Wednesday, March 24, 2010

Jangan abai hak Rasulullah

SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.

Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.

Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra' ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.

Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

Allah juga berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.

Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu".

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi Allah!"

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW. Perbincangan selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.

Ummu Ma'bad pintar berfikir

NAMA sebenar Ummu Ma'bad ialah Atikah binti Khalid bin Munqiz. Dia merupakan seorang saudara perempuan kepada seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Hubaisy bin Khalid.

Ummu Ma'bad ialah seorang wanita yang baik, murah hati dan pandai berkata-kata. Namanya mula terkenal apabila Nabi Muhammad singgah di rumah sebagai tetamunya.

Peristiwa itu bermula apabila Nabi Muhammad ingin berhijrah ke Madinah. Segala persiapan berhijrah telah disiapkan. Nabi Muhamad dan Abu Bakar telah memilih seorang lelaki yang pandai selok-belok jalan ke Madinah. Lelaki itu bernama Abdullah bin Uraiqith al-Laitsi.

Sementara itu, Abu Bakar pula menyediakan dua ekor binatang sebagai kenderaan mereka ke Madinah. Sebentar kemudian datang Asma binti Abu Bakar menemui ayahnya.

"Ayah, saya ada bawa makanan untuk ayah dan Nabi Muhammad. Makanlah makanan ini supaya lebih bertenaga," kata Asma sambil menghulurkan makanan itu kepada ayahnya.

"Terima kasih," ucap ayahnya.

Makanan yang dibawa oleh Asma itu diikat pada ikatan pinggangnya. Ikatan itu dibelah menjadi dua bahagian. Bermula pada hari itu Asma digelar wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.

Cerdas dan pintar

Abu Bakar dan Nabi Muhammad segera memulakan perjalanan ke Madinah. Selain daripada mereka terdapat seorang hamba milik Abu Bakar yang bernama Amir bin Fuhairah di bawa bersama.

"Kita sudah semakin jauh. Elok kita berhenti berehat dahulu," kata Abu Bakar.

"Baik, saya setuju," jawab Nabi Muhammad.

Mereka berhenti di tempat yang mempunyai rumah. Di situ mereka berehat dan mendapatkan bekalan makanan dan minuman. Akhirnya mereka terjumpa sebuah rumah milik Ummu Ma'bad.

Beliau tinggal di padang pasir. Tempat itu terletak di sebuah desa yang berhampiran dengan kota Mekah. Tempat itu diberi nama Qudaid.

Ummu Ma'bad adalah seorang wanita yang baik. Dia juga seorang yang suka bersedekah. Ini terbukti apabila dia sering memberi makan dan minum kepada sesiapa yang singgah di rumahnya.

Pada tahun itu daerah tempat tinggal Ummu Ma'bad mengalami musim kemarau yang teruk. Penduduk di situ sudah tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. Mereka terpaksa menahan kelaparan.

Semasa di rumah Ummu Ma'bad, dengan izin Allah rombongan Nabi Muhmmad telah dapat minum susu kambing. Mereka sudah tidak lapar dan dahaga. Mereka kembali bertenaga. Ummu Ma'bad sempat masuk Islam sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumahnya.

Tiba-tiba datang sekumpulan orang kafir Quraisy melintasi rumah Ummu Ma'bad. Mereka adalah sekumpulan pemuda Quraisy yang telah diarah oleh pembesar kafir Quraisy untuk menangkap Nabi Muhammad.

"Saudari, kami ingin bertanya kepada awak. Adakah awak melihat dua orang lelaki dengan rombongannya melintasi kawasan rumah awak ini?" kata ketua pemuda Quraisy itu.

"Kami telah diarahkan oleh pembesar Quraisy Mekah untuk menangkap Nabi Muhammad dan rombongannya. Nabi Muhammad telah membuat kekacauan kepada kami," kata seorang pemuda Quraisy yang lain.

"Benarkah mereka ingin menangkap Nabi Muhammad. Saya mesti selamatkan Nabi Muhammad. Sekarang saya sudah menjadi orang Islam. Saya mesti bantu orang Islam daripada disiksa oleh kafir Quraisy," bisik Ummu Ma'bad sendirian.

