Monday, April 21, 2008

Bercakap benar perkara utama elak perselisihan suami isteri

UMUMNYA, kebanyakan orang tidak bercakap benar setiap masa kerana boleh dikatakan pada masa tertentu kita terpaksa berbohong. Ada kalanya untuk tidak melukakan hati orang lain kita perkatakan sesuatu yang tidak benar.

Dalam rumah tangga, kebenaran atau bercakap benar penting untuk kerukunan, keselamatan dan kebahagiaan rumah tangga. Bapa atau ketua keluarga perlu sentiasa cuba mengamalkan bercakap benar kepada ahli keluarga. Jika anda berbohong, lambat laun pembohongan itu akan diketahui isteri atau anak. Sudah tentu sukar untuk mendapat kepercayaan yang penuh dan sukar memimpin rumah tangga ke arah kebahagiaan.

Ada pepatah mengatakan, "Bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar yang mujarab." Pepatah dan kata-kata itu membawa seribu pengertian kepada mereka yang bercakap benar.

Bayangkan jika anda berbohong kepada ahli keluarga, tiba-tiba pembohongan itu terbongkar dan ahli keluarga mendapat tahu anda tidak bercakap benar. Secara jelas, anda tidak mendapat kepercayaan lagi daripada ahli keluarga. Beberapa tokoh Islam sedunia memberikan pelbagai pendapat mengenai sikap tidak bercakap benar dalam kehidupan dan keluarga.

Ibnu Mas'ud berkata: "Sebaik-baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati, sebesar-besar dosa ialah berdusta, sejelek-jelek usaha ialah memungut riba." Jaafar as-Sodiq pernah berkata: "Janganlah engkau bertemu dengan manusia ini: pendusta; engkau akan berada dalam penipuannya.

Dia seumpama cahaya panas terasa dekat kepadamu, tetapi jauh." Saidina Abu Bakar as-Siddiq berkata: "Orang yang cerdas ialah orang yang takwa. Orang yang dungu ialah orang derhaka. Orang yang dusta ialah orang yang khianat. Orang yang benar ialah orang yang dapat dipercayai.

" Berpandukan nasihat tokoh Islam ini bercakap benar penting dalam kehidupan seharian terutama dalam rumah tangga untuk mendidik anak selain menjaga kerukunan rumah tangga. Contohnya, jika ingin keluar rumah anda mesti memberitahu isteri dan anak ke mana dan tujuan anda keluar rumah.

Jika anda bercakap benar, isteri tidak berasa risau atau khuatir. Isteri juga dapat menghubungi anda di mana saja jika berlaku kecemasan. Bayangkan jika anda bercakap bohong, Sudah tentu anda tidak dapat dihubungi dengan cepat. Ini juga boleh menyusahkan orang lain untuk menghubungi atau mencari anda. Sebagai isteri atau pemimpin kedua terpenting dalam rumah tangga, juga penting untuk bercakap benar.

Anak akan cepat meniru jika ibunya berbohong. Ibu adalah teladan paling rapat kepada anak. Oleh itu, ibu mestilah selalu bercakap benar kepada anak dan suami. Bercakap benar adalah jalinan kasih yang menghubungkan kemesraan antara ahli keluarga dalam rumah tangga. Suami dan isteri, kedua-duanya berfungsi untuk saling bantu membantu dan tegur-menegur.

Ini bermakna, isteri wajib patuh dan taat kepada suami tanpa berbelah bagi. Bagaimanapun, jika suami menyuruh perkara yang tidak baik dan mungkar, isteri tidak seharusnya menurut perintah suami.

Suami dan isteri juga mestilah sering bercakap benar. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang.

Antara adab pergaulan sesama manusia dan antara suami isteri ialah bercakap dengan teratur supaya orang yang mendengar percakapan faham maksudnya, selain daripada bercakap benar.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada Ibnu Mas'ud, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa kepada mereka. Seseorang yang sentiasa berdusta akan dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa jangan sekali-kali bercakap bohong kepada anak kerana kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku orang dewasa terutama ibu bapa mereka. Jika anda merasakan anak tidak pernah menipu, bolehkah anda uji sikap anda sendiri tanpa mengira sekecil manapun keadaan yang memaksa anda berbohong.

Pernahkah anda menulis surat kepada guru sekolah anak memberi alasan yang tidak benar mengenai ketidakhadiran anak ke sekolah? Jika pernah, anda sudah berbohong dan sekali gus mengajar anak tidak bercakap benar.

