Monday, September 29, 2008

Syawal didik diri mohon maaf

Dosa sesama manusia tidak diampuni Allah selagi kedua belah pihak enggan bermaafan terlebih dulu MANUSIA tidak luput daripada salah, khilaf dan dosa. Namun sebaik-baik orang yang berbuat salah dan dosa adalah mereka yang cepat kembali kepada Allah seraya memohon ampun kepada-Nya.

Ini yang dikatakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah itu adalah orang yang melakukan dosa kerana kebodohan dan kekhilafan mereka. Lalu mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima taubatnya." (Surah al-Nisa', ayat 17) Sayyid Qutb dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menyatakan bertaubat dalam waktu yang dekat adalah bertaubat sebelum meninggal dunia atau memasuki sakaratul maut.

Sebab hakikatnya manusia sangat dekat dengan kematiannya dan mereka tidak mengetahui bila akan meninggal dunia.

Untuk itu mereka harus sentiasa bersiap-siap untuk menghadapi kematian yang boleh datang bila-bila masa saja.

Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam tafsir al-Maraghi menyatakan, bertaubat dalam waktu yang dekat bermakna seseorang yang melakukan dosa akibat kebodohan dan kelalaian harus bertaubat seberapa segera mungkin apabila sedar akan kesalahan yang dilakukannya. Namun Sayyid Qutb dan al-Maraghi bersepakat, taubat yang diterima Allah adalah mereka yang bertaubat dari lubuk hati yang dalam dan ceruk jiwa yang suci.

Mereka menyesali perbuatan itu serta berusaha sekuat tenaga untuk tidak melakukannya di masa akan datang. Ertinya Allah menerima taubat manusia bergantung kepada niat tulus ikhlas manusia itu. Dosa manusia pada hakikatnya dapat dibahagi kepada dua, dosa kepada Allah dan dosa kepada manusia. Dosa kepada Allah dapat dihilangkan dengan beberapa cara. Dosa kecil dapat dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah dan dosa biasa dapat dihapus dengan ibadat.

Dosa besar haruslah diselesaikan dengan taubat kecuali amalan syirik. Perbuatan itu dosanya tidak akan diampunkan sehingga seseorang itu meninggalkan semua anasir syirik seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan dia akan mengampuni dosa selain itu." (Surah al-Nisa', ayat 48) Namun sesungguhnya dosa yang paling berat itu adalah dosa di antara manusia dengan manusia. Sebab dalam masalah ini Allah tidak ikut campur sebelum manusia itu menyelesaikannya terlebih dulu.

Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: "Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah.

Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya dan tuhannya.

Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu." Allah tidak akan mengampunkan dosa seorang hamba kepada hamba yang lain sebelum kedua belah pihak menyelesaikan permasalahan mereka terlebih dulu. Jika tidak, pada akhirat nanti mereka akan saling menuntut balas dan membayar dosa dengan kebaikan atau memindahkan dosa orang dizalimi kepada yang menzalimi.

Pada hari itu mahkamah dipimpin Allah Maha Adil. Maka tidak ada sedikit pun kezaliman yang tidak dibalasi dan tidak ada sebesar zarahpun kebaikan kecuali akan diperlihatkan.

Oleh sebab itu meminta maaf ke atas dosa dilakukan kepada orang lain adalah sesuatu keharusan yang mesti dilakukan sebab meminta maaf di dunia jauh lebih mudah daripada harus membayar kesalahan itu pada akhirat kelak. Tidak seorang pun yang dapat membayangkan bagaimana dahsyat dan hebatnya alam akhirat. Namun Islam adalah agama penuh kasih sayang.

Maka setiap Muslim dianjurkan untuk memberi maaf sebelum orang meminta maaf. Sebab memberi maaf itu lebih dekat kepada ketakwaan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Baqarah, ayat 237) Walaupun memberi maaf itu bukanlah sesuatu kewajipan, namun memberi maaf memiliki nilai yang sangat besar di sisi Islam.

Orang yang memaafkan selepas diminta maaf akan mendapatkan pahala memaafkan dan pahala daripada kezaliman ke atasnya. Namun orang yang memaafkan sebelum diminta maaf akan mendapat keuntungan sangat besar, iaitu ketenangan jiwa di dunia dan balasan berlipat ganda pada akhirat kelak, jauh melebihi nilai kezaliman yang dimaafkan itu.

Sempena mengakhiri Ramadan yang suci dan memasuki Syawal mulia sewajarnya kita membuka pintu maaf untuk siapa saja. Berikan ruang dalam hati untuk saling memaafkan kerana itu lebih utama daripada menyimpannya berlarutan di jiwa.