Ummu Ma'bad dengan beraninya berkata kepada pemuda Quraisy itu, "Saya tidak melihat sesiapa pun yang melintasi kawasan rumah saya ini kecuali awak semua. Saya juga tidak pernah kenal dan dengar nama orang yang awak sebut-sebutkan tadi".

"Ke mana pula Nabi Muhammad dan rombongannya pergi? Ini adalah tempat yang patut dilaluinya sebelum dia lari ke Madinah. Tidak ada jalan lain lagi yang boleh dilaluinya," kata ketua pemuda Quraisy itu.

Kumpulan pemuda Quraisy menjadi bertambah bingung. Mereka tidak tahu kemana arah dan jalan yang digunakan oleh Nabi Muhammad dan rombongannya. Akhirnya mereka mencari rombongan Nabi Muhammad ke arah yang lain.

"Syukur alhamdulillah mereka tidak syak kepada saya. Saya adalah pengikut Nabi Muhammad," bisik Ummu Ma'bad sendirian.

Ummu Ma'bad seorang yang cerdas dan pintar. Beliau hidup sehingga zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.

Elak fanatik mazhab

Siapakah role model yang mempunyai pendekatan toleransi dalam isu khilafiah fiqh di nusantara ini?

ANZARUDDIN: Bagi menangani situasi perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan umat Islam, setiap individu Muslim terutamanya yang tinggal di nusantara sangat berhajat kepada peribadi yang dapat dijadikan role model.

Tidak syak lagi dalam hal ini Rasulullah SAW ialah model terbaik yang sepatutnya dicontohi. Namun mungkin ada pihak tertentu yang mempersoalkan bagaimana seseorang individu Muslim yang hidup di zaman moden ini dapat meneladani secara keseluruhan peribadi Rasulullah yang mendapat bimbingan terus dari wahyu.

Demikian juga dengan para sahabat yang adakalanya dianggap mustahil dicontohi kehidupan mereka atas alasan mereka adalah generasi terpilih yang dididik secara langsung oleh Nabi lebih daripada 1,400 tahun yang lalu.

Justeru saya berpendapat mengapa tidak dikemukakan contoh di kalangan ilmuwan atau pendakwah berbangsa Melayu sendiri yang lahir dan hidup di zaman yang belum begitu jauh dari zaman kita sekarang.

Tokoh yang saya maksudkan itu ialah Buya Hamka, seorang tokoh pendakwah kelahiran Alam Melayu yang wajar diteladani peribadinya kerana telah berjaya membawa kesatuan kepada umat Melayu melalui pendekatan dakwahnya yang berprinsip.

Nama sebenar beliau ialah Dr. Abd. Malik bin Sheikh Abd. Karim bin Sheikh Muhammad Amrullah. Dilahirkan di desa Tanah Sirah, Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia pada 16 Februari 1908 @ 13 Muharam 1362 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Bagaimana pendirian yang dipegang oleh Buya Hamka dalam permasalahan fiqh?

ANZARUDDIN: Antara resipi kejayaan dakwah Buya Hamka adalah pendekatan bertoleransi yang beliau amalkan ketika berinteraksi dengan persoalan-persoalan khilafiah dalam fiqh.

Contoh yang pertama berlaku ketika Buya Hamka dipertanggungjawabkan sebagai imam dan khatib di Masjid al-Azhar, Kebayoran, Jakarta Selatan.

Pada suatu hari seorang tokoh Nahdhatul Ulama (NU) Kiai Abdullah Syafie datang untuk solat Jumaat di sana. Sebaik sahaja Buya melihat kedatangan tokoh ulama Betawi, beliau meminta Kiai Abdullah menaiki mimbar menggantikannya sebagai khatib.

Buya juga meminta supaya azan dikumandangkan sebanyak dua kali sebagai menghormati kebiasaan yang diamalkan di masjid-masjid yang dikuasai oleh NU yang berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Jadi bukan hanya mimbar Jumaat yang diserahkan, bahkan azan pun ditambah menjadi dua kali, semata-mata kerana Buya Hamka menghormati pendapat sahabatnya.