Pernahkah anda memberitahu jiran bahawa anda tidak tahu siapa yang memecahkan pasu bunganya sedangkan yang melakukan perbuatan itu adalah anak anda sendiri. Jika pernah, anda sudah melakukan pembohongan yang diketahui anak dan tidak mustahil mereka akan mengikutnya.

Keadaan seumpama itulah yang menjadi ikutan tidak baik kepada anak terutama bagi mereka yang berumur 12 tahun ke bawah. Jika keadaan seumpama itu berterusan, lambat laun anak akan terpengaruh dan mula berbohong. Akhirnya penyakit itu akan merebak dalam keluarga.

Kanak-kanak biasanya tidak pandai berbohong. Tanyalah kanak-kanak apa yang dimakannya pada hari itu, mereka akan menjawab dengan terus terang. Pembohongan boleh menyebabkan kesan negatif dalam rumah tangga dan akhirnya menimbulkan masalah.

Masyarakat kena jaga budi pekerti

DARIPADA Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Daripada dosa yang berat; seseorang memaki ibu bapanya. Bertanya orang yang hadir kepada Baginda: Ya Rasulullah SAW adakah orang yang memaki ibu bapanya? Jawab Baginda: Ya, dia memaki bapa orang lain, orang itu memaki bapanya pula, dan dia memaki ibu orang lain, orang itu memaki ibunya pula.” (Hadis riwayat Muslim)

Akhlak dan pekerti mulia tetap diberi perhatian dalam Islam. Keluhuran peribadi seperti bersopan santun, berbudi bahasa dan suka membantu perlu dipraktikkan sentiasa. Dalam hal ini sememangnya keluarga memainkan peranan besar mendidik, membimbing dan mencorakkan keperibadian seseorang individu sejak dilahirkan.

Ia mampu mempengaruhi persekitaran dan mewujudkan suasana aman tanpa sebarang pergaduhan. Budi bahasa mencerminkan budi pekerti seseorang. Mencaci, maki, menyumpah seranah tidak membawa kebaikan, malah ia memalukan sesiapa yang menuturkan, begitu juga akan memalukan ibu bapa mereka.

Justeru dalam membentuk masyarakat yang baik dan beradab, semuanya bermula daripada didikan akhlak yang betul. Salah asuhan menjadikan masyarakat kacau-bilau dan antara satu sama lain tidak terjalin persefahaman serta kasih sayang.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, April 3, 2008

Bersatu, hikmah mampu jawab penghinaan

TANPA kita sedari, Mac yang baru saja kita lalui sekali lagi membuka lembaran bersejarah dalam kehidupan umat Islam. Mungkin masih segar dalam ingatan pada 18 Mac 2005, telah tercipta satu sejarah besar yang mana Dr Amina Wadud di Manhattan, Amerika Syarikat, telah mengimami solat Jumaat dan beliau turut membaca khutbah Jumaat - satu peristiwa belum pernah terjadi sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.

Pada 28 Mac 2008 pula, umat Islam dikejutkan pula dengan satu tayangan filem yang benar-benar menghina dan mempersendakan agama Islam yang suci. Kali ini Islam diserang dalam satu bentuk penghinaan dengan propaganda dahsyat.

Filem Fitna yang diasaskan Geert Wilders, menimbulkan suasana tidak tenteram, baik di kalangan umat Islam itu sendiri mahupun masyarakat dunia seluruhnya.
Walaupun lebih awal Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) merayu supaya Kerajaan Belanda mengharamkan dan melarang penayangan filem itu, disebabkan tiada undang-undang yang mampu menghalang, Wilders terus angkuh.

Apa yang terkandung dalam filem yang ditayang selama 15 minit itu tidak lain hanyalah menggambarkan salah faham Wilders terhadap Islam.

Cuma pada zahirnya, kita tidak dapat menilai ke mana hala tujunya filem itu selepas ini, namun objektifnya adalah jelas untuk mempromosikan Islam sebagai sebuah agama yang menganjurkan keganasan. Kita juga turut boleh menyangka bahawa Wilders telah mengeksploitasi ayat al Quran yang dibawanya bagi kepentingan tertentu.

Selain itu, kelihatan juga nilai sentimen untuk melaga-lagakan agama secara umumnya. Perkara ini jelas terkandung di dalam isi kandungan filem itu.