Rai Aidilfitri sebagai ibadat, bukan adat


Islam larang sambut 1 Syawal berlebih-lebihan dengan niat untuk menunjuk UMAT Islam akan meraikan Aidilfitri iaitu hari kebesaran penuh kemuliaan yang dihadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW atas kejayaan berpuasa Ramadan selama sebulan. Islam menganjurkan Aidilfitri disambut penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Sesuai dengan kedudukannya sebagai hari yang mulia, sambutan Aidilfitri perlu mengikut tuntutan syariat. Meraikan Aidilfitri adalah satu ibadat. Oleh itu, ia berbeza dengan Aidilfitri yang disambut lebih sebagai adat. Setiap ibadat mengikut apa disyariatkan, sedangkan adat mengikut kebiasaan diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat.

Sambutan Aidilfitri bermula sebaik berakhir ibadat puasa Ramadan apabila kelihatan anak bulan Syawal.
Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda bermula sambutan Aidilfitri ialah melaungkan gema takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan dan tunduk kepada-Nya dengan penuh ikhlas.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185) Amalan bertakbir dari satu rumah ke satu rumah, selain di masjid seperti diamalkan di sesetengah tempat memang baik.
Selain mengucapkan kalimah kebesaran, dapat juga merapatkan silaturahim sesama penduduk. Ketika itu juga terbuka peluang untuk menghulurkan tangan bermaafan dan membantu mana yang perlu.

Amalan itu perlu dilakukan dengan tertib dan ikhlas. Jangan hanya bertandang ke rumah tertentu dengan tujuan tertentu juga. Ada yang menyertai kumpulan takbir sekadar suka-suka dan berpeluang mengintai anak gadis.
Malam Aidilfitri adalah malam ibadat yang menyediakan kelebihan tersendiri. Berpandukan maksud sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa beribadat pada dua malam hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada saat hati orang lain mati.
Banyak orang yang menyertainya sembahyang sunat tasbih, taubat dan hajat yang diadakan di masjid. Amalan itu memang amat baik untuk menghidupkan malam Aidilfitri. Malang sekali banyak yang turut serta tanpa memahaminya.
Dikatakan ibadat itu hanya tertentu pada malam Aidilfitri, sedangkan ia boleh dilakukan sepanjang tahun. Individu yang tidak turut serta dipandang serong kerana dianggap tidak melakukan sesuatu yang 'wajib' pada malam hari raya.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki serta mengenakan wangian. Maksud pakaian terbaik bukan semesti baru dibeli atau dijahit.
Tetapi di kalangan masyarakat kita berpegang kepada maksud itu memaksa semua orang berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan agama. Mereka bukan membuat sepasang baju baru untuk dipakai pada pagi hari raya, tetapi hingga empat atau lima pasang. Sebelum turun rumah menuju ke masjid atau tempat lapang untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat dianugerahkan Allah. Pada hari Aidilfitri diharamkan berpuasa.
Diriwayatkan Bukhari dan Ahmad, daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad SAW makan beberapa biji tamar sebelum keluar pada pagi Aidilfitri dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil." Rasulullah SAW ketika menuju ke masjid menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui jalan berbeza adalah bertujuan supaya dapat bertemu dengan ramai jiran yang tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan tahniah.
Sembahyang sunat Aidilfitri perlu dilambatkan sedikit, sedangkan solat Hari Raya Korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa yang belum mengeluarkan zakat fitrah yang wajib ditunaikan sebelum solat Aidilfitri. Sebenarnya sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal sementara pada 2 Syawal dan hari seterusnya dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Di kebanyakan negara Arab, Aidilfitri hanya disambut sehari atau kalaupun sambutan masih diteruskan hanya untuk dua atau tiga hari.
Bagaimanapun, tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan Aidilfitri selagi apa yang dilakukan tidak bertentangan syariat. Semangat kunjung mengunjung wajar diperbanyakkan. Jika hanya sehari tentu tidak banyak rumah yang dapat dilawati. Apa lagi jika membabitkan jarak perjalanan yang jauh. Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang Syawal. Ada yang mengaitkan sebagai tuntutan agama.
Jika berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya. Perlu ditegaskan, beraya sepanjang Syawal bukan dianjurkan Islam. Ia adalah adat, tetapi tidak salah untuk diamalkan. Apa yang penting kefahaman kita mengenainya dan bagaimana sambutan dilakukan. Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.
Ketika menghadiri rumah terbuka perlu ikhlas, bukan mengharapkan tuan rumah akan 'membalas' dengan datang ke rumah kita pula. Tuan rumah perlu melayan tetamu dengan perasaan ikhlas dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk hidangan disediakan. Begitu juga dengan amalan menziarah tanah perkuburan ketika hari raya. Sebenarnya masa untuk melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya. Sepatutnya, pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup dan bukan orang sudah mati.
Jika benar kita ingin melakukan perkara baik berkaitan melawat kubur ahli keluarga elok dilakukan pada waktu lain, ketika tidak sibuk dengan urusan lain. Bacaan Yasin, tahlil dan doa untuk si mati boleh dilakukan di mana saja dan tidak terhad di kubur. Sambut Aidilfitri ini dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian.
Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua. Kebanyakan amalan yang dilakukan dalam masyarakat kita adalah adat.
Sebab itu penting kita memperbetulkan niat dan mengetahui perkara sebenar supaya apa yang dilakukan termasuk dalam ibadat dan bukan sekadar melaksanakan adat. Setiap amalan bergantung kepada niatnya. Menyambut Aidilfitri dengan amalan mulia lebih bermakna dan mendatangkan keberkatan. Jangan jadikan ia sekadar adat dan bertujuan untuk bergembira semata-mata. Takut nanti falsafah hari raya sekadar sia-sia dan hanya mendapat kepuasan nafsu semata-mata. INFO: Cara rai Aidilfitri

Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda sambutan Aidilfitri ialah melaungkan takbir membesarkan Allah membuktikan ketaatan kepada-Nya dengan ikhlas.

Pada pagi Aidilfitri disunatkan mandi seperti amalan Rasulullah. Kemudian sunat menghiasi diri dengan pakaian terbaik serta mengenakan wangian.

Sebelum sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan tanda tidak lagi berpuasa dan bersyukur dengan nikmat Allah.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalak bagi merapatkan hubungan yang renggang akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Melawat tanah perkuburan tidak hanya pada hari raya, sepatutnya pada hari raya kita mengutamakan melawat orang yang masih hidup.

Sambut Aidilfitri dengan sederhana kerana Islam melarang perbuatan melampau, membazir dan bergembira keterlaluan akan mengundang kelalaian.

Wednesday, September 24, 2008

Manifestasi Ramadan dalam kemeriahan Syawal

MASA berlalu begitu pantas sehingga sedar tak sedar Ramadan hampir berlalu meninggalkan kita buat sementara. Sebahagian daripada umat Islam akan terus membawa semangat Ramadan dengan berpuasa Syawal atau puasa enam.

Manakala sebahagian yang lain merasakan telah bebas daripada larangan untuk makan dan minum pada siang hari serta bergembira menyambut Syawal dengan menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Tidak kurang juga di kalangan kita yang akan bertambah berat badan secara mendadak setelah berlalunya bulan Ramadan.

Saban tahun Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah oleh umat Islam sebagai manifestasi daripada kejayaan mengharungi tarbiyyah ruhiyyah, iaitu suatu proses atau latihan mendidik jiwa dalam mengekang hawa nafsu.

Jihad mengekang hawa nafsu sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullh SAW adalah jihad yang paling besar bagi setiap individu Islam. Bulan Ramadan yang baru berlalu merupakan suatu tempoh umat Islam diuji untuk berdepan secara 'gentlemen' dengan hawa nafsu mereka sendiri tanpa dibantu oleh syaitan yang dibelenggu.

Ramai di kalangan umat Islam yang telah berjaya dalam ujian tersebut mengikut parameter dan kualiti masing-masing, namun tidak kurang juga yang terus dibuai dan dikuasai oleh hawa nafsunya sendiri.

Ibadat puasa sebenarnya cukup signifikan dalam konteks memberi kesedaran dan kekuatan jiwa dalam diri umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti iman dan amal terhadap Allah SWT.

Kualiti puasa seorang mukmin itu bermaksud mereka bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, namun dari segala tindakan dan sifat yang ditegah di sisi agama.

Segala aktiviti pancaindera dan tindak balas melalui pandangan, pendengaran, percakapan dan perbuatan kita dikawal bagi memastikan pahala serta kualiti ibadat puasa itu tercapai.

Melayani penglihatan di luar batasan aurat yang dibenarkan, kumpulan penyakit hasad dengki seperti mendengar umpatan, memfitnah dan memburukkan seseorang serta perbuatan lain yang mengingkari perintah Allah SWT adalah antara sifat negatif yang ditegah dan wajib dijauhi oleh seluruh umat Islam pada setiap saat dan ketika.

Sabda Rasulullah S yang bermaksud:

''Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".

Bulan Ramadan yang berlalu menjadi medan untuk membersihkan jiwa dan memperkuatkan rohani dengan sifat-sifat mahmudah melalui proses yang disebutkan tarbiyyah ruhiyyah tadi.
Ini dapat dilakukan melalui ibadat di sepanjang bulan tersebut dengan penuh keikhlasan dan semata-mata mengharapkan ganjaran daripada-Nya.