Inilah contoh dua orang tokoh ulama sejati yang ilmunya mendalam dan wawasannya luas. Siapa yang tidak mengenali Buya Hamka, pengarang kitab Tafsir al-Azhar yang hebat.

Demikian juga siapa yang tidak mengenali Kiai Abdullah Syafi'i, salah seorang pengasas dan pemimpin Perguruan Asy-Syafi'eyah, yang mana secara umumnya para kiai (ulama) Betawi masa kini adalah bekas murid-murid beliau.

Pada sekitar tahun 1970-an pula, Buya Hamka berkunjung ke Kota Banjarmasin. Pengurus Masjid Jamek Banjarmasin meminta tokoh Muhammadiyah itu menyampaikan khutbah Jumaat. Bagaimana reaksi yang ditunjukkan oleh bekas ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) pusat yang pertama itu?

Beliau terlebih dahulu bertanya kepada pengurus masjid, adakah khatib di situ mesti memegang tongkat? Secara serentak, para jemaah menjawab, "Ya".

Buya Hamka bertanya lagi: "Apakah khatibnya memakai jubah dan serban?" Para jemaah menjawab, "Ya".

Beliau bertanya demikian supaya dapat melakukan adaptasi bagi menyesuaikan dirinya dengan kebiasaan komuniti yang akan dihadapinya. Hal ini perlu dilakukan kerana beliau akan solat di Masjid yang majoriti ahli jemaah dari kalangan NU.

Akhirnya, Buya Hamka muncul sebagai khatib dengan penampilan yang sesuai dengan kebiasaan di Masjid Jamek tersebut. Masyarakat terpukau mendengar khutbah Buya Hamka.

Begitu juga setiap kali hendak mengimami solat subuh. Beliau akan bertanya terlebih dahulu kepada para jemaah, sama ada mereka memilih untuk berqunut atau tidak. Apabila majoriti para jemaah memilih untuk berqunut, maka tokoh Muhammadiyah ini akan mengimami solat subuh tersebut dengan qunut.

Buya Hamka memang tergolong dalam tokoh pimpinan Muhammadiyah yang terkenal sebagai anti qunut.

Walaubagaimanapun hubungan baiknya dengan Kiai Abdullah Syafi'i menyebabkan dia memilih untuk berqunut sebagai menghormati pendapat tokoh ulama itu yang menyatakan bahawa hukum qunut subuh adalah sunat muakkad.

Bagaimana pula ketegasan beliau dalam bab akidah yang telah disepakati?

ANZARUDDIN: Walaupun Buya Hamka terkenal sebagai seorang ilmuwan yang penyabar dan memiliki peribadi yang lembut, beliau adalah seorang ulama yang gigih dan bersikap tegas dalam mempertahankan kebenaran. Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan akidah.

Sebagai contoh, Buya Hamka mengkritik keras Gabenor H. Ali Sadikin (Pemerintah Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta di sekitar tahun 1970-an) yang mencadangkan agar jenazah warga kota Jakarta dibakar sahaja disebabkan oleh kawasan perkuburan awam yang semakin terbatas.

Hamka lantang menegaskan bahawa Islam tidak pernah membenarkan jenazah umat Islam diperlakukan dengan cara yang demikian.

Beliau menegur Gabenor Ali walaupun antara beliau dan gabenor itu sudah terjalin hubungan yang erat sejak sekian lama.

Buktinya, Buya Hamka sendiri yang telah membimbing Gabenor itu secara khusus ketika menunaikan haji.

Hamka juga mengkritik hebat cadangan mengadakan perayaan Krismas dan Aidilfitri bersama, kerana pernah secara kebetulan kedua-dua perayaan itu jatuh pada tarikh yang berdekatan antara satu sama lain.