Dalam hal ini, kita sebagai umat Islam tidak harus cepat melatah dan menuding terus ke arah Wilders dan Belanda. Dengan melakukan tindakan melampau dan ganas akan hanya memburukkan keadaan yang sedia membara.

Kita tidak perlu mengadakan demonstrasi atau menunjukkan protes dengan cara yang kurang bijak seperti membakar bendera dan sebagainya. Itu hanyalah seperti mengiyakan apa yang cuba ditonjolkan Wilders dalam Fitna.

Harus diingat Wilders agak licik dalam menyusun strategik untuk menjatuhkan imej Islam di mata masyarakat dunia. Justeru, umat Islam harus bijak menangani situasi seperti ini supaya tidak jatuh ke dalam perangkap yang dibuat Wilders.

Satu perkara lagi, tindakan atau reaksi kurang bijak seperti menganjurkan demonstrasi jalanan hanya merugikan masa dan mencerminkan budaya yang kurang matang. Tetapi kita perlu menyalurkan kemarahan membara di dalam hati ini, dengan menunjukkan reaksi yang bijak dan lebih digeruni.

Seruan supaya memboikot barangan buatan Belanda perlu dibuat secara bersepadu dan menyeluruh. Kita juga perlu bermuhasabah agar tidak mempertimbangkan hal individu dan keuntungan poket sendiri, tetapi perlu melihat kemaslahatan yang membawa kesan yang lebih besar.

Di samping itu, kerajaan boleh membawa langkah drastik dan berkesan bagi mengimbangi situasi ini. Kita tidak perlu melawan kekerasan dengan kekerasan, tetapi adalah lebih efektif jika kita menggunakan kepintaran dan kelembutan (hikmah). Kita mungkin boleh mengadakan satu dialog antarabangsa bagi membetulkan kefahaman yang salah ini.

Dihadiri oleh Wilders atau wakil Kerajaan Belanda sendiri, sesi dialog dibuat secara terbuka dan umum di khalayak.

Di sini kita memerlukan cerdik pandai yang berwibawa dalam menjalankan tanggungjawab dan cerdik pandai ini pula pasti tidak mampu untuk mengusahakan perjalanan dialog ini, dan di sinilah usaha Malaysia ataupun OIC mampu membentuk perjalanan seterusnya. Kita juga boleh melawan propaganda Wilders itu dengan propaganda yang serupa.

Jika beliau menggunakan pentas globalisasi, kita juga sepatutnya mampu menggunakan pentas yang sama. Kita juga boleh membuat filem yang dapat menjawab dan memberi kefahaman sebenar berhubung dakwaan Wilders itu, namun perkara ini saya kira juga perlu pembabitan pertubuhan yang besar, sama ada Malaysia itu sendiri mahupun OIC.

Ini bertujuan mempromosi atau mengkontrovesikan perkara yang kita bawa, supaya menarik perhatian umum dan masyarakat seluruhnya.

Di sini tidak lain, kita perlu mengetepikan permasalahan dalaman yang wujud dan berusaha menggembleng tenaga bagi mendapat manfaat yang besar.

Dan peristiwa ini juga, boleh di jadikan sebagai titik tolak dalam melakukan proses penyatuan masyarakat mahupun negara Islam secara keseluruhannya.

Apa sebenarnya menjadi kebimbangan besar pada pendapat saya, bukannya kepada isi kandungan filem dan propaganda tersebut, tetapi yang lebih dibimbangkan adalah reaksi umat Islam secara umumnya.

Kita bimbang jika perkara ini boleh mencetuskan suasana keganasan dan mendedahkan umat Islam kepada satu tindakan yang melampau dan tidak wajar. Ini yang sepatutnya terlebih dulu di bendung dan di kawal. Kita tidak mampu lagi membuat kesilapan dan melampau, dalam membawa gelombang kebangkitan kita perlu bersikap berhati-hati dan bijak.

Tidak pula terlalu radikal, dan tidak pula terlalu perlahan, apa yang perlu di ingat adalah kita masih berada dalam proses kebangkitan semula.

Dalam hal ini, kita juga perlu kembali bermuhasabah dan menilai tanggungjawab kita sama ada sudah melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Sudah tentu ada sekelumit kesalahan pada diri kita sendiri dan ini berhubung kait dengan tanggungjawab kita untuk membetulkan kesalahan, sekali gus menyedarkan orang lain