Mengunjungi masjid untuk solat waktu berjemaah dan solat tarawih, membaca al-Quran dengan penghayatan, berzikir, qiamullail serta bersedekah adalah umpama 'anti virus' paling berkesan yang dijamin oleh Allah SWT untuk umat Islam membersihkan diri dari sifat mazmumah dan menjadi titik tolak kepadanya dalam bermuhasabah ke arah perubahan yang lebih baik dan berterusan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesuatu yang pelik (rugilah) sesiapa yang dapat melalui bulan Ramadan dan dia tidak mendapat keampunan dari Allah SWT".

Kedatangan Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana kejayaan mengharungi ujian dan latihan daripada Allah SWT.

Budaya saling bermaaf-maafan, menghubung dan mengeratkan silaturrahim, bersedekah dan seumpamanya adalah tuntutan agama dan mempunyai banyak falsafah dalam mendidik dan mencorakkan budaya masyarakat yang harmoni.

Namun apa yang penting di sebalik kemeriahan dan keseronokan berhari raya, kita tidak lupa kepada konsep kembali kepada fitrah, di mana seumpama meraikan 'kelahiran' semula kita sebagai hamba-Nya yang bersih daripada kemungkaran, yang bertaqwa dan dekat di sisi-Nya.

Di samping itu berusaha mengekal dan mempertingkatkan rentak keimanan melalui ibadat dan penyucian jiwa yang telah kita garap dan peroleh di sepanjang bulan Ramadan yang baru berlalu.
Marilah kita menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Ilahi.

Jauhilah pembaziran dan elakkan budaya mementingkan hiburan semata-mata ataupun sebagai hari yang bebas untuk melakukan apa saja melangkaui batasan peraturan dan agama.

Semoga penghayatan daripada falsafah berpuasa pada bulan Ramadan al Mubarak dapat dijadikan motivasi rohani dan bekalan seterusnya sebelum bertemu lagi dengan bulan 'pembersihan jiwa' ini yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Monday, September 1, 2008

Ramadan bukan waktu untuk belanja ikut nafsu


Puasa mengajar umat Islam bersabar hadapi ujian kehidupan, hargai nikmat kemerdekaan
HARI ini sekali lagi umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, bulan mulia yang menjanjikan pelbagai pengajaran dan ganjaran, bulan untuk kita meningkatkan ibadat serta mendekatkan diri dengan Allah. Seperti yang dituntut oleh agama, berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga kerana tidak makan dan minum pada waktu siang hanyalah ujian kecil yang boleh dilakukan oleh sesiapa saja termasuk kanak-kanak.
Jika sekadar mahu mengenal erti lapar dan dahaga, berpuasa sehari dua sudah cukup untuk kita merasainya. Apa yang lebih penting, ibadat puasa mengajak kita membersihkan diri daripada segala nafsu mata, telinga dan mulut.

Dalam erti kata lain, puasa mengajar umat Islam supaya lebih bersabar menghadapi segala ujian kehidupan, bersabar menahan nafsu rohani dan jasmani, nafsu membazir dan hidup berfoya-foya, nafsu marah, dendam dan pelbagai tindakan negatif. Kerana itu, puasa Ramadan kali ini adalah peluang terbaik kita untuk menghayati makna sebenar ibadat itu.
Dengan harga barang bertambah mahal, Bajet 2009 seharusnya mengajar kita mengawal perbelanjaan pada Ramadan supaya tidak berlaku pembaziran. Biasanya nafsu untuk makan pada bulan puasa sememangnya banyak, pelbagai juadah hendak dimakan tetapi apabila tiba masa berbuka banyak pula yang tidak pun disentuh.

Di sinilah letaknya kekuatan kita melawan nafsu makan kerana nafsu tidak mempunyai sempadan sedangkan perut kita mempunyai hadnya. Kita harus sedar, dalam kita mengecap kemewahan, masih ramai yang diburu kemiskinan dan diancam kebuluran. Belajar berlapar dan menahan nafsu bukan saja mendekatkan kita dengan Tuhan, malah meningkatkan lagi kesedaran kita dengan erti kehidupan. Kepada peniaga pula, inilah waktunya untuk mereka menentang nafsu tamak dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya atau mengelirukan pengguna melalui pelbagai tawaran dan taktik menjelang musim perayaan nanti.
Islam sememangnya menuntut umatnya bersatu padu dan sentiasa bersyukur. Bagi umat Islam yang benar-benar insaf dan mengerti makna kesyukuran, sama seperti Ramadan, membawa seribu rahmat. Kerana merdekalah, umat Islam di negara ini bebas melakukan ibadat tanpa sebarang sekatan dan ancaman seperti dialami saudara mereka di banyak negara di mana Islam menjadi agama minoriti. Bagaimanapun nikmat itu mungkin hilang jika mereka terus bersengketa dan bergaduh sesama sendiri seperti terjadi di beberapa negara Islam sebelum ini.
Selamat berpuasa Ramadan, semoga terpancar rasa kesyukuran, keinsafan dan keimanan yang lebih tinggi di sanubari kita.