Dalam salah satu tulisannya yang berjudul Toleransi, Sekularisme, atau Sinkretisme, Hamka menyebut bahawa tradisi kongsi raya (merayakan hari-hari perayaan agama yang berbeza secara bersama) sebenarnya tidak dapat menyuburkan toleransi beragama.

Sebaliknya, menurut beliau, apa yang akan disuburkan ialah sifat hipokrit (kemunafikan).

Pendirian tegas Buya Hamka mengenai krismas dan aidilfitri itu seterusnya menjadi fatwa MUI yang diketuai oleh beliau.

Menurutnya, hukum merayakan krismas dan aidilfitri secara bersama adalah haram. Kerajaan Indonesia melalui Menteri Agama, Alamsyah Ratuprawiranegara meminta MUI menarik-balik fatwa tentang haramnya umat Islam terlibat dalam sambutan kongsi raya (merayakan krismas bersama-sama dengan para penganut Kristian).

Pada bulan Mei 1981, Hamka memilih meletakkan jawatan sebagai Ketua MUI kerana merasakan nasihatnya tidak lagi dipedulikan oleh kerajaan Indonesia.

Pendirian Hamka yang tegas dalam mempertahan-kan akidah sangat jauh berbeza dengan para pendokong faham pluralisme agama.

Beliau tidak ragu-ragu melepaskan kedudukannya demi sesuatu yang diyakininya benar. Tiga bulan kemudian, iaitu pada 24 Julai 1981, Hamka pulang ke rahmatullah.

Apakah kesan kepada masyarakat awam Islam akibat seriusnya fanatik mazhab ini?

ANZARUDDIN: Salah satu perkembangan yang menyedihkan dalam masyarakat Islam nusantara dewasa ini ialah makin kuatnya kecenderungan meninggalkan akhlak ketika menghadapi perbezaan dalam persoalan fiqh.

Seriusnya sikap fanatik mazhab ini sampai ke peringkat di mana seseorang itu sanggup menuduh sesat kepada sesiapa sahaja yang melakukan amalan yang berbeza dengannya.

Sifat taksub di kalangan pengikut mazhab cukup membimbangkan kerana mereka nampaknya lebih mengutamakan qaul mazhab daripada nas-nas yang sahih. Apa yang sepatutnya menjadi pegangan adalah al-Quran dan al-sunnah.

Gamatnya pertelagahan di kalangan para pendokong mazhab yang berbeza menyebabkan umat Islam mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan pelbagai masalah lain yang melanda diri mereka.

Sayangnya kerana banyak tenaga umat Islam telah dihabiskan untuk berpolemik dan bercakaran sesama sendiri. Andainya umat Islam tidak dilalaikan dengan isu perbezaan fiqh, tentunya mereka lebih dapat menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lebih besar termasuk pencerobohan Yahudi di bumi Palestin, sikap diskriminasi golongan Kristian di Amerika, pembunuhan umat Islam di Afghanistan dan sebagainya.

Lalu, apakah jalan keluar bagi konflik fanatik mazhab ini?

ANZARUDDIN: Jalan keluar dari belitan konflik fanatik mazhab yang melanda kini sebenarnya dirumus dalam ungkapan keramat al-'Allamah al-Sayyid Muhammad Rasyid Redha: "Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berlapang dadalah dalam hal-hal yang diperselisihkan".

Pendekatan dakwah yang dibawa oleh al-Sayyid Rasyid Redha inilah sebenarnya yang telah diadaptasi oleh Buya Hamka dalam konteks alam Melayu.

Buya Hamka telah menyerap semangat dan pemikiran al-Sayyid Rasyid Redha dan pendahulunya iaitu al-Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan al-Sheikh Muhammad Abduh yang banyak membicarakan tentang cara-cara mengatasi kelemahan dan kemunduran umat Islam

Memang sukar mencari para pendakwah yang memiliki kefahaman fiqh yang mendalam dan akhlak yang terpuji di zaman moden ini. Namun kedua-dua aspek yang dimiliki oleh Buya Hamka itu berjaya menjadikan dakwahnya lebih dapat diterima oleh masyarakat Indonesia di zamannya.

