s.w.t. sendiri telah memberikan pertunjuk bahawa keberkatan itu lahir daripada salah satu amalan murni yang dinamakan zakat. Firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Maryam: 31)
Faktor keberkatan
Kenapakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapannya mudah, kerana ia adalah anugerah Allah. Apabila Allah s.w.t. mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan integrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada Allah s.w.t. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.
Berkat pada hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak oleh mata kasar namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu bapa dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah pertanda keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah s.w.t.
Firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (al-Baqarah: 274)
Bagaimana memperoleh keberkatan?
Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5 peratus daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperoleh keberkatan daripada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. sesungguhnya Maha Mengetahui bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada-Nya. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan pada masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.
Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrem dalam berharta. Firman Allah bermaksud: Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31).
Sebaliknya, Allah s.w.t. amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Sebagaimana firman Allah bermaksud: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik. (al-Baqarah: 195)
Kesimpulan
Zakat adalah satu jalan dari pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkat ibadat itu sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya.
Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan hidup di akhirat kelak terhindar dari bakaran? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.
Bak kata hadis nabi: Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat nanti.
* HAMIZUL ABDUL HAMID ialah pegawai perhubungan awam di Lembaga Zakat Selangor (LZS).