Dalam situasi sekarang yang agak gawat dengan perbalahan umat dan gersang dari nilai-nilai akhlak, tokoh berjiwa besar dan berakhlak tinggi seperti beliau memang amat diperlukan terutamanya di nusantara.

Buya Hamka bukan hanya pandai berkata-kata, malah berjaya memberikan contoh ketegasan sikap dan keindahan perilaku.

Justeru menjadi tanggungjawab kita menghidupkan kembali dan menyebarluaskan pendekatan dakwah Buya Hamka. Sikap dan pendekatannya yang mesra menyebabkan beliau sentiasa berada di tengah-tengah antara dua titik ekstrem.

Walaupun ada pihak yang menganggapnya sebagai lemah, tetapi sebenarnya itulah strategi beliau sehingga boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam pelbagai situasi.

Alangkah indah dan hebatnya apabila Islam ditampilkan dengan penuh kasih sayang dan kedamaian. Sesiapapun yang mengaku beriman sepatutnya mendahulukan akhlak seperti bertoleransi dan saling hormat menghormati dalam beragama.

Mungkin boleh kita simpulkan bahawa lebih baik bagi seseorang Muslim itu berakhlak mulia meskipun kurang banyak ibadahnya, daripada banyak ibadahnya tetapi kasar dan buruk akhlaknya.

Jadi, apakah tindakan yang perlu diambil untuk menjernihkan kembali 'krisis' fanatik mazhab yang berlaku?

ANZARUDDIN: Dalam usaha mengembalikan sinar kegemilangan fiqh Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Buya Hamka berjaya mengembalikan budaya tasamuh (toleransi) dalam kalangan umat Islam.

Sikap tasamuh merupakan resipi penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi sahabat serta tabien dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Ia termasuk sikap berlapang dada dalam menerima pandangan yang berbeza, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain serta tidak fanatik kepada pandangan sendiri.

Dalam kata lain, mengembalikan semula pendekatan dakwah Hamka iaitu mendahulukan persoalan akhlak berbanding fiqh, memang sangat diperlukan bagi meredakan pelbagai konflik dalaman yang sedang membelenggu umat Islam dewasa ini.

Sebenarnya pendekatan yang digunapakai oleh Buya Hamka adalah manifestasi akhlak dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi.

Sebab itulah jika kita menelusuri sejarah, kita akan dapati bahawasanya para imam mazhab juga turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan namun mereka tidak pernah cuba memonopoli kebenaran.

Dengan kata lain, walaupun mereka berbeza pendapat dalam banyak perkara cabang, mereka tidak pernah berpecah-belah. Hati mereka tetap bersatu di bawah payung ukhuwah. Maknanya, mereka berbeza tetapi tetap saling menghormati dan bertoleransi.

Akhlak sebagai pekerja

KITA memerlukan kewangan yang cukup untuk meneruskan kehidupan, menyara keluarga dan membantu golongan yang memerlukan. Secara fitrahnya, dengan bekerja seseorang itu boleh memperolehi biaya dalam bentuk pendapatan.

Dalam Islam, bekerja adalah suatu yang dituntut dan dianggap sebagai satu kewajipan. Malah mereka diseru agar tidak bergantung kepada bantuan serta kasihan belas orang lain. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Mencari kerja yang halal itu adalah fardu selepas fardu". (riwayat al-Baihaqi)

Dalam Islam, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah ia halal di sisi syarak. Dengan kata lain, ia tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti arak, judi, riba, menipu, menindas dan sebagainya.

Di samping itu, ia juga mestilah pekerjaan yang tidak menjejaskan kepentingan umum dan merosakkan reputasi masyarakat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah. (riwayat al- Bukhari)

Dalam pekerjaan bukan sahaja perlu dipastikan pekerjaan itu halal malah perlu juga memberikan perhatian kepada persoalan berkat. Untuk menikmati pekerjaan yang berkat di antara perkara yang perlu ialah dengan menjaga dan memelihara akhlak sebagai pekerja.

Persoalan inilah yang gagal dihayati dan diamalkan oleh kebanyakan pekerja. Kebijaksanaan dan kemahiran yang tinggi tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu cemerlang.

Sebuah syarikat atau organisasi tentunya tidak akan mengambil seseorang yang berkelulusan tinggi sebagai pekerja apabila mengetahui individu tersebut mempunyai sikap malas, kedekut, angkuh dan sifat-sifat negatif yang lain. Kelulusan dan IQ yang tinggi adalah sia-sia kalau tidak digabungkan bersama akhlak yang baik.

Dalam sesi temuduga kerja umpamanya, pihak penemuduga tidak harus hanya melihat kelayakan calon dari sudut akademik dan pengalaman kerja tetapi perlu mengambil kira sudut akhlak dan etika. Ini kerana akhlak sangat penting dalam membantu seseorang itu mencapai kecemerlangan berorganisasi.

Justeru Islam memerintahkan umatnya bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT (hablum minallah) tetapi juga hubungan dengan manusia (hablum minannas).

Tanpa akhlak yang baik, tentunya pekerja tidak dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja yang lain secara harmoni.

Dalam memilih seseorang pekerja, Islam meletakkan dua syarat penting agar pekerja itu bukan sahaja cemerlang dalam kerjanya malah cemerlang juga di sisi Allah, iaitu mempunyai fizikal yang sempurna dan mempunyai sifat amanah.

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau hendak mengupahnya ialah yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Seorang pekerja yang cemerlang perlu memahami dengan baik tugasnya. Dia tidak boleh bertindak semberono dalam melaksanakan tugas harian di tempat kerja.

Tanpa kefahaman yang jelas, pekerja itu akan menjadi seperti robot yang hanya tahu melakukan kerja tanpa memahaminya. Maka apabila berlaku sebarang masalah teknikal kerana kerosakan peralatan dan sebagainya, pekerja itu tidak dapat meneruskan kerjanya secara manual.

Ini juga memerlukan komitmen pegawai atasan untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada pekerja di bawah kelolaannya.

Untuk memahami tugas yang diamanahkan dengan lebih mendalam, maka pekerja itu tidak boleh merasa malu dan takut untuk bertanya.

Memang menjadi haknya untuk mengetahui perkara yang dilakukan. Pekerja juga perlu mengambil inisiatif tersendiri untuk berdikari di samping tidak terlalu bergantung kepada arahan pegawai atasan.

Pekerja juga perlu memelihara suasana yang penuh harmoni ketika berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Jauhilah sikap iri hati sesama sendiri. Bersaing dengan rakan-rakan lain secara baik.

Jangan mereka-reka cerita dan memfitnah rakan-rakan yang lain agar dirinya dapat dilihat yang terbaik berbanding yang lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Muflis di kalangan umatku, datang di hari kiamat dengan solat, puasa, zakat namun datang juga cercaannya kepada orang ini, makan harta orang itu, menumpahkan darah sana, memukul sini lalu diganti rugi dengan amalan baiknya sehingga habis semuanya lalu ia mengambil dosa mangsanya sehingga ia dilontar ke neraka. (riwayat Muslim)

Mutakhir ramai yang didapati meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pegawai-pegawai atasan atau majikan melalui saluran Internet seperti facebook, twitter, blog dan laman sosial yang lain. Perlakuan ini jelas bercanggah dengan etika dan akhlak sebagai anggota organisasi.

Ia akan menyebabkan imej syarikat atau organisasi buruk pada pandangan masyarakat luar. Maka reputasi baik syarikat akan terjejas dan sekali gus memberi kesan negatif terhadap pembangunan dan pertumbuhan syarikat.

Sepatutnya, para pekerja yang tidak berpuas hati terlebih dahulu berbincang dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pihak majikan. Berikan ruang kepada pihak majikan memberi penjelasan berhubung isu yang ditimbulkan.

Jangan terlalu mengikut emosi sehingga membataskan akal yang waras untuk berfikir dan mencari penyelesaian dengan penuh bijaksana. Mungkin ada perkara-perkara sulit yang perlu dipertimbangkan oleh pihak majikan dalam membuat keputusan tersebut.

Di sinilah perlunya semangat saling-mempercayai antara satu sama lain. Tanpa kepercayaan antara satu sama lain, bagaimana sebuah organisasi yang kukuh dan utuh dapat dibina. Lebih-lebih lagi ketika cabaran dan ujian dalam melaksanakan tugas tersebut terlalu berat.

Tentunya memerlukan sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai wehdatul fikr (kesatuan pemikiran), wehdatul 'amal (kesatuan kerja) dan wehdatul qalb (kesatuan hati).

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (as-Saff: 3)

Seorang pekerja yang mementingkan semangat setiakawan dalam berorganisasi tidak boleh terlalu berkira dalam bekerja. Kadang-kadang dia perlu melakukan kerja lain untuk menggantikan rakan sekerja yang mungkin bermasalah. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri.

Contoh yang paling mudah ialah apabila telefon di meja rakan sekerja berdering, dan dia tiada di tempatnya ketika itu, maka perlulah rakan sekerja yang lain tolong menjawabnya atas dasar tanggungjawab bersama.

Namun, ada yang tergamak membiarkan sahaja telefon tersebut berdering tanpa rasa bersalah. Dia seolah-olah tidak menyedari bahawa individu yang membuat panggilan telefon itu mungkin sedang mempunyai hajat yang sangat penting.

Sifat keakuan dan pentingkan diri juga menghalang budaya tolong-menolong dan bantu-membantu sesama rakan sekerja. Akhirnya ia menimbulkan sikap benci-membenci dan iri hati di antara satu sama lain. Apabila rakan sekerja mengalami kesulitan, dia akan merasa gembira dan seronok.

Baginya, melihat rakan-rakan berada dalam kesusahan adalah merupakan kepuasan. Sedangkan Islam menyuruh umatnya untuk membantu rakan-rakan yang ditimpa musibah. Rasulullah bersabda: Barang siapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan orang yang dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat. (riwayat Muslim)

Cemerlang

Pekerja yang cemerlang juga sentiasa menjaga reputasi dan imej syarikat di mana sahaja dia berada.

Ini termasuklah cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan para pelanggan. Memberi perkhidmatan dan layanan terbaik dengan penuh mesra kepada pelanggan mestilah diutamakan. Tetapi, jangan sampai melebihi batasan yang dibenarkan oleh Islam.

Para pekerja juga tidak boleh mendedahkan rahsia syarikat termasuk kepada kaum keluarga sendiri. Sebabnya, pihak yang mengetahui maklumat rahsia berkenaan mungkin akan menyebarkannya kepada rakan-rakan yang lain.

Fenomena ini akan menjadi risiko kepada syarikat untuk bersaing dalam pasaran apabila pihak pesaing menggunakan maklumat tersebut untuk menyerang dan menjatuhkan syarikat.

Para pekerja juga tidak boleh menggunakan peralatan pejabat untuk tujuan peribadi. Terdapat pekerja yang menggunakan telefon di pejabat untuk menelefon isteri dan anak-anak di rumah.

Tidak kurang juga mereka yang menggunakan fotostat pejabat untuk menyalin dokumen peribadi. Ada yang pulang ke rumah dengan membawa barangan pejabat untuk diberi kepada anak-anaknya.

Ada juga yang menggunakan peralatan pejabat untuk mencari pendapatan sampingan. Lalu digunakan masa yang ada untuk tujuan lain, bukannya untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan majikan, khususnya ketika pegawai atasan tiada di tempat kerja.

Kesannya, kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh dan menyusahkan rakan sekerja yang lain.

Kesimpulannya, pendapatan yang mempunyai keberkatan adalah bukan sahaja dari kerja yang halal, tetapi mesti juga digabungkan dengan akhlak dan etika sebagaimana yang digagaskan oleh al-Quran dan sunnah.

Inilah tujuan utama pengutusan Baginda Rasulullah SAW kepada umatnya sebagaimana dinyatakan sendiri oleh baginda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Bukhari).